Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia antara 10 negara miliki komitmen tinggi keselamatan siber

KUALA LUMPUR, 1 JULAI: Malaysia berjaya meletakkan nama antara 10 negara teratas mempunyai komitmen tinggi dalam bidang keselamatan siber menerusi laporan Global Cybersecurity Index 2020 yang dijalankan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata hasil kajian melibatkan 194 negara itu, Malaysia memperoleh skor sebanyak 98.06 untuk berada di kedudukan kelima bersama Rusia dan Emiriah Arab Bersatu di peringkat global.

Beliau berkata di peringkat Asia Pasifik, Malaysia berada di kedudukan kedua selepas Korea Selatan dan Singapura yang berkongsi skor 98.52.

“Pencapaian ini lebih baik berbanding 2018, yang mana negara berada di kedudukan kelapan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Saifuddin berkata Malaysia menduduki tempat 10 teratas dunia itu selepas memperoleh skor penuh 20.0 dalam tiga daripada lima petunjuk prestasi utama agenda keselamatan siber 2020 ITU, iaitu komponen perundangan, pembangunan kapasiti dan kerjasama, manakala dua lagi skor iaitu teknikal (19.08) serta organisasi (18.98).

“Pengiktirafan ini membuktikan keupayaan, iltizam serta kesediaan kerajaan dalam menyediakan khidmat kepakaran, advokasi dan kesiapsiagaan dalam bidang keselamatan siber,” katanya.

Saifuddin berkata dalam aspek pembangunan kapasiti, Malaysia menyediakan program latihan kemahiran teknikal dan kompetensi serta persijilan profesional melibatkan domain keselamatan siber.

Mengulas lanjut, beliau berkata Malaysia berupaya menghasilkan golongan profesional keselamatan siber bukan sahaja dalam negara malah di luar negara menerusi Skim Pensijilan Profesional Keselamatan Siber Bertauliah Global serta kolaborasi bersama sektor awam, swasta, industri serta institusi pengajian tinggi.

Katanya melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), negara diiktiraf untuk melatih peserta dari negara ASEAN dan juga Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Saifuddin berkata Malaysia juga aktif dalam mengukuhkan kerjasama menentang keganasan siber di peringkat global melalui pelbagai platform antarabangsa, antaranya Pasukan Tindakan Kecemasan Komputer ASEAN (ASEAN Cert), Forum Serantau ASEAN (ARF) dan Majlis Kerjasama keselamatan di Asia Pasifik (CSCAP).

Selain itu, Konvensyen Budapest, United Nations (UN) Counter-Terrorism Committee Executive Directorate (CTED), Pasukan Tindakan Kecemasan Komputer Asia Pasifik (APCERT), Pasukan Tindakan Kecemasan Komputer Asia Pasifik OIC (OIC-CER) serta Forum of Incident Response and Security Teams (FIRST).

“Jalinan kerjasama turut dimeterai bersama rakan serantau ASEAN seperti Filipina, Indonesia, Laos, Myanmar, Kemboja, Thailand dan Vietnam serta United Kingdom, Korea Selatan, Itali dan Australia,” katanya.

Saifuddin berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia bersama-sama Cybersecurity Malaysia komited untuk terus memperkasa dan melestari prasarana serta ekosistem keselamatan siber agar terus mampan dan berdaya saing demi mencapai aspirasi membawa Malaysia ke arah pendigitalan dan menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kesedaran keselamatan siber masih rendah, ramai jadi mangsa jenayah

KUALA LUMPUR, 10 JUN: Tahap kesedaran keselamatan siber dalam kalangan rakyat di negara ini masih rendah sehingga ramai menjadi mangsa jenayah siber, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Selain itu katanya masih ramai juga rakyat di negara ini tidak mengamalkan penggunaan teknologi dengan beretika dan bertanggungjawab.

“Malahan kerugian jutaan ringgit turut dialami oleh mangsa seperti direkodkan oleh pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya semasa menjadi tetamu jemputan program bual bicara Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan di RTM 1, di sini, hari ini

Zahidi berkata KKMM menerusi CyberSecurity Malaysia menerima sebanyak 4,615 laporan insiden keselamatan siber sejak Januari hingga Mei tahun ini menerusi Pusat Bantuan Cyber999.

Beliau berkata daripada jumlah laporan berkenaan, tiga laporan tertinggi melibatkan penipuan iaitu sebanyak 3,229 kes, pencerobohan (765) dan kod berbahaya (256).

Menurut Zahidi antara insiden lain yang turut dilaporkan kepada pusat bantuan berkenaan termasuk spam, percubaan pencerobohan, penafian perkhidmatan, gangguan siber, laporan kerentanan dan berkaitan kandungan.

Katanya walaupun tahap keselamatan siber di negara ini masih tidak membimbangkan namun masyarakat perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai keselamatan siber dan teknologi terbaharu serta sentiasa berwaspada terhadap bentuk ancaman siber terkini.

“Saya menggesa orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga antaranya dengan memastikan kata laluan yang kukuh, memasang dan mengemas kini perisian antivirus pada gajet digital serta menggunakan rangkaian yang selamat semasa melakukan transaksi dalam talian sama ada untuk urusan perbankan atau pembelian barangan dalam usaha membanteras jenayah siber ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Tingkat keselamatan elak jadi mangsa jenayah siber – CFM

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Pengguna media sosial dinasihatkan sentiasa berwaspada serta lebih berhati-hati dalam melindungi keselamatan platform dalam talian mereka, khususnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menunjukkan trend peningkatan penggunaan medium itu.

Pengerusi Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) Datin Mohana Mohariff berkata, terdapat laporan dan statistik daripada pihak berkuasa menunjukkan peningkatan jumlah mangsa jenayah siber seperti penipuan, penggodaman dan pencurian identiti, pada setiap hari.

Justeru katanya, bagi mengurangkan masalah itu, semua pengguna harus bersikap proaktif dalam melindungi keselamatan dalam talian mereka.

“Beberapa petua penting bagi mengekalkan keselamatan dalam talian termasuk mengemas kini semua perisian dan ‘firmware’ di peranti termasuk telefon bimbit, tablet dan penghala (router), rumah.

“Pengguna juga harus menukar kata laluan yang biasa dan menggunakan kata laluan yang kuat, serta jangan klik pada e-mel, mesej atau pautan yang kelihatan pelik,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menyarankan pengguna menggunakan pengesahan dua-faktor (2FA) sebagai langkah lanjut, untuk membuktikan identiti mereka di luar kata laluan atau token pengesahan sekali pakai, untuk mengakses akaun.

Pengguna juga dinasihatkan menggunakan penyelesaian antivirus yang kuat untuk peranti selain Rangkaian Peribadi Maya (VPN), untuk mengelakkan trafik data diintip atau diganggu.

– BERNAMA