Categories
NASIONAL

Cuaca panas: Kurangkan aktiviti fizikal, luar bangunan

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Kementerian Kesihatan Malaysia menasihatkan orang ramai terutama di kawasan yang merekodkan kualiti udara tidak sihat dan cuaca panas, antara lain ​​​​​mengurangkan aktiviti fizikal yang boleh menyebabkan peningkatan kadar pernafasan dan metabolisma badan.

Selain itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah meminta orang ramai supaya mengurangkan aktiviti di luar bangunan atau menggunakan penutup hidung dan mulut (face mask), payung dan topi ​​sekiranya berada di luar.

“Tutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan dan elakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman,” katanya.

Dr Noor Hisham turut menasihatkan ​​​orang ramai untuk lebih kerap meminum air kosong bagi mengekalkan tahap hidrasi dan mendapatkan rawatan segera sekiranya tidak sihat.

“Jika mampu pasanglah alat pendingin hawa dan penapis udara yang berkecekapan tinggi di rumah bagi menapis partikel halus dan menghalang kemasukan pencemaran udara dari luar,” katanya.

Berdasarkan pemantauan status gelombang haba oleh Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, ​​​​​​​terdapat​​​​​​​ 11 kawasan di enam negeri dilapor berada pada paras berjaga-jaga atau Tahap Satu dengan suhu mencecah antara 35 dan 37 darjah Celcius.

Kawasan ini ialah Chuping di Perlis; Pendang, Sik, Kota Setar ​​​​​​​​​​​​​​(Kedah); Hulu Perak dan Kinta (Perak); Jerantut (Pahang); Jeli, Gua Musang dan Kuala Krai (Kelantan); dan Tangkak di Johor.

Semalam, Jabatan Alam Sekitar turut melaporkan berlaku kemerosotan kualiti udara dengan keadaan berjerebu di beberapa kawasan berpunca daripada beberapa kejadian kebakaran hutan dan belukar ​​​​​​​sebelum ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Remaja perempuan antara tiga kes baharu difteria di Johor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 MAC: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dikesan antara mangsa terbaharu difteria di Johor Bahru, Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, remaja itu juga di antara tiga lagi kes terbaharu difteria di negeri itu setakat semalam, membabitkan seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia empat tahun.

“Kanak-kanak perempuan berkenaan adalah kakak kepada kanak-kanak lelaki yang meninggal dunia akibat diifteria pada 23 Februari lalu dan semua mereka dijangkiti tinggal di rumah yang sama.

“Semua kes sudah menerima rawatan di hospital dan dalam keadaan stabil, sementara satu kes dibenarkan pulang ke rumah manakala dua lagi kes masih dirawat di hospital,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan difteria.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, lapan lagi individu yang tidak mempunyai gejala difteria yang tinggal serumah dengan mangsa kematian turut diberi rawatan antibiotik sebagai profilaksis (pencegahan).

“Keadaan kesihatan mereka dipantau secara harian oleh Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru selama 14 hari. Tiada kes baharu dilaporkan dan kejadian adalah terkawal.

“Susulan kejadian wabak difteria di Johor ini, Kementerian Kesihatan (KKM) ingin menegaskan kepentingan pemberian imunisasi bagi mencegah penyakit berjangkit yang boleh dicegah oleh vaksin seperti difteria, demam campak, batuk kokol dan lain-lain,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak mereka mendapatkan imunisasi mengikut jadual ditetapkan KKM dan bagi kanak-kanak yang tercicir suntikan, perkhidmatan imunisasi boleh didapati daripada fasiliti kesihatan terdekat.

Categories
NASIONAL

Tanjung Sepat catat 23 kes Chikungunya

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 FEB: Tanjung Sepat mencatatkan sebanyak 23 kes Chikungunya sekali gus menjadikan Selangor paling tinggi mencatatkan kes berkenaan.

Ia kemudiannya diikuti Melaka dengan sembilan kes, Kelantan (enam) sementara Perlis (satu).

Jumlah kes itu direkodkan bermula dari 29 Januari hingga 7 Februari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan telah mengambil maklum adanya kes Chikungunya di kalangan penduduk di Tanjung Sepat, Kuala Langat.

“Gejala yang dialami adalah demam, sakit sendi dan ruam namun semua kes dirawat sebagai pesakit luar dan tiada kematian yang dilaporkan,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Kementerian Kesihatan telah menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan dengan sebanyak 1,740 rumah telah dibuat semburan kabus terutamanya di kawasan kejadian.

Didapati kawasan berkenaan mempunyai kadar pembiakan Aedes yang tinggi iaitu 3.8 peratus.

Kementerian Kesihatan menyeru semua masyarakat dan jawatankuasa penduduk untuk meningkatkan aktiviti pembersihan persekitaran bagi memusnahkan tempat pembiakan Aedes di tempat masing-masing.

Pembabitan masyarakat dalam memastikan persekitaran bersih dan bebas dari pembiakan Aedes akan dapat mencegah penularan penyakit Chikungunya, Denggi dan Zika.

Categories
NASIONAL

Warga emas maut akibat virus rabies di Sarawak

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 JAN: Seorang wanita warga emas berusia 80 tahun meninggal dunia akibat virus rabies di Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa sebelum ini cedera di bahagian tangan kiri akibat dicakar oleh anjing peliharaannya pada Disember tahun lalu.

Katanya, ia berlaku semasa beliau cuba meleraikan pergaduhan anjing terbabit dengan seekor kucing peliharaannya.

“Kemudiannya pada 11 Januari lalu, mangsa mengalami demam, batuk, muntah, lesu, sakit badan dan rasa lemah pada tangan kiri serta telah mendapatkan rawatan di klinik swasta pada hari yang sama.

“Bagaimanapun, mangsa tidak memaklumkan telah digigit oleh anjing. Mangsa telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak pada 14 Januari lalu oleh klinik swasta yang sama apabila gejala tidak berkurangan semasa beliau mendapatkan rawatan ulangan.

“Namun mangsa meninggal dunia pada 18 Januari lalu jam 9.35 pagi. Sampel klinikal kes telah disahkan positif rabies oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada hari yang sama,” katanya dalam kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata, dengan pengesahan kes terbaharu itu, kes disahkan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak semenjak pengisytiharan wabak pada 1 Julai 2017 sehingga 18 Januari lalu adalah 17 kes termasuk 16 kematian.

Katanya, orang awam perlu mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di klinik atau hospital kerajaan yang berdekatan sekiranya terkena gigitan.

“Orang ramai juga diminta untuk membawa haiwan peliharaan untuk diberi vaksin anti-rabies dan tidak membiarkannya berkeliaran atau bergaul dengan haiwan liar.

“Jangan mengambil anjing liar yang tidak diketahui status vaksinasinya untuk dipelihara. Selain itu, elakkan diri daripada digigit anjing atau haiwan liar,” katanya.

Categories
NASIONAL

Doktor gigi palsu, awas jangan tertipu

SHAH ALAM, 1 MEI Kewujudan doktor gigi palsu dan perkhidmatan pergigian haram yang semakin berleluasa di negara ini semakin membimbangkan dan lebih meruncing apabila masyarakat kurang kesedaran tentangnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kerajaan memandang serius masalah terbabit apabila kebelakangan ini Kementerian Kesihatan kerap menerima aduan pesakit mengalami komplikasi serius susulan mendapat perkhidmatan haram itu.

Katanya, antara rawatan perkhidmatan haram itu adalah mencabut gigi, membuat gigi palsu, ortodontik, penskaleran dan penggilapan gigi (cuci gigi) dan “whitening strips”.

”Kementerian Kesihatan kesal kerana orang ramai kurang kesedaran, tidak tahu orang yang menyediakan perkhidmatan pergigian itu tidak diiktiraf.

SUBANG JAYA 11 AUGUST 2016. Director-General of Health, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah speech during 19th Family Medicine Scientific Conference at Grand Dorsett Subang. NSTP/ASYRAF HAMZAH“Pesakit terbabit boleh mengalami kesakitan dan jangkitan seperti ulser mulut, gigi longgar atau rosak, gusi bengkak dan bernanah, selain berisiko dijangkiti AIDS dan hepatitis, jika peralatan yang digunakan tidak disteril dengan baik,” katanya lapor Sin Chew Daily.

Hisham berkata, 46 aduan rawatan pergigian haram diterima Kementerian Kesihatan membabitkan 10 kes pada 2015, 28 kes pada 2016 dan lapan kes setakat Mac lalu.

Dr Hisham berkata, sebanyak 18 kes dihadapkan ke mahkamah sejak 2015 sehingga kini, dengan kes terbaru berlaku pada 30 Mac lalu membabitkan wanita warga Indonesia yang tidak berkelayakan didenda RM300,000 oleh mahkamah kerana membuka klinik pergigian haram di Johor.

Beliau menasihatkan orang ramai melayari laman web http://dpims.moh.gov.my untuk mengetahui kelayakan doktor gigi itu sebelum mendapatkan rawatan pergigian.

Ini kerana, katanya, hanya doktor gigi yang diiktiraf dan berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia boleh memberi rawatan kepada orang ramai di bawah Akta Pergigian 1971.