Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor sasar anjur pelbagai kejohanan, libat peserta luar negara

SHAH ALAM, 16 FEB: Kerajaan Negeri menganjurkan pelbagai kejohanan sukan berskala sederhana di peringkat daerah mulai tahun ini dengan menyasarkan penyertaan dari luar negara.

Inisiatif bagi menyemarak semangat kesukanan itu dijayakan dengan kerjasama Tourism Selangor mengikut tatacara operasi piawai (SOP), kata EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman.

“Sebaik selesai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), kita akan turun jelajah ke daerah untuk anjurkan kejohanan sukan tetapi menjadikannya sebagai acara antarabangsa dengan melibatkan peserta luar negara.

“Objektif penganjuran adalah bagi membangkitkan semula semangat kesukanan sesuai dengan tema Selangor Bangkit yang diperkenalkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari,” katanya ketika ditemui pada BATC 2022 di Pusat Konvensyen Setia City dekat sini malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata Selangor sentiasa mengorak langkah ke hadapan bagi memajukan industri sukan meskipun berdepan kekangan SOP susulan pandemik Covid-19.

“Kalau boleh kita tidak mahu industri ini mati. Atas faktor itu, kita sentiasa mencari ruang untuk bergerak memajukan sukan di Selangor.

“Kita juga tidak boleh menunggu keputusan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) semata-mata (penganjuran acara sukan). Oleh sebab itu kita ambil peluang yang ada untuk kembangkan bidang sukan,” katanya lagi.

 

Categories
AGENDA PILIHAN MINGGUAN SUKANKINI

Selangor tuan rumah kejohanan badminton Asia, lapan negara sah bertanding

SUBANG JAYA, 27 JAN: Buat julung kalinya, Selangor menjadi tuan rumah Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam mulai 15 hingga 20 Februari depan.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata kejohanan berprestij itu diselaraskan Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Selangor sedia menjadi tuan rumah dan bertepatan dengan dengan tema Selangor Bangkit yang diperkenalkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Kita mengambil langkah berani bekerjasama dengan BAM dan Badminton Asia untuk memastikan industri sukan bangkit semula selepas ketidaktentuan kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) dan pelbagai sukan lain,” katanya dalam sidang media hari ini.

Mohd Khairuddin Othman berkata setakat ini lapan negara termasuk Malaysia mengesahkan penyertaan antaranya Korea, India, Thailand, Hong Kong dan Kazakhstan.

“Selain itu, kita sudah berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung tatacara operasi piawai (SOP) pemain bermula ketibaan di lapangan terbang hingga ke hotel dan seterusnya ke tempat perlawanan.

“Berhubung kehadiran penonton pula, kita masih menjalankan rundingan dan berharap KKM dapat mempertimbangkannya kerana kejohanan ini berlangsung dalam tempat yang besar,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor negeri pertama serah jentera pemadam terbesar kepada pasukan sukarelawan

SUNGAI BULOH, 10 APRIL: Kerajaan Selangor menjadi negeri pertama menyumbangkan jentera pemadam (FRT) terbesar kepada Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS).

EXCO modal insan berkata sumbangan anak syarikat Kumpulan Semesta Sdn Bhd bernilai RM160,000 itu diserahkan kepada PBS Saujana Utama bagi memudahkan urusan membantu masyarakat setempat.

“Kawasan ini mempunyai kira-kira 80,000 penduduk tetapi balai bomba agak jauh dari sini dan mengambil masa jika ada kecemasan.

Khairuddin Othman berucap di Majlis Penyerahan Kereta Bomba kepada Pasukan Bomba Sukarela Saujana Utama di Dewan MDKS Saujana Utama, Sungai Buloh pada 9 April 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Jadi dengan serahan ini, kita harap PBS dapat membantu orang awam secepat mungkin bukan hanya setakat memadam kebakaran tetapi kes-kes lain,” kata Mohd Khairuddin Othman.

Beliau ditemui pada majlis serahan FRT terbabit di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Saujana Utama malam tadi.

Ahli Dewan Negeri Paya Jaras itu turut meminta MDKS mewartakan tapak balai PBS terbabit secepat mungkin supaya bangunan lebih lengkap dan selesa dapat dibina.

“Dasar Dato’ Menteri Besar memang memudahkan urusan permohonan tapak terutama pembayaran premium sekiranya melibatkan kepentingan rakyat seperti pendidikan, keselamatan.

“Jadi kita harap agensi kerajaan mengambil peluang memohon (tapak) jika memang memerlukan. Ini tidak memberi masalah (untuk luluskan),” katanya.

FRT disumbangkan berkapasiti 3,000 liter air selain mempunyai ruang besar untuk memuatkan barang keperluan operasi menyelamat.

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor Xtiv Virtual diteruskan tahun depan

SHAH ALAM, 21 OKT: Selangor Xtiv Virtual diteruskan tahun depan selepas program julung kali tersebut merekodkan 178,081 penyertaan sejak dilancarkan pada Mei.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata Kerajaan Negeri komited menyediakan pertandingan e-sukan selaras dengan kehendak golongan muda masa kini.

“Program ini merangkumi Selangor Xtiv Virtual e-Sport, Selangor Xtiv Virtual Run, Selangor Martial Art Xtiv, Selangor Xtiv Fifa Pro Club dan Selangor Xtiv Virtual Youth Busking.

“Pada awalnya penganjuran bertujuan menggalakkan masyarakat bergiat aktif sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi melihat sambutan menggalakkan, kita bercadang anjur lagi tahun depan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata Selangor satu-satunya negeri yang berjaya menganjurkan pertandingan program sukan secara maya berskala besar beserta hadiah.

“Antara peserta luar negara yang menyertai pertandingan adalah dari Singapura, Indonesia, Brunei, Jepun, India dan Amerika Syarikat,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

RiDE: 100 peserta mula kursus, borang dimuat turun 19,000 kali

SHAH ALAM, 2 SEPT: Seramai 100 peserta Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) yang menepati kriteria dipilih menjadi kumpulan pertama mengikuti kursus e-panggilan secara berperingkat bermula bulan ini, kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata permohonan program itu masih dibuka dengan borang dimuat turun 19,000 kali setakat semalam.

“Kita berharap kumpulan pertama dapat memulakan kerja sebagai penghantar makanan pada hujung bulan ini, kita galakkan mereka menjana pendapatan dalam sektor ekonomi sampingan yang semakin berkembang sekaligus menambah pendapatan isi rumah,” katanya kepada SelangorKini.

RiDE menyasarkan 3,000 belia miskin bandar mendapat subsidi lesen motosikal B2 berjumlah RM350, selain boleh mengikuti kursus e-panggilan bernilai RM200 dan menikmati caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial berjumlah RM70 setahun.

Antara syarat ditetapkan ialah pemohon perlu mendapatkan pengesahan pemastautin tetap melebihi 10 tahun di Selangor menerusi pejabat wakil rakyat kawasan masing-masing dan menghantar sendiri borang ke pejabat Majlis Sukan Negeri.

Syarat lain, pemohon mesti berumur 17 hingga 30 tahun, mempunyai pendapatan di bawah RM2,000 bagi yang bekerja serta memperoleh lesen motosikal B2 bermula Januari tahun ini.

Mereka yang berminat boleh memohon inisiatif itu menerusi pautan http://msnselangor.gov.my.

Categories
EXCO SELANGOR

Kumpulan pertama RiDE dipilih September ini

SHAH ALAM, 16 OGOS: Kumpulan pertama yang layak menerima inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) bakal dipilih September ini, kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata seramai 500 peserta dipilih berdasar kelayakan dan mereka bakal menerima sijil dan sumbangan daripada Kerajaan Negeri.

“Sambutan amat memberangsangkan dari hari ke hari permohonan RiDE sentiasa meningkat. Kita sasar bulan depan (September) kira-kira 500 peserta dipilih bagi kumpulan pertama,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata sehingga kini permohonan RiDE sudah mencecah 15,000 sejak dibuka pada 1 Ogos. Anak muda berusia bawah 30 tahun yang berminat masih boleh memohon inisiatif itu menerusi pautan http://msnselangor.gov.my.

RiDE menyasarkan 3,000 belia miskin bandar mendapat lesen motosikal B2 dan menerima latihan khusus, selain membuka peluang pekerjaan dengan kerjasama syarikat e-panggilan.

Belanjawan 2020 memperuntukkan dana awal RM1 juta bagi pelaksanaan inisiatif itu dan ditambah RM1 juta lagi melalui Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor 2020 pada 13 Julai lalu.

Categories
ADN EXCO SELANGOR

Selangor jamin bela peniaga tempatan di Sungai Buloh

SHAH ALAM, 12 OGOS: Kerajaan Negeri akan membantu menyelesaikan isu peniaga tempatan di Sungai Buloh yang tidak mempunyai lesen dan membina struktur haram sebagai premis perniagaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyatakan kesediaan untuk membantu menyelesaikan isu tersebut selewat-lewatnya dalam tempoh sebulan.

“Insya-Allah dalam tempoh sebulan MBSA akan bantu peniaga dengan syarat peniaga kena bantu pihak berkuasa dengan menyediakan dokumen lengkap berhubung perniagaan dijalankan.

“Malah mesyuarat EXCO hari ini turut memutuskan supaya MBSA membantu peniaga menerusi pelaksanaan program pemutihan, yang mana peniaga ada kesalahan sebelum ini kita putihkan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Selangor Xtiv Virtual Youth Busking hari ini.

Mohd Khairuddin yang juga EXCO pembangunan modal insan berkata Kerajaan Selangor sentiasa membela nasib peniaga kecil dan ia dibuktikan menerusi pelbagai bantuan disalurkan, terutama ketika berdepan pendemik Covid-19.

“Saya akan berbincang dengan MBSA kemungkinan mewujudkan kaunter bergerak Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) di Sungai Buloh bagi membantu peniaga terlibat,” katanya.

Hari ini MBSA memberi notis akan meroboh atau menyita 101 premis sekitar Bandar Baru Sungai Buloh yang gagal mematuhi notis amaran diberikan pada Isnin dan Selasa lalu.

Timbalan Datuk Bandarnya, Mohd Rashidi Ruslan berkata tindakan itu dikenakan terhadap premis yang menambah atau mengubah suai struktur bangunan tanpa kebenaran pihaknya.

Categories
ADN SELANGOR

Hasrat jadikan nurseri Pusat Kusta tarikan pelancong

SHAH ALAM – Ahli Dewan Negeri Paya Jaras berhasrat menjadikan nurseri di tapak bekas Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN), Sungai Buloh sebagai destinasi tumpuan pelancong.

Mohd Khairuddin Othman bercadang menjalin kerjasama dengan pihak berkaitan di lokasi berkenaan yang ingin diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco, agensi pendidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Saya akan cadangkan kerjasama ini dengan EXCO pelancongan dan pertanian. Bagaimanapun, buat masa ini idea lanjut belum ada kerana kita perlu membuat perancangan sebaik mungkin.

“Kita akan menaik taraf logistik termasuk landskap di kawasan nurseri (di PKKN) dan mengisi kawasan terbabit dengan acara bunga tahunan,” katanya yang juga EXCO pembangunan generasi muda, sukan dan pembangunan modal insan negeri.

Sungai Buloh selama ini dikenali sebagai pusat pengagihan tanaman hiasan dan juga dipenuhi dengan tapak-tapak nurseri yang menjual pelbagai jenis bunga dan anak pokok.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Keputusan jadi tuan rumah Sukma 2022 diketahui hujung Februari

SHAH ALAM, 22 JAN: Keputusan sama ada Selangor layak menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2022 akan diketahui selewat-lewatnya penghujung Februari ini, kata EXCO sukan.

Sebagai persiapan awal, Mohd Khairuddin Othman berkata Majlis Sukan Negeri sudah mengadakan lawatan ke beberapa lokasi acara dalam temasya dwitahunan terbabit.

“Beberapa acara sukan bakal diberi tumpuan antaranya renang, olahraga, menembak dan memanah yang dilihat berpotensi menyumbang pingat kepada kontinjen Selangor,” katanya.

Sebelum ini, Mohd Khairuddin berkata Selangor mempunyai peluang cerah menjadi tuan rumah temasya terbabit selepas beberapa negeri menyatakan sokongan dalam mesyuarat majlis jawatankuasa tertinggi Sukma yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman di Putrajaya, September tahun lalu.

Kali terakhir Selangor menjadi tuan rumah pada 1998.

Categories
EXCO SELANGOR

Kerajaan Negeri belanja RM2.47 juta untuk program sukan

SHAH ALAM, 11 NOV: RM2.47 juta dibelanjakan Kerajaan Negeri bagi membiayai Program Pembangunan Sukan membabitkan 3,876 atlet Selangor.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, Kerajaan Negeri membelanjakan RM2.47 juta bagi membiayai program terbabit.

“Bagi tahun 2019, bilangan atlet di program pembangunan sukan Negeri Selangor adalah seramai 3,876 atlet yang terdiri daripada 2,708 atlet lelaki dan 1,168 atlet wanita.

“Jenis sukan yang diutamakan oleh Kerajaan Negeri bagi program pembangunan sukan adalah sebanyak 16 jenis sukan teras yang disenaraikan oleh Majlis Sukan Negara Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, antara sukan terbabit adalah akuatik (renang dan terjun), badminton, boling padang, berbasikal, bolasepak, gimnastik, hoki dan olahraga.

Katanya, Program Pembangunan Sukan bermula di peringkat daerah melalui Program Bakat sebelum disaring untuk diserap ke Program Pelapis dan kemudiannya ke Program Elit SUKMA.

Categories
SELANGOR

Selangor negeri pertama iktiraf penggiat e-sukan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 MAC: Selangor menjadi negeri pertama memberi pengiktirafkan kepada penggiat sukan siber atau e-sukan apabila mula menganjurkan pertandingan sejak 2014.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, Kerajaan Negeri juga membelanjakan kira-kira RM1.2 juta sejak 2014 hingga 2018 bagi membiayai pertandingan ini.

“Untuk makluman, Selangor merupakan negeri pertama menganjurkan ‘Selangor Cyber Games’ sebelum Kerajaan Persekutuan melaksanakan program berbentuk permainan siber ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi sebelah pagi Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Katanya, penganjuran e-sukan itu bertujuan memberi peluang kepada anak muda berbakat dalam bidang sukan yang sedang berkembang pesat itu.

Mohd Khairuddin berkata, pada masa ini terdapat banyak penganjuran dalam pelbagai skala yang dianjurkan Penggerak Belia Tempatan (PeBT), pengusaha pusat siber persendirian dan syarikat pembangunan permainan.

Foto Kredit: e-clubmalaysia.com

Categories
SELANGOR

EXCO seru jadikan Selangor hub e-sukan antarabangsa

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 MAC: Aktiviti e-sukan semakin berkembang pantas di seluruh dunia dengan mendapat sambutan yang baik dalam kalangan generasi muda.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, Kerajaan Negeri melihat aktiviti ini sebagai satu aliran perkembangan baru dan mempunyai potensi menjadikan Selangor sebagai hub e-sukan antarabangsa.

“Bagaimanapun, pada masa ini tiada garis panduan khusus untuk aktiviti melesenkan e-sukan menyebabkan ramai pengusaha tidak dapat membuka premis,” katanya pada sesi pagi Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri bakal mengadakan mesyuarat penyelarasan membabitkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mewujudkan satu garis panduan pelesenan e-sukan di pusat siber dan kafe siber serta permainan digital secara atas talian.

Katanya, ia bagi membantu pengusaha melaksanakan aktiviti perniagaan secara berlesen dan dapat di kawal mengikut syarat-syarat pelesenan.

Mohd Khairuddin berkata, selain itu, e-sukan juga mampu menjana hasil baru melalui pelesenan PBT di Selangor.

“Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan memahami kehendak perniagaan terkini dan dengan wujudnya garis panduan ini diharapkan dapat merancakkan perkembangan e-sukan sebagai salah satu budaya sukan sihat untuk komuniti,” katanya.