Categories
SELANGOR SUKANKINI

Selangor beri insentif RM929,200 kepada atlet SUKMA, Sukan Asia dan Para Asia

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 JAN: Kerajaan Negeri memberikan insentif sebanyak RM929,200 kepada atlet negeri itu yang berjaya melakar kejayaan dalam Sukan Malaysia (SUKMA), Sukan Asia dan Para Asia 2018.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, insentif itu diberikan tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada atlet yang mengharumkan nama Selangor dalam pertandingan sukan yang disertai.

Katanya, Kerajaan Negeri amat prihatin dengan usaha dan sumbangan yang diberikan atlet, pegawai pasukan dan persatuan sukan negeri di tiga kejohanan sukan utama itu.

“Pasukan sukan yang menerima insentif tertinggi adalah renang yang beraksi cemerlang di SUKMA Perak dengan memenangi 12 emas, 16 perak dan 15 gangsa, sekali gus menerima insentif terbesar sebanyak RM194,000,” katanya pada Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Kontinjen Selangor, di Dewan Megawati, Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, di sini, hari ini.

Khairuddin berkata, sebanyak RM831,200 diberikan kepada atlet SUKMA; RM55,000 kepada atlet Sukan Asia Jakarta-Palembang dan RM43,000 kepada atlet Sukan PARA Asia, Indonesia daripada jumlah keseluruhan insentif itu.

“Kerajaan Negeri berbesar hati untuk mengiktiraf dan menghargai kecemerlangan atlet yang mewakili negara di Sukan Asia Jakarta-Palembang dan Sukan Para Asia.

“Seramai 16 atlet berjaya mengharumkan nama Malaysia, di bumi Indonesia. Mereka daripada atlet sukan tenpin bowling, sepak takraw, pencak silat, skuasy, terjun, basikal, sukan layar dan renang,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Kerajaan Negeri komited untuk menggalakkan pembangunan sukan secara menyeluruh menerusi pelbagai usaha yang dilaksanakan Majlis Sukan Negeri Selangor.

“Seperti kejayaan ketiga kejohanan ini, segala program dan latihan yang diwujudkan daripada akar umbi membantu dalam pembangunan atlet sekali gus, menyumbang kepada kejayaan yang dicapai tahun lalu,” katanya.

Antara senarai penerima insentif tertinggi secara individu adalah atlet berbasikal Sukan Para Asia., Mohd Najib Turano, sebanyak RM19,000 manakala atlet renang, Jordan Yip Zhu Ern, daripada SUKMA menerima RM14,000.

Selain itu bagi Sukan Asia, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (tenpin bowling) serta Farhan Adam (sepak takraw) masing-masing menerima insentif RM8,000.

Pada kejohanan SUKMA Perak September lalu, kontinjen Selangor berjaya menduduki tempat ketiga dengan memperoleh kutipan pingat 47 emas, 69 perak dan 67 gangsa.

Manakala, bagi Sukan Asia, atlet Selangor berjaya meraih tiga emas, enam perak dan dua gangsa.

Sementara itu, bagi Sukan Para Asia, atlet negeri itu membawa pulang pingat perak (tiga) dan gangsa (lima).

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

Kerajaan Negeri sedia ganding bahu pasti kebajikan atlet terjaga

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 24 JAN : Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan dalam memastikan kebajikan atlet terjaga sebaiknya.

  EXCO Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, Kerajaan Negeri sentiasa melihat kebajikan atlet Selangor sebagai keutamaan.

“Antara langkah awal, saya akan mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Menteri Belia dan Sukan bagi membincangkan beberapa isu termasuk membabitkan isu kebajikan atlet.

“Di peringkat negeri, pada masa ini hubungan dengan atlet berjalan baik tanpa sebarang masalah,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, katanya, Majlis Sukan Negeri kini sedang membuat persiapan akhir untuk mengadakan majlis penyerahan insentif kemenangan kepada kontinjen Selangor.

Serahan insentif itu membabitkan atlet yang mengharumkan nama negeri dalam beberapa sukan antaranya Sukan Malaysia 2018, Sukan Asia dan Para Asia 2018, pada 29 Januari ini.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Suee Lim Speaker DNS, Khairuddin Timbalan DNS

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 26 JUN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim dan ADN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman dilantik secara rasmi menjadi Speaker serta Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS).

Pelantikan Speaker itu dicadang Dato’ Menteri Besar dan ADN Sungai Tua, Amirudin Shari serta disokong ADN Bandar Baru Klang yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Datuk Teng Chang Kim.

Chang Kim pula mencadangkan supaya Mohd Khairuddin dilantik menjadi Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor dan ia disokong ADN Kota Kemuning yang juga Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin V Ganabatirau.

Suee Lim dan Mohd Khairuddin mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sambil disaksikan Setiausaha Dewan Negeri Selagor.

Majlis Angkat Sumpah DNS yang melibatkan 56 ADN berlangsung pagi ini dan dimulakan oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jurukamera Media Selangor meninggal dunia

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

SHAH ALAM, 26 JUN: Jurukamera Media Selangor, Khairuddin Jamaluddin, meninggal dunia di Hospital Serdang, kira-kira jam 11.20 malam tadi.

Khairuddin, 51, meninggal dunia akibat pendarahan di dalam perut.

Beliau meninggalkan seorang balu dan dua anak lelaki berusia tiga tahun serta lima bulan juga seorang anak tiri berumur 10 tahun.

Jenazah akan dibawa pulang ke kampung mertuanya di Felda Bukit Rokan Utara, Gemencheh, Negeri Sembilan.

Jenazah dijangka akan disolat dan dikebumikan selepas solat zohor.

Categories
SELANGOR

‘Paya Jaras Happening’ bantu tingkatkan ekonomi setempat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 5 MEI: Aktiviti ekonomi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras terus dipertingkatkan bagi meningkatkan lagi ekonomi masyarakat tempatan khususnya golongan belia di sini.

Calon Ahli Dewan Negeri (ADN) kerusi Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, antaranya dengan menjadikan Paya Jaras sebagai kawasan yang meriah atau ‘Paya Jaras Happening’ dengan pelbagai aktiviti perniagaan.

“Antaranya dengan membuka bazar Uptown Sungai Buloh yang sudah enam bulan beroperasi dan memberi peluang kepada peniaga kecil berniaga di sini.

“Saya harap bazar ini bertambah maju apabila masalah pusingan ‘U’ dapat diselesaikan nanti,” katanya kepada SelangorKini selepas menghadiri program Santai Karaoke YBK 2018 Uptown Sungai Buloh di sini, malam tadi.

Jelasnya, pengurusan bazar Uptown Sungai Buloh ini diserahkan kepada Pertubuhan Komuniti 47000 Sungai Buloh yang mengendalikan grup 47000 Sungai Buloh ekoran sikap berdedikasi kumpulan anak muda ini menguruskan pelbagai aktiviti perniagaan untuk komuniti niaga di sini.

Katanya, selain bazar Uptown Sungai Buloh, kumpulan ini juga aktif menganjurkan pelbagai karnival dalam skala yang agak besar.

Kata Mohd Khairuddin, selain bazar, beliau juga merancang mewujudkan medan selera, pasar bertingkat berkonsepkan Pasar Siti Khadijah di Kelantan, menambah tapak niaga untuk peniaga kecil dan lain-lain.

“Pada masa ini Sungai Buloh juga dikenali sebagai Hub Floris Sungai Buloh ekoran terdapat banyak perniagaan tanaman hiasan wujud di sini,” katanya lagi.

Selain aktiviti perniagaan, Mohd Khairuddin turut menumpukan kepada aktiviti sukan yang boleh mendorong belia luar Sungai Buloh datang ke sini dan memberi kesan kepada kerancakkan aktiviti ekonomi di sini.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Tak usah cerita bandar satelit kalau isu lampu isyarat tak mampu selesaikan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 2 MEI: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras, Datuk Zein Isma Ismail dinasihatkan supaya lebih realistik dalam menawarkan manifesto kepada rakyat kawasan ditandinginya itu.

Calon KEADILAN, Mohd Khairuddin Othman berkata, rakyat juga perlu sedar tawaran mahu mewujudkan bandar satelit di Paya Jaras tidak realistik ekoran BN tidak mampu menyelesaikan isu lampu isyarat.

“Tak usah cerita nak buat bandar satelit sebab dia perintah 50 tahun, wujudkan lampu isyarat di depan Masjid Huda pun belum tentu mampu sedangkan benda yang sangat ringkas.

“Selepas kira-kira sebulan saya menang PRU-13, terus dapat lampu isyarat. Tuan-tuan tahu bagaimana saya dapatkan lampu isyarat itu? Saya tulis surat kepada Dato’ Menteri, kemudian saya dan beberapa orang pergi berjumpa Datuk Fadzilah Yusof, Menteri Kerja Raya di pejabat dia Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ceramah kelompok di Kampung Kubu Gajah, di sini, malam tadi.

Jelasnya, sedangkan BN sepatutnya lebih mudah untuk mendirikan lampu isyarat di jalan terbabit memandangkan jalan itu merupakan jalan di bawah penyelenggaraan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, rakyat di Paya Jaras juga lebih memerlukan penyelesaian isu kesesakan trafik, sekolah agama, isu kos sara hidup dan lain-lain yang membelenggu kehidupan seharian mereka.

“Saya sudah berusaha sehabis baik selama lima tahun sebagai Adun tetapi saya sedar masih ada perkara yang sedang saya usahakan belum terlaksana,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Khairuddin mahu Pasar Siti Khadijah Paya Jaras jadi kenyataan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 2 MEI: Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman akan meneruskan usahanya mendapatkan kelulusan pasar bertingkat berkonsepkan sama seperti Pasar Siti Khadijah, Kelantan di kawasannya bagi kemudahan orang ramai.

Mohd Khairuddin berkata, beliau juga akan memastikan lot-lot kedai di pasar bertingkat serba lengkap itu hanya akan diberikan kepada penduduk Paya Jaras sahaja.

“Pasar bertingkat yang kita nak buat ini konsepnya sebiji macam Pasar Rabu atau Siti Khadijah, orang boleh berniaga tiap hari, bukan tiga hari seminggu, ada pakir di atas, ada pasar kering, ada pasar basah dan ada tempat makan.

“Saya berjanji ini semua diberi peluang hanya orang di Paya Jaras untuk memenuhi ruangan yang ada di tempat itu,” katanya pada ceramah kelompok di Kampung Kubu Gajah di sini.

Jelasnya, beliau akan terus memberikan tekanan kepada pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBS) selagi pasar yang dimahukan itu tidak dibina.

Katanya, sehingga sampai ke satu tahap, MBSA menyampaikan pesanan kepada beliau supaya tidak terlalu memberikan tekanan kepada MBSA dalam isu itu.

“Saya pula nak pesan kepada MBSA, kalau tak mahu saya tekan, siapkan cepat pasar bertingkat, saya akan diam tetapi selagi tak siap saya akan gasak habis-habisan kerana saya mahu rakyat bangga kita ada stadium moden, pasar bertingkat dan lain-lain,” katanya lagi.

Mohd Khairuddin menambah, sebelum ini beliau juga berjaya menghidupkan kembali medan selera yang sebelumnya menjadi projek gajah putih di era pemerintahan Barisan Nasional (BN).

=EZY=

Categories
SELANGOR

Kawasan Melayu kini jadi zon bahaya Umno-BN

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 1 MEI: Daerah mengundi yang dikuasai pengundi Melayu bukan lagi kawasan selamat untuk Barisan Nasional (BN) selepas penduduk itu memberikan sambutan luar biasa kepada calon PAKATAN.

Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, senario ini jauh berbeza ketika beliau berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

“Pada PRU-13 lalu kami tak dapat masuk ke Kampung Paya Jaras Dalam dan Paya Jaras Hulu kerana di situ adalah kubu Umno dan program tidak mendapat sambutan.

“Berbeza kali ini kehadiran saya disambut masyarakat di sini dengan baik sekali, bahkan mereka berjanji akan membantu saya menang pada PRU-14 ini,” katanya kepada SelangorKini selepas menghadiri program perjumpaan dengan wakil jentera di Bukit Darah, di sini, semalam.

Jelasnya, selain dua kampung itu, kehangatan sambutan penduduk di daerah mengundi majoriti pengundi Melayu lain juga sangat dirasai.

Katanya, antaranya daerah mengundi Saujana Utama yang dimasukkan ke dalam kawasan DUN Paya Jaras melalui persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini.

Terdahulu, jentera kempen Mohd Khairuddin memperhebatkan lagi kempen mereka di seluruh kawasan DUN Paya Jaras termasuk di kawasan daerah mengundi majoriti Melayu.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Rekod kerja, faktor Azmin & sentimen Selangor sandaran Khairuddin

OLEH NAZLI IBRAHIM

KOTA DAMANSARA, 28 APR: Rekod cemerlang perkhidmatan sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN), faktor Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan sentimen Selangor menjadi sandaran calon kerusi DUN N.38 Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman untuk mempertahankan kerusi dimenanginya pada 2013 lalu.

Mohd Khairuddin berkata, imej Mohamed Azmin di mata rakyat akar umbi memberi kelebihan kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) Selangor.

“Kita perlu akui faktor prestasi YAB Dato’ Menteri Besar itu penting dalam PRU kali ini dan saya harap rakyat terus kekalkan Kerajaan Negeri yang ada.

“Selain itu kelebihan saya, saya dah berkhidmat di sini lebih lima tahun tetapi walaupun kita ada keyakinan kita tetap perlu kerja kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini sebaik selesai penamaan calon bagi kawasan-kawasan pilihan raya Parlimen Sungai Buloh di Dewan Utama Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 8, Kota Damansara di sini, hari ini.

Jelasnya, pengundi di Paya Jaras perlu mengekalkan Kerajaan Negeri PAKATAN supaya segala kemudahan yang ada seperti skim di bawah program Inisiatif Peduli Rakyat dapat diteruskan.

Mohd Khairuddin turut melahirkan keyakinan Kerajaan Negeri akan memperbanyakkan lagi program untuk rakyat sekiranya menang pada PRU ini.

Pada PRU-14 kali ini, Mohd Khairuddin yang mempertahankan kerusi DUN Paya Jaras dicabar dua lagi calon daripada PAS, Mohd Hanapi Zulkapli (PAS) dan Datuk Zain Isma Ismail daripada Barisan Nasional (BN).

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

Wujudkan kokurikulum silat di sekolah agama

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 MAC: Bagi memastikan seni persilatan Melayu tidak pupus ditelan zaman, Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman mencadangkan supaya diwujudkan kokurikulum silat di sekolah-agama di negeri itu.

Mohd Khairuddin berkata, sekiranya dilaksanakan, Selangor bakal menjadi negeri pertama menjadikan seni persilatan sebagai aktiviti korikulum di sekolah agama.

YB KHAI“Setiap bangsa mempunyai identiti adat dan seni masing-masing dan silat merupakan seni milik Melayu. Bagaimanapun kehebatan Melayu sebagai sebuah bangsa kerana agama Islam yang dianutinya.

“Oleh sebab itu, kita usahakan pertemuan melibatkan semua penggerak persatuan silat tanpa meninggalkan perguruan silat kecil di kampung tradisi untuk bertemu dengan Dato’ Ahmad Yunus dalam masa terdekat,” kata Mohd Khairuddin kepada SelangorKini hari ini.

Terdahulu, pada Sabtu lalu, Mohd Khairuddin yang mewakili Dr Ahmad Yunus Hairi merasmikan Festival Dunia Seni Silat Melayu Selangor yang diadakan di Galeri Shah Alam, Persiaran Tasik di sini.

Dalam festival sehari itu, pelbagai acara diadakan termasuklah persembahan seni silat dan lain-lain persembahan lain.

EZY

Categories
SELANGOR

Khairuddin: “Mohon keampunan Allah”

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 FEB: Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman hanya mampu memohon keampunan Allah ekoran tindakannya mengenakan pakaian didakwa sesetengah pihak menyerupai pakaian Dewa Cao Guo Jiu iaitu salah satu dewa kepercayaan masyarakat kaum Cina.

Kata Mohd Khairuddin, beliau bukan sahaja tidak mengetahui pakaian dikenakannya pada majlis sambutan Tahun Baru Cina itu menyerupai pakaian Dewa Cao Guo, malah beliau dimaklumkan penduduk di situ bahawa pakaian serba merah itu merupakan pakaian ala tradisi Maharaja China.

khairuddin othman“Keyakinan saya bahawa perayaan Tahun Baru Cina adalah perayaan masyarakat Cina dan dengan sebab itu saya percaya pakaian itu adalah budaya dan ia tidak ada kena mengena dengan agama.

“Sebagai menghormati majlis budaya bangsa lain sebab itu saya tak menolak untuk memakainya. Saya serahkan isu ini kepada kepimpinan pusat untuk putuskan kedudukan saya.

“Kalau saya tersalah dari segi hukum, saya mohon keampunan dari Allah dan saya mohon maaf jika ada yang tersinggung. Saya yakin PAS dipimpin oleh kepimpinan ulama dan mereka lebih arif dari segi hukum dalam masyarakat majmuk seperti Selangor. Apa pun pandangan nanti, saya terima,” kata Mohd Khairuddin dalam satu kenyataannya kepada SelangorKini hari ini.

Gambar Mohd Khairuddin mengenakan pakaian serba merah ala Maharaja China, berjanggut dan bermisai palsu hingga paras dada pada satu Majlis Sambutan Tahun Baru Cina di Wangsa Permai menjadi viral di laman sosial facebook sejak semalam.

Sementara itu, di akaun laman sosial facebook Mohd Khairuddin, SelangorKini mendapati terdapat komen memberikan sokongan dan memuji tindakan Mohd Khairuddin yang berani mengakui kesilapan dan teguran dengan hati terbuka.

“Pendirian harus dipuji. Salah dan mengaku salah, mohon maaf. Syabas, ramai orang tak mampu buat ini… Setelah meneliti gambar memang sudah saya cam bahagian mata tu. Apa pun berhati-hati lain kali,” tulis Wan Amir Al-Hafiz.

Bagaimanapun Cheryl Berenice pula menulis “YB Khairuddin, yang itu bukan dewalah, itu cuma mitos orang Cina. Orang Cina tak sembah ikon tu. Saya rasa tak ada apa-apa pun. Lagipun warga tua Cina gembira sambut YB pada hari itu… YB jangan risau,” katanya.

Pendapat Cheryl Berenice turut senada dengan beberapa kenalan berbangsa Cina kepada Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, Shafie Ngah.

“Saya merujuk kepada ramai orang Cina. Mereka setuju itu bukan pakaian dewa. Mereka juga setuju itu pakaian maharaja zaman dulu-dulu,” tulis Shafie pula.

EZY

Categories
SELANGOR

Lapor polis jika ada penjaga halang anak bersekolah

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 17 JAN: Laporan polis dibuat sekiranya ada ibu bapa yang berkemampuan menghalang anak mereka untuk bersekolah.

Adun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman, berkata setiap kanak-kanak berhak bersekolah sekaligus mempunyai peluang lebih baik untuk memperolehi kehidupan di masa hadapan.

Back To School TAWAS YB Khairuddin Econsave Sungai Buloh (ASRI) (8)“Sekiranya ada ibu bapa yang mempunyai masalah seperti kurang berkemampuan kita bantu mereka kerana bagi kita apa yang penting anak-anak mesti bersekolah bagi kehidupan lebih baik,” kata Mohd Khairuddin.

Beliau berkata demikian pada Program Kembali ke Sekolah Ahli Tawas 2009 bagi DUN Paya Jaras, di Bandar Baru Sungai Buloh di sini, semalam.

Kata Mohd Khairuddin, sebelum ini beliau beberapa kali membantu menyelesaikan isu kegagalan mendaftarkan anak ke sekolah ekoran pelbagai masalah terutama melibatkan isu ketiadaan surat beranak.

“Selangor ini negeri maju tetapi malangnya masih ada yang bila anak lahir, tidak tahu bagaimana mendaftarkan surat beranak.

“Ini memberi masalah kepada anak itu untuk mendaftar ke sekolah dan juga mencari pekerjaan nanti,” kata Mohd Khairuddin.

EZY