Categories
AGENDA NASIONAL

Polis disaran kembalikan imej integriti – KPN

KLANG, 10 APRIL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) disaran agar kembali memperkasakan imej integriti badan beruniform itu, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Abdul Hamid berkata beliau sedar bahawa terdapatnya keluhan serta cemuhan daripada masyarakat berhubung soal integriti dalam pasukan polis sejak kebelakangan ini.

“Saya merayu dan menasihati mereka (anggota PDRM) mana yang telah terbabas sebelum ini supaya balik ke pangkal jalan, …supaya nama baik PDRM itu berada pada tempatnya.

“Akhir-akhir ini saya nampak ada peningkatan walaupun belum sampai ke tahap yang diharapkan, tetapi sudah nampak keikhlasan. Pelbagai kejayaan dan reaksi positif yang saya terima daripada masyarakat terhadap khidmat yang disampaikan,” katanya.

Abdul Hamid berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Taman Angkat Skuad Aman Wanita (Amanita) Kontinjen Selangor, di Tapak Padang Surau An-Nur di sini hari ini.

“Sama-sama kita perbetulkan diri dan menjalankan peranan dan tanggungjawab kita seperti yang termaktub dalam undang-undang dan ikrar polis.

“Sekiranya kita dapat meningkatkan integriti kita, kita akan dapat kerjasama daripada masyarakat dan mereka akan hormati kita dan banyak lagi kejayaan dicapai dalam memerangi jenayah dan juga dadah,” katanya.

Abdul Hamid berharap agar masyarakat memberi keyakinan kepada PDRM untuk memperbaiki sistem penyampaian sedia ada.

Beliau berkata PDRM akan turut memperluaskan Amanita di seluruh negara bagi membantu usaha membanteras jenayah dengan kerjasama orang ramai.

“Sejurus menerima sebarang maklumat berkaitan jenayah, Amanita akan menyalurkannya kepada Ketua Polis Daerah kawasan itu bagi tindakan lanjut.

“Ia selaras dengan peranan Amanita untuk memupuk kesedaran golongan suri rumah mengenai keselamatan kejiranan dan tanggungjawab sosial bagi mengekang jenayah,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

31 polis terbabit kegiatan judi berdepan hukuman berat

IPOH, 1 MAC: Seramai 31 warga Polis Diraja Malaysia yang dikenal pasti bersekongkol dengan sindiket Macau Scam dan kegiatan perjudian dalam talian bakal berdepan hukuman berat tidak lama lagi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata proses bagi menjatuhkan hukuman ke atas mereka telah dibawa ke pihak Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) untuk tindakan seterusnya.

Beliau berkata mereka sebelum ini disyaki terlibat dengan sindiket Macau Scam didalangi Zaidi Kanapiah atau lebih dikenali sebagai Addy Kanna dan Goh Leong Yeong atau Alvin Goh.

“Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) telah melengkapkan siasatan dan diserahkan kepada SPP yang dipengerusikan Yang Berhormat Menteri (Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin) sendiri.

“Ini kerana kesalahan itu kami anggap sesuatu yang amat serius atas kepentingan orang ramai. Jadi saya sebagai Ketua Polis Negara telah mengambil tindakan dengan membawanya ke peringkat atasan untuk diadili sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Upacara Penutupan Kursus Asas Konstabel Orang Asli PDRM Siri 1/2020 di Lapang Sasar Utama, Briged Utara PGA, Hulu Kinta, kira-kira 30 minit dari Ipoh, di sini hari ini.

Abdul Hamid berkata dibuang kerja, diturunkan pangkat dan dipotong gaji antara hukuman yang boleh dikenakan SPP kepada kesemua pegawai dan anggota berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan Goh dan Addy Kanna ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Oktober 2020 selepas didapati menjalankan aktiviti penipuan Macau Scam dan judi dalam talian yang menyasarkan mangsa di China selain bekerjasama dengan kartel penipuan di luar negara.

SPRM turut menahan serta menyoal siasat beberapa selebriti terkenal, pegawai dan anggota polis yang melindungi sindiket terbabit.

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata pihaknya telah menghantar permohonan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya melonggarkan syarat pengambilan Orang Asli ke dalam Pasukan Senoi Praaq termasuk dari segi kelayakan fizikal.

Beliau berkata pihaknya juga akan melakukan rundingan bersama JPA bagi mendapatkan fleksi permohonan Pasukan Senoi Praaq menggunakan kelulusan akademik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berbanding hanya menggunakan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebelum ini.

“Kami menerima lebih banyak permohonan daripada mereka yang mempunyai kelulusan SPM walaupun skim perkhidmatan Senoi Praaq ini boleh dimohon dengan menggunakan PMR.

“Ketika ini kami kekurangan anggota dalam Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Bidor dan Batalion 18 PGA di Pengkalan Hulu dan ramai kalangan suku kaum Orang Asli menunjukkan minat cukup tinggi dalam PDRM namun terdapat kekangan syarat-syarat kelayakan dan kelulusan,” katanya.

Terdahulu, seramai 76 orang pelatih terdiri daripada pelbagai etnik Orang Asli Semenanjung Malaysia berjaya menamatkan Kursus Asas Konstabel Orang Asli PDRM selama enam bulan, hari ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tindakan tegas sebar video, gambar timbul fitnah libatkan polis

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang sengaja merakam serta menyebarkan video atau gambar anggota polis yang sedang bertugas sehingga boleh menimbulkan fitnah, sekali gus mengganggu siasatan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata perbuatan tidak bertanggungjawab itu boleh menimbulkan kegusaran dan persepsi salah dalam kalangan masyarakat sehingga wujud tanggapan pasukan keselamatan itu ‘menindas’ orang ramai.

“Kita memandang serius perbuatan berniat jahat itu yang memuat naik serta menularkan video atau gambar tentang sesuatu kejadian seolah-olah pegawai penguat kuasa bertindak menyalahi undang-undang.

“Polis sentiasa menghormati kebebasan bersuara, tetapi mestilah dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh undang-undang,” katanya kepada Bernama.

Beliau turut memberi amaran bahawa mereka yang melakukan kesalahan tersebut boleh disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah.

Beliau mengulas tindakan seorang lelaki berusia 24 tahun yang merakam visual dengan telefon bimbit dan menyiarkannya menerusi Facebook Live ketika sepasukan anggota polis membuat serbuan serta menahannya di sebuah rumah di Petaling Jaya pada 7 Nov lepas.

Serbuan itu dibuat berhubung siasatan kes Akta Hasutan melibatkan Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY).

Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata polis menjalankan siasatan terhadap seorang pemimpin kanan UMANY mengikut Akta Hasutan berhubung kenyataan kontroversi mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster benteng Lahad Datu: Polis tingkat SOP kekang Covid-19

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggandakan tatacara operasi piawai (SOP) dalam usaha mengekang penularan Covid-19 di Sabah termasuklah kluster benteng Lahad Datu terutama dalam menahan pendatang tanpa izin.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata ia merupakan langkah pencegahan kerana pihaknya tidak mengetahui asal-usul dan tahap kesihatan pendatang tanpa izin berkenaan.

Beliau berkata arahan terhadap tindakan pemantauan dan penguatkuasaan SOP juga telah dikeluarkan kepada setiap Ketua Polis Negeri, Ketua Polis Daerah dan Ketua Polis Balai.

“Sebagai contoh saya telah mengingatkan Ketua Polis Kedah (Datuk Hasanuddin Hassan) supaya meningkatkan penguatkuasaan (SOP) ini kerana kes Covid-19 di negeri itu semakin meningkat.

“Orang ramai diingatkan agar mematuhi SOP yang ditetapkan agar tidak dikenakan tindakan,” katanya dalam sidang media selepas majlis serah terima tugas jawatan empat pengarah jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) di Maktab PDRM Cheras, di sini, hari ini.

Selain itu, Abdul Hamid berkata ada kebarangkalian orang ramai telah mula cuai dan berasa lega kerana statistik Covid-19 yang diumumkan ketika ini berlegar-legar sekitar satu hingga dua angka.

“Ini berikutan terdapat pelanggaran SOP secara terang-terangan dilakukan seperti yang berlaku di kelab-kelab malam dan pusat-pusat hiburan. Risikonya begitu tinggi dan akan wujudnya kluster-kluster baharu,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan tiada pegawai atau anggota polis dijangkiti Covid-19 bagi kluster benteng Lahad Datu, meskipun kes baharu yang dicatatkan semalam meningkat ke-100.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata beberapa saksi telah dipanggil memberi keterangan berhubung kes anggota tentera mati disyaki terjun bangunan kediaman kem tentera di Batu Pahat, pada 28 Ogos lepas.

“Beberapa tentera sedang dirakam percakapannya dan apabila dapat butirannya, laporan lengkap akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Kami melihat pelbagai sudut, mungkin ada penderaan atau mungkin arwah ini ketakutan jadi dia lari dan terjun dan bukannya hendak bunuh diri,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Individu belum jalani saringan kedua Covid-19 bakal ditahan, didakwa

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Lebih 2,800 rakyat Malaysia yang masih belum melakukan ujian saringan kedua Covid-19 selepas 13 hari menjalani kuarantin sebaik pulang dari luar negara bakal ditahan dan didakwa, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata tindakan akan bermula hari ini dengan senarai nama diperoleh daripada Kementerian Kesihatan.

“Mereka akan berdepan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika masih enggan menjalani ujian saringan Covid-19 kali kedua, bermula hari ini.

“Sekiranya mereka yang ditahan ini positif Covid-19, kita akan dakwa mereka selepas pulih. Saya amat tegas mengenai perkara ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata keputusan tersebut dibuat selepas mesyuarat khas Kabinet bersama Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di Putrajaya hari ini.

Menurutnya taklimat mendedahkan punca penularan baharu disebabkan ketidakpatuhan kepada tatacara operasi piawai (SOP) dan polis telah diminta meningkatkan penguatkuasaan undang-undang.

Abdul Hamid turut memberi amaran sama kepada lebih 9,600 rakyat Malaysia yang kini menjalani kuarantin di rumah agar mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

“Kami akan buat pemeriksaan mengejut di rumah mereka bermula hari ini, jangan degil,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis pertimbang guna pistol perenjat elektrik hadapi individu agresif

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mempertimbangkan untuk menggunakan pistol perenjat elektrik (taser gun) secara menyeluruh bagi pegawai dan anggotanya semasa melaksanakan tugas harian.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata pihaknya kini sedang mengurangkan penggunaan senjata api terutama apabila berdepan dengan orang agresif atau mengamuk.

“PDRM tidak mahu tembak dan ingin menyelesaikan masalah tanpa meragut nyawa, misalnya orang yang di bawah pengaruh dadah akan bersikap agresif maka kami ingin memakai taser gun sahaja untuk menyelesaikan kes-kes mengamuk ini.

“Meskipun pengunaan pistol perenjat elektrik ini pernah diperkenalkan sebelum ini, namun tidak banyak yang disediakan kepada anggota polis dan kebanyakannya adalah berkualiti rendah,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman, di sini.

Beliau berkata pistol perenjat elektrik ini mempunyai jangka hayat tertentu dan jangka hayat berkenaan bergantung kepada kualiti pistol perenjat elektrik itu.

Abdul Hamid berkata ada pistol perenjat elektrik berkenaan mempunyai jangka hayat sehingga lima tahun dan ada juga yang setahun, bergantung kepada kualiti produk itu.

“Jadi kalau boleh PDRM mahu seperti pistol perenjat elektrik yang diguna pakai polis Amerika Syarikat yang tahan lasak” katanya.

Mengulas mengenai penggunaan kamera badan, Abdul Hamid berkata PDRM kini sedang dalam proses perolehan kemudahan itu di peringkat Kementerian Dalam Negeri untuk digunakan anggota polis membuat rondaan terutamanya di kawasan bandar raya.

“Selepas ini, semua kereta peronda PDRM juga akan ada kamera termasuk kamera badan pada anggota kami yang bertugas kerana mereka ini berinteraksi dengan orang ramai di luar sana,” katanya.

Beliau berkata pucuk kepimpinan kerajaan yang lepas telah meluluskan pengunaan kamera badan ini, namun kini ia masih dalam proses menunggu tender dan sebagainya.

Mengenai kesiapsiagaan PDRM menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan datang, beliau menegaskan PDRM sentiasa bersedia dan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk menghadapi PRU-15.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: NGO diminta dapatkan kebenaran buat kerja amal – KPN

KUALA LUMPUR, 18 APRIL: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diminta dan dinasihat untuk mendapatkan kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum membuat sebarang kerja amal dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata ketua polis negara.

Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata selain NGO, pihak swasta, agensi atau jabatan kerajaan serta mana-mana kementerian juga perlu mendapatkan kebenaran daripada MKN untuk menjalankan sebarang aktiviti.

“Pihak yang mahu melakukan kerja amal perlu terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada MKN dan perlu mengikuti Tatacara Operasi Piawai (SOP) yang ditetapkan.

“Ini juga termasuk jabatan kerajaan, kementerian serta pihak swasta bagi urusan yang dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Menara City One, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai dakwaan polis memberi keistimewaan kepada pihak tertentu termasuk orang kenamaan untuk tidak terikat dengan PKP, Abdul Hamid menafikan perkara berkenaan.

“Kami ada menerima beberapa laporan polis berkaitan perkara itu dan siasatan lanjut akan dijalankan termasuk memanggil individu terlibat untuk mendapatkan penjelasan mereka.

“Saya tahu tidak semua orang melanggar PKP dan saya percaya ada antaranya mendapat kelulusan (bergerak dalam tempoh PKP),” katanya.

Beliau menasihatkan semua pihak berkaitan supaya mematuhi arahan PKP termasuk mematuhi SOP ditetapkan MKN.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata beliau tidak pernah dihubungi oleh sesiapapun untuk mendapatkan “keistimewaan” bagi melakukan sebarang perjalanan tidak wajar dalam tempoh PKP ini berkuat kuasa.

“Segala peraturan terkandung di dalam PKP ini mesti dipatuhi semua pihak. Kecuali (perjalanan) bagi kes melibatkan kebajikan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan pesakit,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pematuhan perintah kawalan cecah 99 peratus – KPN

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Pematuhan orang ramai terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksana bagi menangani wabak Covid-19 kini meningkat kepada 99 peratus, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata orang ramai mula memahami tujuan utama kerajaan melaksana PKP iaitu untuk memutuskan rantaian Covid-19 di negara ini.

“Alhamdulillah, saya amat berterima kasih kepada orang ramai… majoritinya saya boleh kata kini 99 peratus mematuhi dan memahami pentingnya mereka patuh PKP.

“Mereka memahami bahaya sekiranya PKP ini diabaikan.. (baki) satu peratus ini yang degil dan memeningkan kita (polis) kerana mereka tidak ambil kisah tentang wabak Covid-19,” katanya ketika ditemui Bernama di Bukit Aman, hari ini.

Abdul Hamid berkata memasuki fasa kedua PKP kini, pihaknya melaksanakan tindakan lebih tegas dengan menahan mereka yang ingkar perintah serta mengadakan lebih banyak sekatan jalan raya.

“Sebelum ini, polis laksanakan PKP dengan berhemah dan beri nasihat tetapi ada yang degil seolah-olah mereka tidak akan dijangkiti (Covid-19).

“Sekarang polis masuk ke tahap lebih keras dengan tangkap mereka yang tidak bertanggungjawab… mereka yang keluar tanpa tujuan dibenarkan akan terus ditangkap,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan bahawa ramai individu bawah umur ditahan kerana ingkar arahan PKP.

“Ada (individu bawah umur) yang menunggang motosikal berdua yang secara terang-terang melanggar PKP… ini yang menyedihkan dan saya harap ibu bapa dapat kawal mereka ini,” katanya.

Abdul Hamid berkata pelaksanaan PKP itu juga secara tidak langsung membuatkan kadar jenayah di negara ini turun antara 65 dan 75 peratus.

“Kadar kemalangan jalan raya juga dilihat turun dan polis akan terus menguatkuasakan PKP bagi memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

95 peratus ahli tabligh tampil buat saringan, baki sedang dikesan – KPN

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Sebanyak 95 peratus peserta perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling di sini tampil membuat saringan kesihatan bagi Covid-19, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Katanya, baki lima peratus lagi sedang dijejaki untuk memastikan mereka juga tampil membuat saringan Covid-19.

Beliau berkara polis menubuhkan pasukan petugas melibatkan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di semua peringkat daerah dan kontinjen polis negeri dalam usaha mengesan mereka yang menghadiri perhimpunan tersebut dari 28 Februari hingga 1 Mac lalu.

“Hasil usaha ‘task force’ (pasukan petugas) dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kami telah mengenal pasti butiran penuh sehingga 10,000 daripada mereka dan masih mengesan yang lain,” katanya dalam satu temu bual khas sempena Hari Polis ke-213 pada program ‘Selamat Pagi Malaysia’ yang disiarkan melalui saluran TV1, RTM, hari ini.

Abdul Hamid berkata pihaknya kini aktif menghubungi anggota jemaah itu untuk mengingatkan mereka supaya mana-mana kenalan yang masih belum tampil membuat pemeriksaan saringan Covid-19 agar tampil berbuat demikian.

“Saya meminta orang ramai agar tidak mendiskriminasikan ahli tabligh ini kerana mereka tidak bersalah dalam hal ini (isu Covid-19) yang boleh memberikan kesan negatif kepada ahli berkenaan,” katanya.

Beliau berkata polis sentiasa berinteraksi dengan pucuk pimpinan ahli tabligh untuk mendapatkan kerjasama dalam mengesan mereka yang masih belum tampil.

“Jadi saya mohon orang ramai untuk menghentikan kecaman, mencaci dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada ahli tabligh,” katanya.

“Sebenarnya mereka memberikan kerjasama yang amat baik kepada pihak polis dan kami dapat butiran terbaharu yang mereka perolehi daripada hasil usaha mereka sendiri (mengesan sesama ahli tabligh),” katanya.

Selain itu, Abdul Hamid meminta orang ramai berkongsi maklumat dengan polis jika ada pesakit atau mereka disyaki terkena jangkitan COVID-19 untuk bantu KKM.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Henti sebar berita tidak sahih atau berdepan tindakan undang-undang

MELAKA, 5 FEB: Polis memberi amaran agar semua pihak menghentikan segera penyebaran dan perkongsian berita tidak sahih mengenai penularan kluster koronavirus di negara ini, atau berhadapan tindakan undang-undang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika memberi peringatan itu, berkata perbuatan tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu mengenai koronavirus 2019 boleh mengundang rasa panik dan takut dalam kalangan rakyat.

“Tindakan itu adalah tidak bertanggungjawab dan tidak adil kepada rakyat kerana ia sekali gus mampu mengundang situasi yang lebih serius pada keharmonian.

“Polis memandang serius perbuatan pihak yang menyebarkan berita tidak sahih serta tindakan tegas dan segera akan diambil bagi membendung perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Melaka Siri 1/2020 di sini, hari ini.

Seramai 425 pesara polis dan pegawai serta anggota yang sedang berkhidmat menerima PJPN yang disampaikan Abdul Hamid. Turut hadir Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Abd Rahim Jaafar dan Ketua Polis Melaka Datuk Mat Kasim Karim.

Abdul Hamid berkata mereka yang ditahan kerana menyebarkan berita tidak sahih mengenai 2019-nCoV akan didakwa seberapa segera yang boleh.

Polis sehingga kini membuka 13 kertas siasatan berhubung penyebaran berita tidak sahih mengenai penularan kluster 2019-nCoV menerusi laman media sosial dan tiga daripadanya telah mendapat kelulusan untuk dituduh di mahkamah.

Pertuduhan terhadap satu kes dibuat di mahkamah Kuala Lumpur pagi ini melibatkan seorang wanita yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tiga tuduhan membuat kenyataan berhubung isu jangkitan 2019-nCoV di laman profil Facebook miliknya yang akan menyebabkan ketakutan kepada orang awam.

Wan Noor Hayati Wan Alias, 41, didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM12,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis siasat sindiket bawa masuk etnik Rohingya

SEPANG, 31 JAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat kewujudan sindiket baharu penyeludupan etnik Rohingya ke negara ini melalui negeri-negeri di utara Malaysia, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Ini berikutan polis mendapat maklumat terdapat cubaan untuk membawa masuk etnik Rohingya ke negara ini secara haram, katanya.

Berikutan itu, katanya kawalan di bahagian utara Selat Melaka diperketatkan melibatkan kerjasama antara Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Abdul Hamid berkata demikian sebagai mengulas laporan mengenai 65 pelarian etnik Rohingya diselamatkan PPM baru-baru ini, yang ditemui pada jarak 3.3 batu nautika di perairan Pulau Kendi, Pulau Pinang dalam keadaan kebuluran setelah hanyut 20 hari ketika cuba diseludup sindiket penyeludupan migran.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis perbarisan tamat latihan asas pegawai dan pembantu keselamatan penerbangan (polis bantuan Malaysia Airports Holdings Bhd) di Kompleks Bunga Raya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengulas hasrat seorang guru tadika wanita M.Indira Gandhi untuk menyaman beliau kerana dikatakan gagal menemui anak perempuannya yang hilang selepas diculik bekas suami, Abdul Hamid berkata ia terpulang kepada wanita berkenaan.

“Saya tidak ada masalah dengan itu. Dia (Indira) boleh saman ke apa semua. Saya mengambil pendekatan untuk jalankan satu usaha supaya kedua-dua pihak dapat diketemukan dan masalah ini dapat dirungkai selain kebajikan anak-anak dapat dijaga,” katanya.

Abdul Hamid turut meminta bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah supaya tampil berunding agar anak-anak yang terlibat dapat tinggal dalam negara dan menikmati pendidikan yang sempurna.

“Tak payah menyorok-menyorok lagi. Tampil ke hadapan. Masyarakat tidak tahu dia di mana, saya tahu dia di mana,” katanya.

Muhammad Riduan, 47, menukar agama tiga anaknya kepada Islam pada April 2009 tanpa persetujuan Indira Gandhi, selepas mereka bercerai dan dia memeluk Islam. Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan pada 2018 memutuskan penukaran agama tiga anak itu kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengarahkan Ketua Polis Negara menangkap Muhammad Riduan kerana mengingkari perintah Mahkamah Tinggi supaya menyerahkan anak perempuan bongsunya, Prasana Diksa kepada bekas isterinya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis sokong hukuman berat pemandu mabuk – Abdul Hamid

SEPANG, 31 JAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyokong keputusan Kabinet untuk meminda undang-undang bagi mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah serta secara berbahaya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata PDRM berpendirian hukuman sedia ada perlu dipertingkatkan.

“Saya sokong sepenuhnya (hukuman berat). Sekiranya tidak tangani perbuatan yang menyalahi undang-undang dan tidak bertanggungjawab ini, lebih ramai akan menjadi mangsa, “ katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai perkara itu.

Abdul Hamid berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perbarisan tamat latihan asas pegawai dan pembantu keselamatan penerbangan (polis bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad) di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.

Pada Rabu, Kabinet bersetuju untuk meminda undang-undang sedia ada berkaitan kesalahan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk, di bawah pengaruh dadah serta secara berbahaya.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata tiga seksyen di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu Seksyen 41, 44 dan 45 akan dikaji semula bagi memperketatkan undang-undang sedia ada dengan hukuman yang lebih berat.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Abdul Hamid berkata melihat kepada perkembangan di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat dan negara barat lain, isu memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah begitu serius ditangani oleh pihak berkuasa asing.

“Kenapa tidak kita (Malaysia) juga ambil pendekatan yang sama,” katanya.

-BERNAMA