Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Agong titah penduduk lima negeri siap sedia

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan rakyat khususnya di negeri-negeri pantai timur, Johor dan Sabah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berlaku banjir besar akibat hujan lebat yang berterusan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata titah nasihat Yang di-Pertuan Agong itu susulan amaran tahap waspada (kuning) iaitu hujan berterusan di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah sepanjang minggu ini hingga 2 Jan depan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi, kelmarin.

“Seri Paduka turut menasihati rakyat, khususnya di kawasan berisiko dilanda banjir juga peka terhadap ramalan dan amaran yang telah dikeluarkan serta sentiasa berwaspada sekiranya paras air naik secara mendadak akibat hujan lebat yang berterusan.

“Ini termasuklah mematuhi semua arahan dan panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) sekiranya dikehendaki berpindah dari kediaman masing-masing demi keselamatan diri dan ahli keluarga tersayang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menzahirkan keprihatinan tinggi Seri Paduka terhadap kemaslahatan rakyat, Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah menyeru semua pihak mengambil iktibar daripada pengalaman bencana banjir sebelum ini untuk memperbaiki sebarang kelemahan dan kekurangan dalam menghadapi sebarang kemungkinan khususnya urusan pasca banjir.

Sehubungan itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja berkata Seri Paduka menasihati agensi-agensi kerajaan berkaitan dan PBT supaya tidak leka dan proaktif dalam memastikan kesiapsiagaan, koordinasi dan penyelarasan pengurusan bagi menghadapi gelombang kedua banjir di tahap terbaik.

Beliau berkata Seri Paduka menzahirkan harapan dan keyakinan bahawa menerusi persediaan awal dengan disusuli tindakan terancang, operasi menyelamat dan bantuan kepada mangsa banjir yang terperangkap, khususnya mereka berada di kawasan berkepadatan tinggi dan pedalaman dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.

“Seri Paduka turut mengajak semua rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar gelombang kedua banjir yang akan berlaku ini tidak berpanjangan dan negara serta rakyat dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dan bencana,” kata Ahmad Fadil.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tahap kesediaan 250 anggota, aset diuji dalam Eksesais Tembadau Lima Divisyen

KOTA KINABALU, 25 NOV: Keupayaan 250 anggota dan pegawai serta pelbagai aset ketenteraan Markas Lima Divisyen di sini diuji dalam ‘Eksesais Tembadau Lima Divisyen’ bagi memastikan pasukan itu sentiasa bersedia mempertahankan negara khususnya Sabah dari segala bentuk ancaman.

Panglima Divisyen Kelima Infantri Mej Jen Datuk Mohd Halim Khalid berkata eksesais bermula hari ini hingga 1 Disember depan dilaksanakan berdasarkan konsep peperangan konvensional dalam bentuk pos pemerintah menggunakan sistem tempur Battle Tek IV.

“Keupayaan anggota dan aset tentera perlu sentiasa diuji bagi memastikan kesiapsiagaan untuk menjamin keselamatan negara.

“Justeru latihan ini dilaksanakan bagi mengukur tahap kesiapsiagaan dan atur gerak formasi di bawah naungan Markas Lima Divisyen serta dilaksanakan di sekitar Kem Lok Kawi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan eksesais itu di sini hari ini.

Tembadau merupakan spesies banteng (lembu hutan) liar yang hanya terdapat di kepulauan Borneo menjadi lambang Markas Lima Divisyen di Kem Lok Kawi terletak lebih 15km di selatan bandaraya Kota Kinabalu.

Pasukan itu dikenali dengan moto dalam bahasa Bajau ‘Nerang Separang’ bermaksud ‘Tangkas Menggempur’.

Mohd Halim berkata pelaksanaan eksesais itu diharap dapat dimanfaat sebaiknya untuk mengetahui sebarang kekurangan dan kelemahan pasukan.

“Apabila eksesais ini selesai kita, akan buat laporan dan menilai sejauh mana keupayaan anggota dan aset yang kita ada. Sekiranya ada aset yang rosak atau tidak berfungsi dengan baik, kita akan kemukakan ke pihak atasan agar ia segera diselesaikan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan kita terus diperkasa,” katanya.

– BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pasukan bertindak khas tangani Covid-19, siap siaga selepas darurat tamat

PUTRAJAYA, 10 JULAI: Pasukan Bertindak Khas “Greater Klang Valley” diwujudkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memantapkan tahap kesiapsiagaan sistem kesihatan di Lembah Klang dalam mengurus pandemik Covid-19.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata pasukan khas yang mula beroperasi Khamis lepas dan diketuai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong itu berperanan untuk menangani segera situasi semasa di Selangor dan Kuala Lumpur serta kawasan bersempadan, terutama dalam isu kekurangan katil dan sumber manusia.

“Walaupun dipanggil ‘Greater Klang Valley, kita akan masukkan juga kawasan selatan Perak, barat Pahang dan utara Negeri Sembilan dan di situ (di setiap kawasan tersebut) terdapat pusat arahan yang akan menyalurkan maklumat pada pasukan bertindak khas itu,” katanya pada sidang media khas berhubung langkah kesiapsiagaan dan strategi KKM mengurus pandemik di Lembah Klang, di sini hari ini.

Susulan pelantikan Dr Chong untuk mengetuai pasukan bertindak itu, Dr Adham berkata peranan beliau dalam Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) akan diganti oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan Dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim.

Katanya, pasukan bertindak itu akan memastikan kesiapsiagaan semua hospital KKM dan operasi perkhidmatan swasta yang terlibat dalam rawatan Covid-19, bagi mengurus pandemik itu secara holistik dan  sebaiknya.

Selain itu, Dr Adham berkata pasukan itu juga bertanggungjawab dalam membuat persiapan rapi bagi menghadapi tempoh tamat Ordinan Darurat, pada 1 Ogos ini.

Ini berikutan, KKM ketika ini menggunakan pelbagai fasiliti milik agensi dan kementerian dalam tempoh pelaksanaan ordinan dan apabila tempoh darurat tamat, kemudahan itu perlu dipulangkan kepada pihak terbabit.

Beliau memberi contoh Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, yang kini digunakan untuk merawat pesakit Covid-19, perlu kepada rundingan semula supaya hospital itu boleh terus digunakan selepas Ordinan Darurat tamat.

Sementara itu, Dr Chong berkata pasukan itu menumpukan usaha mengekang penularan Covid-19 di kawasan Lembah Klang serta kawasan bersempadan kerana mengambil kira pergerakan orang ramai.

“Berikutan peningkatan kes, terdapat keperluan mendesak untuk memastikan keperluan seperti katil, peralatan, sumber manusia dan yang berkaitan dengan pengurusan kes mencukupi,” katanya.

— BERNAMA