Categories
NASIONAL

Minta bantuan Indonesia cari Jamal

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 JUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meminta bantuan pihak berkuasa Indonesia bagi memburu Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia susulan Jamal didakwa melarikan diri ke negara republik itu.

“Nak berselindung apa. Dia tahu dia buat salah, lepas itu dia lari.

“Saya sedang minta Ketua Polis Negara untuk memburu beliau, katanya dia berada di Indonesia, jadi kita akan minta kerjasama dari pihak polis di sana, cari beliau bawa ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Penerapan Nilai-nilai Murni di Bulan Ramadan di Masjid Jabatan Penjara Malaysia, Kajang.

Pada masa sama, Muhyiddin menolak rayuan Jamal untuk mendapatkan jaminan perlindungan.

Katanya, pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa mengikut undang-undang sekiranya beliau bersalah.

Terdahulu, Jamal pada Rabu gagal menghadirkan diri ke IPD Ampang Jaya bagi memberi keterangan kepada polis susulan dakwaan melarikan diri sebelum proses ikat jamin selesai.

Beliau kemudian memuat naik rakaman video yang memperlihatkan dirinya berada di sebuah ladang kelapa sawit.

Polis Selangor turut memperhebatkan pemburuan Jamal, semalam.