Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Selangor lancar buku bekas ketua audit negara

SHAH ALAM, 20 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan menyempurnakan pelancaran buku Dari AS ke AG – Kenangan seorang pegawai PTD tulisan bekas ketua audit negara

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Ambrin Buang kerana menghasilkan buku berkisar pengalaman sepanjang 46 tahun dalam perkhidmatan awam

“Beta mengenalinya (Amrin) semenjak beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Selangor yang ketika itu Beta adalah Pemangku Raja Selangor.

“Beta berterima kasih atas khidmat bakti yang dicurahkan terutama ketika berkhidmat di Selangor,” titah Baginda sambil menyifatkan Ambrin pegawai yang cemerlang.

Sultan Selangor juga berharap buku berbahasa Inggeris bakal mendorong lebih ramai pegawai perkhidmatan awam berkongsi pengalaman sepanjang karier mereka.

“Beta menggalakkan budaya suka menulis buku ditanamkan pada fikiran setiap pegawai perkhidmatan awam agar buku dihasilkan dapat menyumbang kepada penambahan khazanah ilmu di negara ini khususnya di Selangor,” titahnya.

Pelancaran berlangsung di Hotel Concorde di sini. Hadir sama, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Presiden Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD) Tan Sri Abdul Halim Ali.

Ambrin berkhidmat selama 35 tahun mulai 1971 sebagai penolong setiausaha di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian manakala jawatan terakhirnya ketua setiausaha di Kementerian Pelajaran pada 2006.

Jawatan penting yang pernah disandang antaranya timbalan ketua pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, timbalan pengarah (pengurusan) Institut Tadbiran Awam Negara dan pengurus besar kanan KL International Airport Berhad.

Beliau kemudian dilantik sebagai ketua audit negara selama 11 tahun sebelum bersara pada 2017.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Laporan Ketua Audit babit 10 kementerian saran 63 syor

PUTRAJAYA, 14 JULAI: Sebanyak 12 pengauditan prestasi bernilai RM742.476 bilion dilaksanakan sempena Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 3 melibatkan program, aktiviti dan projek di 10 kementerian dengan 63 syor dikemukakan terhadap aktiviti kementerian, jabatan dan badan berkanun Persekutuan bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil.

Jabatan Audit Negara (JAN) sempena LKAN 2018 Siri 3 itu juga menjalankan pengauditan prestasi terhadap 17 program, aktiviti dan projek yang melibatkan 22 jabatan dan agensi kerajaan negeri; serta 13 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan negeri, yang melibatkan 12 negeri kecuali Perlis.

Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid dalam kenyataan hari ini berhubung LKAN 2018 Siri 3 itu berkata sebanyak 122 syor dikemukakan untuk dipertimbangkan jabatan dan agensi negeri berkenaan untuk membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil.

LKAN 2018 Siri 3 dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini setelah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Nik Azman berkata pengauditan prestasi dijalankan selaras dengan Seksyen 6 (d), Akta Audit 1957 serta berpandukan kepada piawaian pengauditan antarabangsa yang dikeluarkan oleh The International Organisation of Supreme Audit Institutions (INTOSAI).

Pengauditan prestasi yang dijalankan bertujuan untuk menilai sama ada aktiviti dan projek kerajaan dilaksanakan dengan berhemat, cekap dan berkesan serta sejauh mana objektif aktiviti dan projek tersebut telah tercapai, katanya.

“Ia juga bertujuan untuk menilai sejauh mana wang awam telah dibelanjakan dengan berhemat, cekap dan berkesan tanpa berlaku pemborosan dan pembaziran serta mendapat nilai terbaik untuk wang,” katanya.

Mengenai 12 pengauditan prestasi di kementerian, Nik Azman berkata sebanyak 10 pengauditan melibatkan kategori program dan aktiviti, manakala masing-masing satu melibatkan kategori pembinaan; dan sistem atau teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Bilangan aktiviti yang diaudit dan dilaporkan pada LKAN kali ini mengikut kementerian adalah Jabatan Perdana Menteri (dua aktiviti), Kementerian Kewangan (dua aktiviti), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (dua aktiviti) serta Kementerian Pendidikan (dua aktiviti).

Di samping itu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Kerja Raya masing-masing satu aktiviti dan dua aktiviti melibatkan Majlis Keselamatan Negara (bersama kementerian lain).

Mengulas lanjut, Nik Azman berkata secara keseluruhannya pelaksanaan program, aktiviti dan projek kerajaan Persekutuan dilaksana mengikut objektif ditetapkan.

Namun, katanya masih terdapat isu ketidakcekapan dan ketidakaturan serta kelemahan dalam pengurusan program, aktiviti dan projek yang menjejaskan kecekapan dan keberkesanannya bagi menghasilkan output, outcome dan impak seperti yang diharapkan.

“Dengan kata lain, program, aktiviti atau projek tidak memberikan outcome atau impak yang optimum seperti diharapkan,” katanya.

Nik Azman berkata semua pegawai pengawal dan ketua jabatan yang berkenaan telah dimaklumkan terlebih dahulu mengenai perkara yang dilaporkan dalam LKAN untuk tujuan pengesahan.

“Exit Conference (mesyuarat penutupan) juga telah didakan bagi tujuan membincangkan penemuan audit dan mendapatkan penjelasan serta maklum balas terhadap isu-isu berbangkit,” katanya.

LKAN Mengenai Aktiviti Kementerian dan Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-badan Berkanun Persekutuan bagi 2018 Siri 3 akan dimuat naik di laman web Jabatan Audit Negara selepas pembentangannya di Dewan Rakyat.

Orang awam boleh melayarinya di alamat http://www.audit.gov.my mulai hari ini (14 Julai) selepas pukul 10 pagi.

Bagi LKAN peringkat negeri pula yang melibatkan 12 negeri hanya akan dimuat naik di laman web Jabatan Audit Negara selepas pembentangannya di Dewan Undangan Negeri masing-masing.

Isu-isu dalam LKAN 2018 Siri 3 juga akan dimuat naik di portal Auditor General’s Dashboard (AGD) pada hari ini (14 Julai) mulai pukul 3 petang.

LKAN 2018 Siri 1 dibentangkan di Dewan Rakyat pada 15 Julai 2019 manakala Siri 2 pada 2 Disember 2019.

Nik Azman berkata LKAN kebiasaannya dibentang sebanyak dua siri sahaja setiap tahun, namun untuk LKAN 2018 Jabatan Audit Negara menerbitkan tiga siri LKAN berikutan penambahan bilangan pengauditan yang dilaksanakan pada tahun 2018/2019.

Menurutnya, LKAN 2018 Siri 3 pada asalnya dijadualkan untuk dibentang dalam sidang Dewan Rakyat pada Mac 2020 namun penangguhan sidang Dewan Rakyat dan Perintah Kawalan Pergerakan akibat Covid-19 menyebabkan kerja-kerja pemuktamadan LKAN 2018 Siri 3 turut terjejas.

“Walaupun terdapat kelewatan dalam pembentangannya di Dewan Rakyat, namun nilai penemuan audit dan lesson learnt yang dilaporkan dalam LKAN 2018 Siri 3 ini masih relevan dalam menambah baik pengurusan program dan aktiviti kerajaan serta pengurusan syarikat kerajaan negeri,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Madinah Ketua Audit Negara ganti Ambrin

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 20 FEB: Tan Sri Ambrin Buang bakal digantikan Tan Sri Madinah Mohamad sebagai Ketua Audit Negara berkuatkuasa 23 Februari ini, umum Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa, hari ini.

Dalam kenyataannya, Ali berkata, tempoh perkhidmatan Ambrin berakhir pada 22 Februari dan pelantikan Madinah adalah selama dua tahun bermula 23 Februari (Khamis) ini.

Katanya, pelantikan itu dibuat Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Kerajaan merakamkan penghargaan tertinggi dan terima kasih kepada Tan Sri Ambrin Buang untuk perkhidmatan sejak dilantik sebagai Ketua Audit Negara pada 23 Februari 2006.

“Terutamanya, usaha beliau dalam mengubah dan menyusun semula sistem pengauditan kerajaan dan mengukuhkan sistem pengurusan kewangan,” katanya.

Pada 2016, Madinah bersara sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran dan pernah memegang jawatan sama di Kementerian Sains, Inovasi dan Teknologi sebelum itu.

Selama memegang jawatan Ketua Audit Negara, Ambrin pernah menyelia beberapa kontroversi terbesar negara termasuk skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) melibatkan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil dan suaminya.

Beliau juga dipertanggungjawab mengendalikan audit persekutuan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sepertimana diarahkan Najib.

Sehingga kini, laporan audit berkenaan masih diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

-nR-

Categories
SELANGOR

Audit umum Pejabat MB, SUK capai prestasi pengurusan kewangan terbaik 2015

OLEH : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri muncul jabatan Selangor yang mencapai prestasi pengurusan kewangan terbaik pada 2015.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam laporannya bagi tahun 2015, Siri 1 turut menyenaraikan 13 lagi jabatan di negeri itu memperoleh prestasi pengurusan kewangan yang baik.

Tan-Sri-Ambrin-Buang1“Lima daripada jabatan itu mencapai tahap cemerlang dengan perolehan 90 markah ke atas sementara lapan pada tahap baik dan satu memuaskan.

“Pejabat Menteri Besar Dan Setiausaha Kerajaan Negeri memperoleh prestasi terbaik,” katanya dalam laporan penemuan Pengurusan Aktiviti atau Kewangan, jabatan atau agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri, Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2015, Siri 1.

Selain Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, empat lagi jabatan iaitu Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam, Jabatan Pengairan dan Saliran, Majlis Daerah Sabak Bernam dan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat turut mencapai tahap cemerlang.

Beliau berkata, Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor memperoleh tahap memuaskan kerana wujud kelemahan ketara dalam Kawalan Pengurusan, Kawalan Perbelanjaan serta pengesahan penyata kewangan Sijil Ketua Audit Negara Berteguran telah dikeluarkan.

Katanya, hanya tujuh menunjukkan peningkatan prestasi pengurusan kewangan baik sementara tujuh yang lain menurun berbanding markah tertinggi tahun sebelum daripada prestasi pemarkahan 14 Jabatan atau Agensi Negeri itu.

BANGUNAN SUK“Pemarkahan bertambah baik berbanding tahun sebelum adalah Pejabat Menteri Besar Dan Setiausaha Kerajaan, Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Selangor, Majlis Daerah Sabak Bernam, Pejabat Daerah Dan Tanah Kuala Langat, Majlis Daerah Hulu Selangor, Jabatan Pertanian Negeri Selangor serta Majlis Sukan Negeri Selangor.

Tujuh jabatan atau agensi negeri lain mencatat penurunan prestasi berbanding tahun sebelum adalah Pejabat Daerah Dan Tanah Sabak Bernam, Majlis Perbandaran Klang (MPK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Pejabat Daerah Dan Tanah Hulu Selangor, Pejabat Daerah Dan Tanah Sepang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) serta Perbadanan Wakaf Selangor.

-nR-

Ucapan Dato’ Menteri Besar Perhimpunan Bulanan

Anggota perkhidmatan awam Selangor diiktiraf yang terbaik menjayakan dasar Kerajaan Negeri, namun diingatkan mereka masih bertanggungjawab untuk bertindak diatas teguran Ketua Audit Negara, dan menyamakan kualiti kerja dengan peruntukan yang disediakan.

Anwar : Ikut saranan PR tak perlu potong subsidi, jimat RM20 bilion setahun

Negara mampu menjimatkan hampir RM20 bilion setahun, disamping mengurangkan defisit sehingga 1.5 peratus jika amalan rasuah dan boros yang diamalkan pentadbiran BN dapat dihapuskan, menurut kajian Pakatan Rakyat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kadar enam peratus, dan pengurangan subsidi bahan bakar tidak mendesak sekiranya amalan rasuah dan kebocoran ditangani.

Beliau berkata laporan Ketua Audit Negara juga menunjukkan pembaziran demi pembaziran dilakukan BN, namun ketirisan masih berleluasa sehingga hari ini.

Categories
SELANGOR

KUIS berjaya kutip RM7.8 juta tunggakan yuran pelajar

kuissBANGI 23 OKT: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) berjaya mengutip semula hutang yuran pelajar berjumlah RM7.8 juta sehingga bulan ini.

Usaha itu berjaya dilakukan dalam tempoh dua bulan selepas penubuhan Jawatankuasa Kawalan Kredit yang dipengerusikan Timbalan Rektor Pengurusan Korporat, Pembangunan dan Pengantarabangsaan, Dr Zulkifli Abd Hamid.

abd halimRektor KUIS, Prof Madya Datuk Dr Ab Halim Tamuri, berkata hutang yuran pelajar yang dilaporkan Ketua Audit Negara adalah hutang tertunggak sejak tahun 2006, yang mana baki membabitkan pelajar tempatan sebanyak RM8.5 juta dan pelajar luar negara adalah RM1.6 juta.

“Kebanyakan pelajar yang tidak membayar hutang adalah mereka yang menanggung kos pengajian secara persendirian. Mereka datang enam minggu (satu semester) selepas minggu ketujuh mereka lari. Itu dikira hutang sebab mereka sudah menggunakan kemudahan kolej,” katanya pada sidang media pada Majlis KUIS bersama media, di sini, hari ini.

Laporan Ketua Audit Negara 2012 menyentuh aspek yuran yang tinggi berdasarkan semakan audit terhadap baki hutang pelajar sehingga 31 Disember 2012 yang mendapati jumlah baki tertunggak sebanyak RM24.17 juta.

Dianggarkan 3,400 orang bekas pelajar tempatan belum melunaskan hutang sejak tahun 2006 dan kebanyakan mereka berhutang pada semester pertama dengan jumlah yuran bernilai RM5,000.

Ab Halim berkata, pihak KUIS akan cuba menjejaki pelajar luar negara yang masih berhutang dengan berbincang bersama kedutaan negara masing-masing.

“Mulai tahun ini, kita cadangkan pelajar yang belum menjelaskan bayaran tetapi mendapat biasiswa diberikan pengecualian iaitu mereka boleh menduduki peperiksaan tetapi perlu ada penjamin. Pelajar yang melangsaikan hutang secara tunai bakal diberikan potongan bayaran berjumlah 20 peratus.

“Kita sudah bertemu Jabatan Audit Negara untuk menerangkan kedudukan sebenar dan KUIS mengambil positif terhadap semua teguran yang diberikan untuk penambahbaikan,” katanya.

-NFN-

 

Categories
NASIONAL

Konsert K-Pop: SPRM diminta siasat Shabery Cheek

jingga13

PUTRAJAYA 18 OKT : Jingga 13 membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menuntut siasatan terhadap bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek membabitkan kementerian itu ekoran yang dibentangkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa, berkata laporan berkenaan membabitkan isu pembiayaan RM1.6 juta untuk Konsert K-Pop Himpunan Jutaan Belia berjumlah RM87.61 juta dan akaun Majlis Sukan Negara berjumlah RM20 juta bagi wang tajaan syarikat swasta.

Fariz berkata, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, sebelum ini mengesahkan bahawa KBS terpaksa membayar kos pembiayaan artis K-Pop berjumlah RM1.6 juta kerana banyak penaja gagal menyalurkan bantuan.

Shabeery sebagai menteri bertanggungjawab ketika itu pula mendakwa konsert terbabit dibiayai penaja melalui akaun Majlis Sukan Negara (MSN) dan beliau turut bertindak memperlecehkan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, sebagai ‘culas’ dalam menyediakan laporan berkenaan.

“Apa yang menimbulkan persoalan ialah percanggahan fakta antara Khairy dan Shabery berkenaan isu terbabit. Sehingga kini, kami masih menantikan jawapan siapa yang benar dan bohong?,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Kata Fariz, beliau turut mempertikaikan perbelanjaan melampau membabitkan RM67.61 juta bagi acara Hari Belia Negara 2012 yang memerlukan satu siasatan oleh SPRM.

“SPRM dan Jabatan Audit Negara harus berganding bahu menggunakan peruntukan undang-undang bagi mendakwa mereka yang terbabit ke muka pengadilan. Jingga 13 turut mendesak Perdana Menteri menggantung tugas Shabery dengan segera,” katanya.

Categories
NASIONAL

KPN perlu dihadap ke Jawatankuasa Khas Ketua Audit Negara

Audit-Polis

SHAH ALAM 9 OKT : Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu dihadapkan ke Jawatankuasa Khas berkenaan Laporan Ketua Audit Negara 2012 untuk memberi penjelasan tentang kehilangan senjata api dan aset polis, bukannya menjadi anggota jawatankuasa berkenaan.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, perkara ini penting kerana Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang menafikan bahawa polis memberi penjelasan kepada Jabatan Audit tentang kehilangan 44 pucuk senjata api dan aset polis lain.

“Ambrin menyangkal beberapa laporan menyebut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi mengatakan bahawa satu laporan dikemukakan kepada Ketua Audit Negara berkenaan barangan polis yang hilang tetapi penjelasan dalam laporan tersebut tidak dimasukkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.

“Atas sebab ini, Ketua Polis Negara perlu dihadapkan ke hadapan Jawatankuasa Khas untuk memberi penjelasan penuh dan memuaskan tentang kehilangan aset polis bernilai RM1.33 juta,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Kit Siang berkata, adalah sesuatu yang menggusarkan kerana tiada tanda Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) ingin memanggil KPN untuk memberi penjelasan tentang kehilangan aset polis itu.

“Agak menghairankan mengapa PAC tidak menyenaraikan kehilangan aset polis bernilai RM1.33 juta sebagai salah satu perkara yang perlu segera disiasat.

“Sedangkan orang awam mengharapkan perkara ini diberikan keutamaan dalam senarai siasatan oleh PAC,” kata beliau.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Perkembangan Islam di Selangor menakjubkan – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 09102013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Tokoh Pendakwah Selangor 2013 menyifatkan perkembangan Islam di Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat sebagai menakjubkan berikutan kerancakkan penganjuran program-program bercorak keagamaan di negeri ini.

2. Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengumumkan semua pengguna kenderaan di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu tidak akan dikenakan caj bayaran tempat kereta awam pada Khamis ini sempena Ulang Tahun Ke-13 diisytiharkan sebagai bandar raya.

3. Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang tampil menjelaskan perbelanjaan kontroversi, RM1.6 juta oleh Kemeneterian Belia dan Sukan untuk konsert K-Pop tahun lepas, sememangnya ditanggung oleh kerajaan.

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

Respon terhadap Laporan Ketua Audit Negara mengenai Kementerian Belia dan Sukan

audit 2012

Pendedahan yang dibuat menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2012 bukanlah perkara yang mengejutkan buat rakyat Malaysia, yang sudah tidak yakin lagi dengan kesungguhan Kerajaan UMNO-BN untuk membanteras rasuah dan mengukuhkan lagi kebertanggungjawaban pentadbiran.

Ini telah menjadi satu fenomena tahunan, yang mengundang banyak retorik dan janji-janji kosong daripada Kerajaan namun akhirnya tiada tindakan diambil dan kesilapan sama berulang.

Pendirian kami ialah meskipun diadakan begitu banyak mekanisme semak dan imbang, ataupun audit tiga kali setahun tidak akan menyelesaikan masalah ini, apa yang diperlukan ialah keazaman politik Kerajaan untuk menguatkuasakan mekanisme semak dan imbang tersebut. Malangnya, Kerajaan telah berkali-kali gagal dalam ujian kebertanggungjawaban ini.

Saya ingin mengetahui siapakah yang betul di dalam kontroversi konsert K-Pop ? Ketua Audit Negara dan Menteri Belia dan Sukan hari ini Khairy Jamaluddin yang mendakwa Kementerian terpaksa akhirnya membiayai konsert tersebut; atau Ahmad Shabery Cheek, Menteri sebelum Khairy yang mendakwa konsert tersebut dibiayai penaja menerusi akaun Majlis Sukan Negara? Shabery malah mendakwa Ketua Audit culas dalam menyediakan laporan tersebut.

Adakah Khairy bersedia menjamin rakyat Malaysia bahawa Kementeriannya tidak lagi akan terperangkap di dalam perbelanjaan yang dipertikaikan seperti ini apabila Laporan Audit 2013 akan dibentangkan pada 2014 nanti, terutamanya bagi tempoh selepas Mei 2013 apabila beliau dilantik menjadi Menteri.

Kewajaran membelanjakan RM 67.61 juta wang rakyat bagi satu acara seperti Hari Belia Negara 2012 menimbulkan persoalan, apabila kesan positif jangka panjangnya terhadap anak muda boleh dipertikaikan.

Nik Nazmi Nik Ahmad
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor
Adun Seri Setia

Categories
KENYATAAN MEDIA

Pembongkaran audit ‘tersimpan bawah karpet’ kerana tiada pendakwaan

audit(KENYATAAN MEDIA) Saban tahun rakyat Malaysia akan memperolehi Laporan Ketua Audit Negara yang akan membongkarkan berlakunya ketirisan, penyelewengan, pembaziran dan salah guna tadbir wang negara yang sangat ketara yang melibatkan tanggungjawab kepada menteri dan penjawat awam daripada pelbagai Kementerian dan Jabatan samaada diperingkat nasional dan negeri.

Selepas segalanya didedahkan oleh Ketua Audit Negara tiada tindakan yang drastik diambil oleh pihak yang bertanggungjawab, malah pendedahan dan tindakan yang tahun sebelumnya melibatkan dana awam tiada sebarang kedengaran tindakan dan statusnya.

Sudah pasti Jabatan Audit Negara menggunakan dana awam yang cukup banyak dalam menjalankan tugasan mengaudit ke seluruh Kementerian dan Jabatan sektor awam terhadap penggunaan dana awam atau wang rakyat yang akhirnya hanya “gegak gempita” untuk beberapa hari dan semua kesalahan dan tindakan salah laku, penyelewengan, pembaziran “tersimpan bawah karpet” tanpa sebarang tindakan.

Malah lebih ketara memperlihatkan tidak ada sebarang hubungan antara Jabatan Audit Negara dengan agensi kerajaan lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Fungsi Jabatan Peguam Negara langsung tidak bertanggungjawab sedangkan segala siasatan dibuat oleh Jabatan Audit Negara dibuat untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab dalam kes-kes yang melibatkan penyelewengan dan penyalahgunaan wang rakyat.

Sepertimana yang diketahui umum Jabatan Audit Negara tidak mempunyai kuasa dan tanggungjawab bagi membawa kes-kes yang melibatkan ketirisan, penyelewengan, pembaziran dana awam selepas segala siasatan dan auditan yang dibuat.

Betapa telus dan profesionalnya Jabatan Audit Negara di bawah tanggungjawab Ketua Audit Negara tidak akan membawa apa-apa makna dan kesan sekiranya segala pelaku dan mereka yang bertanggungjawab tidak diambil sebarang tindakan undang-undang.

Agenda Tranformasi Datuk Seri Najib hanyalah retorik semata-mata kerana apa yang didedah dan dilaporkan oleh Ketua Audit Negara setiap tahun tidak menunjukkan keberhasilan yang baik tetapi terus memperlihatkan kegagalan beliau sebagai ketua kerajaan.

Jingga 13 Malaysia merasakan adalah wajar Jabatan Audit Negara dibubarkan kerana tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap segala pendedahan yang dibuat setiap tahun dan Jabatan Audit Negara sudah pasti juga turut membazirkan wang rakyat atau dana awam terhadap hasil audit yang tidak membawa apa-apa tindakan undang-undang.

Malah hasilnya saban tahun Berbillion Ringgit Malaysia dana awam ‘hangus’ begitu sahaja.

– Jingga 13 Malaysia