Categories
AGENDA NASIONAL

113 kematian direkodkan semalam, jangkitan harian Covid-19 turun kepada 30,246 kes

SHAH ALAM, 7 MAC: Sebanyak 30,246 kes jangkitan harian Covid-19 direkodkan semalam, turun 1,244 berbanding hari sebelumnya, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu seramai 1,928 pesakit dimasukkan ke hospital menjadikan jumlah keseluruhan yang dirawat adalah 8,570 kes atau 2.8 peratus.

“Daripada jumlah yang dimasukkan ke hospital semalam, 734 kes atau 38.1 peratus adalah kategori 3, 4 dan 5, manakala 1,195 kes atau 61.9 peratus adalah kategori 1 dan 2,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebanyak 30,023 kes atau 99.26 peratus yang direkodkan semalam adalah kategori 1 (tanpa gejala) dan 2 (gejala ringan).

Berikut adalah pecahan pesakit mengikut kategori:

Kategori 1: 9,797 kes (32.39 peratus)
Kategori 2: 20,226 kes (66.87 peratus)
Kategori 3: 115 kes (0.38 peratus)
Kategori 4: 54 kes (0.18 peratus)
Kategori 5: 54 kes (0.18 peratus)

Sebanyak 113 kematian dilaporkan semalam termasuk 41 kes di luar hospital, menjadikan jumlah kematian akibat COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 33,497 kematian.

Jumlah aktif covid-19 setakat semalam adalah 310,160 kes.

Categories
AGENDA NASIONAL

98.2 peratus kes baharu tiada gejala, gejala ringan

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Sebanyak 98.2 peratus atau 4,184 daripada keseluruhan 4,262 kes baharu Covid-19 dilapor hari ini adalah kategori satu dan dua, masing-masing tidak bergejala serta bergejala ringan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 78 kes atau 1.8 peratus pula dalam kategori tiga, empat dan lima, iaitu mereka yang mempunyai radang paru-paru, memerlukan bantuan oksigen dan alat bantuan pernafasan.

Beliau berkata kumulatif kes Covid-19 dalam negara kini 2,663,034 selepas 4,262 kes baharu direkodkan.

“Sebanyak 463 kes kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala 249 lagi kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 5,894 kes sembuh dicatatkan menjadikan kumulatif kes yang pulih daripada jangkitan itu kini 2,572,053.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan sehingga 4 Dis, Minggu Epidemiologi (ME) ke-48, sebanyak 2,654,474 kes kumulatif COVID-19 telah dilaporkan dengan 62,670 kes aktif dan 30,574 kes kumulatif kematian.

“Meskipun nilai kadar kebolehjangkitan atau R-Naught (Rt) negara meningkat sedikit pada minggu lepas, semua indikator utama jangkitan Covid-19, kini mencatatkan penurunan berbanding ME ke-47.

“Dari segi kewujudan kluster baharu pula, semua kategori kluster menunjukkan tren penurunan kecuali kluster pendidikan,” katanya.

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 akan dimuat naik ke laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

Categories
AGENDA NASIONAL

Empat lagi kes positif Covid-19 dikesan sebelum ke Langkawi

SHAH ALAM, 17 SEPT: Hari kedua gelembung pelancongan Langkawi merekodkan empat kes positif Covid-19 hasil saringan di pintu masuk udara dan laut pada hari ini.

Ketua pengarah kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah itu adalah daripada 3,454 pelancong yang disaring.

“Empat kes positif Covid-19 dikesan hasil saringan di pintu masuk udara dan laut ke Pulau Langkawi. Sejumlah 3,454 orang pelancong telah berjaya disaring,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata empat kes itu masing-masing dikesan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (satu), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (satu) dan Jeti Kuala Perlis (dua).

Semalam, sebanyak lima kes Covid-19 dikesan menerusi saringan sebelum berlepas ke Pulau Langkawi melalui pintu masuk udara dan laut.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kesemua kes dikesan melalui ujian RTK-Ag dan berada pada tahap satu iaitu tidak bergejala.

“Kes-kes ini telah diberikan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) untuk diisolasi bagi tempoh 10 hari,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Satu kluster baharu dikesan di Selangor, babit tempat kerja

SHAH ALAM, 13 SEPT: Satu kluster baharu Covid-19 dikesan di Selangor selepas dua hari berturut-turut tiada kluster dilaporkan di negeri ini.

Menerusi kenyataan ketua pengarah kesihatan, kluster Industri Jalan Lengkuk dikenal pasti di Klang membabitkan tempat kerja.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak 49 kes positif dicatatkan dalam kluster berkenaan.

Keseluruhannya, sebanyak 32 kluster baharu dilaporkan di seluruh negara, majoriti membabitkan tempat kerja dan komuniti.

Hari ini, jangkitan wabak di Selangor menurun kepada 1,974 kes, paras angka yang hampir sama pada 15 Jun lalu iaitu 1,996.

Negeri ini merekodkan jangkitan paras 2,000 kes dua hari berturut-turut semalam dan Sabtu selepas mencatat 3,595 pada Jumaat.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Mampu lawan Delta, kes menurun jika separuh penduduk Lembah Klang terima dua dos

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberi jaminan bahawa semua vaksin yang digunakan di bawah Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di seluruh negara berkesan menentang varian Delta.

Mengambil Labuan dan Sarawak sebagai contoh, katanya, vaksinasi telah berjaya mengurangkan kadar kemasukan ke hospital, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan mengurangkan keperluan pengunaan ventilator.

Beliau yakin kes di Lembah Klang juga akan berkurangan selepas mencapai 50 peratus penduduk dewasa lengkap dua dos vaksin menjelang 31 Ogos ini.

“Kita sudah mula melihat perkembangan positif. Di Lembah Klang apabila kita mula memberi vaksin kepada warga emas lebih 60 tahun, jumlah pesakit di Hospital Sungai Buloh menurun dan kini kumpulan berusia 40 hingga 59 tahun dan 20 hingga 39 tahun juga menurun dalam seminggu yang lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Penjagaan Kesihatan Malaysia 2021 secara maya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata daripada 67 penjujukan genom dilaksanakan di negara ini dari 17 Julai hingga Ogos ini, 66 disahkan sebagai varian Delta.

Menurutnya, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught adalah lebih tinggi bagi varian Delta dan oleh itu lebih banyak penularan berbanding virus Wuhan yang mencetuskan pandemik pada 2019.

“R-naught untuk virus Wuhan bermula dari 2.5, bermakna seseorang boleh menjangkiti 2.5 orang tetapi kini virus ini (Delta) dilaporkan pada kadar lima hingga lapan…bermakna jika 100 orang dijangkiti, mereka boleh menjangkitkan 500 hingga 800 orang dalam satu kitaran. Ia sama seperti cacar air (11 hingga 12) dan campak (18),” katanya.

Katanya lebih banyak varian dijangka muncul sambil menambah bahawa mutasi berlaku apabila terdapat jangkitan yang menyebabkan virus masuk ke paru-paru dan membiak.

“Mungkin dalam tiga atau empat kitaran, kita boleh melihat lonjakan mutasi protein yang menjadi rintangan kepada vaksin dan mungkin kita tidak dapat mengesan daripada ujian. Kebimbangan itu wujud tetapi kita perlu melihat kepada penyelesaian, kaedah terbaik untuk membendung jangkitan ini,” katanya.

Mengulas penggunaan ubat Ivermectin, Dr Noor Hisham berkata keputusan ujian klinikal berhubung keberkesanan ubat itu akan diperoleh bulan depan.

Beliau berkata kajian vitro (eksperimen di makmal) menunjukkan beberapa hasil tetapi kajian vivo (eksperimen terhadap organisma hidup) menunjukkan dos tinggi Ivermectin diperlukan untuk mencapai kesan antivirus dan ia mungkin memberi beberapa komplikasi lain.

Beliau menegaskan Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan kajian terhadap tiga jenis ubat untuk merawat pesakit Covid-19 seperti dumumkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu artesunate, imatinib dan infliximab.

Katanya ujian bersepadu terhadap ubat-ubatan yang digunakan pada masa lalu seperti Remdesivir, Hydroxychloroquine dan Lopinavir menunjukkan ia tidak berkesan menentang Covid-19.

Dalam perkembangan lain, katanya, seramai 190 gelandangan menerima suntikan lengkap pada fasa pertama dan 133 individu pada fasa kedua program ‘Vaksinasi Covid-19 Gelandangan@WPKL’ di Kuala Lumpur.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

2.5 peratus kes Covid-19 babit pesakit kategori tiga hingga lima

SHAH ALAM, 25 JULAI: Sebanyak 433 kes atau 2.5 peratus daripada 17,045 kes Covid-19 hari ini membabitkan pesakit kategori tiga hingga lima.

Ketua pengarah kesihatan berkata sebanyak 122 kes atau 0.7 peratus dalam kategori tiga, manakala 124 kes atau 0.7 peratus pada kategori empat.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan kategori lima pula merekodkan 187 kes atau 1.1 peratus.

“Keseluruhannya, 2.5 peratus kes dilaporkan hari ini berada pada kategori tiga, empat dan lima yang perlu ditempatkan di hospital merawat Covid-19 yang semakin penuh serta sesak.

“Oleh itu, masyarakat diseru terus kekal mematuhi tatacara operasi piawai, elakkan perhimpunan terutama di tempat sempit dan kurang pengudaraan dan segera mendapatkan janji temu vaksin Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Untuk rekod, kategori satu bermaksud tiada gejala, kategori dua bergejala ringan dan kategori tiga mempunyai radang paru-paru.

Kategori empat pula merujuk kes radang paru-paru yang memerlukan bantuan oksigen manakala kategori lima kes kritikal dan bergantung pada bantuan pernafasan.

Jumlah jangkitan Covid-19 terus melonjak ke paras tertinggi dengan 17,045 kes hari ini berbanding rekod 15,902 semalam.

Jumlah itu menjadikan keseluruhan kes di negara ini melebihi paras sejuta kepada 1,013,438 kes.

Selangor turut mengalami kenaikan ketara apabila mencatat 8,500 kes berbanding 7,351 semalam. Kuala Lumpur dan Kedah juga menunjukkan peningkatan besar kepada masing-masing 2,045 dan 1,216 kes.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada bukti kukuh, KKM tidak syor beri vaksin campuran

PUTRAJAYA, 13 JULAI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak bercadang untuk melaksanakan pemberian dua jenis vaksin Covid-19 kepada seorang penerima berikutan tiada data kukuh mengenai kaedah itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) juga tidak menerima sebarang data, laporan atau bukti daripada syarikat pembuat vaksin mengenai kaedah campuran vaksin yang berjaya mengawal jangkitan Covid-19.

“Kita masih memerhatikan keadaan ini (campuran vaksin) kalau ada keperluan untuk melaksanakannya. Buat masa ini, tiada keperluan lagi.

“Terutama kalau campur vaksin barat dan timur contoh seperti Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, tiada bukti lagi ia berjaya,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Beliau berkata KKM tidak boleh mengesyorkan kaedah itu jika tiada bukti kerana perlu memastikan pemberian vaksin yang selamat kepada orang ramai.

“Jika ada kajian baharu, kita boleh nasihatkan sama ada boleh campur vaksin atau tidak,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Thailand bakal memberikan vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca sebagai suntikan dos kedua kepada individu yang menerima Sinovac sebagai dos pertama, yang merupakan sebahagian daripada strategi imunisasi negara itu.

Dr Noor Hisham juga berkata kadar vaksinasi negara perlu ditingkatkan sehingga ke tahap 40 peratus bagi mengurangkan atau melandaikan kes baharu jangkitan Covid-19.

Beliau berkata ia perlu dilaksanakan segera kerana pada masa ini, Malaysia berada dalam tempoh kritikal susulan jangkitan kes yang meningkat kepada lima angka.

Katanya kadar vaksinasi yang tinggi juga mampu mengelakkan jumlah kematian tinggi seperti di United Kingdom iaitu satu kematian bagi setiap 50 orang pada Januari ketika penduduknya tidak divaksinasi.

“Setelah divaksinasi, angka kematian adalah satu bagi setiap 1,000 orang dan ada juga penurunan kemasukan ke hospital.

“Penting bagi kita mendapatkan vaksin sekarang bagi mengurangkan kemasukan ke hospital dan ICU (Unit Rawatan Rapi),” katanya sambil menambah setakat ini, kadar vaksinasi negara ialah 11.3 peratus.

Dr Noor Hisham berkata pemberian vaksin juga terbukti dapat mengurangkan kesan teruk dijangkiti Covid-19.

Beliau berkata selepas enam minggu pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa dua iaitu melibatkan warga emas, komorbid dan orang kurang upaya, didapati kemasukan ke wad bagi pesakit 60 tahun dan ke atas semakin berkurangan.

“Sebaliknya, peningkatan kita lihat pada usia muda dan mereka yang belum divaksin,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar kebolehjangkitan lepasi paras 1.0 dua hari berturut-turut

SHAH ALAM, 1 JULAI: Kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 mengikut kes harian seluruh negara kembali meningkat melebihi paras ambang 1.0 untuk dua hari berturut-turut.

Menerusi data dikongsi ketua pengarah kesihatan di Facebook, Rt  purata kebangsaan mencatat 1.05 semalam, meningkat daripada 1.04 kelmarin.

Nilai dicatatkan itu adalah Rt tertinggi dalam tempoh 28 hari selepas mencatat 1.06 pada 3 Jun lalu, sebelum turun ke paras terendah 0.90 pada 12 Jun.

Data dikongsi Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga menunjukkan enam negeri mencatat Rt melebihi purata kebangsaan antara 1.07 hingga 1.19.

Rt tertinggi 1.19 dicatatkan Pahang, disusuli Putrajaya (1.09), Melaka (1.09), Perak (1.08), Kuala Lumpur (1.07) dan Negeri Sembilan (1.06).

Selangor pula mencatat 1.05, manakala Rt terendah direkodkan Terengganu dengan 0.67.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes Covid-19. Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19 catat 6,276 kes hari ini, Selangor masih paras 2,000

SHAH ALAM, 30 JUN: Jumlah jangkitan harian Covid-19 kekal pada paras 6,000 kes dengan 6,276 dicatat hari ini berbanding 6,437 semalam.

Ketua pengarah kesihatan menerusi Facebook memaklumkan Selangor merekodkan 2,836 kes manakala jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 751,979.

Data bagi negeri lain dikongsi Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah adalah seperti berikut:

WPKL – 625
Johor – 299
Sabah – 242
Sarawak – 376
Negeri Sembilan – 644
Kelantan – 159
Pulau Pinang – 131
Perak – 137
Kedah – 226
Melaka – 223
Pahang – 210
Terengganu – 20
WP Labuan – 132
WP Putrajaya – 11
Perlis – 5

Categories
AGENDA NASIONAL

13 individu antara 107 kematian Covid-19 tiada penyakit kronik

SHAH ALAM, 29 JUN: Seramai 13 individu daripada 107 kes kematian pada hari ini akibat jangkitan Covid-19 tiada penyakit kronik.

Ketua pengarah kesihatan hanya merujuk mereka dengan tanda sengkang (-) pada bahagian latar belakang penyakit senarai kes kematian.

Dalam kenyataan hari ini, rekod Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menunjukkan kes melibatkan tiga wanita dan 10 lelaki termasuk tiga warga asing.

Mengikut lampiran tersebut, tujuh kematian membabitkan warga emas berusia antara 64 hingga 87 tahun manakala selebihnya antara 42 hingga 58 tahun.

Sebanyak 107 kes kematian dicatatkan iaitu 43 di Selangor, Negeri Sembilan (16), Kuala Lumpur (11), Kedah dan Melaka masing-masing tujuh dan Johor (enam).

Sabah, Kelantan dan Labuan masing-masing merekod empat kematian, dua di Sarawak dan Pahang sementara satu di Terengganu.

Majoriti mangsa mempunyai latar belakang penyakit antaranya jantung, kencing manis, darah tinggi, obesiti, asma dan kanser.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lelaki 26 tahun antara 81 korban Covid-19 hari ini

SHAH ALAM, 26 JUN: Lelaki berusia 26 tahun yang menghidap obesiti antara 81 kes kematian direkodkan dalam negara akibat Covid-19 hari ini.

Ketua pengarah kesihatan memaklumkan jenazah mangsa bukan warga tempatan itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan turut memberitahu dua kematian membabitkan individu berusia 30-an.

Mangsa terdiri daripada:

-Perempuan 31 tahun meninggal di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban yang mempunyai penyakit kencing manis serta darah tinggi.

-Lelaki 38 tahun meninggal di Hospital Kuala Lumpur yang mempunyai penyakit darah tinggi.

Menurut kenyataan itu, kebanyakan kes kematian membabitkan individu berusia 40 tahun ke atas dengan penyakit antaranya darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.

Sebanyak 30 kes dilaporkan di Selangor, Kuala Lumpur (14), Johor (12), Negeri Sembilan (sembilan) dan Sarawak (lima).

Pahang dan Melaka pula masing-masing mencatat tiga kes, Labuan (dua) manakala Pulau Pinang, Kedah serta Terengganu (satu).

Keseluruhannya, sebanyak 4,884 individu maut di seluruh negara ekoran pandemik yang melanda sejak lebih setahun.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 di bawah 1.0 dua hari berturut-turut

SHAH ALAM, 8 JUN: Kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 mengikut kes harian di Malaysia terus mencatatkan penurunan di bawah 1.0 untuk dua hari berturut-turut kepada 0.97 semalam.

Data dikongsi ketua pengarah kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Twitter menunjukkan Malaysia merekodkan penurunan nilai Rt selama sembilan hari berturut-turut daripada 1.16 pada 29 Mei lalu sehingga mencatat 1.0 Sabtu lalu dan 0.99 pada Ahad.

Penurunan itu menunjukkan risiko jangkitan daripada seorang individu positif Covid-19 kepada individu lain semakin berkurangan, dan virus itu boleh dianggap tidak tersebar jika Rt berada di bawah 1.0.

Bagaimanapun, Rt di beberapa negeri masih melebihi purata kebangsaan semalam, dengan Labuan tertinggi pada kadar 1.26.

Ia diikuti Negeri Sembilan (1.17), Sabah (1.16), Sarawak dan Kuala Lumpur masing-masing 1.04, Selangor dan Melaka masing-masing 1.03 serta Perak dan Johor masing-masing 1.01.

Sementara itu, Perlis mencatatkan Rt terendah semalam iaitu 0.92 diikuti beberapa negeri lain yang merekodkan angka bawah 1.0 seperti Putrajaya (0.93), Kedah (0.95), Terengganu (0.96), Pahang dan Kelantan (0.97) serta Pulau Pinang (0.98).