Categories
AGENDA NASIONAL

Tun M semakin pulih, pindah wad biasa

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Keadaan kesihatan Tun Dr Mahathir Mohamad semakin pulih dan telah dipindahkan ke wad biasa Institut Jantung Negara (IJN) hari ini, kata Datin Paduka Marina Mahathir.

Anak sulung bekas perdana menteri itu berkata Dr Mahathir yang sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Koronari IJN, kini ceria dan bersemangat untuk kembali pulih sepenuhnya.

“Daripada penilaian pasukan doktor pakar yang merawat Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau didapati semakin pulih,” kata Marina dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi mengelak jangkitan, kedua-dua Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tidak dibenarkan menerima pelawat di IJN ketika ini.

Marina berkata Dr Mahathir dan seluruh ahli keluarga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan agar beliau sembuh sepenuhnya.

Sabtu lepas, Marina dalam kenyataan memaklumkan bahawa keadaan Dr Mahathir stabil dan memberi respons yang baik kepada rawatan lanjutan prosedur elektif yang dijalankan 8 Jan lepas.

Sebelum ini, Dr Mahathir dimasukkan ke IJN pada 7 Jan bagi menjalani prosedur perubatan elektif sehari selepas itu dan dibenarkan keluar pada 13 Jan.

— BERNAMA

 

Categories
PENDAPAT RENCANA

Pakar nasihat orang ramai waspada penyakit bawaan air ketika musim banjir

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Banjir besar yang melanda Lembah Klang pada hujung minggu baru-baru ini berlaku tanpa diduga oleh kebanyakan mereka yang terlibat, dan bagi sesetengah daripada mereka pula bencana itu adalah fenomena asing lantaran sudah berpuluh tahun tidak mengalaminya.

Banjir mungkin telah surut di kebanyakan tempat, dan mangsa kini berdepan dengan impak bencana itu – kerosakan harta benda – dan lebih malang lagi apabila ada yang kehilangan ahli keluarga akibat lemas dalam kejadian tersebut.

Pada masa yang sama, mereka berdepan risiko limunan iaitu jangkitan penyakit yang lazim hadir bersama-sama bencana alam tersebut.

Makanan dan air tercemar

Menurut pakar perunding perubatan Dr Peter Pragasam, kebanyakan penyakit berjangkit yang menular semasa banjir disebabkan oleh virus dan bakteria yang biasa ditemukan dalam air bah, dan berpindah ke dalam tubuh manusia menerusi makanan dan minuman yang dicemari air banjir, atau luka terbuka pada badan seseorang individu.

Deretan kedai musnah dilanda banjir di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat, Kajang pada 20 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Antara penyakit berjangkit yang boleh berlaku semasa musim banjir ialah demam kepialu yang disebabkan oleh bakteria Salmonella enterica serotype thyphi.

“Tempoh pengeraman ialah satu hingga tiga hari selepas dijangkiti oleh bakteria itu. Antara gejala demam kepialu ialah demam panas, tiada selera makan, sakit kepala, sakit seluruh badan dan lesu, selain muntah dan sembelit serta cirit-birit,” jelasnya ketika dihubungi Bernama di sini.

Dr Peter yang bertugas di sebuah hospital swasta di Cheras, berkata penyakit lain ialah kolera atau taun yang berpunca daripada bakteria Vibrio cholarae, dan antara gejalanya ialah cirit berair yang teruk, kehilangan cecair dalam badan pada kadar yang cepat dan seterusnya menyebabkan dehidrasi.

“Jika tidak dirawat dengan baik, jangkitan kolera boleh menjadi bertambah teruk. Antara simptom biasa ialah diarea (cirit-birit), demam ringan, muntah-muntah dan kejang kaki, yang boleh dialami selepas tempoh pengeraman satu hingga lima hari,” tambah beliau.

Selain itu, beliau turut mengingatkan masyarakat agar berwaspada dengan penyakit leptospirosi atau sakit kencing tikus, jangkitan zoonotik yang disebabkan oleh bakteria genus Leptospira. Bakteria tersebut boleh memasuki tubuh manusia menerusi pengambilan makanan dan minuman atau luka terbuka.

“Jangkitan berlaku apabila ada luka terbuka atau pengambilan makanan dan minuman dicemari air kencing tikus. Tempoh pengeraman bakteria ialah tujuh hingga 10 hari selepas bakteria memasuki badan.

Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM)menghulurkan bantuan makan kepada mangsa banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 20 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Gejalanya termasuk demam panas, sakit kepala, sakit otot dan diarea. Jika tidak dirawat segera, leptospirosis boleh mengakibatkan kerosakan buah pinggang, meningitis (keradangan pada selaput otak dan saraf tunjang), masalah pernafasan, malah maut,” tegas Dr Peter.

Penyakit bawaan vektor

Sementara itu, pensyarah kanan di Pusat Pendidikan dan Penyelidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya Dr Zubaidah Yaçob berkata banjir juga boleh meningkatkan kes penyakit bawaan vektor seperti demam malaria, denggi dan denggi berdarah.

“Kejadian banjir secara tidak langsung berpotensi meningkatkan kes penyakit bawaan vektor disebabkan peluasan kawasan habitat vektor.

“Air yang bergenang disebabkan hujan lebat atau limpahan air sungai boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk, sekali gus berpotensi meningkatkan kes seperti demam denggi dan chikungunya,” jelas beliau kepada Bernama.

Menurutnya, situasi itu akan menambah beban masyarakat di kawasan terjejas bencana serta sistem kesihatan negara yang pada masa ini masih lagi berjuang menentang pandemik Covid-19.

“Justeru, langkah pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit termasuk COMBI (communication for behavioural impact) mesti dilaksanakan di semua peringkat,” saran Dr Zubaidah.

Pastikan makanan, minuman masih elok

Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik) di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia Dr Hayati Kadir Shahar pula menasihati ahli masyarakat agar memeriksa makanan yang disimpan di dalam peti sejuk serta peralatan untuk penyediaan makanan.

Periksa bagi memastikan sama ada makanan itu masih elok atau perlu dibuang dan begitu juga dengan peralatan penyediaan makanan, katanya.

Ini kerana katanya gangguan bekalan elektrik adalah antara akibat yang biasa terjadi apabila berlaku bencana alam seperti banjir.

Penduduk mengankat barangan rumah yang masih boleh digunakan apabila air mulai surut selepas dilanda banjir ketika tinjauan Media Selangor di Kampung RTB Bukit Changgang, Kuala Langat pada 22 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Jika bekalan elektrik terputus, pastikan pintu peti sejuk dan ruang sejuk beku dalam keadaan bertutup selama mungkin bagi mengekalkan suhu. Peti sejuk yang tidak dibuka boleh menyejukkan makanan selama kira-kira empat jam, manakala ruang sejuk beku yang penuh pula boleh mengekalkan suhu selama 48 jam (24 jam jika hanya separuh penuh).

“Jika ketiadaan bekalan elektrik berpanjangan, beli bongkah ais atau ais kering untuk memastikan peti sejuk dalam keadaan sesejuk mungkin. Makanan mudah rosak (seperti daging, ayam, ikan, telur atau baki makanan) yang terdedah kepada suhu melebihi 40 darjah Fahrenheit selama dua jam atau lebih, perlu dibuang,” nasihat beliau.

Untuk air minuman pula, beliau menasihati mereka yang terjejas bencana itu agar menggunakan air dibotolkan yang belum terdedah kepada air banjir. Jika tidak ada air dibotolkan, masak air sehingga mendidih. Kebanyakan organisme punca penyakit mati apabila air dimasak. Jika air keruh, tapis menggunakan kain yang bersih atau biarkan mendap sebelum ambil air yang telah jernih itu untuk dimasak, pesannya.

Bagi yang mahu membersihkan rumah, beliau menasihati mereka agar memakai pakaian pelindung diri seperti sarung tangan.

“Anda juga boleh menggunakan sabun dan air panas untuk membersihkan rumah. Bilas dan kemudian sanitasi menggunakan sesudu besar cecair peluntur klorin tanpa bau yang dicampur bersama segelen air bersih.

“Pastikan setiap sudut, rekahan dan celah lantai bilik, pemegang pintu dan pengedap pintu rumah yang terjejas banjir dibersihkan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan negeri tumpu menyeluruh isu kesihatan

SHAH ALAM, 15 DIS: Belanjawan Selangor 2022 yang dibentang bulan lalu tidak hanya mementingkan usaha mencegah Covid-19 malah merangkumi rawatan penyakit lain.

Ketua ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad berkata pendekatan negeri dalam kesihatan dilihat seimbang termasuk menyediakan dana bagi rawatan jantung dan kanser.

“Saya lihat pendekatan diambil Kerajaan Negeri agak seimbang dengan memberi peruntukan kepada Skim Rawatan Jantung, program saringan kesihatan dan denggi,” kata Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Beliau berkata demikian pada program Table Talk yang disiarkan melalui Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV baru-baru ini.

Belanjawan negeri yang dibentang Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pada 26 November lepas menyediakan dana bagi tiga skim rawatan iaitu jantung, tibi dan Slim Selangor bagi mengatasi obesiti berjumlah RM6.1 juta.

Sebanyak RM5 juta pula diperuntuk untuk pencegahan dan kawalan denggi dengan meneroka teknologi baharu seperti dron bagi mengesan lokasi wabak selain membangunkan aplikasi.

Kerajaan Negeri juga memperuntuk RM1 juta untuk rakyat Selangor menjalani saringan mammogram, serviks, kolorektal dan prostat menerusi program Kanser Selangor (CanSEL).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rakyat digesa amal gaya hidup sihat, kurangkan pengambilan gula

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Rakyat Malaysia digesa mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengurangkan pengambilan gula dalam diet masing-masing, memandangkan penyakit kencing manis dan ‘budaya gula’ kini semakin menjadi norma biasa dalam komuniti.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata penyakit kencing manis atau diabetes adalah antara masalah utama di Malaysia, dengan satu daripada lima orang dewasa dalam negara mengalami penyakit berkenaan dengan risiko komplikasi serius.

Beliau berkata menurut data Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, prevalens diabetes dalam kalangan orang dewasa Malaysia berumur 18 tahun ke atas telah meningkat daripada 11.2 peratus pada 2011 kepada 13.4 peratus pada 2015, manakala pada 2019 ia berjumlah 18.3 peratus atau melibatkan 3.9 juta daripada populasi dewasa.

“Diabetes menjejaskan tubuh badan kita, melibatkan mata, buah pinggang, dan juga sistem saraf, disusuli dengan komplikasi lain seperti tekanan darah tinggi dan serangan jantung. Ia adalah ‘resipi’ kepada penyakit yang kini menjadi pembunuh nombor satu di Malaysia,” katanya semasa berucap di Forum Hari Diabetes Sedunia 2021 yang dianjurkan secara maya dengan tema ‘Access to Diabetes Care in a century of insulin discovery,’ di sini semalam.

Turut hadir sebagai panel forum ialah Timbalan Pengarah (Penyakit Tidak Berjangkit) Kementerian Kesihatan, Dr Feisul Idzwan Mustapha, dan Ketua Unit Endokrin Hospital Putrajaya, Datuk Dr Zanariah Hussein

Dr Feisul berkata kerajaan sedar dengan isu ini, dan telah membangunkan strategi dalam Rancangan Malaysia Ke-12 bagi meningkatkan usaha memerangi penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, serangan jantung dan kanser.

“Dengan meningkatkan program kesedaran serta usaha saringan di samping inisiatif dan dasar peringkat makro, kementerian berharap dasar lain seperti lanjutan cukai gula yang diumumkan dalam Bajet 2022 dapat membantu rakyat Malaysia menguruskan pengambilan tinggi minuman manis semasa dengan lebih baik, ” katanya.

Sementara itu Dr Zanariah yang juga pakar perubatan perunding dan ahli endokrinologi berkata, beliau tidak sabar-sabar untuk melihat lebih banyak perkembangan yang membolehkan doktor memberikan penjagaan yang lebih baik kepada penghidap diabetes.

“Kita telah melangkah jauh sejak penemuan insulin, tetapi rawatan dan pengurusan diabetes akan melihat satu set cabaran yang berbeza, terutamanya dalam dunia pasca pandemik. Daripada menggunakan pendekatan bersepadu dalam penjagaan kepada meningkatkan penggunaan teknologi digital dalam penglibatan kita dengan pesakit, kita berharap untuk melihat lebih banyak perkembangan,” tambahnya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA

Giatkan program hari tanpa kenderaan untuk udara bersih, hidup kualiti

Oleh Balkish Awang
Rencana ini bersempena Hari Tanpa Pencemaran Bahan Api pada 21 Sept dan Hari Tanpa Kereta pada 22 Sept

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Tidak dapat dinafikan udara berkualiti merupakan satu nikmat yang memberikan impak besar kepada semua jenis hidupan di muka bumi ini. Udara berkualiti bermakna kehidupan yang lebih berkualiti, khususnya dalam aspek kesihatan.

Namun, aktiviti pembangunan yang pesat seiring peredaran masa menyaksikan kemerosotan kualiti udara yang dialami oleh semua negara di dunia ini, menyebabkan sebahagian negara maju telah mula mengorak langkah untuk membetulkan keadaan itu.

Malaysia juga tidak ketinggalan sekalipun usaha yang dilakukan belum lagi secara menyeluruh. Antara usaha itu ialah sambutan Hari Tanpa Pencemaran Bahan Api dan Hari Tanpa Kereta. Namun, kedua-dua program menuntut penglibatan orang ramai bagi memastikan kejayaan.

Setakat ini, Hari Tanpa Kereta dilaksanakan oleh beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT), antaranya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 2017 dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 2014.

Mengulas perkara itu, Felow Kanan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Ahmad Fariz Mohamed berkata MBSA melaksanakan program Hari Tanpa Kenderaan di Shah Alam pada Ahad minggu kedua setiap bulan.

Program itu adalah sebahagian usaha menjadikan Shah Alam sebuah bandar raya rendah karbon menjelang 2030. Bagaimanapun program tersebut tidak dilaksanakan secara fizikal sekarang berikutan penularan pandemik Covid-19.

“Program anjuran DBKL pada 2014 dengan sokongan Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia dan OCBC Bank pula membabitkan tujuh jalan utama iaitu Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Dang Wangi, Jalan Ampang, Jalan P. Ramlee dan Jalan Tun Perak. Juga tidak dilaksanakan semasa pandemik. Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai dengan bilangan yang terlibat untuk kedua-dua program sangat ramai,” katanya kepada Bernama.

Berhubung keberkesanan program berkenaan, Ahmad Fariz berkata disebabkan kedua-duanya hanya dilaksanakan pada hari dan waktu tertentu di kawasan dan jalan tertentu di Shah Alam dan Kuala Lumpur, maka kesannya tidak signifikan bagi keseluruhan bandar.

“Usaha DBKL dan MBSA menganjurkan hari tanpa kenderaan pada hari tertentu amat baik, namun pelaksanaannya terpaksa dilakukan pada hujung minggu, bukan pada hari bekerja. Program juga tidak meliputi keseluruhan Shah Alam dan Kuala Lumpur. Maka program ini hanya memberi kesan yang tidak signifikan dalam konteks pelepasan bahan cemar udara daripada kenderaan kerana kawasan lain tidak terlibat dan kenderaan masih bebas bergerak,” katanya.

TIADA PROGRAM HARI TANPA BAHAN API

Berhubung sambutan Hari Tanpa Bahan Api yang dapat mengurangkan pencemaran udara, Ahmad Fariz berkata program seumpama itu tidak pernah dilaksanakan di Malaysia, terutama oleh mana-mana agensi kerajaan.

Menurutnya, kajian menunjukkan kawasan bandar dan perindustrian merupakan wilayah yang mengalami pencemaran udara akibat pembakaran bahan api yang lebih teruk berbanding kawasan lain. Sebahagian besar kawasan perindustrian di Malaysia berada di bawah pentadbiran PBT.

“Maka peranan pihak PBT amat kritikal. Selain daripada program Hari Tanpa Kenderaan, aspek lain untuk meningkatkan kesedaran awam juga perlu diberikan perhatian, terutama oleh pihak berkuasa tempatan dengan sokongan agensi lain khususnya Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Langkah-langkah untuk meningkatkan kesedaran pihak awam perlu dilakukan dengan lebih meluas. Aktiviti bersemuka dan libat urus masyarakat perlu dilakukan lebih kerap. Aktiviti pendidikan dan kesedaran perlu dibentuk dengan merujuk kepada keperluan setiap kumpulan masyarakat.

“Program untuk pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, masyarakat awam, pihak industri dan syarikat swasta, malah untuk agensi kerajaan sendiri, perlu direka bentuk bagi memastikan kefahaman yang baik dan seterusnya meningkatkan kesedaran serta menggalakkan lebih amalan dalam kalangan kumpulan sasaran,” katanya.

PENGGUNAAN BAHAN API KENDERAAN DARAT PALING TINGGI

Kenderaan darat di Malaysia mencatatkan penggunaan bahan api paling tinggi, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pencemaran bahan api di negara ini.

Ahmad Fariz berkata berdasarkan statistik jumlah kenderaan di atas jalan raya di Malaysia (sumber JPJ bagi 2000, 2016, 2018), jumlah kenderaan meningkat secara kumulatif dari 9,141,357 pada 1998 kepada 32,378,174 pada 2020.

“Peningkatan jumlah kenderaan sebanyak 350 peratus itu telah menyumbang kepada peningkatan penggunaan bahan api, terutamanya petrol dan diesel, di Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, Menteri Sumber Asli Kanada pada 2014 menyatakan pembakaran satu liter petrol dianggar menghasilkan 2.3 kilogram karbon dioksida (CO2).

“Purata penggunaan petrol untuk setiap kenderaan di Kanada ialah sebanyak 2,000 liter. Ini akan menghasilkan 4,600 kg karbon dioksida. Oleh itu, jika menggunakan asas tersebut, dianggarkan jumlah pelepasan CO2 oleh kenderaan di Malaysia meningkat dari 42,050,242.20 tan pada 1998 kepada 148,939,600.40 tan pada 2020. Namun begitu, ini cuma maklumat anggaran dan memerlukan kajian terperinci,” jelasnya.

Beliau berkata peningkatan pelepasan bahan cemar karbon oleh kenderaan di Malaysia turut dilaporkan dalam dokumen Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 yang diterbitkan oleh Kementerian Pengangkutan pada 2019.

Menurut laporan itu, jumlah pelepasan karbon per kapita Malaysia ialah sebanyak 7.9 tan/kapita pada 2011, melebihi purata negara berpendapatan sederhana yang mencatatkan 5.4 tan/kapita. Kenderaan darat merupakan penyumbang utama iaitu sebanyak 90 peratus (48,200 kilotan), dan daripada jumlah itu, 67 peratus disumbangkan oleh kereta.

KURANG PENCEMARAN UDARA KETIKA PKP DAN PPN

Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lepas dan sekatan pergerakan di bawah fasa satu Pelan Pemulihan Negara susulan penularan COVID-19, turut mengurangkan pelepasan bahan cemar ke udara berikutan penurunan ketara jumlah kenderaan di jalan raya.

Ahmad Fariz berkata perkara itu adalah dapatan kajian yang dijalankan oleh beberapa penyelidik tempatan.

Menerusi kajian (2021) bertajuk “Air pollution impacts from Covid-19 pandemic control strategies in Malaysia. Journal of Cleaner Production” yang dijalankan oleh pensyarah di LESTARI UKM, Dr Murnira Othman dan pensyarah di Fakulti Sains dan Teknologi UKM Prof Dr Mohd Talib Latif berhubung kepekatan bahan cemar udara untuk dua keadaan iaitu sebelum dan semasa PKP, terdapat perbezaan bagi bahan cemar PM10 (habuk halus); PM2.5; SO2 (sulfur dioksida); NO2 (nitrogen dioksida); O3 (ozon) dan CO (karbon monoksida).

“Berdasarkan analisis bagi dua tempoh kajian iaitu pertama dari 1 Jan hingga Mac 2020 dan kedua dari 18 Mac hingga 21 April 2020 melibatkan sembilan bandar di Malaysia, iaitu Kuala Lumpur, Seremban, Johor Bahru, Kuantan, Kota Bharu, Kuching, Kota Kinabalu, Ipoh dan Alor Setar, didapati kepekatan semua bahan cemar yang dikaji telah menunjukkan penurunan yang agak signifikan.

“Kepekatan NO2 menurun secara purata 40 peratus dengan jumlah penurunan tertinggi ditunjukkan di Kota Kinabalu sebanyak 62 peratus. Bagi bahan cemar PM10; PM2.5; SO2; O3 dan CO, penurunan yang signifikan berlaku di Kota Kinabalu (17 peratus), Kuantan (9.5 peratus), Alor Setar (38 peratus), Kota Bharu (15 peratus) dan Ipoh (27 peratus),” katanya.

Bagaimanapun Ahmad Fariz berkata keadaan kualiti udara yang sangat baik itu tidak berkekalan kerana jumlah kenderaan di jalan raya kembali meningkat selepas PKP tamat pada April 2020.

Justeru kata beliau, langkah terbaik dalam mengurangkan pencemaran bahan api ialah menerusi sistem pengangkutan awam yang cekap termasuk memastikan kesalinghubungan kawasan yang luas bagi meningkatkan jumlah pengguna.

“Aspek seperti rangkuman kawasan yang luas dengan banyak stesen pengangkutan awam untuk bas, tren, teksi, disokong dengan kecekapan pergerakan kenderaan awam yang patuh masa, infrastruktur stesen yang mampu menampung keperluan pengguna yang ramai, terutama tempat letak kenderaan, amat penting untuk mengurangkan pergerakan kenderaan persendirian di atas jalan raya, terutamanya di kawasan bandar, ” katanya, menambah usaha itu sedang giat dilaksanakan di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Peningkatan infrastruktur dan kecekapan pengangkutan awam di bandar-bandar utama Malaysia akan membantu mengurangkan bilangan kenderaan masuk ke bandar, terutamanya pada hari bekerja dan waktu puncak, katanya.

Selain itu, beliau berkata ketersediaan akses kepada kenderaan mesra alam merangkumi kenderaan cekap tenaga (EEV), kenderaan hibrid, kenderaan elektrik dan kenderaan sel fuel turut perlu diberikan perhatian.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (LEKAS) Zikrullah Ismail menekankan kepentingan membentuk masyarakat lestari, sekali gus menjadikan mereka lebih memahami perkara serta dasar berkaitan misi rumah hijau.

“Masyarakat akan lebih peka dengan isu berkaitan pelepasan gas rumah hijau termasuk isu pelepasan karbon jika banyak sesi libat urus dan dasar berhubung perkara ini dilaksanakan di peringkat negeri dan nasional serta pihak berkuasa tempatan,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata LEKAS lebih bersetuju jika syor mengurangkan trafik dilihat secara menyeluruh dengan menerima guna perkara-perkara berkaitan yang mampu mengurangkan pelepasan asap daripada pengangkutan.

“Seperti di Pulau Pinang, kerajaan negeri ada mencadangkan projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang mana ideanya untuk mengurangkan trafik. Jadi kita tegaskan bentuk bagaimana penyuraian trafik yang mahu dibuat. Perlu lihat apa acuan dan modelnya. Jika langkah itu memberi hak yang lebih kepada kereta dan menyebabkan pembangunan begitu banyak infrastruktur jalan raya yang mengundang lebih banyak kenderaan persendirian, maka lebih memberikan implikasi.

“Jadi kita tidak bersetuju, tetapi jika PTMP melebihkan kenderaan awam kita lebih bersetuju,” katanya dan menambah penggunaan kenderaan elektrik sebagai pengangkutan awam seperti bas elektrik oleh sistem Bas Rapid Transit adalah antara cara terbaik dalam mengurangkan pencemaran udara.

Beliau juga berkata pelebaran jalan raya dalam usaha mengurangkan kesesakan trafik hanya akan meningkatkan lagi jumlah kenderaan di atas jalan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 26 juta dos vaksin diberi setakat semalam

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Sebanyak 26,388,905 dos vaksin Covid-19 telah diberikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menerusi perkongsian infografik di Twitternya, beliau memaklumkan jumlah yang menerima dos pertama ialah 16,545,384 orang manakala 9,843,521 orang menerima dos kedua.

Mengikut peratusan, 70.7 peratus daripada populasi dewasa negara telah mendapat dos pertama, manakala 42 peratus telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Sementara itu, vaksinasi harian mencatatkan 525,342 dos diberikan semalam dengan 197,962 adalah dos pertama manakala 327,380 adalah dos kedua.

PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Johor catat kadar kebolehjangkitan tertinggi – KKM

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Johor mencatatkan kadar kebolehjangkitan (Rt) harian tertinggi di negara ini iaitu pada 1.18 setakat semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Berdasarkan infografik yang dikongsikan menerusi akaun Twitter beliau, Kuala Lumpur merekodkan Rt kedua tertinggi pada 1.12, diikuti Labuan (1.11), Terengganu dan Selangor masing-masing mencatatkan 1.10 manakala Sarawak (1.03) dan Pahang (1.01).

Negeri-negeri lain mencatatkan bacaan di bawah satu iaitu Perak 0.99, Melaka (0.96), Kedah dan Pulau Pinang (0.93), Putrajaya (0.90), Negeri Sembilan dan Sabah (0.89), Perlis (0.82) dan Kelantan (0.84).

Rt untuk seluruh negara pula ialah 1.09, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tahap kesihatan rakyat meningkat namun tidak sekata – KRI

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Tahap kesihatan rakyat Malaysia meningkat berbanding beberapa dekad lalu namun peningkatan itu didapati berlaku secara tidak sekata bagi setiap lapisan masyarakat, demikian menurut laporan terkini Khazanah Research Institute (KRI).

Dalam laporan bertajuk “Social Inequalities and Health in Malaysia: The State of Households 2020 Part III” (Ketidaksamaan Sosial dan Kesihatan di Malaysia: Kedudukan Isi Rumah 2020 Bahagian III) yang dikeluarkan KRI hari ini menunjukkan rakyat Malaysia kini hidup lebih lama.

Secara purata, bayi lelaki dan perempuan yang lahir pada 2020 masing-masing dijangka hidup selama 72.6 dan 77.6 tahun, 11 tahun lebih lama berbanding bayi yang lahir pada 1970, menurut laporan itu.

Peningkatan jangka hayat ini adalah hasil pengurangan kadar kematian termasuk kadar kematian kanak-kanak dan ibu bersalin.

“Sebagai contoh, pada 1970, kadar kematian dalam kalangan bayi berumur kurang daripada 28 hari (kadar kematian neo natal) ialah 21.4 bagi setiap 1,000 kelahiran dan kadar ini telah menurun kepada 4.1 pada 2019.

“Selain itu, nisbah mortaliti ibu bersalin menurun daripada 140.8 kematian bagi setiap 100,000 kelahiran pada 1970 kepada 21.1 pada 2019,” menurut laporan itu.

Laporan dilancarkan secara maya hari ini itu melihat faktor sosial mempengaruhi hasil kesihatan rakyat Malaysia.

Di samping itu, laporan itu juga mendapati peningkatan jangka hayat rakyat Malaysia adalah tidak sekata.

Sebagai contoh, bayi lelaki yang lahir di Sarawak atau Kuala Lumpur pada 2020 dijangka hidup 74 tahun berbanding 69 tahun bagi bayi lelaki yang lahir di Perlis, Terengganu atau Kelantan pada tahun yang sama (perbezaan 5 tahun), menurutnya.

“Perbandingan jangka hayat Malaysia dengan negara-negara pada tahap pembangunan serupa turut menunjukkan masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.

“Walaupun Malaysia mempunyai jangka hayat yang hampir sama dengan Mexico dan lebih tinggi daripada Turki serta Thailand pada 1990, namun negara tersebut melepasi Malaysia dengan jangka hayat yang lebih tinggi pada 2019,” menurut laporan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI GLOBAL

Global berdepan dilema pilih kesihatan atau ekonomi dua tahun lagi – Bank Dunia

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Negara-negara di seluruh dunia akan terus mengalami dilema untuk memilih sama ada kesihatan atau ekonomi bagi tempoh sekurang-kurangnya dua tahun lagi, walaupun sesudah vaksin Covid-19 ditemui, kata Pengarah Urusan Pembangunan, Dasar dan Perkongsian Bank Dunia Mari Pangestu.

Ini bermakna negara-negara masih perlu melakukan tiga ‘T” iaitu ‘testing’ (ujian), ‘tracing’ (mengesan) dan ‘treatment’ (rawatan), di samping mendapatkan data yang baik bagi memastikan ia dapat memantau rakyat dan mencegah daripada berlakunya gelombang jangkitan kedua atau ketiga.

“Tanpa dapat menanganinya, anda tidak boleh melakukan aktiviti dengan selamat, sama ada sekolah, perniagaan, perjalanan dan sebagainya. Jadi ia perlu dilakukan dengan protokol ini, dan saya fikir Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) boleh memainkan peranan penting dalam perkara ini, sebagai contoh seperti kad perniagaan APEC, yang merupakan satu kejayaan bagi komuniti perniagaan.

“Oleh itu, apabila kita mendapat vaksin, ia akan seperti ‘kad kuning’ mengetahui bahawa anda telah diberi vaksin, dan kita boleh mula beroperasi dengan selamat, melakukan dagangan dengan selamat dan bekerja dengan selamat,” katanya dalam sesi bertajuk “Asia Pacific’s Time” semasa acara Dialog CEO APEC 2020 yang diadakan secara maya, hari ini.

Sementara itu, Mari berkata, walaupun vaksin ditemui, ia dijangka sampai ke negara maju terlebih dahulu, dan negara membangun perlu memastikan mereka juga mendapat akses yang adil dan saksama di samping memastikan ekonomi turut dapat dipulihkan.

Menurutnya, selain normal baharu bekerja dari rumah, akan turut muncul golongan miskin dan rentan baharu dalam kumpulan berpendapatan M40 dan B40, ketika dunia dilanda kemelesetan besar.

Ini, katanya, akan menjejaskan golongan wanita terutamanya yang tidak dapat mencari kerja dan kanak-kanak yang tidak mempunyai akses kepada bekalan elektrik, apatah lagi kepada pendidikan atau malahan pendidikan secara dalam talian.

“Walaupun ada banyak lagi isu-isu, kerajaan atau sistem adalah penyelamat atau pilihan terakhir, sama ada bagi mata pencarian, syarikat atau ekonomi; dan ia adalah satu tugas yang amat besar…dan kerajaan akan menanggung beban hutang, walaupun dalam kerajaan yang diurus dengan baik yang anda tahu sebelum ini

“Jadi amat mustahak kepada kerajaan untuk mengawal trajektori penularan…dan jangan hanya berharap kepada vaksin semata-mata kerana ia akan mengambil masa yang lama untuk mendapatkannya serta untuk diberi vaksin.

“Ambil peluang untuk menambah baik sistem anda agar jika berlaku gelombang ketiga atau keempat atau muncul virus baharu, anda telahpun mempunyai sistem yang berdaya tahan bagi masa depan,” kata Mari.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

WHO puji keupayaan Malaysia urus Covid-19

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Keupayaan besar Malaysia dalam kesiapsiagaan dan tindak balas mendepani wabak membantu mewujudkan asas yang stabil bagi tindak balas terhadap pandemik Covid-19 setakat ini, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Wakil WHO di Malaysia, Brunei dan Singapura Dr Ying-Ru Jacqueline Lo berkata infrastruktur dan tenaga kerja terlatih untuk menawarkan jagaan kesihatan berkualiti tinggi yang dimiliki negara ini turut menyumbang kepada perkara itu.

Dalam ruangan komentar laman sesawang WHO bertajuk “Sebuah negara bersatu mendepani pandemik”, beliau berkata pada tahun-tahun sebelum pandemik, kerajaan serta pihak berkuasa kesihatan mengambil langkah untuk memperkukuh jaminan kesihatan Malaysia serta keupayaan tindak balas pelbagai sektor bagi kecemasan kesihatan dan kesediaan menghadapi bencana.

“Langkah-langkah ini termasuk persiapan dan penyertaan dalam Penilaian Luaran Bersama mengenai keupayaan teras Peraturan Kesihatan Antarabangsa dengan WHO pada penghujung 2019 bagi membantu mengenal pasti jurang paling kritikal di antara sistem kesihatan manusia dan haiwan serta pembendungann bahaya alam sekitar

“Pengenalpastian jurang membolehkan penyusunan keutamaan keperluan dan peluang bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan tindak balas. Kesemua komponen ini memainkan peranan penting dalam tindak balas awal Malaysia terhadap pandemik,” katanya.

Dr Lo berkata pada peringkat awal penularan wabak pada Februari 2020, Malaysia meningkatkan akses kepada pengujian berkualiti, jumlah katil bagi jagaan kritikal dan ventilator.

Perkhidmatan kesihatan dipertingkat dengan pantas bagi memenuhi permintaan baharu dan yang dijangka sambil pada masa sama kerajaan mengoperasikan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) di peringkat nasional dan negeri, serta menggerakkan pengambilan dan penghantaran petugas kesihatan berdasarkan kawasan yang mempunyai beban kerja yang tinggi.

Beliau berkata Malaysia juga mengambil langkah segera untuk mengekang penularan virus termasuk dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan serta beberapa fasa dan lelarannya yang berjaya mengurangkan bilangan kes Covid-19 kepada separuh pada April.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN: Jangan potong dana, anggap kesihatan satu pelaburan

SHAH ALAM, 8 OGOS: Dana yang diperuntuk dalam mengukuhkan tahap kesihatan awam perlu dilihat sebagai pelaburan, bukan kos semata-mata.

Justeru, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menggesa kerajaan tidak memotong belanjawan tahunan bagi aspek itu terutama negara kini berperang melawan pandemik Covid-19.

“Kami berpendapat hanya dengan meningkatkan tahap perlindungan dan kesihatan kepada rakyat, kita mampu menangani cabaran dan tentangan kesihatan serta ekonomi yang sedang mengesan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jurucakap Kesihatan
Dr Lee Boon Chye.

Mereka turut menggesa dana kesihatan awam dan pegawai relevan berjumlah RM5.66 bilion ditambah untuk memerangi kemelut yang berpanjangan.

Ketika ini peruntukan operasi Kementerian Kesihatan (KKM) ialah RM27.9 bilion. Bagi sumber manusia, sebanyak 78,266 kakitangan diperuntuk untuk kesihatan awam.

“Kami menggesa peningkatan sebanyak 20 peratus kepada kedua-dua kos operasi dan jumlah staf untuk kesihatan awam bagi tempoh dua tahun mendatang,” katanya lagi.

Selain itu, Anwar dan Boon Chye turut mencadangkan KKM melakukan kajian virus bagi mengesan penyakit membabitkan paru-paru terutama kelompok masyarakat berisiko tinggi seperti di pusat jagaan warga emas, penjara dan industri kolar biru.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM, KPM bekerjasama kaji selidik kesihatan mental pelajar

KOTA TINGGI, 27 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menjalankan satu kaji selidik berhubung kesihatan mental dalam kalangan pelajar sekolah di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba berkata kaji selidik itu termasuk data pelajar yang mengalami masalah seperti kemurungan, tekanan dan lain-lain yang boleh menjurus kepada hasrat membunuh diri.

“Semua sekolah akan jalankan kaji selidik bagi melihat peratusan sebenar (pelajar yang mengalami masalah ini), “ katanya pada sidang media selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pinang di sini semalam.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017 menunjukkan satu daripada lima remaja berumur 13 hingga 17 tahun mengalami kemurungan, dua daripada lima pula mengalami keresahan dan satu daripada 10 berdepan dengan stres.

Dr Adham berkata kajian sama juga mendapati trend peningkatan dalam tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja iaitu peningkatan idea bunuh diri kepada 10 peratus berbanding 7.9 peratus pada 2012.

Pada masa sama, beliau berkata KKM dan KPM menjalankan usaha berterusan bagi menangani masalah kesihatan mental pelajar menerusi Program Minda Sihat yang dilaksanakan sejak 2011 dan sehingga kini melibatkan 2,440 daripada kira-kira 10,000 buah sekolah di seluruh negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata KKM dan KPM juga sedang meneliti cara membantu guru kaunselor mengendalikan kaunseling dalam kebiasaan baharu.

KKM katanya turut menyediakan perkhidmatan kesihatan mental melalui klinik kesihatan dan hospital kerajaan, manakala bantuan talian sokongan psikososial boleh didapati melalui Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) di talian 03-29359935 atau 011-63996482.

-BERNAMA