Categories
KENYATAAN MEDIA

Cabaran Noh tidak selesai isu air di Selangor

Cabaran Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar untuk berdebat dengan Menteri Besar Selangor mengenai isu air negeri ini jelas satu cubaan untuk melindungi isu nasional lebih parah yang melanda Malaysia ketika ini. Terang lagi bersuluh, ianya taktik lapuk UMNO/BN mengalih isu!

Umum sedia maklum, isu air Selangor terlalu kerap dibangkitkan ahli Parlimen BN dalam Dewan Rakyat mutakhir ini sehinggakan dewan yang sepatutnya membincangkan masalah di semua bahagian pada Persekutuan menjadi medan perbahasan hal ehwal Selangor saja, seolah-olah hanya Selangor negeri yang ada dalam Malaysia.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sudah acap kali membahaskan isu air Selangor, khususnya pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dengan Menteri di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA)

Seperti biasa, menteri mengelak apabila ditanya mengenai hasil dapatan penilai bebas untuk pembiayaan pengambilalihan SPLASH. Menteri Besar Selangor banyak kali menegaskan, pihaknya memerlukan maklumat itu bagi membolehkan tawaran sebut harga dilakukan.

Kementerian tidak bertindak menjadi pemudah cara dalam isu air ini, bahkan menyukarkannya. Kenyataan Ketua Setiausaha KeTTHA juga tidak membantu, sebaliknya turut terkait dengan agenda politik.

Lebih malang, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Isnin minggu lalu membangkitkan isu air Selangor apabila membuat perbandingan dangkal dengan permasalahan hutang 1MDB yang disiasat di tujuh negara serta menjadi tumpuan masyarakat dunia. Akibatnya, seluruh negara menjadikan Perdana Menteri sebagai bahan ketawa, yang mana jelas dapat dilihat melalui media sosial.

Isu air Selangor yang berlaku ketika ini adalah kerana kesilapan Kerajaan Negeri Selangor di bawah BN suatu ketika dahulu. Ia berpunca daripada nafsu tamak pimpinan UMNO/BN ketika itu yang menswastakan sumber air milik rakyat kepada kroni. Bukankah Tan Sri Noh adalah sebahagian daripada pimpinan UMNO/BN Selangor ketika itu? Mengapa baru sekarang mahu berbahas isu air Selangor? Kenapa Tan Sri Noh tidak berbahas ketika ia hendak diswastakan suatu ketika dahulu? Mengapa diam? Atau mungkinkah ada sedikit saham untuk Tan Sri Noh dalam penswastaan air di Selangor?

Tan Sri Noh jangan hanya melihat kuman diseberang laut, tetapi gajah didepan mata seolah-olah tidak kelihatan.

Isu 1MDB jelas jauh lebih memudaratkan kehidupan rakyat dengan hutang berbilion ringgit untuk beberapa generasi sedangkan ketiadaan air untuk beberapa hari di Selangor sengaja digembar gemburkan melalui media massa pro UMNO/BN. Ini semua agenda ‘setting’ UMNO/BN menjelang PRU14.

Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan sedaya upaya berusaha menyelesaikan isu air di Selangor. Hasilnya, kini margin simpanan air Selangor berada pada paras lebih baik antara tiga hingga lima peratus dan dijangka meningkat kepada 11 peratus pada hujung tahun depan. Kerajaan Persekutuan pula tidak banyak membantu, malah memburukkan lagi keadaan dengan menyebar berita palsu mengenai isu air Selangor.

Saya cabar Tan Sri Noh, jika benar beliau jujur mahu membantu rakyat Selangor, gunakan peranan beliau untuk dua perkara; pertama memujuk KeTTHA untuk berkongsi hasil dapatan penilai bebas berhubung pengambilalihan SPLASH dengan Kerajaan Negeri supaya proses pengambilan ini dapat dimuktamadkan segera, bukannya mensabotaj dan menganiaya rakyat Selangor.

Kedua, jika ikhlas mahu membantu rakyat Selangor, Tan Sri Noh juga perlu berani memujuk pihak berkaitan membenarkan isu 1MDB dibincangkan di Parlimen. Barulah adil untuk Dato’ Seri Mohamed Azmin mempertimbangkan cabaran beliau.

SHUHAIMI HAJI SHAFIEI
SETIAUSAHA POLITIK KEPADA MENTERI BESAR SELANGOR
ADUN SRI MUDA

Categories
SELANGOR

KeTTHA gagal muktamad nilai SPLASH, jejas proses air Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KAJANG, 13 MAC: Kementerian Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) masih belum mengemukakan nilai sebenar ekuiti rundingan pengambilalihan konsesi Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH), kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, kelewatan itu menyebabkan proses rundingan gagal dimuktamadkan walaupun di peringkat Kerajaan Negeri, jumlah nilai ekuiti sebenar sudah dinyatakan menerusi lantikan panel penilai negeri.

“Kami masih menunggu laporan penilai bebas KeTTHA dan kemudian akan duduk semeja untuk menetapkan kadar harga yang tepat dan bersesuaian dalam pengambilalihan itu,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim menetapkan RM3 bilion sebagai nilai ekuiti pengambialihan baru yang diperakui KeTTHA.

Bagaimanapun, selepas Mohamed Azmin memegang tampuk kepimpinan negeri, jumlah berkenaan disifatkan tidak berasas dan tidak mempunyai justifikasi jelas terhadap proses pengambilalihan itu.

”Selepas saya mengambilalih jawatan Menteri Besar, kami meneliti semula dan didapati kadar tawaran yang diletakkan itu adalah tanpa asas dan (proses) justifikasi.

“Jadi, Kerajaan Negeri telah melantik penilai bebas bagi membuat penilaian semula dan laporan lengkap telah diserahkan kepada KeTTHA bagi tindakan lanjut,” kata Mohamed Azmin.

Justeru katanya, sehingga kini tiada sebarang maklum balas daripada Putrajaya yang menyebabkan proses rundingan akhir gagal dicapai.

Sementara itu, pentadbiran Putrajaya berterusan mendakwa kemelut penstrukturan air Selangor berpunca daripada kegagalan urus tadbir pentadbiran Selangor.

“Ini tentunya tidak benar kerana proses itu berpunca daripada kegagalan rundingan itu di peringkat Persekutuan kerana kami masih menunggu laporan dari panel penilai yang dilantik Putrajaya.

“Namun, rakyat Selangor lebih jelas dan memahami situasi ini dan rakyat pastinya tidak akan terpengaruh dengan dakwaan tidak benar yang dinyatakan mereka terhadap pentadbiran negeri,” kata Mohamed Azmin.

Terdahulu, SPLASH mendapat konsesi selama 30 tahun daripada Kerajaan Selangor di bawah Barisan Nasional pada Januari 2000 untuk membina, mengoperasi dan menyelenggara loji rawatan air Sungai Selangor.

Ini bermakna, SPLASH adalah pemegang konsesi dan pembekal air terawat kepada SYABAS, dan bertanggungjawab atas bekalan air negeri.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

TKSU KeTTHA: penarafan 5 bintang jadikan MPSJ peneraju PBT lain

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SUBANG JAYA, 28 SEPT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dianggap sebagai peneraju dan contoh kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini ekoran kejayaan PBT itu penarafan lima bintang pada Mei lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Harjeet Singh berkata, penarafan yang diperolehi melalui Sistem Penarafan Bintang oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menjadikan MPSJ sebagai PBT pertama memperolehi pengiktirafan seumpamanya.

“Saya rasa PBT lain juga akan mengikuti langkah MPSJ dan sesungguhnya pihak kementerian sangat berbangga dengan usaha dan keprihatinan MPSJ selaku PBT di bawah Yang Dipertuanya, Datuk Asmawi Kasbi atas usaha memberi kehidupan lebih berkualiti dan sihat untuk komuniti di Subang Jaya,” kata Harjeet ketika merasmikan Majlis Penutup Seminar Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon di One City Garden Boulevard West, di sini, hari ini.

Menyentuh usaha menjadikan bandar-bandar di negara ini sebagai bandar rendah karbon, Harjeet berkata, PBT di Selangor juga dilihat giat memainkan peranan bagi menjayakan usaha terbabit.

“Bila ditanya pencapaian, antaranya kita kurangkan penggunaan plastik yang dah dimulakan di Selangor dan juga beberapa negeri lain.

“Kami di peringkat kementerian amat mengalu-alukan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri bagi mencapai sasaran bandar rendah karbon,” kata Harjeet lagi.

Bagaimanapun tambah beliau, usaha ini perlu melibatkan semua pihak seperti pemaju perumahan, pemain industri, ahli profesional serta akademik, orang awam dan lain-lain.

Jelas beliau, MPSJ memberikan contoh terbaik dalam usaha PBT itu melibatkan masyarakat awam demi menjayakan pelan tindakan jangka panjang, MPSJ Green City 2030.

HM

Categories
SELANGOR

Penstrukturan Semula Air Selangor, Kerajaan Pusat guna WSIA

Oleh : LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 12 MAC: Kerajaan Pusat akhirnya bersetuju menguatkuasakan Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) dalam menjayakan program penyusunan semula industri air Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kerajaan pusat juga akan menggunakan kuasanya mengikut WSIA dan akta, undang-undang atau peraturan yang terpakai untuk membantu Selangor melaksanakan cadangan pengambilalihan industri perkhidmatan air.

“Kerajaan pusat dan kerajaan negeri juga bersedia mengambil langkah perlu selaras dengan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani sebelum ini.

Abdul Khalid“Ini bagi memastikan perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya lebih mampan dan berdaya maju,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), malam tadi.

Semalam, Abdul Khalid menghadiri perbincangan lanjut bersama Menteri KeTTHA, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berhubung penstrukturan semula industri air Selangor.

Dalam pertemuan itu, Maximus mengulangi komitmen beliau untuk membantu memudahkan kerajaan negeri mengambilalih perkhidmatan air daripada empat syarikat konsesi seperti yang dipersetujui MoU.

MB MOUPada 26 Februari lalu, syarikat milik kerajaan negeri, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) membuat tawaran rasmi berjumlah RM9.65 bilion untuk membeli ekuiti empat syarikat konsesi air iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) and Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS).

Tempoh tawaran yang berakhir pada jam 5 petang semalam bagaimanapun hanya menyaksikan ABBAS sebagai konsesi tunggal yang menerima tawaran itu sementara tiga syarikat konsesi lain iaitu SYABAS, Puncak Niaga dan SPLASH dianggap menolak tawaran berkenaan.

-NFN-

JURNAL BERITA – MB : Kembalikan hak air jadi legasi saya

1. MB : RM2 juta laksana program, tingkat kemahiran belia

2. Kembalikan hak air untuk rakyat jadi legasi terbaru saya – MB

3. MoU Air : Pimpinan PR, Azmin anggap kejayaan seluruh rakyat Selangor

4. KeTTHA: Semakan tarif air kini di tangan kerajaan Selangor

5. MBPJ : 10 bas percuma mulai April

6. MBPJ buka bilik gerakan hadapi krisis air

7. Pusat urut disyaki jalankan aktiviti pelacuran diserbu MPS

8.KDN larang penerbitan buku ‘Ultraman The Ultra Power’

Categories
SELANGOR

KeTTHA: Semakan tarif air kini di tangan kerajaan Selangor

PUTRAJAYA, 6 Mac: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini mengesahkan bahawa Kerajaan Selangor melalui anak syarikatnya, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) yang akan menetapkan keperluan bagi sebarang semakan tarif air.

KeTTHA berkata demikian mengulas dakwaan tarif air bagi Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya perlu dinaikkan berikutan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL2).

kettha“Kerajaan Selangor melalui anak syarikat miliknya yang akan menentukan keperluan semakan tarif air berserta kuantum kenaikan tarif yang akan dikenakan kepada para pengguna dengan mengambil kira pelan perniagaan bagi mengoperasikan pembekalan air bagi negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya,” jelas KeTTHA.

Melalui kenyataan itu, KeTTHA ingin menegaskan perkara utama yang digariskan dalam MoU itu iaitu pengambilalihan syarikat konsesi air Selangor oleh kerajaan Selangor melalui KDEB.

Dengan termeterainya MoU itu, kerajaan Selangor akan mengambil alih syarikat-syarikat konsesi itu dan menggabungkan operasinya di bawah satu anak syarikat milik kerajaan negeri. Syarikat itu akan menjadi operator air bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Sebagai operator air, adalah menjadi tanggungjawab syarikat itu menyediakan pelan perniagaan yang perlu dikemukakan untuk kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) termasuk mencadangkan sebarang semakan tarif,” menurut kenyataan itu lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Abdul Khalid Jumpa KETTHA Bincang Penstrukturan Semula Air Minggu Depan

mb kejohanan golf worldwide 2013 01

DAMANSARA 18 JUN : Perbincangan awal mengenai penstrukturan semula industri air dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dijangka akan diadakan minggu depan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid memaklumkan satu temujanji sudah diatur oleh pejabatnya dengan pihak kementerian.

Katanya, pertemuan antara pihak Kementerian itu akan dihadiri oleh beliau sendiri.

“Seperti yang kita tahu, Menteri Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili sebelum ini menyatakan persediaan untuk bertemu saya bagi membincangkan perkara ini.

“Oleh itu, saya akan bertemu dengan pihak Kementerian minggu depan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Cheque daripada penaja-penaja Kejohanan Golf Worlwide Holdings di Kelab Seri Selangor, di sini.

Abdul Khalid menambah temujanji itu akan diadakan sebagai permulaan awal sebelum perbincangan terperinci mengenai isu itu.

Proses penstrukturan semula industri air dimulakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat tahun lepas sebagai usaha mengambilalih operasi bekalan, rawatan dan pengedaran daripada empat syarikat swasta.

Kerajaan Negeri telah menawarkan RM 9.65 bilion untuk mengambilalih empat syarikat tersebut dan setakat ini mereka telah memberi respons positif terhadap tawaran itu.

Dalam majlis hari ini, Abdul Khalid berkata sebanyak RM 4.35 juta hadiah termasuk empat buah kereta jenis Toyota ditawarkan untuk kejohanan golf tersebut yang berlangsung daripada 20 hingga 23 Jun ini.

Kejohanan Golf Pro Am kali ke enam itu, menampilkan Juara tahun lalu, Thaworn Wiratchant (Thailand) yang dijangka akan mempertahankan kejuaraannya.

Turut berentap Lin Wen Tang (Chinese Taipei), Scott Hend (Australia) dan Anirbon Lahiri (India).

Categories
NASIONAL

Manifesto Air Percuma : BN Selangor Telan Ego Sendiri

Dzulkefly Ahmad Pejabat PAS 01

SHAH ALAM, 18 APRIL : BN Selangor disifatkan terpaksa menelan ego dan keangkuhan sendiri apabila berhasrat meneruskan pemberian air percuma kepada rakyat di negeri ini jika berjaya menawan Selangor dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Calon PAS Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tawaran manifesto BN ini jelas bercanggah dengan pendirian parti itu yang sebelum ini lantang mengkritik pemberian air percuma boleh memufliskan negeri.

Tegasnya, tawaran itu juga menunjukkan bahawa BN sekali lagi cuba menciplak apa jua manifesto Pakatan Rakyat (PR) baik di peringkat Persekutuan mahupun negeri Selangor khususnya.

“Kalau dakwaan mereka bahawa negara akan muflis kerana manifesto PR, maka apakah dengan mereka meniru manifesto kami di peringkat Persekutuan dan Negeri itu akan turut membankrapkan negara dan negeri?

“Sedangkan semasa di awal pemerintahan PR dahulu, mereka membuat pelbagai kecaman dan kritikan antaranya termasuklah pemberian air percuma yang hanya merugikan Kerajaan Negeri.

Kalau begitu kecamannya, mengapa BN masih meniru program dan polisi PR Selangor,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Terdahulu, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dalam satu kenyataan pada 3 Jun 2011 menegaskan untuk tidak mengusulkan kepada Kerajaan Pusat berhubung pemberian 1000 liter air percuma kepada rakyat kerana mendakwa tidak mendatangkan faedah.

Bagaimanapun, BN Selangor menerusi manifesto PRU-13 bercadang meneruskan program pemberian air pecuma kepada rakyat di negeri ini jika berjaya merampas Selangor daripada PR.

Tambahnya, jika Kerajaan BN benar-benar ingin membantu rakyat, maka seharusnya tawaran air percuma itu diperluaskan ke setiap pelusuk negara ini.

Bagaimanapun menurutnya, beliau tidak yakin usaha itu dapat dilakukan berikutan amalan monopoli dan kronisme masih diamalkan pentadbiran Umno-BN.

“Mereka boleh janji untuk memberikan air percuma, tetapi pengurusan air itu akan tetap diberikan kepada syarikat konsesi iaitu kroni mereka sendiri.

“Sepatutnya mereka boleh berikan air percuma kepada rakyat sejak dulu lagi, tetapi mereka tidak mahu kerana ia tidak mendatangkan untung kepada kroni,” tegasnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Muhyiddin Dan Peter Chin Gagal Fahami Kepentingan Penstrukturan Semula Air Selangor

KUALA LUMPUR, 8 OKT : Proses penstrukturan semula industri air Selangor telah dimulakan pada tahun 2006, semasa pentadbiran Kerajaan Pusat Umno-BN sendiri, namun fakta ini gagal diterima pemimpin gagasan itu sekarang.

Perkara ini gagal difahami oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Teknologi Hijau, Tenaga dan Air, (Kettha) Datuk Peter Chin kata MP Bandar Tun Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Berkata, usaha ini telah dilakukan apabila Parlimen, yang dulu dikuasai Umno-BN meluluskan undang-undang penyusunan semula industri air.

“Saya mendpati TPM (Muhyiddin) dan Menteri KETTHA (Peter Chin) tidak faham kerana usaha ini (penstrukturan semula industri air) berlaku pada tahun 2006 semasa Parlimen meluluskan undang-undang penyusunan semula air.

“Tujuannya adalah supaya perkara-perkara ini dapat dimiliki negeri kerana negeri bersifat membangunkan dan tidak mementingkan kepada keuntungan sebaliknya mengutamakan kecekapan pengurusan,” katanya yang juga Menteri Besar Selangor.

Bercakap pada sesi Perbahasan Bajet 2013 di Dewan Rakyat, Abdul Khalid menegaskan, penstrukturan semula industri air penting untuk pertumbuhan ekonomi Selangor.

“Dengan cara ini kita akan dapat menentukan harga-harga utiliti dibuat pada kadar yang terbaik dan rakyat akan dapat,” katanya.

Kemelut penstrukturan semula industri air telah berlarutan lebih tiga tahun apabila kerajaan pusat berlengah-lengah untuk membenarkan kerajaan Selangor mengambil alih operasi air terawat daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Categories
SELANGOR

MB : KeTTHA Didakwa Ingkari Tanggungjawab Penuhi Kepentingan Awam

SHAH ALAM, 26 SEPT : Kerajaan Selangor mendakwa Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) mengingkari tanggungjawab untuk melibatkan diri dalam usaha mengambil alih operasi bekalan air terawat di Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata tanggungjawab in seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 191 (4) Akta Perkhidmatan Air.

Menurut Bahagian 7 (Pemindahan Perniagaan) Akta tersebut tiada sesiapa berhak membuat perjanjian atau perkiraan yang akan mengakibatkan pertukaran dalam kawalan, penjualan, pelupusan atau pindah milik.

Sebarang penyatuan, percantuman atau penyusunan semula pemegang lesen juga tidak boleh dibuat melainkan dengan kelulusan Menteri. Menteri tersebut adalah Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Menurutnya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Selangor (Span) juga didakwa menyalahguna budi bicara apabila memberi tempoh lanjutan kepada syarikat-syarikat konsesi untuk beroperasi dari bulan ke bulan.

Tindakan ini jelasnya memperlekeh kewajaran syarikat-syarikat konsesi berkenaan supaya mematuhi kemahuan Kerajaan Negeri Selangor.

“Oleh kerana Kerajaan Persekutuan telah menerima cadangan penyusunan holistik dan merupakan pemegang Saham Emas dalam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), maka wajar syarikat konsesi lain menerima tawaran yang akan dikemukakan oleh Kerajaan Negeri,? kata Abdul Khalid Kepada pemberita.

“Sekiranya syarikat konsesi tidak bersetuju dengan tawaran yang akan dikemukakan, mereka boleh merujuk kepada Badan Timbang Tara Bebas Antarabangsa dan Kerajaan Negeri akan akur apa jua keputusan yang dibuat oleh badan berkenaan.”

Abdul Khalid berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, di Bangunan SUK hari ini.

Dalam sidang media sama, Abdul Khalid turut memaklumkan Kerajaan Negeri akan menjemput Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk membincangkan pelaksanaan penyusunan semula industri perkhidmatan air dan pembinaan Loji Rawatan Langat 2.

Beliau berkata, perbincangan itu dijangka akan membawa keputusan positif kepada industri air negeri serta rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Saya akan memaklumkan kepada Tan Sri Muhyiddin bahawa usaha penyelesaian penyusunan industri air secara holistik di Selangor masih terbantut akibat sikap berdolak dalih syarikat konsesi dan keengganan Kerajaan Pusat untuk melaksanakan kuasa-kuasa berkanun di bawah Akta 655,” ujarnya.

Categories
SELANGOR

Ganguan Air Disebabkan Paip Syabas Bocor, Tidak Diselengara

SHAH ALAM, 29 OGOS : Perkhidmatan air di beberapa kawasan Selangor memgalamai ganguan ekoran kegagalan Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) menyelenggara paip dan saluran dengan baik sehingga menyebabkan kebocoran.

Ini menyebabkan bekalan air terawat di kawasan-kawasan itu terpaksa dihentikan buat seketika untuk kerja-kerja pembaikan dilakukan, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Kita masih mendapati bahawa Syabas tidak begitu disiplin dari segi menjaga alat dan paip sehinggakan terdapat beberapa kebocoran yang berlaku.?

Beliau berkata kebocoran bekalan air terawat ini dikesan melalui jawatankuasa khas pemantau operasi harian Syabas.

Abdul Khalid berkata demikian di dalam sidang media selepas mesyuarat Exco, di sini petang tadi.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid berkata Kerajaan Selangor akan bertemu empat syarikat konsesi yang mengendalikan aset air terawat di Selangor bagi menyelesaikan penstrukturan semula air.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata tawaran kepada keempat-empat syarikat terbabit akan dilaksanakan pada minggu kedua September depan.

Empat syarikat konsesi air itu ialah Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (Puncak Niaga), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Konsortium ABBAS Sdn Bhd (Abbas) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash).

“Kerajaan Negeri juga sudah menerima surat daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia (KeTTHA) yang bersetuju supaya kita mengemukakan beberapa usaha supaya penyusunan semula industri air dilakukan secara holistik.

“Kita juga akan turut membentangkan cadangan dan kertas kerja berhubung perkara ini pada minggu kedua bulan September,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dr Xavier : Peter Chin Berbohong Kos Sebenar Projek Langat 2

SHAH ALAM, 5 OGOS: Exco Selangor Dr Xavier Jayakumar telah menuduh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Peter Chin Fah Kui berbohong tentang kos pembinaan loji Langat 2 dan projek menyaluran air mentah dari Pahang.

Dr Xavier berkata, harga yang disebut kerajaan Selangor bagi projek tersebut iaitu RM 8.65 bilion, merupakan harga yang diberitahu oleh Setiausaha Bahagian Kanan Sektor Air, KeTTHA di Forum Air yang diadakan pada 12 Julai lalu.

Menurut Dr Xavier, Peter Chin juga tidak menerangkan yang Selangor terpaksa bayar RM 60 juta kepada Pahang pada setiap tahun jika untuk projek pemindahaan air itu.

“Apakah Peter Chin takut rakyat mempersoalkan projek mega bernilai RM 8.65 bilion ini terlalu mahal untuk dibelanjakan Kerajaan Pusat. Sambil beliau memindanya kepada angka RM 6.225 bilion agar rakyat merasakan kosnya lebih munasabah?

“Angka yang Kerajaan Negeri berikan bukanlah rekaan semata-mata, bahkan laporan yang dipetik dari sumber Bernama melaporkan kos projek itu ialah RM 8.9 billion,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sebelum ini, Peter pernah mempersoalkan harga RM 8 bilion untuk Langat 2 dan projek pemindahan air tersebut dengan mengatakan ianya hanya RM 6 bilion.

Dr.Xavier turut mempertikaikan mengapa kerajaan pusat lebih berfikir tentang kepentingan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) berbanding dengan rakyat Selangor.

Syabas telah dipertanggungjawabkan untuk mengurus bekalan air terawat di Selangor tetapi kerajaan negeri tidak berpuashati dengan prestasi syarikat itu dan mahu pengurusan air dikembalikan kepada kerajaan negeri.

Menurutnya, KeTTHA seolah-olah berperanan menjadi ‘jurucakap’ bagi mempertahankan Syabas dengan bermati-matian mematahkan setiap hujah dan penerangan yang dibuat oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan beberapa ahli Exco Selangor berkaitan isu air ini.