Categories
SELANGOR

Polisi baru Syabas atasi masalah penghuni pangsapuri

OLEH: HAFIZAN TAIB

PELABUHAN KLANG, 2 JUN: Pemilik dan penyewa pangsapuri kini boleh memohon bekalan air meter individu dengan cepat dan mudah menerusi kaedah baru diperkenalkan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sejak April lalu.

Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor, Amin Lin Abdullah, berkata pendekatan baru itu menyelesaikan masalah penghuni pangsapuri mendapat bekalan air serta membanteras penyambungan bekalan air tidak sah.

Amin Lin Abdullah“Sebelum pindaan polisi bekalan air ini Syabas sering mendapat aduan daripada penghuni termasuk penyewa yang hampa kerana tidak boleh memohonnya tanpa surat perjanjian jual beli dan penyewaan.

“Setelah dikaji semula, Syabas meminda polisi ini bagi memudahkan penyewa memohonnya dengan menandatangani surat kebenaran dan akujanji jika tiada surat perjanjian penyewaan,” katanya ketika lawatan kerja Syabas dan pemasangan meter individu dilakukan di Pangsapuri Samudera, Pulau Indah, di sini.

Pangsapuri empat blok dengan 528 unit itu berdepan masalah bekalan air dipotong sejak 2014 setelah Badan Pengurusan Bersama (BPB) gagal menjelaskan tunggakan bil air terlampau tinggi.

Amin berkata, antara masalah dihadapi penghuni pangsapuri adalah bil tunggakan yang ada dan melalui polisi baru itu, permohonan boleh dilakukan kerana masalah terbabit bukan tanggungjawab pemilik atau penyewa.

syabas“Prosedur memohon bekalan air dilancarkan pada April lalu, membolehkan penyewa memohonnya dengan menandatangani Borang Perjanjian Bekalan Air, menyerahkan salinan Kad Pengenalan atau Pasport dan salah satu daripada dokumen Perjanjian Jual Beli, Geran Pemilikan Premis, Perjanjian Penyewaan atau Surat Kebenaran dan AkuJanji,” katanya.

Lihat paparan dibawah untuk keterangan lanjut

-nR-