Categories
AGENDA SELANGOR

Polis: Pekerja panik bunyi penggera, bukan lari sebab operasi

SHAH ALAM, 7 JULAI: Insiden kononnya pekerja melompat keluar pagar sebuah syarikat kurier di Seksyen 22, dekat sini petang semalam dan melarikan diri, bukanlah kerana operasi pihak berkuasa tetapi susulan panik mendengar bunyi penggera kebakaran.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata, kejadian yang berlaku sekitar 4.30 hingga 5 petang itu, berpunca daripada gangguan ‘false fire alarm trigger’ syarikat berkenaan, dan ia dalam proses pemeriksaan sistem pendawaian.

Baharudin berkata, bunyi penggera tersebut membuatkan ramai pekerja panik dan melarikan diri, ekoran takut sekiranya berlaku kebakaran di syarikat berkenaan.

“Kejadian viral dalam video yang menunjukkan ramai pekerja lompat pagar lari dari syarikat itu petang tadi, bukan kerana operasi atau apa-apa serbuan pihak penguatkuasa.

“Memandangkan syarikat tersebut masih baru sejak diambil alih lebih kurang sebulan lalu, ramai pekerja serta pengurusan belum didedahkan dengan ilmu ‘fire drill’, seperti tempat berhimpun dan pelan evakuasi (sekiranya berlaku kebakaran dan bencana),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu tular sebuah video berdurasi 57 saat di media sosial, yang mendakwa pekerja sebuah syarikat kurier di Seksyen 22, dekat sini melompat dan memanjat pagar melarikan diri, daripada operasi yang dilaksanakan pihak berkuasa.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Macau Scam di Shah Alam meningkat 57 peratus

SHAH ALAM, 29 DIS: Kes jenayah penipuan Macau Scam di Shah Alam mencatatkan peningkatan sebanyak 57 peratus tahun ini berbanding tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, ia membabitkan peningkatan sebanyak sembilan kes bagi tempoh sama.

“Manakala, bagi nilai kerugian penipuan mencatatkan penurunan daripada RM3.9 juta pada 2018 kepada RM2 juta dalam tempoh kajian sama pada 2019.

“Penurunan nilai kerugian adalah lebih kurang RM1.9 juta bersamaan penurunan 32.20 peratus.

“Ini menunjukkan walaupun Macau scam masih mempunyai mangsa tetapi terdapat rakyat yang sedar dan mengetahui berkenaan segala modus operandi serta taktik helah penipuan Macau Scam ini,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, beliau memaklumkan terdapat tiga kes baharu dilaporkan berlaku pada November dan Disember ini iaitu di Kota Kemuning, Sri Muda dan Seksyen 9.

“Polis menerima laporan daripada seorang pesara di Kota Kemuning pada 23 Disember lalu yang kerugian sebanyak RM749,938. Pesara ini ditipu kononnya mempunyai satu kes mahkamah membabitkan kesalahan trafik iaitu langgar lari dan terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram.

“Manakala, dua lagi laporan kes penipuan ‘Macau Scam’ membabitkan pesara pada 19 November lalu membabitkan kerugian sebanyak RM 504,676.60 dan satu lagi kes di Sri Muda dengan kerugian berjumlah RM150,000.

“Taktik digunakan ke atas pesara di Seksyen 9 adalah mangsa dihubungi oleh seorang lelaki daripada Pejabat Pos Malaysia dan kononnya mempunyai kes jenayah dan perlu membayar wang bagi mengelakkan ditahan.

“Bagi kes di Sri Muda pula, mangsa dihubungi suspek yang menyamar sebagai pegawai Telekom dan pegawai polis yang mendakwa kononnya dia mempunyai tunggakan kad kredit dan diarahkan untuk membuat pembayaran ke dalam akaun bank milik individu bagi menyelesaikan kes itu,” katanya.

Sehubungan itu, Baharudin menasihatkan orang ramai lebih peka dan tidak mudah terpedaya jika dihubungi individu yang mendakwa dari mana-mana organisasi
tanpa membuat semakan dan menghubungi organisasi berkaitan terlebih dahulu.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak ‘kepintaran’ ahli sindiket itu untuk mewujudkan taktik lain untuk menipu ekoran perkembangan teknologi yang menjadikan mereka semakin kreatif menjerat mangsa.

Berdasarkan laporan diterima, sindiket kerap menyamar sebagai pegawai polis, mahkamah, Bank Negara Malaysia atau agensi lain bagi memberi kenyakinan kepada mangsa.

Manakala, bagi modus operandi suspek pula adalah penipuan bank, kad kredit, penculikan, tebusan, saman polis atau mahkamah, hadiah cabutan bertuah dan pakej pelancongan.

Categories
SELANGOR

Polis pergiat operasi banteras jualan minuman keras tanpa lesen

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 13 MAC: Usaha berterusan pihak polis menjalankan operasi bagi membanteras kegiatan penjualan minuman keras tanpa lesen di daerah ini terus dipergiatkan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata, sebanyak tiga serbuan berjaya dibuat di beberapa lokasi berasingan sekitar kawasan Seksyen 27, yang membawa kepada penangkapan seramai empat pekerja premis.

Katanya, tangkapan itu melibatkan tiga lelaki warganegara Myanmar dan seorang lelaki warganegara India.

“Dalam serbuan tersebut, kami merampas 222 tin dan 723 botol minuman keras pelbagai jenama dipercayai tiruan.

“Dua set pembesar suara dan mesin kira-kira serta wang tunai berjumlah RM30,000 melibatkan kegiatan itu turut dirampas,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 76 Akta Eksais 1976 kerana memiliki dan menjual minuman keras tanpa lesen sah yang membawa hukuman denda lebih daripada RM5,000

Sementara itu, Baharudin menggesa orang ramai supaya dapat menyalurkan maklumat agar tindakan dapat diambil ke atas premis yang disyaki melakukan urus niaga penjualan minuman keras.

Categories
SELANGOR

Shah Alam terima ketua polis daerah baharu

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 2 FEB: Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Baharudin Mat Taib dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Shah Alam yang baharu berkuatkuasa semalam.

Beliau menggantikan SAC Shafien Mamat yang bertukar sebagai Ketua Penolong Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (Agama dan Kaunseling) Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas itu berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dan disaksikan Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor.

Baharudin, 53, juga pernah menjawat sebagai Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Johor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, beliau berharap ketua polis daerah baharu dapat beri yang terbaik untuk daerah Shah Alam.

“Selamat maju jaya kepada kedua-dua pegawai ini yang menerima kenaikan pangkat.

“Diharap semua pegawai dan anggota khususnya di kontinjen Selangor ini memberi kerjasama yang baik kepada ketua polis daerah baru ini untuk usaha mengekang jenayah dalam memberi persepsi terbaik kepada masyarakat,” katanya lapor Sinar Harian.