Categories
NASIONAL

Anwar bersama sidang media PAKATAN

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 1 JUN: Ketua Umum Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul buat pertama kali bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media Majlis Presiden, gabungan itu di Menara Yayasan Selangor, tengah hari ini.

Ironinya, pada sidang media itu, Anwar tampil duduk bersebelahan bersama bekas seteru politiknya itu, selepas pembebasan beliau sebagai tahanan politik di Sungai Buloh, Mei lalu.

Walaupun tidak memberikan sebarang kenyataan pada sidang media ini, Anwar kelihatan tenang mendengar setiap penjelasan Tun Mahathir ketika diajukan pelbagai soalan daripada pemberita.

Sidang media berkenaan diadakan selepas Majlis Presiden mengadakan mensyuarat gabungan itu, pagi ini.

Difahamkan, ini merupakan mesyuarat Majlis Presiden kali pertama yang dihadiri Anwar, selepas dilantik menerajui kepimpinan tertinggi PAKATAN sejak penubuhan gabungan itu dibuat.

Hadir sama pada sidang media ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir barisan jemaah menteri kabinet PAKATAN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Sallahudin Ayub, Lim Guan Eng, M Kula Segaran, Anthony Loke dan Gobind Singh.

Categories
NASIONAL

GST 0%: Harga barang tidak jatuh serta merta

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 JUN: Biarpun Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) disifarkan bermula hari ini, namun harga barang tidak akan turun serta merta.

Ketua Umum Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan perlu meningkatkan program kesedaran secara menyeluruh bagi menjelaskan ia tidak menjejaskan keuntungan perniagaan.

“Dari pengalaman saya, harga barang mudah naik tetapi susah nak turun.

“Jika mahu pastikan harga barang benar-benar turun, kerajaan perlu tingkatkan program kesedaran yang menjelaskan bagaimana penghapusan cukai itu tidak menjejaskan keuntungan perniagaan.

“Semasa saya di penjara, atau di hospital, kakitangan penjara dan hospital mengeluh betapa terbebannya mereka dengan cukai itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual AI, terbitan Astro Awani.

Anwar turut memuji pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad yang memenuhi janji untuk memansuhkan GST.

Pada masa sama, beliau turut memberi jaminan barisan jemaah menteri akan memastikan perbelanjaan dikurangkan dan masalah rasuah berkurangan.

“Masih terlalu awal untuk mengukur keberkesanan saf itu, namun saya percaya
barisan ini mampu mempertahankan apa yang Pakatan Harapan janji akan ubah dan tidak lagi berbelanja besar, terlibat rasuah, pembaziran dan perbelanjaan tidak terkawal,” katanya.

AI berdurasi 15 minit bersiaran setiap Khamis, 8.15 malam memberi fokus kepada pandangan dan pendapat Anwar mengenai isu-isu semasa dan dikendalikan oleh Ashwad Ismail.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan mahu Bahasa Melayu & Islam dimartabat, kekal keharmonian

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 31 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitipkan pesanan supaya Bahasa Melayu dan kedudukan agama Islam dimartabatkan ketika menerima mengadap Ketua Umum Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Anwar berkata, baginda turut menasihatkan supaya keharmonian antara kaum di negara ini dijaga dengan sebaiknya.

“Pesan Tuanku untuk memartabatkan bahasa Melayu dan kedudukan Islam selain menjaga keharmonian antara kaum,” katanya.

Bercakap kepada media sejurus pertemuan hampir sejam setengah itu beliau turut menyembah maklum mengenai Perkembangan transisi tampuk pemerintahan negara yang berlangsung begitu baik pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Disamping itu, Anwar turut menyatakan kesediaan membantu kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun tidak memegang sebarang jawatan.

Sultan Selangor hari ini berkenan menerima mengadap Anwar di Istana Bukit Kayangan sambil diiringi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

DSAI menjunjung kasih, calon MB Selangor bakal dimuktamadkan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 31 MEI: Calon Dato’ Menteri Besar Selangor yang baharu sudah berada pada peringkat akhir untuk dimuktamadkan sebelum istiadat angkat sumpah dilangsungkan, pada 19 Jun ini.

Ketua Umum Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, KEADILAN akan terus memegang jawatan selaku Dato’ Menteri Besar kerana memenangi majoriti kerusi.

Katanya, perkara itu antara yang disentuh dalam pertemuan beliau bersama Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.

“Saya mengadap DYMM Sultan Sharafuddin dan menjunjung kasih atas kesudian tuanku memberikan masa yang panjang dan berbincang soal Selangor serta masa depan.

“Kita bincang soal perubahan Selangor untuk menggantikan menteri besar.

“(Calon Menteri Besar) Itu kita bincang bersama dan akan putuskan. Ia hampir muktamadkan. Parti yang majoriti dan dalam kes ini adalah KEADILAN,” katanya kepada media di luar perkarangan Istana Bukit Kayangan.

Anwar sebelum itu mengadap Sultan Sharafuddin hampir satu jam setengah sejurus tiba sekitar jam 10 pagi dan keluar, pada 11.35 pagi.

Hadir sama dalam pertemuan itu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, yang meninggalkan perkarangan istana, sekitar jam 11.45 pagi.

“Pertemuan yang baik, Alhamdulillah,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

DSAI di Istana Bukit Kayangan mengadap Sultan Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 31 MEI: Ketua Umum Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Istana Bukit Kayangan bagi mengadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM), Sultan Sharafuddin Idris Shah, pagi ini.

Kenderaan dinaiki Anwar tiba di pintu masuk istana pada jam 9.58 pagi sambil diiringi seorang pengawal trafik.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali tiba di lokasi sama pada jam 9.40 pagi.

Difahamkan, hadir sama dalam pertemuan itu, Ahli Dewan Diraja, Yang Amat Dimuliakan (YAD) Tengku Sri Wangsa Diraja, Tengku Dato’ Setia Ramli Al-haj bin Tengku Shahruddin Shah Al-Haj.

Menurut sumber, pertemuan bersama Sultan Selangor merupakan kesinambungan kunjungan Anwar ke beberapa istana sebelum ini.

Anwar sebelum ini menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Pemangku Sultan Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra.