Categories
AGENDA NASIONAL

Skim Mikro Kredit Wilayah Persekutuan bantu peniaga kecil

PUTRAJAYA, 17 FEB: Kementerian Wilayah Persekutuan akan menawarkan Skim Mikro Kredit Wilayah Persekutuan (SMKWP) bermula 1 Mac ini bagi membantu usahawan kecil daripada golongan berpendapatan rendah untuk meningkatkan taraf ekonomi.

Menterinya Khalid Abdul Samad berkata permohonan akan dibuka esok dengan tawaran pinjaman dari RM1,000 hingga RM5,000 setiap seorang dengan tempoh bayaran balik sehingga tiga tahun.

“SMKWP terbuka kepada semua usahawan kecil iaitu pemegang lesen penjaja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL).

“Kami tidak mahu terlalu gopoh untuk memberikan jumlah banyak, jadi buat permulaan RM500,000 diperuntukkan untuk SMKWP dengan sasaran 100 pemohon,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Peminjam boleh membuat bayaran balik secara mingguan minimum RM20 hingga RM100 dengan caj pengurusan dua peratus dan wajib membuat bayaran tambahan tiga peratus yang akan direkodkan sebagai simpanan.

Khalid berkata KWP bekerjasama dengan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Bank Islam Malaysia Bhd bagi menawarkan skim untuk memudahkan peniaga menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

“Kami tidak mendapat apa-apa keuntungan, sebaliknya kami turut membantu peminjam membuat simpanan sementara mereka membuat bayaran mingguan.

“Sebaik sahaja mereka selesai membayar pinjaman, mereka boleh mengambil simpanan itu secara tunai ataupun baki hutang diselesaikan dengan wang simpanan,” katanya.

Katanya, pinjaman diberi secara sekali bayar sekiranya sesuatu permohonan berjaya, tiada cagaran dan proses tapisan dilakukan dengan temu duga serta lawatan tapak sebelum menentukan sama ada permohonan itu layak atau tidak.

“Sebaik sahaja diluluskan, mereka akan mendapat jumlah pinjaman yang dipohon dan pengeluaran akan dilakukan oleh Bank Islam, pemantauan dan kursus akan diberikan kepada peminjam dari masa ke masa,” katanya.

Khalid berkata permohonan boleh dibuat menerusi pejabat YWP di Kampung Baru, Kuala Lumpur dengan mengemukakan dokumen pengenalan diri dan perniagaan sedia ada.

“Sekiranya sambutan menggalakkan, kami akan mempertimbangkan untuk membuka lebih banyak permohonan dan menambah dana pinjaman,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Khalid: Struktur kondominium di Taman Desa mungkin tidak ikut spesifikasi

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Struktur asas yang tidak kukuh atau tiang yang tidak menepati spesifikasi berkemungkinan punca sebahagian struktur kondominium 37 tingkat di Taman Desa, Jalan Klang Lama di sini runtuh, semalam, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

“Bangunan itu didapati runtuh sebelum hujan. Ia bukan tanah runtuh dan kejadian berlaku sebelum hujan. Mungkin struktur bangunan itu sendiri tidak mengikut spesifikasi sehingga roboh daripada tingkat enam hingga ke bawah,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program ‘Kempen KITA’ di Perumahan Awam Seri Perak di Sentul, hari ini.

Bagaimanapun, Khalid berkata siasatan dan kajian mendalam perlu dilakukan untuk mengetahui punca sebenar runtuhan itu.

Jelasnya, berikutan insiden itu pembinaan projek kondominium dihentikan serta-merta bagi memberi laluan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan membuat penilaian.

Khalid turut menasihati semua pemaju supaya tidak menggunakan jalan pintas ketika melaksanakan projek pembinaan.

“Dalam hal ini, tiada siapa pun yang untung. Pemaju sepatutnya mengikut semua prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Dalam kejadian itu, dua warga Bangladesh dilaporkan terperangkap di tingkat satu selepas lantai tempat letak kereta di tingkat enam kondominum dalam pembinaan runtuh pada 3.40 petang.

Mangsa pertama diselamatkan pada 5.15 petang, manakala mangsa kedua pada 9.40 malam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelbagai projek pembangunan dirancang bangunkan Kampung Baru

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Pelbagai projek pembangunan dirancang bagi membangunkan kawasan Kampung Baru supaya kelihatan lebih moden, tersusun dan cantik, kata menteri wilayah persekutuan.

Khalid Abdul Samad berkata masjid di Kampung Baru akan dijadikan pusat pembangunan dengan kewujudkan taman warisan masyarakat Melayu seluas 9.6 hektar.

“Taman ini berkonsepkan Kampung Morten di Melaka tetapi lebih besar, di dalamnya terdapat rumah yang mempunyai seni bina Melayu dan 11 unit rumah sedia ada di Kampung Baru akan dipelihara serta diletakkan di dalamnya.

“Kini, yang sedang dibina adalah satu jambatan jalan kaki moden dinamakan ‘Saloma Link’ yang akan dihiasi diod pemancar cahaya yang akan menghubungkan Kampung Baru dengan KLCC,” katanya semasa temu bual Ruang Bicara di Bernama TV di sini semalam.

Beliau berkata taman warisan itu juga dilengkapi panggung warisan yang akan mempertontonkan budaya masyarakat Melayu kepada orang ramai.

Pada masa sama, Khalid berkata lebih banyak kemudahan pengangkutan awam akan disediakan di kawasan tersebut selain penambahan kediaman mampu milik serta kawasan perniagaan orang Melayu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian Wilayah fokus selesai isu sempadan KL-Selangor

SHAH ALAM, 30 JAN: Menyelesaikan isu sempadan di Lembah Klang antara fokus utama Kementerian Wilayah Persekutuan tahun ini, kata menterinya.

Khalid Abdul Samad berkata terdapat 18 isu berkaitan sempadan membabitkan Kuala Lumpur dan Selangor yang belum dimuktamadkan untuk jangka masa panjang dan akan dibawa untuk perhatian pejabat tanah dan galian (PTG) negeri juga wilayah.

“Cadangan itu sudah dikemukakan oleh PTG Selangor untuk dimuktamadkan dan kementerian sudah menelitinya. Setiap pihak memberi pandangan mereka, justeru kita harap dapat menyelesaikan isu sempadan secara rasmi,” katanya lapor EdgeProp.

Beliau yang ditemu bual di Putrajaya sempena Hari Wilayah Persekutuan 2020 berkata isu itu perlu diselesaikan segera untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pihak berkuasa tempatan.

Khalid berkata, ia juga bagi memastikan masyarakat menerima perkhidmatan terbaik dan tiada kawasan diabaikan daripada segi pembangunan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

LAMPU 2019 tonjol kepelbagaian etnik, budaya

PUTRAJAYA, 28 DIS: Festival Light and Motion Putrajaya 2019 (LAMPU 2019) di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan kembali untuk tahun ketujuh dengan konsep kepelbagaian etnik dan budaya Malaysia.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, bertemakan “Beautiful Malaysia”, festival itu yang berlangsung bermula malam tadi hingga 31 Disember menekankan kepada aspek perpaduan bertujuan menerapkan penerimaan kepelbagaian budaya dan etnik sebagai identiti negara.

“Ini adalah satu perkara yang wajar kita rasa bangga dan usaha-usaha untuk memecah-belah dan melaga-lagakan antara kaum di negara ini sewajarnya ditolak,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan LAMPU 2019 di Dataran Putrajaya, di sini malam tadi.

Khalid Abdul Samad (tiga, kanan) melihat persembahan tarian naga selepas merasmikan ‘Festival Light and Motion Putrajaya 2019’ (LAMPU 2019) di Dataran Putrajaya pada 28 Disember 2019. -Foto BERNAMA

Khalid berkata, selain persembahan projektor video di fasad Bangunan Istana Kehakiman, LAMPU 2019 turut menampilkan beberapa tarikan baharu antaranya ‘Planetarium 360’.

Katanya, struktur berbentuk kubah berukuran 20 meter radius dan tinggi 10 meter itu dihiasi pertunjukan visual 360 darjah dengan kesan bunyi yang menarik.

Khalid berkata, tarikan lain di Dataran Putrajaya termasuk Laman Kampung Melayu, China Town Street, Little India Street, kumpulan muzik jalanan, wayang kulit, wayang pacak, pemakan api dan aktiviti kanak-kanak.

Buat julung kalinya, pengunjung juga berpeluang merakamkan ucapan secara swafoto yang akan dipaparkan pada fasad Bangunan Istana Kehakiman.

Pada malam ambang tahun baharu 2020 pula, suasana Dataran Putrajaya akan diserikan lagi dengan persembahan bunga api dan pertunjukan bunga api digital.

Sementara itu, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata LAMPU 2019 menyasarkan kehadiran sehingga 1.5 juta pengunjung sepanjang empat malam festival itu berlangsung.

“Saya harap orang ramai datang ke Putrajaya, kita saksikan keindahan bandar ini yang diterangi lampu-lampu dan raikan kepelbagaian budaya di negara ini,” katanya.

Bagi kemudahan pengunjung, PPj menyediakan khemah untuk berteduh dan perkhidmatan bas perantara dari Putrajaya Sentral ke tapak festival secara percuma.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Sultan Selangor terima menghadap Menteri Wilayah Persekutuan

SHAH ALAM, 22 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad di Istana Bukit Kayangan di sini, semalam.

Pejabat Istana Selangor dalam kenyataan berkata, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam menyembahkan kepada baginda pelan pembangunan semula Kampong Bharu serta isu semasa yang berkaitan.

“Tuanku memberi perkenan agar kawasan Kampong Bharu dibangunkan semula seiring dengan kemajuan pesat bandar raya Kuala Lumpur supaya terus relevan.

“Namun pada masa sama, baginda turut menekankan supaya susur galur sejarah Kampong Bharu dipelihara, ia termasuk memulihara struktur bangunan ikonik dan mengekalkan nilai-nilai asal kawasan berkenaan,” kata kenyataan itu.

Turut menyertai rombongan terbabit adalah Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan giat usaha hijaukan bandar

SHAH ALAM, 10 NOV: Lembaga Perancang Bandar Malaysia (PLANMalaysia) melancarkan logo baharu sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2019 Peringkat Kebangsaan.

Logo baharu menggunakan warna oren dan biru gelap itu memaparkan huruf LPBM yang dibentuk menyerupai susun atur perbandaran dan diadaptasi dari khat khufi, di samping pemindahan lokasi baharu pejabat dari Kuala Lumpur ke Putrajaya.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad di Dataran Kemerdekaan Shah Alam sambil disaksikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Ketua Pengarah PLANMalaysia, Datuk TPr Mohd Anuar Maidin.

Khalid dalam ucapannya berkata, kerajaan akan mempergiatkan inisiatif menghijaukan bandar sebagai usaha menyokong agenda pembangunan mampan bagi menangani masalah kemerosotan kualiti alam sekitar di negara ini.

“Kita mahu pembangunan sesebuah bandar itu dirancang dan dikawal supaya kesan daripada pembangunan tersebut tidak merosakkan alam sekitar.

“Ini kerana aktiviti pembangunan itu merupakan penyumbang terbesar kepada kemerosotan kualiti alam sekitar selain mendorong kepada pelepasan gas rumah hijau,” katanya.

Khalid berkata semua pihak berkaitan termasuk Perancang Bandar, Pihak Berkuasa Perancang Tempatan, agensi kerajaan dan swasta, perlu memainkan peranan proaktif dalam membantu kerajaan memelihara keharmonian alam sekitar.

Sambutan HBPS 2019 mengangkat tema ‘Hijau dan Komuniti: Bersama Lebih Baik (Green and Community: Together is Better), iaitu pendekatan ke arah merancang dan melaksanakan pembangunan mampan serta mendidik masyarakat kepentingan memelihara alam sekitar melalui persekitaran kondusif serta lestari.

Disambut pada 8 November setiap tahun di hampir 30 buah negara di seluruh dunia hasil cetusan idea cendekiawan perancangan bandar terkenal dari Argentina, Prof Carlos Maria Della Paolera, HPBS 2019 diadakan bersekali dengan Hari Tanpa Kenderaan Shah Alam.

Dalam majlis sama, empat Pihak Berkuasa Tempatan menerima Penghargaan Bandar Mampan 2018 yang menyaksikan Majlis Bandaraya Ipoh dari Perak mengungguli kategori Majlis Bandaraya.

Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya dari Melaka mengungguli kategori Majlis Perbandaran, Majlis Daerah Pengerang, Johor bagi kaetogri Majlis Daerah sementara Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerima Penghargaan Khas.

Sebelum itu pada sebelah pagi, Khalid turut bersama-sama melepaskan peserta FUN Walk yang dianjurkan Kelab Sukan dan Kebajikan Perancang Bandar Malaysia dengan kerjasama MBSA dan Treasure Hunt.

Categories
AGENDA NASIONAL

DBKL kenal pasti dahulu kawasan berisiko banjir kilat

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengenal pasti kawasan berisiko banjir kilat terlebih dahulu sebelum menambah baik sistem perparitan di sekitar ibu kota.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, hal ini kerana setiap kawasan mempunyai sistem perparitan berbeza yang mana ia hanya mampu menampung kapasiti air yang tertentu apabila hujan lebat.

Katanya, DBKL turut bercadang untuk membina kolam takungan di beberapa kawasan bagi mengatasi masalah banjir kilat tetapi kajian menyeluruh perlu dibuat terlebih dahulu.

“Ada sistem saliran yang tak mampu takung air datang mendadak, setakat normal air hujan itu boleh tetapi jika ditambah dengan air mengalir dari bukit maka ia jadi tidak dapat dikawal.

“DBKL perlu melihat perkara ini dan meningkatkan kapasiti (saliran) dan menukar reka bentuk sistem perparitan memandangkan hujan lebat semalam adalah di luar jangkaan kerana dilihat lebih daripada 100mm,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Bandar DBKL Fasa 1 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keadaan beberapa jalan utama di ibu kota dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak pukul 6 petang semalam menyebabkan beberapa kenderaan dilaporkan terperangkap.

Jalan-jalan terlibat ialah Jalan Tuanku Abdul Halim di kedua-dua arah serta Lebuhraya Sultan Iskandar berhampiran susur ke Parlimen.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pihaknya akan memanggil jabatan-jabatan terlibat dalam jawatankuasa khas banjir kilat bagi mendapat laporan penuh mengenai kejadian banjir kilat semalam.

“Semalam ada kawasan tertentu tak sampai 11 minit dah surut, contoh di Mahameru (Lebuhraya Sultan Iskandar), di Segambut pun dalam masa setengah jam pun dah surut, cuma mana-mana kereta yang terjejas kena tengok balik (dari segi pampasan) bergantung kepada situasi.

“Kita tengah lihat kos kerugian banjir semalam, jika punca banjir adalah daripada pihak pemaju, jadi perlu minta pemaju bayar kepada mereka,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kampung Baru: 90 peratus setuju tawaran kerajaan

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) telah menerima kira-kira 700 hingga 800 borang daripada penduduk Kampung Baru berhubung pembangunan semula kawasan itu.

Beliau berkata, daripada jumlah borang itu, kira-kira 90 peratus pemilik tanah bersetuju dengan tawaran RM850 bagi setiap satu kaki persegi oleh kerajaan.

“Setakat ini, kita dimaklumkan telah ada 700 hingga 800 borang yang dikembalikan kepada pihak PKB dan daripada jumlah itu, lebih 90 peratus setuju dengan tawaran yang dikemukakan kerajaan,” katanya dalam program Ruang Bicara Bernama News Channel (BNC), malam tadi.

Mengenai terdapat pihak yang meletakkan kadar sehingga RM2,000 bagi setiap satu kaki persegi di kawasan itu, Khalid menegaskan kadar yang telah ditawarkan kerajaan adalah berpandukan kepada penilaian yang ditentukan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.

“Ia merupakan harga yang berdasarkan penilaian profesional.

“Kampung Baru terbuka kepada sesiapa, siapa sekalipun boleh buat tawaran bukan sekadar kementerian dan kerajaan, mana-mana pihak yang rasa harga tanah RM2,000 (bagi setiap satu kaki persegi) dan ada kemampuan dia boleh beli, tidak ada siapa yang halang,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

DBKL akan kenal pasti penghuni PA, PPR untuk dibantu

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mengenal pasti penyewa Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar ibu kota yang layak diserapkan dalam Skim Khidmat Menjelaskan Tunggakan Sewa.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, usaha itu bertujuan membantu penyewa yang benar-benar memerlukan bantuan bagi membayar semula sewa bulanan yang tertunggak itu.

“Saya sudah minta DBKL dapatkan senarai penduduk dan buat satu proses pemutihan untuk cari orang yang betul-betul memerlukan bantuan. Kita akan cuba berikan pekerjaan dan jenis bantuan lain sehingga akhirnya mereka boleh membayar sewa mereka.

“Tetapi mereka yang akhirnya didapati ada kereta, telefon bimbit, Astro dan hidup dalam keadaan agak mewah… itu, kita terpaksa ambil tindakan kerana ada lebih ramai lagi yang layak menerima bantuan ini,” katanya selepas merasmikan Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur di Dataran Merdeka, hari ini.

Menurut Khalid, DBKL mengalami kerugian RM58 juta akibat tunggakan sewa itu, sedangkan sewa bulanan hanya RM124.

“Ini bukan sejak Pakatan Harapan (PH) ambil alih. Dari awal lagi, ada penyewa yang masuk langsung tidak pernah bayar.

“Ini pun kita kena tangani dengan berhati-hati dan berhemah kerana kita tahu akan ada golongan yang menjadikannya isu politik. Ini masalahnya, bila kita nak buat benda yang betul, ia dipolitikkan,” katanya.

Festival Permainan Malaysia anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), yang diadakan buat kali kelima itu bertujuan menanam minat serta memelihara permainan tradisional negara agar tidak luput ditelan zaman.

Festival yang disertai lebih 1,000 peserta daripada badan beruniform dan sektor korporat itu menampilkan 20 jenis permainan tradisional pelbagai kaum seperti batu seremban, congkak, sepak raga, menyumpit dan tarik tali.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Isu perkauman meruncing akibat dicetus pihak tertentu

SHAH ALAM, 26 OGOS: Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad mengakui isu perkauman yang dimainkan pihak tertentu termasuk pembangkang, dilihat semakin meruncing sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, isu perkauman itu sengaja ditimbulkan pihak berkenaan bagi mengkritik pentadbiran kerajaan hari ini.

“Dalam mesyuarat kabinet baru-baru ini dilaporkan bahawa masalah perkauman semakin meruncing malahan dikatakan paling teruk dalam sejarah terbaharu negara.

“… dan kita lihat isu perkauman ini dilakukan oleh kumpulan yang mempunyai agenda. Kita juga lihat pihak pembangkang sengaja timbulkan isu perkauman menerusi laman-laman sosial sejak akhir-akhir ini bertujuan mengkritik pentadbiran kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Bulan Kemerdekaan Peringkat Parlimen Shah Alam di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, pihak berkenaan juga sengaja mempolitikkan isu perkauman bagi menghakis perpaduan negara yang beridentitikan rakyat berbilang kaum.

Katanya, perkara seperti itu tidak seharusnya wujud dalam pentadbiran Kerajaan baharu hari ini.

“Dulu waktu kita jadi pembangkang kita tidak pernah wujudkan isu (perkauman) ini. Kita kritik dan tegur kerajaan (terdahulu) dengan cara membina….oleh itu tunjukkanlah kematangan kita hari ini dengan tidak mencetuskan isu-isu (perkauman) ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kelayakan umur bagi Residensi Wilayah dinaik kepada 21 tahun

PUTRAJAYA, 1 JUL: Syarat kelayakan umur bagi permohonan Residensi Wilayah dinaikkan daripada 18 tahun kepada 21 tahun bagi menjamin kesediaan pembeli membiayai kos perumahan, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata sebelum ini, kelayakan umur bagi Residensi Wilayah yang telah dijenamakan daripada Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) pada 1 Feb lepas, adalah tidak munasabah.

“Sebelum ini umur 18 tahun tidak munasabah kerana ada masih bersekolah dan tidak bekerja. Ada kemungkinan nama mereka disalah guna pihak lain untuk membeli rumah (di bawah Residensi Wilayah yang tidak melebihi RM300,000).

“Kita khuatir ada pihak yang guna nama budak-budak (18 tahun) beli rumah dan beberapa tahun kemudian tukar nama atas nama pembeli sebenar,” katanya.

Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan dasar dan portal baharu serta aplikasi telefon pintar Residensi Wilayah semasa Perhimpunan Bulanan Kementerian Wilayah Persekutuan dan agensi di sini hari ini.

Khalid berkata kementerian itu akan mengambil kira pemohon berumur 18 tahun yang telah mendaftar sebelum ini.

Beliau berkata terdapat sebanyak 280,000 permohonan Residensi Wilayah yang mana 5,600 adalah pemohon berumur 18 tahun dan daripada jumlah itu, hanya dua peratus atau pun 10 orang yang diluluskan dan kebanyakannya dibiayai ibu bapa.

Katanya status pencapaian keseluruhan pelaksanaan Residensi Wilayah adalah sebanyak 47,889 unit daripada 70 projek sejak 1 Julai tahun lepas sehingga kini.

Khalid berkata kementerian itu juga telah membuat beberapa penambahbaikan bagi memantapkan lagi dasar rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan antaranya menetapkan keluasan minimum 900 kaki persegi berbanding 800 kaki persegi sebelum ini, penyediaan kemudahan guna sama yang ditambah baik serta pengiktirafan QLASSIC diwajibkan bagi menjamin kualiti pembinaan.

Mengenai aplikasi telefon pintar bagi program Residensi Wilayah, Khalid berkata ia bertujuan memberi pilihan kepada pengguna untuk menggunakan alat komunikasi itu selain portal.

“Ia bagi memudahkan capaian pengguna untuk membuat pendaftaran dan semakan bagi pembelian projek perumahan yang ditawarkan di bawah Residensi Wilayah,” katanya.

Beliau berkata aplikasi tersebut boleh dimuat turun daripada App Store bagi pengguna iOS dan Play Store bagi Android. – BERNAMA