Categories
AGENDA JENAYAH

Pusat kecantikan tawar khidmat pembedahan plastik, botoks tanpa tauliah diserbu

DENGKIL, 21 FEB:  Kegiatan menawarkan pelbagai perkhidmatan kecantikan dengan harga lebih murah daripada pusat kecantikan berlesen serta bertauliah terbongkar apabila lapan premis dikendalikan warga asing diserbu oleh Jabatan Imigresen hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata dalam serbuan di sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang itu, sebanyak 21 individu ditahan terdiri daripada lima wanita warga Indonesia, 15 wanita warga Vietnam dan seorang lelaki warga Vietnam berumur 25 hingga 40 tahun.

Beliau berkata kesemua ditahan dipercayai pekerja di premis berkenaan yang beroperasi sejak 2019 dan menawarkan perkhidmatan kecantikan dengan mengenakan caj murah antara RM350 hingga RM8,000.

“Kesemua ditahan didapati bekerja di premis menyediakan perkhidmatan termasuk rawatan kompleks memerlukan penggunaan peralatan perubatan tertentu seperti Rhinoplasty bagi rawatan mencantikkan hidung, rawatan suntikan bagi membesarkan anggota badan tertentu, rawatan pemutihan gigi, suntikan vitamin C dan botoks, selain perkhidmatan menguruskan badan.

“Rata-rata pelanggan tertarik modus operandi mereka yang mengenakan caj seperti suntikan di bahagian mata (eye filler) berharga RM350, suntikan membesarkan payu dara (RM1,900) dan suntikan botoks (RM3,500) manakala pembedahan plastik mengenakan caj RM8,000,” katanya dalam sidang media selepas menyertai operasi berkenaan di Southville City di sini hari ini.

Khairul Dzaimee berkata pusat kecantikan berkenaan mempromosikan perkhidmatan mereka melalui media sosial bagi menarik minat pelanggan yang mahu mendapatkan perkhidmatan tersebut.

“Mereka menggunakan platform Wechat, Facebook selain Instagram bagi tujuan tersebut dan rata-rata pelanggan adalah warganegara Malaysia seperti suri rumah dan pegawai eksekutif,” katanya.

Beliau berkata hasil siasatan juga mendapati kesemua ditahan tidak mempunyai kemahiran profesional serta tidak diiktiraf Kementerian Kesihatan (KKM) yang boleh mendatangkan risiko kematian, kerosakan organ dan tubuh badan.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pasport atau pas sah serta tinggal lebih masa selepas tamat tempoh selain Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Ekspatriat pengurusan tertinggi dibenar masuk Malaysia mula 24 Jun

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Ekspatriat kategori EP1 melibatkan pengurusan tertinggi dibenarkan masuk ke Malaysia mulai Rabu ini (24 Jun), kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata individu dalam kategori EP1 seperti pengarah urusan syarikat dibenarkan masuk ke negara ini secara automatik tanpa perlu mendapat kelulusan awal daripada Jabatan Imigresen.

“Apabila mereka ini tiba di Malaysia, pihak Imigresen akan membuat semakan terhadap pas ekspatriat sebelum mereka dibenarkan masuk.

“Selain itu, ekspatriat daripada kategori EP1 ini perlu memuat turun aplikasi MySejahtera serta menjalani ujian saringan Covid-19 melalui pengambilan swab,” katanya kepada Bernama hari ini.

Khairul Dzaimee berkata demikian mengulas berhubung keputusan kerajaan yang kini membenarkan ekspatriat kategori EP1 masuk ke Malaysia.

Dalam pada itu, beliau berkata pelajar tempatan yang ingin ke luar negara bagi tujuan menyambung pengajian juga dibenarkan berbuat demikian tanpa perlu mendapatkan kelulusan awal Jabatan Imigresen mulai Rabu ini.

“Pelajar hanya perlu mengemukakan dokumen sokongan semasa berurusan di kaunter Jabatan Imigresen,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata pihaknya akan terus memantau kemasukan warga asing di pintu-pintu masuk utama negara bagi mengelak pembolosan terutama ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan kini membenarkan ekspatriat melibatkan pengurusan tertinggi masuk ke Malaysia tanpa perlu memohon kebenaran Jabatan Imigresen.

Ismail Sabri berkata mereka perlu menjalani ujian saringan Covid-19 di negara asal sebelum berlepas ke Malaysia atau menjalani saringan sejurus tiba di pintu masuk negara.

-BERNAMA