Categories
NASIONAL

PKR gesa Mahkamah Tuntutan Tribunal kaji semula tuntutan

Tribunal Tuntutan

PETALING JAYA 4 OKT :  PKR menggesa kepada Mahkamah Tribunal Tuntutan untuk mengkaji semula keputusan tuntutan pengguna yang mengalami kerugian akibat masalah bekalan air berpunca daripada Syabas.

Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamarudin berkata, beliau akan membawa isu ini ke Parlimen berkenaan bidang tugas Mahkamah Tribunal Tribunal yang memerlukan penjelasan.

“Sekiranya kes air seperti ini bukan bidang kuasa mahkamah tribunal maka ia bidang kuasa siapa?, ” soal Zuraidah dalam sidang medianya di Ibu Pejabat PKR di sini.

Jelas Zuraidah, Mahkamah Tribunal Tuntutan perlu dirombak jika ada polisi yang tidak memihak kepada pengguna.

“Sekarang ini berlaku kekerapan gangguan bekalan air di kawasan Gombak dan Ampang.

“Syabas perlu bekerja efisien mempertingkatkan kerja mereka dan tidak boleh melepaskan diri tanpa memberikan pampasan kepada pengguna,” kata Zuraidah.

Sebelum ini, Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna memutuskan tribunal itu tidak mempunyai kuasa bagi mendengar perbicaraan tuntutan kerugian akibat masalah bekalan air terhadap Syabas.

Sebaliknya pihak penuntut gantirugi dinasihat agar memfailkan tuntutan di Mahkamah Sivil.

Categories
NASIONAL

Kenaikan harga minyak dorong rakyat ‘abai’ kesihatan

Zuraida 4

SHAH ALAM 5 SEPT : Tindakan Kerajaan Umno-BN menaikkan harga minyak menyebabkan taraf kesihatan rakyat merosot khususnya wanita, kanak-kanak dan warga emas.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, kos sara hidup rakyat yang meningkat mendadak akibat kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, menyebabkan rakyat terpaksa memotong perbelanjaan tertentu.

“Impak kenaikan itu menjejaskan kehidupan golongan suri rumah yang mengendalikan urusan domestik rumah berkaitan perbelanjaan makanan dan minuman.

“Dengan gaji tidak naik, rakyat tidak mampu menyara keluarga dengan sempurna,” katanya kepada TV Selangor.

Zuraidah berkata, taraf kesihatan kanak-kanak turut terjejas kerana tidak memperolehi makanan berkualiti yang membantutkan perkembangan jangka masa panjang.

“Orang berpendapatan rendah semakin terjejas kerana tidak mampu menampung kos perbelanjaan tinggi,” katanya.

Kini RON95 berharga RM2.10 manakala RON97 berharga RM2.85 dan diesel berharga RM2.00.

Tindakan kerajaan menaikkan harga minyak menyebabkan kesan rantaian kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang tinggi sehingga menjejaskan kos sara hidup rakyat.

– FZL

Categories
NASIONAL

Zuraida: Wanita Perlu Peka Isu Semasa

Wanita kongres 2

PETALING JAYA 24 MEI : Ketua Wanita PKR menyeru semua kompenan wanita parti itu lebih peka dengan isu semasa dan mampu berhujah diperingkat akar umbi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke 14 akan datang.

Ketuanya, Zuraida Kamaruddin berkata, walaupun Pilihan Raya Umum Ke 13 baru berlalu, tetapi gerak kerja pilihan raya akan datang harus dipersiapkan kini.

“Kita mahu wanita lebih peka dengan isu semasa supaya kita dapat mendedahkan kepada rakyat tentang penyelewengan yang dilakukan oleh pihak lawan,” katanya dalam ucapan dasar Kongres Nasional ke 9 di Dewan Sivil Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini.

Beliau turut mahu Wanita PKR terus menjadi komposisi penting dalam parti seterusnya mempersiapkan diri menjadi model kepada pemberdayaan wanita seluruh negara.

Dalam pada itu, Zuraida meminta budaya meminggirkan calon wanita seperti yang dilakukan Umno-BN perlu dihakis dalam PKR.

Katanya, sewajarnya Wanita PKR tidak menjadi seperti wanita Umno-BN yang masih lagi ditakuk lama dan gagal mengetengahkan secukupnya calon wanita walaupun sudah 50 tahun bertapak di negara ini.

Wanita kongres 1

Ini berbeza dengan PKR, kerana ada wanita PKR berjaya menjadi Pengarah Pilihan Raya, Wakil Calon, Pengurus Kempen dan Ketua Daerah Mengundi.

Dalam PRU13, Wanita PKR berjaya di tiga kerusi Parlimen (27.3 peratus) daripada 11 kerusi yang ditandingi.

Manakala, berjaya meraih lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (42.1 peratus) daripada 18 kerusi yang ditandingi.

Bagaimanapun, berdasarkan kerusi yang dimenangi, Wanita PKR masih belum berjaya memenuhi kuota 30 peratus penglibatan wanita di peringkat pusat, negeri dan organisasi parti.

Justeru, Zuraida berharap supaya pimpinan pusat parti mempertimbangkan seberapa ramai calon wanita masa depan.

Categories
NASIONAL

Shahrizat Letak Jawatan April ini

SHAH ALAM, 11 MAC : Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini mengumumkan akan meletakkan jawatannya sebagai menteri selepas tempoh perlantikannya sebagai senator tamat bulan April depan.

Shahrizat yang dilantik sebagai senator pada 9 April 2009 akan tamat tempoh penggal sebagai Senator pada 8 April depan.

Beliau bagaimanapun hanya berundur sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tetapi masih kekal sebagai Ketua Wanita Umno.

Keputusan itu diumumkan oleh beliau dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Shahrizat meletakkan jawatan sebagai menteri selepas kontroversi panjang isu skandal Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) yang diterajui suaminya, Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail.

Skandal NFC dalam projek lembah daging di Gemas, Negeri Sembilan itu turut mengaitkan dirinya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan kedudukan Shahrizat pada waktu yang sesuai ekoran pelbagai khabar angin mengatakan Senator itu akan meletakkan jawatan.

Sebelum ini, Shahrizat kelihatan berbincang dengan Najib beberapa ketika sebelum perdana menteri memberitahu perkara itu akan diumumkan tanpa mahu mengulas lanjut soal berkenaan.

Selain desakan banyak pihak termasuk pihak pembangkang, beberapa individu dalam Umno seperti bekas ketua Wanita Tan Sri Rafidah Aziz dan Ketua Umno Cheras Datuk Syed Ali Syed Abas Alhabshee juga menggesa Shahrizat melepaskan jawatan untuk mengelakkan menjadi bebanan parti.

Malah, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga dilaporkan menasihatkan bekas anggota parlimen Lembah Pantai itu agar “jangan sayang kepada jawatan.”

Sementara itu semalam, Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin dan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli memfailkan saman balas terhadap Shahrizat.

Tujuan saman balas tersebut menurut Zuraidah dan Rafizi berikutan khuatir pihak plaintif mungkin mengambil keputusan untuk melengah-lengahkan perbicaraan atau menarik balik saman dalam masa terdekat untuk mengelakkan dokumen penting dan pemimpin tertinggi BN diseret ke mahkamah untuk memberi keterangan.

Pada 19 Januari lalu Ketua Wanita Umno tersebut bertindak menyaman Zuraidah dan Rafizi kerana mengkaitkan beliau terlibat dengan skandal penyelewengan NFC.