Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan sukacita 85 peratus rakyat Selangor lengkap vaksin

SHAH ALAM, 18 OKT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan sukacita dengan perkembangan kadar vaksinasi rakyat negeri ini yang mencecah 85 peratus.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dimaklumkan perkara itu selepas berkenan menerima menghadap Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Istana Kayangan di sini hari ini.

“Pada pertemuan itu Khairy memberi taklimat kepada Sultan Selangor mengenai perkembangan terkini penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

“Khairy turut menyampaikan laporan terkini mengenai isu antivaksin dan tindakan yang sedang diambil oleh kementerian,” kata kenyataan menerusi Facebook Selangor Royal Office.

Dalam pertemuan itu juga Sultan Sharafuddin menyarankan supaya tumpuan dan pelan jangka pendek yang berkualiti diberi kepada perkhidmatan psikiatri dan kesihatan mental negeri ini.

Baginda bersama Khairy turut membincangkan kepentingan fasiliti geriatrik di hospital bagi menampung peningkatan populasi warga emas.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah turut berangkat sama di majlis berkenaan.

Setakat 3 petang tadi, statistik laman CovidNow menunjukkan 69.7 peratus atau bersamaan lebih 22.767 juta rakyat negara ini lengkap vaksinasi.

Dari jumlah berkenaan, 93.8 peratus daripada golongan dewasa 18 tahun ke atas manakala remaja berusia 12 hingga 17 tahun sebanyak 25.6 peratus.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan tambah kategori dalam fasa kedua suntikan vaksin

SHAH ALAM, 26 MAC: Kerajaan akan menambah kategori lain untuk penerima vaksin Covid-19 fasa kedua memandangkan kadar pendaftaran yang rendah.

Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata bagaimanapun warga emas, individu berisiko tinggi, orang kelainan upaya (OKU) dan pesakit kronik disenaraikan dalam fasa tersebut sebelum ini masih menjadi keutamaan.

“Kategori petugas barisan hadapan ekonomi dan kumpulan lain yang telah dipersetujui akan dimasukkan dalam senarai penerima fasa kedua memandangkan pendaftaran golongan sasar masih tidak sepenuhnya.

“Isnin nanti saya akan umum beberapa kumpulan yang dipersetujui di peringkat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin sebagai penerima tambahan dalam fasa ini,” kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada sidang media bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari semalam.

Terdahulu beliau menghadiri Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) di Dewan Annex di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan menyasarkan suntikan terhadap kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan antara hujung Februari hingga April depan.

Fasa kedua imunisasi menggunakan Pfizer-BioNTech dan Sinovac dijadualkan bermula April hingga Ogos dengan melibatkan kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi.

Fasa ketiga pada Mei hingga Februari tahun depan untuk 13.7 juta penduduk berusia 18 tahun ke atas termasuk warga asing.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Faekah kekal Setpol sehingga penyusunan semula – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 09092013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Faekah Husin dikekalkan sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar beliau sehingga proses penyusunan semula pejabat Menteri Besar selesa.

2. Persidangan Antarabangsa Pembangunan Mualaf 2013 anjuran Kolej Universiti Antarabangsa Selangor (KUIS) mendapat pujian dari Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana mendekati isu pembangunan mualaf berdasarkan kajian keatas pengalaman dari pakar-pakar terlibat.

3. Ketua Biro Guaman PKR, Latheefa Koya berkata, keengganan polis membuat siasatan baru kes pembunuhan Altantuya Shariibuu, menunjukkan sikap tidak lepas tangan pihak berkuasa itu dalam memberi keadilan kepada mangsa.

4. Kerajaan tidak wajar meletakkan kesalahan kepada takdir semata-mata apabila harga barangan keperluan harian naik ketika ada kumpulan hidup mewah, kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

5. Rafizi Ramli hari ini menuntut keikhlasan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk mengemukakan usul tergempar kenaikan harga minyak di Parlimen selepas menolak tawaran mengadakan perdebatan berhubung isu berkenaan.

6. Kerajaan Negeri mensasarkan sebanyak 30 peratus kerja-kerja pembersihan dalam kawasan perbandaran akan dilakukan oleh pihak dalaman pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam tempoh tiga tahun akan datang, kata Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim

7. Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mendapatkan kelulusan Kerajaan Negeri bagi penubuhan Polis Bantuan dengan seramai 100 orang anggota bagi mempertingkatkan tahap keselamatan bandar raya itu menjelang 2014, kata Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan.

8. Exco Belia, Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, projek tebatan banjir akan dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi mengatasi kejadian banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan di sekitar Shah Alam dan Klang baru-baru ini.