Categories
AGENSI SELANGOR

JKNS: Ketua jururawat maut akibat Covid-19, bukan disebabkan vaksin

SHAH ALAM, 29 OKT: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) hari ini mengesahkan kematian seorang ketua jururawat di negeri itu adalah disebabkan Covid-19 dan bukan kesan sampingan suntikan vaksin Covid-19.

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata semakan mendapati ketua jururawat berkenaan adalah seorang pesakit kanser yang dalam tempoh cuti sakit selama dua tahun.

“Beliau telah ditawarkan untuk mengambil vaksin Covid-19 pada 17 Feb lepas namun menolak dengan alasan risau dengan kesan sampingan vaksin tersebut. Bagaimanapun, beliau kemudiannya mendaftar dalam MySejahtera serta memberi kebenaran secara sukarela dalam borang kebenaran mendapatkan suntikan vaksin Covid-19,” katanya.

Dr Sha’ari berkata ketua jururawat itu menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech pada 23 Julai lepas dan mengalami gejala demam 12 hari selepas mengambil vaksin namun tidak mendapatkan rawatan untuk gejala itu.

“Beliau mengalami kesukaran bernafas di rumah kediaman beliau dan dibawa oleh ambulan ke hospital pada 7 Ogos iaitu 16 hari selepas suntikan vaksin.

“Setibanya di hospital, beliau dirawat sebagai pesakit suspek Covid-19 kategori 5 dan keputusan ujian RTK Antigen beliau kemudian didapati positif,” katanya.

Katanya, pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan namun keadaannya semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada 14 Ogos lepas.

Beliau berkata saringan kontak rapat mendapati terdapat dua ahli keluarga turut disahkan positif Covid-19.

“Pihak hospital mengesahkan pesakit meninggal dunia disebabkan oleh Covid-19 dan bukannya akibat kesan sampingan vaksinasi Covid-19,” katanya.

Pada 22 Oktober lepas, tular di media sosial satu video berkenaan dakwaan seorang ketua jururawat di Selangor yang meninggal dunia akibat daripada suntikan vaksin Covid-19.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mahkamah sambung reman ke atas suspek bunuh Siti Kharina

SEPANG, 23 Mei: Tempoh tahanan reman seorang lelaki warga Nigeria disambung tujuh hari hingga 30 Mei bagi membantu siasatan kes pembunuhan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin.

Perintah reman yang berkuat kuasa esok itu dikeluarkan oleh Majistret A. Akhiruddin@Boy Acho selepas mendengar permohonan daripada pihak polis di Mahkamah Majistret Sepang.

Perintah reman dikeluarkan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini warga Nigeria berusia 36 tahun itu direman seminggu bermula 17 Mei dan berakhir hari ini.

Siti Kharina, 40, dilaporkan hilang sejak 8 Mei lepas dan misteri kehilangannya terungkai apabila mayatnya ditemui pemilik kondominium yang disewanya di Cyberjaya dengan kesan kelar di dada, leher dan kepala pada 15 Mei.

Selain lelaki Nigeria berkenaan, turut ditahan susulan penemuan mayat Siti Kharina itu ialah seorang wanita warga Nigeria dan seorang lelaki warga Pakistan.

Semalam Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata tempoh reman wanita Nigeria dan lelaki Pakistan disambung tujuh hari mulai hari ini hingga 29 Mei. -BERNAMA