Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin kanak-kanak hanya 30 peratus, masa ‘tunggu dan lihat’ sudah tamat

SHAH ALAM, 9 MAC: Hanya sejuta kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun mengambil suntikan vaksin berbanding 1.63 juta janji temu yang dihantar setakat 3 Februari lalu.

Menteri kesihatan berkata angka itu masih rendah dan membimbangkan lebih-lebih lagi apabila 119,719 kanak-kanak bawah 12 tahun dijangkiti Covid-19 antara Januari hingga Mac.

Susulan itu, Khairy Jamaluddin menasihatkan ibu bapa segera membawa anak-anak mendapat suntikan berikutan penularan wabak melibatkan golongan tersebut semakin meningkat.

“Saya berasa amat sedih kerana vaksinasi untuk kanak-kanak masih rendah. Setakat ini, hanya 30 peratus kanak-kanak mendapatkan pelalian itu sedangkan kes semakin meningkat.

“Masa tunggu dan lihat ini sudah tamat. Ibu bapa masih belum membuat pilihan untuk memberikan vaksinasi kepada anak mereka,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sementara itu, mengulas pemberian vaksin kepada kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah, Khairy berkata tiada vaksin diluluskan untuk mereka setakat ini.

“Berdasarkan kajian belum ada vaksin untuk kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah setakat ini. Ibu bapa diminta lindungi anak mereka dan jangan bawa ke tempat sesak,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Kelab malam kekal ditutup dalam fasa peralihan endemik

SHAH ALAM, 9 MAC: Kelab malam masih tidak dibenarkan beroperasi dalam peralihan ke fasa endemik bermula 1 April ini, kata menteri kesihatan.

Menurut Khairy Jamaluddin, larangan itu dikekalkan berikutan premis hiburan terbabit berisiko tinggi untuk menyebarkan jangkitan Covid-19.

“Hanya satu jenis premis sahaja berada dalam senarai negatif iaitu kelab malam kerana persekitaran yang berisiko tinggi jika dibuka meskipun dalam fasa peralihan endemik,” katanya dalam sidang media hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan negara memasuki fasa peralihan endemik dan pembukaan semula sempadan negara awal bulan depan.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko dan mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Malaysia menutup sempadan negara kepada pelancong dan pelawat asing sejak Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa pada 18 Mac 2020 untuk mengekang penularan Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan beli ubat rawat Covid-19, 110,000 pesakit jadi kumpulan pertama terima

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Ubat antiviral bagi rawatan COVID-19 Paxlovid keluaran Pfizer, dijangka akan mula diterima dalam tempoh dua minggu, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata bagi perolehan fasa pertama antiviral itu, Malaysia telah membeli ubat itu untuk 110,000 pesakit, bagi diberikan kepada individu berisiko tinggi.

“Kalau kita dapati penggunaan ubat ini berkesan seperti maklumat yang telah kita terima, kita akan tambah pembelian ubat ini, Paxlovid daripada Pfizer.

“Ada dua lagi yang kita akan beli (iaitu) Molnupiravir dan satu lagi daripada AstraZeneca, tetapi belum dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Dialisis Tahunan kali ke-16 Yayasan Buah Pinggang Kebangsan (NKF) di sini hari ini.

Khairy ketika menyampaikan ucapan perasmian turut mencadangkan satu ciri baharu di aplikasi MySejahtera, yang membolehkan orang ramai berikrar untuk menjadi penderma organ.

Beliau berkata usaha itu perlu memandangkan negara kini berhadapan peningkatan pesakit penyakit buah pinggang kronik, manakala jumlah individu yang berikrar sebagai penderma organ semakin berkurang, malah Malaysia antara yang terendah di dunia.

“Saya akan cuba yang terbaik bagi dapatkan ikrar dan menjadikan ia lebih mudah untuk orang ramai ikrar untuk dermakan organ mereka…Saya sedang cuba untuk MySejahtera menambah ‘butang’ supaya hanya dengan menekan butang tersebut dan berikrar menjadi menderma organ,” katanya.

Beliau berkata pada 2016, lebih 40,000 pesakit penyakit buah pinggang kronik yang bergantung kepada rawatan dialisis, dan berdasarkan unjuran sekiranya tren ini tidak dikurangkan, jumlah pesakit itu dijangka meningkat kepada 100,000 pesakit.

Khairy berkata langkah pencegahan dan pengesanan penyakit kronik menerusi saringan kesihatan juga perlu dibudayakan, oleh itu kerajaan telah melaksanakan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) bagi membantu golongan itu membuat saringan kesihatan secara percuma.

Namun, beliau berkata daripada 5 juta individu yang layak menjalani saringan kesihatan di bawah PeKa B40, kurang 12 peratus individu telah membuat saringan kesihatan.

Sementara itu beliau berkata Kementerian Kesihatan tidak mengeluarkan apa-apa arahan atau syarat untuk pihak berkuasa tempatan (PBT), meletakkan syarat kepada peniaga pasar malam agar mendapatkan dos penggalak untuk menjalankan perniagaan.

“Ini bukan (bidang kuasa) KKM, KKM beri nasihat tetapi nasihat kita bukanlah sampai nak pergi pasar memerlukan booster, itu keputusan yang mesti ditanya pada PBT,” katanya ketika ditanya mengenai keputusan sebuah PBT meletakkan syarat sebagai keperluan bagi peniaga pasar malam.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Akta baharu larang aktiviti merokok masih di peringkat libat urus

SERDANG, 3 MAC: Penggubalan rang undang-undang bagi melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik (vape) terhadap generasi muda yang lahir selepas 2005 masih di peringkat sesi libat urus, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Katanya walaupun beliau berhasrat untuk membentangkan akta baharu itu pada sidang Parlimen sekarang namun masih terdapat beberapa peringkat libat urus yang perlu dijalankan termasuk dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan pemain industri.

“Apabila semua proses selesai, akta ini akan dibentangkan sama ada sesi kali ini atau sesi akan datang,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Pendengaran Sedunia 2022 di sini hari ini.

Khairy pada 17 Februari lepas mengumumkan pengenalan akta tersebut bertujuan mengurangkan keterdedahan generasi akan datang terhadap rokok dan produk tembakau kerana pengambilannya adalah faktor utama kejadian kanser dan menyumbang 22 peratus kematian akibat kanser.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata pihaknya sedang mendapatkan pandangan penasihat undang-undang berhubung kesesuaian masa bagi membentangkan laporan Jawatankuasa Siasatan Bebas Insiden Kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru kepada umum.

“Memang hasrat saya untuk bentang laporan itu. Tidak ada sebab untuk kami simpan sebagai suatu laporan rahsia cuma ketika ini kami sedang cari masa sesuai,” katanya.

Dalam kebakaran pada 25 Oktober 2016, enam pesakit maut apabila wad Unit Rawatan Rapi di tingkat dua bangunan lima tingkat HSA terbakar, manakala seorang lagi pesakit, dua jururawat dan seorang pelatih fisioterapi cedera akibat terhidup asap.

Ditanya mengenai masalah kekurangan ruang parkir di fasiliti kesihatan kerajaan, Khairy berkata pihaknya akan meneliti semula cadangan pembinaan parkir bertingkat bagi menyelesaikan isu terbabit.

“Isu ini merupakan isu besar. Sejak saya dilantik sebagai Menteri Kesihatan, saya terima banyak aduan berhubung perkara ini. Kami akan teliti semula cadangan parkir bertingkat. Ini untuk keselesaan pesakit dan pengunjung hospital kerajaan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

91 peratus kematian sebelum ke hospital tidak tahu dijangkiti Covid-19

SERDANG, 3 MAC: Kira-kira 91 peratus kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) membabitkan individu yang tidak mengetahui mereka dijangkiti Covid-19, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata ia hasil analisa Kementerian Kesihatan (KKM) melibatkan 113 kes BID dalam tempoh 5 Februari hingga 21 Februari lepas.

“Kita lihat peningkatan kes BID iaitu mereka yang meninggal sebelum mendapat rawatan di fasiliti kesihatan, dan ia membimbangkan.

“Kita sudah buat analisa dalam tempoh tersebut dan mendapati 91 peratus tidak mengetahui mereka dijangkiti Covid-19…apabila KKM uji dan didapati positif,” katanya dalam sidang media perkembangan situasi COVID-19 di sini hari ini.

Sehubungan itu, Khairy menasihatkan orang ramai terutama warga emas yang mempunyai gejala seperti demam dan batuk, untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan.

“Berdasarkan kajian yang KKM buat, lebih 50 peratus waris anggap sakit yang dialami mereka adalah sakit ringan dan tidak merujuk ke fasiliti kesihatan dengan cepat, dan apabila dikesan ia terlalu lambat,” katanya.

Mengenai pelaporan kematian akibat Covid-19, Khairy berkata bermula 1 Mac lepas, proses pelaporan kematian akibat Covid-19 diumumkan mengikut angka pelaporan yang diterima dari lapangan setiap hari.

“KKM telah menambahbaik proses pelaporan kematian. Sebelum ini, laporan kematian yang diterima hanya diumumkan setelah proses pendaftaran kes di peringkat negeri selesai dan ia mengambil masa yang agak panjang sebelum ia diumumkan.

“Oleh itu, terdapat sebilangan kes yang tertunda untuk diumumkan dan ini adalah satu daripada faktor yang menyumbang kepada tunggakan bagi pengumuman kes kematian Covid-19,” katanya.

Beliau berkata bagi memastikan ketepatan masa atau ‘timeliness’ pelaporan kematian Covid-19, kes kematian tidak lagi menunggu pendaftaran kes dan perlu dilaporkan dalam jangka masa 72 jam selepas kematian sebagaimana ditetapkan KKM.

Khairy dalam pada itu berkata penggunaan unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit Covid-19 di paras terkawal dan KKM mempunyai 2,210 katil ICU yang boleh digunakan di seluruh negara.

“Kebanyakan kes ICU adalah mereka yang berisiko tinggi… setakat ini, terdapat 361 pesakit Covid-19 di ICU,” katanya.

-BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM semak, kemas kini petugas hadapan layak dapat elaun khas

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyemak dan mengemas kini dari semasa ke semasa untuk memperluaskan pemberian elaun khas kepada petugas barisan hadapan kesihatan yang mengurus wabak Covid-19 di negara ini.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata selain doktor, jururawat dan pemandu ambulans yang ketika ini termasuk dalam kalangan petugas yang layak menerima elaun khas tersebut, namun masih terdapat kumpulan lain kesihatan yang terlibat dalam pengurusan wabak itu.

“Kumpulan yang layak menerima elaun khas ini akan kita semak akan kemas kini dari semasa ke semasa, contohnya ahli fisioterapi yang terlibat dalam rawatan pesakit ‘long Covid’ yang kita fikir menepati kriteria untuk mendapat elaun khas tersebut,” katanya ketika sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) yang mahu Khairy menyatakan berkenaan pembayaran bonus kepada pekerja barisan hadapan dalam kalangan kakitangan kesihatan.

Khairy berkata sehingga 31 Disember tahun lalu sebanyak RM1.1 bilion elaun khas telah dibayar kepada petugas barisan hadapan kesihatan.

Pada Mac 2020, kerajaan mengumumkan peningkatan elaun khas daripada RM400 kepada RM600 bagi petugas kesihatan seperti doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan serta usaha mengekang penularan Covid-19 di negara ini.

Berkenaan aduan petugas barisan hadapan yang tidak menerima elaun khas tersebut kerana tidak mengambil vaksin, Khairy berkata antara syarat untuk layak menerimanya adalah petugas mesti mendapatkan vaksin Covid-19 di samping syarat-syarat lain termasuk jumlah hari bekerja.

“Tetapi jika petugas tidak boleh menerima vaksin akibat isu kesihatan, mereka tetap layak dibayar elaun khas tersebut,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan mengenai jumlah doktor kontrak yang akan diserap ke jawatan tetap tahun ini, Khairy berkata kekosongan jawatan pegawai perubatan ialah 3,586.

Katanya, iklan jawatan kosong tersebut telah diiklankan di laman sesawang Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPS) sejak semalam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada lagi perubahan status sebagai kontak kasual di MySejahtera

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Tiada lagi perubahan status di aplikasi MySejahtera sekiranya orang ramai dikesan sebagai kontak kasual (kuning) kepada kes positif Covid-19, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Khairy menerusi ciapan di laman Twitter beliau berkata sebaliknya individu berkenaan hanya akan menerima notifikasi memaklumkan mereka adalah kontak kasual.

“Sebelum ini apabila MySJ trace/check-in mengesan anda sebagai kontak kasual kes positif, status di MySJ akan bertukar kepada kontak kasual (kuning).

“Kini tiada lagi perubahan status. Tetapi anda akan menerima notifikasi. Jika bergejala, asingkan diri dan lakukan ujian kendiri,” katanya.

Khairy turut memuat naik poster mengenai langkah meningkatkan penilaian kendiri Covid-19 Kementerian Kesihatan: Tingkatkan Penilaian Kendiri Covid-19 merangkumi lima peringkat iaitu 1: Test (Uji), 2: Report (Lapor), 3: Isolate (Asing), 4: Inform (Maklum) dan 5: Seek (Dapatkan rawatan).

Poster berkenaan antaranya menggesa orang ramai mendapatkan rawatan segera di pusat perubatan atau Pusat Penilaian Covid-19 sekiranya alami gejala berat seperti kesukaran bernafas dan suhu badan terlalu tinggi.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Ujian enam hari Covid-19 bagi pengembara luar negara dimansuh

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Pengembara dari luar negara yang tiba di Malaysia melalui tiga program tidak perlu lagi menjalani ujian enam hari Covid-19 Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) (kendiri dan profesional) selepas ketibaan, bermula Khamis ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan hari ini berkata prosedur baharu itu terpakai untuk pengembara memasuki Malaysia melalui program Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara dan darat, Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) dan Pusat Sehentian (OSC) untuk pelawat perniagaan jangka pendek.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) turut menggugurkan keperluan menjalani ujian COVID-19 RT-PCR atau RTK-Ag (profesional) bagi pengembara yang tiba di Malaysia di bawah program LITB sebelum keluar dari Pulau Langkawi.

Selain itu, Khairy berkata KKM turut menggugurkan keperluan menjalani ujian kendiri RTK-Ag bagi pengembara umum dari United Kingdom yang sebelum ini perlu dilakukan setiap hari sepanjang tempoh kuarantin.

Katanya, keperluan Pegawai Pengiring bagi pelawat perniagaan jangka pendek Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang menggunakan kemudahan OSC untuk memasuki Malaysia turut digugurkan, namun masih perlu mengikut jadual program terkawal yang diluluskan oleh Jawatankuasa OSC.

“Walaubagaimanapun, ujian pengesanan Covid-19 yang perlu dijalani dua hari sebelum berlepas ke Malaysia dan semasa ketibaan di Malaysia masih dikekalkan seperti protokol sedia ada.

“Saya ingin tekankan sekali lagi bahawa prosedur baharu ini hanya terpakai ke atas pengembara yang memasuki Malaysia melalui program VTL, LITB dan OSC sahaja,” katanya.

Khairy berkata bagi pengembara yang bukan memasuki Malaysia melalui tiga program berkenaan, prosedur atau protokol sedia ada masih terpakai.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Terlalu awal isytihar lepasi kemuncak Omicron meski kadar boleh jangkit turun

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 di Malaysia berada pada tahap 1.06 semalam iaitu menurun 0.02 berbanding kadar 1.08 Rt yang dilaporkan, Sabtu lepas.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi ciapan di akaun Twitter berkata walaupun nilainya terus menurun, namun masih terlalu awal untuk menyatakan bahawa Malaysia telah melepasi kemuncak jangkitan Omicron dengan 96 peratus kes aktif Covid-19 pulih di rumah dan kapasiti perkhidmatan hospital kini dalam keadaan terkawal.

“Rt harian kita terus menurun kepada 1.05. Terlalu awal untuk menyatakan kita telah melepasi kemuncak jangkitan Omicron. Sebanyak 96 peratus kes aktif pulih di rumah dan kapasiti hospital adalah terkawal.

“Jika trend ini berterusan, ia akan diikuti dengan pembukaan sepenuhnya sempadan dan kelonggaran langkah-langkah domestik yang lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kemas kini di media sosialnya berkata Perak merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.32, diikuti Labuan (1.27), Sarawak (1.24) dan Terengganu (1.22).

Malaysia merekodkan 24,466 kes baharu Covid-19 semalam, dengan hanya 105 kes dalam kategori tiga, empat dan lima, manakala 24,361 kes kategori satu dan dua.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Khairy: Majikan perlu terima salinan sijil digital MySejahtera

KLUANG, 27 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) meminta semua majikan di negara ini supaya menerima pakai salinan sijil digital perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO), atau surat pelepasan kuarantin (RO) bagi mengelakkan kesesakan di pusat penilaian Covid-19 (CAC).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ia susulan ramai pesakit datang ke CAC akibat majikan mereka tidak menerima sijil digital, sebaliknya meminta notis secara bertulis.

Beliau berkata pelaporan kepada pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC) kebangsaan mendapati 30 hingga 50 peratus kes yang hadir ke CAC, bukan untuk penilaian bagi kes kesihatan merosot semasa menjalani pemantauan di rumah.

“Sebanyak 90 peratus daripadanya adalah untuk discaj bagi dapatkan notis bertulis (HSO). Ini menyebabkan penambahan beban tugas kepada staf KKM. Mereka sepatutnya membuat penilaian untuk pesakit bukan tulis notis HSO.

“Selepas tempoh isolasi berakhir, pesakit perlu melakukan salinan paparan skrin sijil digital HSO untuk makluman lanjut pihak majikan dan pihak berkaitaan,” katanya pada sidang media di CAC Klinik Kesihatan Simpang Renggam di sini, hari ini.

Khairy berkata orang ramai boleh membuat aduan kepada KKM jika majikan mereka tidak menerima sijil digital HSO atau RO.

Bercakap mengenai CAC secara maya, Khairy berkata sehingga 23 Februari, ia telah memantau 361,283 kes aktif di rumah, dengan mengesan kemerosotan keadaan pesakit Covid-19 yang menjalani pemantauan rumah di seluruh negara melalui saringan kesihatan.

“Bukan suka-suka kita minta untuk menjawab soalan. Bila mereka jawab soalan itu, kita mempunyai sistem untuk melihat kepada gejala bertanda amaran. Kalau tanda amaran merisaukan, kita akan minta mereka hadir secara fizikal ke CAC,” katanya.

Justeru itu, beliau meminta individu yang menjalani isolasi di rumah supaya menjawab soalan pada aplikasi MySejahtera setiap dua kali sehari, berikutan purata kes aktif yang menjawab soalan adalah hanya 55 peratus meskipun KKM membuat sasaran sekurang-kurangnya 70 peratus.

Katanya ia penting agar KKM dapat mengesan kes berisiko tinggi yang memerlukan rawatan segera sekali gus mengurangkan kes kematian di luar hospital (BID).

Sementara itu, Khairy memaklumkan sejak 13 hingga 19 Februari, kes menjalani isolasi di rumah yang dirujuk kepada PKRC adalah 0.4 peratus manakala dirujuk ke hospital pula adalah 0.2 peratus.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat kuarantin Maeps beroperasi semula esok, sedia 100 katil

PUTRAJAYA, 24 FEB: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang akan diaktifkan semula bermula esok bagi merawat kes berisiko rendah.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata buat permulaan, sebanyak 100 katil disediakan untuk pesakit di sekitar Lembah Klang dan akan ditambah mengikut keperluan.

“Maeps diaktifkan semula esok. Ini bukanlah kerana kita tidak cukup katil di hospital tetapi lebih kepada langkah awal dan beri ruang supaya hospital boleh terus beri rawatan kepada kes bukan Covid-19 tanpa gangguan berikutan kes yang disebabkan gelombang Omicron,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata pengoperasian semula PKRC itu adalah antara strategi yang diambil oleh Kementerian Kesihatan (KKM) susulan penularan Omicron yang menyaksikan peningkatan kes harian.

Khairy berkata KKM turut berdepan keadaan yang menyaksikan ada pesakit ke hospital untuk rawatan bagi penyakit lain namun ketika saringan dibuat, individu itu dikesan positif Covid-19.

“Walaupun mereka tidak dirawat disebabkan Covid-19, bila ada kes macam ni, kita kena gunakan katil di hospital ini dan terpaksa asingkan… Perkara ini akan merumitkan hospital berkenaan, berikutan itu kita buka kembali PKRC Maeps, kes positif kita hantar ke sana.

“Katil yang disediakan oleh PKRC itu adalah untuk pesakit berisiko rendah dan ia hanya akan digunakan dalam tempoh yang singkat berbanding ketika penularan varian Delta. Kita jangka PKRC ini akan digunakan sehingga Omicron reda,” katanya.

PKRC Bersepadu 2.0 Maeps ditutup secara rasmi pada 8 Februari lepas dan sepanjang 14 bulan beroperasi, sebanyak 166,072 pesakit Covid-19 sudah dirawat dan ia secara tidak langsung meringankan beban hospital di Semenanjung.

Maeps diaktifkan sebagai PKRC pada 16 April 2020 dengan pengambilan pesakit Covid-19 yang hanya membabitkan pesakit bukan warganegara bagi kategori satu dan dua sebelum ditutup pada 15 Julai tahun sama.

Pada 9 Disember 2020, kerajaan memutuskan untuk mengaktifkan semula Maeps sebagai PKRC susulan peningkatan kes Covid-19 sebelum dinaik taraf sebagai PKRC Bersepadu Maeps 2.0 pada 24 Januari 2021 dengan menerima pesakit kategori tiga dan empat dalam skala sederhana.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Cadangan kontak rapat tidak perlu kuarantin diumum minggu depan

PUTRAJAYA, 17 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuka helpdesk MySejahtera secara fizikal di beberapa lokasi terpilih bagi membantu menyelesaikan isu berbangkit berhubung aplikasi tersebut.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata helpdesk MySejahtera fizikal yang pertama akan dibuka di pusat pemberian vaksin (PPV) World Trade Centre, Kuala Lumpur Sabtu ini dan diikuti dengan pembukaan helpdesk fizikal di PPV Ideal Convention Centre, Shah Alam pada 26 Februari depan.

“Jadi orang ramai yang ada masalah dengan sijil vaksin dan sebagainya boleh pergi ke helpdesk fizikal ini untuk selesaikan masalah mereka.

“Helpdesk maya kita teruskan tetapi saya dapat aduan ada yang tunggu lama untuk sijil vaksin dan sebagainya (tapi) masih belum diselesaikan,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata KKM akan memperluas kemudahan helpdesk fizikal itu ke negeri-negeri lain dalam masa terdekat dan akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Khairy berkata satu pengumuman mengenai protokol isolasi kontak rapat akan dibuat pada minggu hadapan.

Beliau berkata ini selari dengan protokol diamalkan pekerja kesihatan di bawah KKM yang mana mereka menjadi kontak rapat dan tidak bergejala, tidak perlu menjalani kuarantin sebaliknya hanya perlu buat ujian kendiri Covid-19 pada hari-hari tertentu.

Khairy berkata satu pekeliling sudah dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Selasa lepas (15 Februari) untuk pekerja-pekerja kesihatan KKM.

“Kita mungkin akan guna pakai protokol sama apabila kita rasa sudah boleh melaksana protokol baharu ini untuk orang ramai.

“Kontak rapat sekarang sangat kerap berlaku sebab kes meningkat dan apabila ini berlaku, gangguan kepada ekonomi, pengurusan pekerjaan dan sebagainya sangat ketara,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata bermula esok bilangan kes harian Covid-19 tidak akan diumumkan pada petang hari tersebut sebaliknya akan diumumkan pada 10 pagi keesokan harinya bersama data-data lain seperti jumlah kemasukan ke hospital, bilangan kematian dan sebagainya.

“Ini bermakna bermula esok petang, tiada laporan bilangan kes harian Covid-19 sebaliknya data pada Jumaat akan diumumkan pada Sabtu pagi.

“Ini supaya kita dapat baca data kes harian bersama data-data lain seperti kemasukan ke hospital dan sebagainya untuk mengurangkan fear factor kes harian setiap hari, dan supaya kita secara perlahan-lahan mendidik masyarakat daripada hanya melihat kes harian kepada angka-angka lain yang memberi gambaran lebih jelas dan teliti tentang keadaan sebenar,” katanya.

-BERNAMA