Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Gejala rasuah semua peringkat harus ditangani segera

SHAH ALAM, 12 JAN: Gejala rasuah yang merebak ke semua peringkat perlu ditangani segera bagi menyelamatkan rakyat secara keseluruhan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang juga mendesak pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya mengambil ketetapan tegas berhubung perkara berkenaan.

“Tokoh politik lama atau baharu tetapi bersekongkol dengan kelompok rasuah. Sudah ada kewangan yang besar dan pamer kehebatan. Ia bukan penyelesaian kepada rakyat.

“Ada kecenderungan lempar tuduhan kepada orang politik. Siapa yang ambil balak, curi saham, dapat kontrak dan kekayaan melimpah? Mengapa harus samakan semua,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook pada malam ini.

Anwar juga menggesa orang ramai supaya menganggap rasuah sebagai perbuatan jenayah yang mengakibatkan rakyat terutama golongan kurang berkemampuan hidup menderita.

“Rasuah bukan hanya projek besar-besar tetapi ketirisan berlaku termasuk dalam projek rakyat biasa, subsidi minyak dan bantuan rakyat. Ini disebut ketua audit negara tahun demi tahun tetapi tiada tindakan.

“Saya tidak fikir perkara ini boleh selesai tanpa ada gerakan rakyat yang lebih menyeluruh dan sedar tanggungjawab untuk selamatkan negara,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kes rasuah tiris perolehan kerajaan semakin kritikal – SPRM

PUTRAJAYA, 1 OKT: Kes rasuah melibatkan ketirisan perolehan kerajaan membabitkan penjawat awam dilihat semakin kritikal, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki.

Tanpa mendedahkan statistik berkenaan, beliau berkata hampir 50 peratus kes ketirisan perolehan kerajaan banyak berlaku melibatkan agensi-agensi kerajaan.

“Saya boleh katakan ketirisan pada analisa SPRM banyak berlaku di sektor awam, dengan mereka (pihak pimpinan tertinggi agensi kerajaan) yang berkuasa dalam memutuskan sesuatu perkara itu (perolehan kerajaan) terlibat penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Apabila berlakunya ketirisan perolehan kerajaan, siasatan kami menunjukkan terdapatnya elemen rasuah yang menyebabkan sesuatu nilai perolehan kerajaan turut naik,” katanya kepada Bernama dalam temu bual sempena Ulang Tahun SPRM ke-53, hari ini.

Menjelaskan perkara itu, Azam memberi contoh jika sesuatu perolehan kerajaan bernilai RM1 juta maka nilai rasuah juga akan naik berbanding nilai asas.

“Ia bukan hanya nilai rasuahnya naik malah kualiti projek juga tidak berkualiti. Saya ingin memberi contoh kes terbaharu melibatkan projek naik taraf jalan di Sarawak. Projek jalan ini dikurangkan kualiti pembuatannya sehingga menyebabkan jalan terlibat cepat rosak lalu menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada kerajaan,” katanya.

Azam berkata pihaknya perlu ada pakar dalam perkara berkenaan dan perlu bekerjasama dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat penilaian semula.

Pada awal September lepas, Bernama melaporkan SPRM telah menahan dua pengarah syarikat berpangkat Datuk disyaki terlibat rasuah dan mengemukakan tuntutan palsu bernilai puluhan juta ringgit berhubung pelaksanaan 10 projek menaik taraf jalan di Sarawak bernilai RM800 juta.

Ditanya sama ada sektor swasta turut berlaku ketirisan, Azam berkata pihaknya ada menerima kes ketirisan melibatkan sektor swasta, namun jumlahnya tidak membimbangkan seperti dalam sektor awam.

“Hasrat SPRM adalah untuk menyiasat kedua-dua pihak ini (sektor awam dan swasta) jika terlibat ketirisan perolehan kerajaan, kami akan bawa ke mahkamah untuk pendakwaan,” katanya.

Sementara itu, mengulas usaha menjadikan negara ini bebas rasuah, Azam berkata SPRM yang telah memasuki usia melebihi lima dekad, menuntut kematangannya dalam semua tindakan sama ada melibatkan penguatkuasaan, pencegahan mahupun pendidikan masyarakat dalam membanteras rasuah.

“Sekarang ini, kita hidup dalam norma baharu berhadapan dengan wabak Covid-19 untuk beberapa tahun akan datang dan ia memberi cabaran kepada SPRM untuk mencapai sifar rasuah atau mewujudkan masyarakat bebas rasuah.

“Sebelum Covid-19, SPRM banyak turun padang beri taklimat dan membuat kempen banteras rasuah kepada masyarakat, namun sejak ada Covid-19, SPRM banyak menggunakan pendekatan video dan media sosial untuk berinteraksi dengan masyarakat,” katanya.

Selain itu, Azam berkata SPRM turut memasukkan elemen pendidikan antirasuah dalam buku teks sekolah rendah Tahun lima yang akan berkuat kuasa 2021.

“Selain tindakan pencegahan, pendidikan masyarakat juga merupakan agenda utama SPRM dalam meningkatkan integriti individu terutama melibatkan masa depan sektor awam,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kastam kesan RM812 juta hasil negara tiris enam bulan pertama 2020

GEORGE TOWN, 26 OGOS: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesan sebanyak RM812 juta ketirisan hasil negara bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini dan usaha mendapatkan semula hasil itu daripada syarikat yang terlibat giat dijalankan.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Johari Alifiah berkata antara kebocoran hasil yang dikesan adalah akibat daripada kegiatan mengelak cukai, fraud komersial, pengikraran nilai import yang rendah, kesalahan mengikrar kod tarif barangan, kekurangan membayar cukai output, tuntutan cukai input yang berlebihan dan penyalahgunaan kemudahan fasiliti zon bebas atau pelabuhan bebas.

“Sepanjang tahun lepas, JKDM mengesan sebanyak RM1.3 bilion ketirisan hasil negara dan hasil kerja keras menerusi beberapa operasi yang dijalankan pihak kastam, kami telah berjaya mendapatkan semula kira-kira 80 hingga 85 peratus daripada jumlah (ketirisan) tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pegawai Audit Bahagian Pematuhan JKDM Siri 1 Tahun 2020, di sini hari ini.

Beliau berkata syarikat yang dikenal pasti melakukan kesalahan berkenaan perlu membuat pembayaran dalam tempoh 14 hari selepas surat arahan dikeluarkan dan jika gagal mereka akan dikenakan tindakan undang-undang.

Menurutnya, JKDM juga melaksanakan audit dan lawatan di premis syarikat, pengimport dan pengeksport yang berdaftar dengan pihaknya dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka mematuhi undang-undang serta tidak melakukan penipuan dalam urusan pembayaran cukai.

“Kami menjalankan audit melalui kaedah bersasar. Selain itu, pihak yang diaudit juga akan diberi khidmat nasihat secara bersemuka bagi mendidik dan meningkatkan kefahaman berkaitan perundangan yang ditadbir JKDM. Pemahaman yang tinggi akan meningkatkan pematuhan,” katanya.

Johari berkata Bahagian Pematuhan JKDM merupakan cabang penting dalam kastam untuk mengesan ketirisan hasil negara dan bahagian itu bertanggungjawab melaksanakan pengauditan ke atas entiti perniagaan bagi memastikan segala perundangan yang ditadbir oleh pihaknya dipatuhi serta duit, cukai atau levi diikrar dan dibayar dengan betul serta tepat.

“Keupayaan pegawai audit itu amat penting dalam menangani isu kebocoran hasil negara dan melaksanakan tugas pengauditan untuk mengesan ketirisan hasil melalui pembayaran cukai, duti atau levi yang tidak tepat. Had tempoh untuk tujuan pengauditan yang menyentuh tanggungan duti atau cukai adalah sehingga enam tahun ke belakang,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pakatan Terima Keputusan PRU-13, Tolak Penyelewengan Pengendalian PRU

Rafizi Ramli Konvensyen Pendidikan Unisel 2013

KUALA LUMPUR, 25 JUN : Walaupun Pakatan Rakyat (PR) menerima keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), pada 5 Mei lalu, gagasan itu tetap membantah penyelewengan dan kepincangan yang didakwa berlaku di dalam sistem pilihan raya.

Malah bukan sahaja Pakatan yang memfailkan petisyen mahkamah terhadap keputusan pilhanraya, Umno-BN juga telah memfailkan petisyen terhadap keputusan di dalam 21 kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

MP Pandan, Rafizi Ramli berkata, Pakatan sentiasa menerima keputusan PRU-13 dengan hati terbuka, namun ia tidak bermakna gabungan itu perlu berdiam diri dan akur sepenuhnya terhadap pengendalian sistem pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Rafizi yang juga Pengarah Strategi PKR menegaskan, tindakan memfailkan petisyen yang dilakukan Pakatan pada awal Jun lalu bagi memastikan sistem pilihan raya tidak akan terjejas di masa akan datang.

“Menerima keputusan PRU tidak bermakna kita mengabaikan dan menutup sepenuhnya bab pilihan raya ini tetapi pendedahan mengenai penyelewengan sistem PRU harus diteruskan.

“Ini bukan sahaja mengenai PRU yang lalu, tetapi mengenai integriti sistem pilihan raya di masa akan datang.

Kami akan bekerja keras untuk memastikan penyelewengan dan ketirisan tidak lagi berlaku,” katanya.

Beliau mengulas titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sempena upcara perasmian Persidangan Dewan Rakyat Penggal ke-13, di sini hari ini.

Di dalam titahnya, Yang di-Pertuan Agong menyeru kepada semua Ahli Parlimen agar menerima keputusan PRU-13.

Sentimen tersebut turut diakui MP Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud yang menjelaskan Pakatan menghormati keputusan pilihan raya yang lalu, namun menegaskan undang-undang membenarkan pihak yang bertanding untuk mengemukakan bantahan.

Katanya, akur terhadap keputusan PRU tidak semestinya menghalang Pakatan untuk membuat teguran terhadap kepincangan sistem pilihan raya yang berlaku.

“Undang-undang memberi ruang kepada kita untuk mereformasikan sistem pilihan raya yang tidak sempurna.

“Teguran yang kita berikan itu walaupun kedengaran lantang, tetapi ia adalah untuk kebaikan negara. Teguran yang bertujuan membina itu seringkali diabaikan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Pakatan telah memfailkan 34 petisyen di mana membabitkan 24 kerusi Parlimen PRU-13 sementara 10 lagi petisyen adalah merujuk kepada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Daripada keseluruhan jumlah petisyen kerusi Parlimen itu, 19 daripadanya adalah daripada PKR dan baki masing-masing empat bagi PAS dan dua bagi DAP.

Umno-BN pula memutuskan untuk memfailkan 21 petisyen.