Categories
PERSONALITI RENCANA

Belasungkawa: Malaysia kehilangan tokoh perundangan ulung

Oleh Fadzillah Aishah Ismail

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Malaysia kehilangan seorang tokoh perundangan ulung yang amat dihormati, bekas Ketua Hakim Negara Tun Dr Mohamed Salleh Abas yang dijemput Ilahi semalam.

Kehilangan besar itu berlaku pada pukul 3.20 pagi semalam selepas Mohamed Salleh, 91, yang merupakan Pengerusi as-Salihin Trustee Bhd menghembuskan nafas terakhirnya akibat pneumonia di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu.

Dilahirkan pada 25 Ogos, 1929 di Besut, Terengganu Mohamed Salleh yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang daripada Universiti of Wales, United Kingdom menyertai perkhidmatan perundangan pada 1957, sebelum kembali semula ke Britain untuk mendapatkan Ijazah Sarjana dalam Undang-Undang Antarabangsa dan Perlembagaan di University of London.

Mohamed Salleh merupakan seorang yang dihormati sepanjang kerjayanya di dalam perkhidmatan awam. Beliau mula berkhidmat sebagai seorang Majistret di Kota Bharu, Kelantan sebelum dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan Peguam Cara Negara di Jabatan Peguam Negara.

Beliau dilantik sebagai Hakim Besar Malaya pada tahun 1982 sebelum dilantik menjadi Hakim Mahkamah Agung (kini Mahkamah Persekutuan) pada usia 50 tahun. Beliau dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada tahun 1984 dan memegang jawatan itu sehingga 1988.

Bekas ketua hakim itu dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Jertih selepas memenangi kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1999 menggunakan tiket PAS tetapi tidak bertanding dalam PRU 2004 di atas faktor kesihatan.

Beliau meninggalkan isteri Toh Puan Junaidah Wan Jusoh, lima anak dan 26 cucu. Isteri pertama beliau Toh Puan Azimah Mohd Ali, meninggal dunia pada 2016.

Mohamed Salleh adalah salah seorang tokoh utama yang membantu merangka Rukun Negara pada tahun 1970.

Rukun Negara yang diisytiharkan pada 31 Ogos, 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong keempat, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, menjadi asas kepada keharmonian antara rakyat Malaysia selepas rusuhan kaum berdarah pada 13 Mei, 1969.

Mohamed Salleh pernah dilaporkan berkata hasratnya adalah agar Rukun Negara terus dihormati dan diamalkan supaya Malaysia kekal sebuah negara yang stabil dan beliau juga berharap generasi muda akan melebarkan sayap mereka ke peringkat antarabangsa untuk menjadikan Malaysia lebih dihormati.

Krisis Badan Kehakiman 1988

Pemecatan Mohamed Salleh daripada jawatannya pada Ogos 1998 selepas beliau menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi pihak hakim-hakim lain yang menzahirkan kekecewaan terhadap tuduhan tertentu yang dibuat perdana menteri ketika itu , Tun Dr Mahathir Mohamad, menjadi satu episod hitam dalam sejarah badan kehakiman negara.

“Anda akan menghancurkan demokrasi jika anda memusnahkan badan kehakiman” antara pesanan tegas Mohamed Salleh apabila mengulas mengenai krisis kehakiman itu.

Lima hakim Mahkamah Persekutuan yang ketika itu dikenali sebagai Mahkamah Agung juga digantung tugas pada Julai tahun itu tetapi tiga daripada mereka dikembalikan semula jawatan pada Oktober sementara dua lagi dipecat.

Krisis itu dicetuskan oleh pembentangan rang undang-undang di Dewan Rakyat untuk meminda Artikel 121 dan 145 Perlembagaan Persekutuan untuk melucutkan kuasa mahkamah daripada kuasa kehakiman persekutuan.

Mohamed Salleh juga menzahirkan harapannya bahawa krisis itu akan menjadi peringatan kepada generasi sekarang dan akan datang tentang keperluan memiliki suatu badan kehakiman yang teguh dan bebas.

Pada 2008, Mohamed Salleh menerima pembayaran ex-gratia daripada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim di atas pemecatannya daripada jawatan Ketua Hakim Negara dalam tahun 1988.

Kerajaan bersetuju untuk membuat pembayaran ex-gratia berjumlah RM10.5 juta kepada hakim-hakim yang dipecat semasa krisis badan kehakiman itu dengan mengambil kira pandangan peribadi dan kesusahan yang ditempuhi mereka.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Badan kehakiman tumpu pendigitalan proses pengakuan salah lalu lintas pada 2021

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Bermula 2021, badan kehakiman merancang untuk membenarkan tertuduh dalam kes kesalahan lalu lintas membuat pengakuan bersalah melalui surat tanpa kehadiran di mahkamah.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam satu kenyataan sempena tahun baharu 2021 berkata cadangan itu akan diperkenalkan bagi mengurangkan kesesakan dan meningkatkan akses kepada keadilan serta kecekapan Mahkamah Majistret dengan mengambil kira bilangan kes yang terlalu tinggi dan mengambil banyak masa kehakiman yang mewajarkan ia dilupuskan secara pendigitalan.

Beliau berkata Rancangan Badan Kehakiman untuk 2021 ialah mendigitalkan proses pengakuan bersalah dalam kes kesalahan lalu lintas dan membenarkan pembayaran denda secara elektronik.

“Pada masa ini, terdapat mekanisme dalam Seksyen 137 Kanun Tatacara Jenayah yang membolehkan seseorang yang dituduh untuk mengaku bersalah melalui surat tetapi peruntukan ini jarang digunakan dan statistik terkini menunjukkan tiada sebarang pengakuan bersalah dibuat melalui surat.

“Sebagai tambahan kepada kaedah pengakuan bersalah melalui surat, badan kehakiman juga mengesyorkan untuk membenarkan penerimaan pengakuan bersalah dan proses menjatuhkan hukuman denda sahaja melalui sistem elektronik yang ditetapkan,” katanya sambil menambah kaedah itu telah dilaksanakan di beberapa negara seperti Singapura, England, Wales dan Australia.

Tengku Maimun berkata pendigitalan kes kesalahan lalu lintas akan menjadi pelengkap kepada sistem e-Jamin iaitu satu sistem yang membolehkan pembayaran jamin secara dalam talian.

“Sistem e-Jamin telah pun beroperasi sepenuhnya yang mana tertuduh boleh menjelaskan bayaran jamin secara dalam talian. Kita juga telah mengembangkan sepenuhnya e-Courts Finance yang merupakan kaedah pembayaran secara dalam talian dan tanpa tunai ke seluruh Semenanjung Malaysia dan bagi negeri Sabah dan Sarawak, sistem ini akan siap pada akhir 2021,” katanya.

Rentetan pelaksanaan pendigitalan sistem pengakuan bersalah itu, beliau berkata badan kehakiman turut bercadang untuk menggabungkannya dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai garis panduan penghukuman.

“Mahkamah Rendah di Sabah dan Sarawak telah menerajui integrasi penggunaan AI dalam menjatuhkan hukuman untuk kesalahan tertentu. Bagi memastikan keselarasan dalam menjatuhkan hukuman, kita berusaha untuk melakukan perkara yang sama di Semenanjung Malaysia bagi kes-kes tertentu dan kita berhasrat untuk menggabungkannya dengan sistem pengakuan bersalah melalui teknologi AI.

“Projek ini sedang dalam proses untuk dilaksanakan pada akhir tahun 2021 tertakluk kepada wujudnya undang-undang berhubung sistem pengakuan bersalah secara elektronik tersebut,” menurutnya dalam kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini.

Tengku Maimun juga berkata beliau mengambil maklum kerisauan yang dibangkitkan Majlis Peguam dalam menjalankan perbicaraan secara dalam talian seperti kebarangkalian wujudnya ‘bimbing saksi.’

“Pada masa ini, kita mempunyai peruntukan baharu yang dimasukkan sebagai Aturan 33A dalam Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan telah berkuat kuasa bermula 15 Dis 2020. Aturan tersebut mengandungi tatacara khusus mengenai bagaimana perbicaraan dalam talian dijalankan.

“Bahkan sebelum Aturan 33A berkuat kuasa, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur telah pun berjaya menjalankan pemeriksaan terhadap saksi secara dalam talian,” katanya sambil menambah badan kehakiman perlu bergerak sejajar dengan perkembangan semasa.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 11,970 daripada 21,744 kes dan rayuan berjaya dilupuskan melalui perbicaraan dalam talian yang dikawal selia oleh badan kehakiman sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di negara ini, yang bermula pada Mac lepas.

“Mahkamah Tinggi di Malaya (Semenanjung Malaysia) dan di Sabah serta Sarawak telah berjaya melupuskan sebanyak 75 peratus iaitu 5,663 kes daripada 7,544 kes yang ditetapkan untuk perbicaraan dalam talian.

“Sebanyak 484 daripada 1,122 rayuan yang ditetapkan untuk pendengaran dalam talian berjaya dilupuskan di Mahkamah Rayuan manakala di Mahkamah Persekutuan pula, sebanyak 164 daripada 345 kes telah dilupuskan termasuk rayuan sivil dan jenayah.

“Di Mahkamah Rayuan, sebanyak 484 daripada 1,122 rayuan yang ditetapkan untuk pendengaran dalam talian telah dilupuskan. Bagi Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen di seluruh Malaysia pula, sebanyak 5,659 daripada 12,733 kes yang ditetapkan untuk pendengaran dalam talian telah dilupuskan,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Maimun berkata tradisi badan kehakiman yang menganjurkan Pembukaan Tahun Perundangan pada setiap tahun tidak dapat diadakan pada 2021 berikutan penularan pandemik Covid-19.

“Cabaran utama yang timbul akibat pandemik ini adalah untuk memastikan bahawa pentadbiran kehakiman tidak terhenti walaupun langkah-langkah sekatan diambil kerajaan untuk mengawal penyebaran pandemik tersebut.

“Justeru, badan kehakiman mengambil pelbagai usaha penting ini untuk memastikan kelancaran prosiding undang-undang meskipun terdapat pelbagai kekangan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mahkamah terus operasi walau terhad ketika PKP

PUTRAJAYA, 18 APRIL: Mahkamah akan terus beroperasi tetapi dalam ruang lingkup yang lebih terhad untuk memastikan akses berterusan kepada sistem keadilan, kata Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat.

Dalam kenyataannya, beliau berkata Badan Kehakiman Malaysia akan menyesuaikan dengan keadaan itu agar proses dan perkhidmatannya tetap berjalan walaupun dilanda pandemik itu.

“Tidak realistik dan mustahil bagi mahkamah untuk beroperasi seperti biasa semasa penularan pandemik Covid-19,” kata hakim tertinggi badan kehakiman itu.

Tengku Maimun berkata sekiranya dilaksanakan ia berisiko mendatangkan bahaya kesihatan dan keselamatan para hakim, peguam serta litigan dan petugas mahkamah.

Beliau berkata tiga surat pentadbiran telah dikeluarkan oleh pejabat Ketua Pendaftar kepada pihak berkepentingan yang relevan pada 17 dan 23 Mac serta 10 April untuk mengatur pentadbiran keadilan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tengku Maimun berkata keutamaan adalah berdasarkan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 berkaitan fungsi pengadilan untuk memberi sokongan yang diperlukan kepada penjara dan polis, yang kedua-duanya disenaraikan sebagai perkhidmatan penting di bawah peraturan itu.

Beliau berkata dalam tempoh pelaksanaan PKP terutama berkaitan hal-hal jenayah, mahkamah masih boleh mendengar permohonan reman, pendakwaan kes baharu, permohonan kes jenayah, semakan keputusan mahkamah rendah dan pengurusan kes biasa.

Katanya, permohonan reman juga dilakukan di balai polis.

Tengku Maimun berkata Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah akan terus mendengar kes-kes mendesak walaupun tidak perlu berbuat demikian di bawah peraturan tersebut.

“Mahkamah juga terus menjalankan pengurusan kes melalui e-mel, e-Review dan mendengar perbicaraan secara dalam talian. Mekanisme e-filing yang telah berjalan selama hampir satu dekad, yang membolehkan pemfailan dokumen dan kertas kausa, terus beroperasi seperti biasa bagi kes sivil dan jenayah,” katanya.

Beliau juga berkata dokumen yang difailkan melalui sistem itu diproses seperti biasa semasa tempoh PKP.

Tengku Maimun berkata hakim dan pegawai kehakiman bertugas dari rumah dan mereka dapat dihubungi sepanjang masa untuk memastikan kes-kes yang memerlukan perhatian segera, ditangani dengan cepat.

Beliau juga memberikan jaminan bahawa mahkamah dilengkapi dengan peralatan pendengaran dalam talian terkini dan badan kehakiman itu bersedia menjalankan dan sebenarnya sudahpun menjalankan pendengaran dalam talian bagi kes sivil dengan persetujuan pihak-pihak terlibat.

Beliau berkata Badan Kehakiman itu juga telah mengambil langkah untuk meminda undang-undang berkaitan seperti Akta Mahkamah Kehakiman 1964, Akta Mahkamah Rendah 1948 dan Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 bagi pelaksanaan pendengaran kes secara dalam talian.

Tengku Maimun mengeluarkan kenyataan media itu bagi membetulkan kenyataan dalam artikel yang disiarkan akhbar New Straits Times pada 17 April yang menyatakan bahawa mahkamah tidak beroperasi sepanjang tempoh PKP.

Beliau berkata berdasarkan statistik mahkamah semasa tempoh pelaksanaan PKP menunjukkan terdapat 376 pengurusan kes yang dijalankan di Mahkamah Persekutuan melalui e-Review manakala 25 kes dijalankan melalui e-mel.

Tengku Maimun juga berkata terdapat 18 kes perbicaraan sivil melalui sidang video di Mahkamah Tinggi dan 12 kes melibatkan notis perakuan segera melalui sidang video.

“Langkah-langkah khusus yang diambil Badan Kehakiman Malaysia jelas menunjukkan bahawa ia kekal komited untuk kemajuan teknologi moden,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan wajib lindungi hak rakyat

PETALING JAYA, 5 OKT: Kebebasan badan kehakiman sangat penting untuk memastikan mahkamah mempunyai kuasa untuk mengkaji tindakan undang-undang yang diambil oleh mana-mana pihak, kata Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Persidangan Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang LAWASIA 2019, bertemakan, ‘Kerajaan Perlembagaan: Kepentingan Struktur dan Institusi Perlembagaan, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Beliau berkata, konflik antara kuasa kerajaan dan kebebasan individu telah wujud sekian lama tetapi masalah seperti ini memang dijangka dalam negara demokrasi.

“Piawaian tadbir urus yang baik menetapkan pelaksanaan kuasa ini mesti dikawal sedemikian rupa agar tidak mengganggu hak individu.

“Ia adalah pandangan ikhlas saya mengenai kepentingan Perlembagaan dalam institusi awam. Hasilnya ialah wujud kerajaan yang bertanggungjawab yang berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya.

Tengku Maimun juga menekankan kewajipan kerajaan untuk melindungi hak rakyat termasuk kehidupan, kebebasan dan harta benda.

“Sekiranya kerajaan gagal untuk melindungi hak rakyat, rakyat mempunyai hak untuk menjatuhkan kerajaan,” katanya.

Memetik keputusan penting Mahkamah Persekutuan dalam kes penukaran agama anak M. Indira Gandhi, ketua hakim negara itu berkata, tiada undang-undang yang boleh menyekat kuasa yang ada pada mahkamah untuk semakan kehakiman.

Isu dalam kes ini sama ada penukaran agama kanak-kanak itu kepada Islam tanpa kebenaran ibu mereka dibolehkan untuk semakan kehakiman.

Keputusan penukaran agama yang dibuat oleh badan-badan Persekutuan berkaitan, tidak diterima dalam semakan kehakiman.

“Dalam menolak hujah itu, Mahkamah Persekutuan secara tegas memutuskan semakan kehakiman adalah konsep yang wujud dalam perintah Perlembagaan.

“Kuasa tersebut berfungsi untuk mendukung Perlembagaan. Dapatan keputusan dalam kes Indira Gandhi itu bermaksud bahawa pengawalan prinsip pemisahan kuasa dalam struktur asas memberi makna yang sebenar kepada pemeliharaan teras Perlembagaan,” katanya.

Tengku Maimun berkata, kesan pemisahan kuasa memastikan wujudnya sistem semak dan imbang.

“Inilah sebabnya kenapa cubaan untuk melemahkan pemisahan kuasa dilihat sebagai penghinaan kepada demokrasi secara khusus, dan kepada perlembagaan secara umum,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ketua Hakim Negara berazam tambah baik sistem kehakiman

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat yang dianugerahi Darjah Kebesaran Persekutuan hari ini, berazam untuk meneruskan usaha menambah baik sistem kehakiman negara.

Tengku Maimun, yang ditemui pemberita selepas istiadat penganugerahan itu di Istana Negara berkata, beliau akan meneruskan agenda penambahbaikan (reform) dalam sistem kehakiman yang telah diusahakan penyandang jawatan itu sebelum ini.

“Saya akan teruskan dengan apa reform yang telah diusahakan atau dimulakan oleh pendahulu saya Tan Sri Richard Malanjum sebelum kita teruskan reform yang baharu,” katanya.

Tengku Maimun yang mencipta sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan tertinggi badan kehakiman negara mengetuai senarai 42 penerima Darjah Kebesaran Persekutuan 2019 sempena sambutan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada istiadat pengurniaan hari pertama hari ini, Tengku Maimun merupakan antara tiga tokoh yang menerima Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri.

Tengku Maimun melahirkan perasaan terharu dan terima kasih yang tidak terhingga atas penganugerahan itu.

Berkongsi perasaan itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ismail Bakar yang turut dianugerahi PMN bertekad meneruskan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih daripada gejala rasuah.

Sambil mengucapkan tahniah kepada penjawat awam yang turut dikurniakan darjah kebesaran pada istiadat itu, beliau berharap penganugerahan tersebut menjadi galakan untuk mereka berkhidmat dengan lebih cemerlang, dan cekap dalam melaksanakan tugas.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohammad Ariff Yusof menyatakan rasa syukur dan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas penganugerahan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang diterimanya.

Mohammad Ariff berkata, beliau bertekad meneruskan visinya dalam melakukan reformasi Parlimen yang antara lain telah pun dimulakan melalui penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas dan usaha merakyatkan Parlimen.

“Kita juga akan adakan upacara dan aktiviti yang melibatkan rakyat jelata seperti Debaton Parlimen yang baru kita anjurkan Sabtu lalu,” katanya.

Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa Datuk Rozainor Ramli berkata, pengurniaan Darjah Panglima Setia Diraja (PSD) kepadanya memberikan beliau semangat untuk berusaha lebih keras dan berkhidmat kepada negara dan Yang di-Pertuan Agong.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tindakan terhadap pihak rosak imej badan kehakiman

PUTRAJAYA, 17 MEI: Tindakan akan diambil terhadap sesiapa juga yang merosakkan imej dan kemuliaan badan kehakiman, kata Ketua Hakim Negara, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat.

Justeru, beliau menggesa orang ramai agar berhati-hati dan bertanggungjawab dalam memberikan pandangan serta komen-komen mengenai badan kehakiman kerana tindakan itu boleh memberi akibat besar.

“Perlu diakui kritik-kritik yang tidak berasas terhadap kehakiman akan melemahkan pelaksanaan keadilan dan mengikis keyakinan orang ramai terhadap institusi penting ini,” katanya ketika berucap pada majlis meraikan pelantikan beliau sebagai Ketua Hakim Negara yang ke-16 di Mahkamah Persekutuan di sini hari ini.

Beliau berkata, jika terdapat sebarang aduan mengenai salah laku hakim-hakim, beliau menggesa sesiapa yang memiliki maklumat mengenai sebarang dakwaan seumpama itu supaya membuat laporan kepada pihak berkuasa yang berkenaan supaya satu penyiasatan yang betul dapat dilakukan.

“Orang ramai juga boleh menulis kepada saya, Presiden Mahkamah Rayuan atau kepada dua Hakim Besar masing-masing agar kami dapat mengambil tindakan yang perlu.”

Tengku Maimun berkata, adalah merugikan badan kehakiman dan negara amnya jika seseorang itu terus membuat tuduhan-tuduhan liar, terutama dalam media sosial tanpa menggunakan saluran yang betul supaya dakwaan-dakwaan itu dapat ditangani dengan berkesan.

Beliau berkata hakim-hakim tidak akan memberi maklum balas kepada kritikan dan dakwaan-dakwaan tersebut tetapi mereka akan bercakap menerusi penghakiman mereka.

“Tradisi ini yang bertujuan untuk memelihara keadilan dan rasa hormat kepada mahkamah kita, mencegah seserang hakim daripada terlibat dalam perdebatan awam dengan litigan yang tidak gembira atau pengkritik yang tidak puas hati,” kata beliau.

Beliau berkata demi memelihara integriti kehakiman, tindakan sewajarnya telah dan akan diambil terhadap mereka yang merosakkan imej dan kemuliaan badan kehakiman.

Beliau juga berkata badan kehakiman menghormati dan menghargai hak orang ramai untuk memberi komen terhadap kerja hakim tetapi kritikan terhadap sesuatu keputusan hakim hendaklah dilakukan secara bertanggungjawab dan berdasarkan kepada segala fakta.

Tengku Maimun juga berkata dalam memberi keputusan kepada sesuatu kes, para hakim tidak bertanggungjawab kepada sesiapapun, kecuali hati nurani dan kebijaksanaan mereka sendiri, di mana keputusan-keputusan itu dibuat semata-mata berdasarkan bukti-bukti yang dikemukakan oleh pihak-pihak mengikut lunas undang-undang.

Beliau berkata orang ramai cenderung untuk menyamakan keadilan sebagai keputusan yang memihak kepada orang miskin berbanding orang kaya, orang yang lemah berbanding orang yang kuat atau pembangkang berbanding kerajaan.

“Sudah tentu itu bukan pengukur bagi keadilan. Sesuatu yang salah itu tetap salah tidak kira sama ada ia dilakukan oleh orang kaya atau miskin, yang lemah atau yang kuat, rakyat atau pembangkang, atau kerajaan,” katanya.

Mengenai pelantikannya, Tengku Maimun berkata ia satu keistimewaan dan satu penghormatan besar sebagai wanita pertama dilantik sebagai Ketua Hakim Malaysia.

Beliau berikrar akan memberi komitmen untuk mempertahankan kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman.

Tengku Maimun dilihat sebak ketika beliau mengatakan yang beliau akan melaksanakan tanggungjawabnya dengan mematuhi peringatan-peringatan dalam al-Quran, dalam Surah An’ Nisa ayat 58 dan Surah An-Nisa: ayat 135.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri SA. Vigneswaran, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusoff, Peguam Negara Tommy Thomas, Presiden Badan Peguam Malaysia Datuk Abdul Fareed Abdul Ghafur, Presiden Persatuan Peguam Sabah Brenndon Keith Soh dan Presiden Persatuan Peguambela Sarawak Ranbir Singh Sangha. – BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tengku Maimun angkat sumpah Ketua Hakim Negara hadapan Agong

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Ketua Hakim Negara, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat di Istana Negara, hari ini.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu kemudiannya mengangkat dan melafazkan sumpah sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.

Pelantikan Tengku Maimun yang berkuat kuasa 2 Mei lepas dibuat selaras dengan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan Tan Sri Richard Malanjum yang bersara pada 12 April.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Ketua Hakim Negara yang berlangsung di Singgahsana Kecil istana tersebut turut dihadiri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Peguam Negara Tommy Thomas.

Pelantikan Tengku Maimun itu sekali gus mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama memegang jawatan tertinggi badan kehakiman negara.

Berkelulusan dari Universiti Malaya, Tengku Maimun, yang akan berumur 60 tahun pada Julai ini, memulakan kariernya sebagai pegawai undang-undang di Lembaga Pembangunan Kelantan Selatan (Kesedar) pada tahun 1982.

Pada 1984, beliau menjadi pegawai undang-undang di Majlis Perbandaran Seremban selama dua tahun sebelum menyertai Jabatan Peguam Negara di Bahagian Gubalan.

Dilahirkan di Kota Bahru, Kelantan, Tengku Maimun turut memegang beberapa jawatan termasuk majistret, hakim Mahkamah Sesyen, peguam persekutuan dan penolong kanan pendaftar serta pegawai khas kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Beliau dilantik sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 2005 sebelum dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2006 dan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada tahun berikutnya.

Beliau kemudian dinaikkan pangkat menjadi Hakim Mahkamah Rayuan pada 2013 dan seterusnya dilantik menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan pada November tahun lepas.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Datuk Tengku Maimun dilantik Ketua Hakim Negara baharu

OLEH SHEEDA FATHIL

PUTRAJAYA, 2 MEI: Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, memperkenankan pelantikan itu berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

“Pelantikan ini sejurus selepas tempoh perkhidmatan Tan Sri Datuk Seri Panglima Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara berakhir pada 12 April lalu selepas mencapai usia 66 tahun.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Panglima Richard di atas segala khidmat bakti beliau sepanjang memegang jawatan berkenaan,” katanya.

Ia menyaksikan Tengku Maimun muncul sebagai wanita pertama di negara ini dilantik memegang jawatan tertinggi berkenaan.

Sementara itu, majlis penyampaian watikah pelantikan kepada Tengku Maimun dan istiadat mengangkat serta menandatangani sumpah jawatan juga sumpah setia di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan dimaklumkan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia.

Pengesahan itu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

 

Categories
NASIONAL

Pelantikan ketua hakim negara masih tunggu perkenan Majlis Raja-Raja

PUTRAJAYA, 30 APR: Kerajaan masih menunggu perkenan Majlis Raja-Raja berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau bagaimanapun menjangkakan perkenan itu akan dibuat sebelum minggu ini berakhir.

“Kita sekarang sedang menunggu ‘approval’ (perkenan) dari Majlis Raja-Raja.

“Saya fikir ia akan dibuat sebelum hujung minggu ini,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Pegawai-Pegawai Kerajaan Bersama Perdana Menteri di sini, hari ini.

Jawatan Ketua Hakim Negara sebelum ini dipegang oleh Tan Sri Richard Malanjum yang telah bersara pada 12 April lalu.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Ketua Hakim Negara Richard Malanjum bersara hari ini

PUTRAJAYA, 12 APR: Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum bersara hari ini selepas berkhidmat selama 27 tahun dalam badan kehakiman.

Malanjum, anak kelahiran Sabah pertama memegang jawatan tertinggi badan kehakiman itu, berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara selama sembilan bulan, dan 12 tahun selaku Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

Beliau mencapai umur persaraan wajib pada usia 66 tahun, Oktober tahun lepas, dan dilanjutkan selama enam bulan berakhir hari ini.

“Kepada semua rakan hakim saya, berikan yang terbaik dan jangan mengharapkan apa-apa!,” dalam kata perpisahannya.

“Bagi saya…saya akan terus membantu mereka yang tidak bernasib baik dan terpinggir dalam apa jua cara yang mungkin.”

Malanjum mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara kesembilan pada 11 Julai tahun lepas, menggantikan Tun Md Raus Sharif yang mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Ketua Hakim Negara pada bulan yang sama.

Pegawai khasnya, Mohd Aizuddin Zolkeply berkata Malanjum telah mengambil cuti awal minggu ini dan kini berada di luar negara.

Malanjum menyertai perkhidmatan kehakiman pada 1992 sebagai Pesuruhjaya Kehakiman. Beliau pernah menjadi Hakim Mahkamah Tinggi dan kemudian dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dan seterusnya Hakim Mahkamah Persekutuan.

Malanjum memperkenalkan konsep pengurusan bersama dan berkumpulan, di mana hakim yang memegang empat jawatan tertinggi (Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak) diberikan kuasa dan tanggungjawab sama dalam segala hal berkaitan dasar serta penyertaan dalam pengurusan badan kehakiman.

Beliau juga melaksanakan sistem “time sheet” di mahkamah di Semenanjung, iaitu sebuah sistem secara berkomputer bagi menggalakkan pengurusan masa mahkamah yang lebih berkesan dalam kalangan hakim dan pegawai kehakiman.

Sistem berkenaan sebelum itu diperkenalkan Malanjum di mahkamah di Sabah dan Sarawak, ketika menjadi Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

Beliau juga memperkenalkan E-review, sistem pengurusan kes dalam talian tanpa kehadiran pihak-pihak dalam kes mahkamah untuk pengurusan kes.

Bagi mengelak sebarang dakwaan dan elemen negatif dalam pembahagian kes dan pemilihan panel hakim, Malanjum juga melaksanakan pemilihan panel Hakim Mahkamah Persekutuan melalui pengundian untuk mendengar kes-kes di Mahkamah Persekutuan.

Beliau juga membuat perubahan mengenai bilangan hakim sebagai panel di Mahkamah Persekutuan bagi mendengar kes-kes melibatkan perlembagaan dan kepentingan awam.

SUMBER/FOTO: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Richard Malanjum dilantik Ketua Hakim Negara yang baharu

KUALA LUMPUR 12 JUL: Tan Sri Richard Malanjum malam tadi mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.

Malanjum, 65, menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dalam satu upacara di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara, di sini.

Upacara pengurniaan watikah pelantikan dan angkat sumpah jawatan turut dihadiri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew View Keong, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Peguam Negara Tommy Thomas, dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Latifah Mohd Tahar.

Malanjum, bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak menggantikan Tun Md Raus Sharif yang mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Ketua Hakim Negara pada 31 Julai.

Malanjum dilahirkan pada Oktober 1952 di Tuaran, Sabah di mana beliau memulakan persekolahannya di peringkat rendah dan menengah di Kota Kinabalu, Sabah.

Beliau memulakan kerjayanya dengan berkhidmat di Jabatan Pelajaran dan kemudian beberapa jabatan kerajaan yang lain.

Pada 1972, beliau melanjutkan pelajaran ke Institut Teknologi Mara (sekarang Universiti Teknologi Mara) di Shah Alam, Selangor, sebagai pelajar luar kampus University of London dalam bidang Undang-Undang dan telah dianugerahkan Bachelor of Laws (LL.B)(Hons)(London) pada 1975.

Setelah memperoleh ijazah undang-undang, Malanjum berkhidmat di Jabatan Ketua Menteri Sabah dan ditugaskan sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah.

Malanjum telah melanjutkan pelajaran di London dan berjaya menghabiskan pengajian “Bar-at-Law” pada tahun yang sama. Beliau telah dipanggil ke “The English Bar of the Honourable Society of Gray’s Inn” di London.

Sekembalinya dari London, beliau berkhidmat semula di Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah sebagai Pegawai Undang-Undang/Timbalan Pendakwa Raya.

Pada tahun 1977, beliau diterima masuk sebagai Peguambela dan Peguamcara di Sabah dan juga diterima masuk ke “The Australian Capitol Territory” (ACT) Bar pada 1991.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan letak jawatan

PUTRAJAYA 13 JUN: Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin akan meletakkan jawatan masing-masing berkuatkuasa pada 31 Julai ini.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam satu kenyataan memberitahu, kedua-dua mereka telah mengutuskan surat perletakan jawatan masing-masing kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 7 Jun lalu.

“Perletakan jawatan itu telah diperkenankan oleh Seri Paduka pada 8 Jun lalu dan dimaklumkan melalui surat Setiausaha Sulit Bahagian Urusan Diraja Istana Negara bertarikh 11 Jun lalu,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Kenyataan itu menambah, pada 15 Mei lalu, Raus dan Zulkefli telah bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan telah menyampaikan hasrat untuk meletakkan jawatan.

“Walau bagaimanapun, kedua-dua mereka telah memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa perletakan jawatan itu akan berkuatkuasa pada tarikh yang munasabah untuk membolehkan segala urusan kehakiman diselesaikan,” katanya.