Categories
SELANGOR

MB : Operasi KSSB Dipantau SPRM Dan Transparency International

SETIAWANGSA  10 FEB : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) dan Transparency Internasional diberi kebebasan penuh untuk memantau Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), syarikat milik penuh Kerajaan Negeri.

Inisiatif ini dibuat kerajaan negeri bagi memastikan syarikat ini diurus secara telus dan bertanggungjawab.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pegawai SPRM dibenarkan memasuk secara bebas ke pejabat KSSB sejak 2009 untuk menjalankan siasatan sekiranya perlu.

“Ketika KSSB dikritik pada 2009, saya mengadakan perjumpaan dengan pegawai-pegawai kanan SPRM yang diketuai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Sutinah Sultan dan menawarkan untuk menempatkan pegawai-pegawai di pejabat KSSB.

“SPRM menerima tawaran ini dan sejak itu pegawai dan kakitangan SPRM bebas keluar masuk ke pejabat KSSB,” katanya ketika mengulas dakwaan rasuah melibatkan operasi pasir di Selangor yang disiarkan di sebuah laman blog.

Menteri Besar berkata, semua transaksi perniagaan pasir di Selangor dipantau Transparency International dan dua pengarah bebas badan itu juga dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah KSSB sejak tahun lalu.

“Kita meminta Transparency International mencalonkan dua nama untuk dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah KSSB kerana kita berpendapat, sekiranya lantikkan dibuat oleh kerajaan negeri, individu berkenaan mungkin tidak berlaku bebas.

“Transparency International melantik Chong Seng Gee dan Sabtu Md Ali untuk menduduki jawatan Ahli Lembaga Pengarah KSSB sejak tahun lalu,” katanya sambil menambah, KSSB juga diaudit setiap suku tahun oleh juruaudit bebas.

Menteri Besar berkata beliau tidak akan menghalang sesiapa yang ingin memberi maklumat mengenai rasuah dan salah guna kuasa dalam pentadbiran Kerajaan Negeri dan anak-anak syarikat.

Menurut Abdul Khalid, kerajaan negeri komited dalam usaha memerangi rasuah di semua peringkat termasuklah menyediakan geran berjumlah RM15 juta yang disediakan dalam Bajet 2012 Selangor yang diumumkan pada November 2011 lepas.

Tambah beliau lagi, semasa perbincangan di dewan negeri bulan November lepas ada beberapa Adun membangkitkan rasuah dan salah guna kuasa berlaku dalam KSSB, terutama daripada pihak pimpinan Umno.

“Saya meminta dua orang pengarah daripada Transparency International untuk berjumpa dengan pihak Umno itu untuk meminta maklumat yang betul untuk menangkap orang-orang yang dikatakan berlaku melakukan rasuah,sampai sekarang tidak mendapati perkara itu,” katanya.

 

 

Categories
SELANGOR

Penduduk Sungai Sering Lega, Rumah Terbengkalai Terima CF

SETIAWANGSA,10 FEB : Penantian selama hampir sembilan tahun penghuni rumah kos rendah Taman Ukay Indah Sungai Sering berakhir apabila projek terbengkalai berkenaan diselesaikan oleh Kerajaan Negeri Selangor dengan penyerahan Sijil Layak  Menduduki (CF) kepada penduduk terbabit.

Rata-rata penghuni yang ditemui melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri yang dipimpin oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Siti Suriani Ridawi,29, berkata sebelum menerima sijil layak menduduki, keluarganya terasa beban untuk memiliki rumah tersebut kerana pada masa yang sama perlu membayar rumah sewa dan pinjaman perumahan tambahan.

“Saya sudah menunggu sejak 2006, apabila menerima CF ini maka beban keluarga saya akan berkurangan kerana terpaksa membayar banyak kos untuk rumah tambahan pinjaman sudah bermula sejak 2008 yang perlu dibayar,” katanya yang juga suri rumah sepenuh masa.

Turut tidak sabar berpindah ke rumah baru ialah Mohd Mahzan Ibrahim,29.

“Saya tak larat untuk membayar bagi dua rumah iaitu yang disewa dan yang dibeli ini, kalau dah dapat ini kira Alhamdulillah dan dapat masuk rumah secepat mungkin,” katanya.

Bagi warga emas Hashim Ngasimin,77, beliau lega kerana sudah mendapat sijil layak menduduki walaupun rumah kecil namun ia merupakan kelegaan kerana ia adalah rumah sendiri dan tidak perlu menyewa di mana-mana.

“Saya bagi pihak anak saya memang syukurlah kerana ia perkara yang ditunggu-tunggu selama ini dan nampaklah nyata hari ini, jadi mana yang dapat itu bolehlah duduk di rumah baru secepat mungkin,” saran beliau.

Sebelum itu, Menteri Besar dalam ucapannya berkata, pelaksanaan projek ini membuktikan bahawa kerajaan negeri begitu prihatin dengan nasib golongan ini dan berusaha memberikan tempat tinggal yang sempurna.

“Kerana dengan itu kita dapat buktikan kepada rakyat dan kita bukan cakap sahaja tetapi kita tunjukkan kepada Umno-BN kita lebih layak mengurus dan kita lebih telus mengurus negeri ini dengan cara terbaik,” kata Abdul Khalid.

Abdul Khalid juga berkata, beliau mengingatkan Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) dan ahli-ahli majlis di kawasan berkenaan untuk memantau projek pembangunan dan perumahan agar kes rumah terbengkalai tidak berulang.

Beliau juga menyarankan agar penambahan jalan masuk ke kawasan perumahan ini disegerakan.

Turut hadir dalam majlis ini Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad, Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin, Adun Hulu Klang, Saari Sungip,Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya(MPAJ),Datuk Mohammad Yacob,dan Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, Datin Paduka Alinah Ahmad.

Sebelum ini, Pembangunan Rumah Kos Rendah Taman Ukay Indah Sungai Sering berjumlah 660 unit dengan 15 tingkat yang terdiri daripada blok A dan B. Perumahan kos rendah ini dimajukan oleh Tetuan Triumph City Development Sdn Bhd dan merupakan perumahan kos rendah penempatan Semula Setinggan.

Projek ini termasuk dalam projek perumahan Rumah Kos Rendah yang lewat disiapkan bagi tujuan penempatan semula setinggan di sekitar Mukim Hulu Kelang,melibatkan 11 penempatan yang kesemuanya berjumlah 660 keluarga.

 

Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor Bantu Penghuni Pangsapuri Teratai Bukit Subang

SHAH ALAM, 9 FEB : Kerajaan Selangor akan membantu penghuni Pangsapuri Teratai, Bukit Subang membaiki rumah mereka yang rosak teruk di dalam kejadian ribut petang Selasa lalu.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan dan bersedia untuk membuat peruntukan bagi menolong penduduk membaiki atap pangsapuri yang ranap.

“Prosesnya memakan masa kurang dua hari kerana kerajaan negeri akan menghantar juru nilai harga untuk melihat kawasan tersebut bagi menganggarkan kos yang perlu dikeluarkan,” Abdul Khalid berkata selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Bangunan SUK di sini semalam.

Dalam kejadian tersebut, sembilan unit rumah di blok satu dan dua, pangsapuri Seksyen 16 itu mengalami rosak teruk apabila bumbung rumah cabut ditiup angin yang kuat. Manakala selebihnya hanya mengalami kerosakan kecil.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu kerana kesemua penghuni berjaya menyelamatkan diri.

Setakat ini, kesemua penduduk ditempatkan sementara di surau berdekatan dan menunggu pemantauan yang dibuat bomba mengenai status keselamatan pangsapuri itu.

Categories
SELANGOR

Sidang DUN 2012 Bermula 19 Mac

SHAH ALAM 9 FEB : Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor sesi 2012 akan bermula pada 19 Mac depan setelah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada pemberita dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Bangunan SUK di sini semalam.

Abdul Khalid berkata, antara isu yang akan diberi perhatian adalah keadaan kewangan negeri yang semakin meningkat termasuk program-program pembangunan yang bakal dilaksanakan untuk rakyat pada tahun ini.

“Menurut laporan Jabatan Kewangan Negeri Selangor, simpanan tunai kerajaan negeri bertambah lebih 26 peratus dan secara terkumpul melebihi RM1.9 bilion sehingga hujung 2011 berbanding kurang RM500 juta pada tahun 2007.

Penyata kewangan itu telah diserahkan kepada jabatan audit tetapi akan dikemaskini semula untuk mendapat pengesahan,” katanya.

Dalam sidang media sama, Abdul Khalid turut memaklumkan exco kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat sebagai usaha untuk melaksanakan pemberian Geran Selangorku bernilai RM300 juta yang telah diluluskan pada sidang DNS lalu.

“Pengagihan itu dibuat supaya proses pelaksanaan dapat dilakukan dengan cekap dan berkesan, sekaligus mengurangkan birokrasi dan tepat kepada matlamat iaitu terus sampai kepada rakyat.

Geran yang dibentangkan Belanjawan Selangor 2012 berasaskan dana sumbangan dividen daripada Syarikat Berkaitan Kerajaan Selangor serta keuntungan operasi Perbadanan Menteri Besar (MBI) yang berjaya mendapatkan hutang-hutang lapuk dari Syarikat Talam Corporation.

Ia juga adalah hasil penstrukturan semula projek Canal City dan pengenalan polisi pemberi milikan tanah mengikut harga pasaran.

Antara program yang akan dilaksanakan melalui Geran Selangorku adalah pengenalan gaji minima, program memperkasakan wanita, program keusahawanan muda, pembinaan infrastruktur sukan, program sokongan pendidikan, program dari kebajikan kepada pekerjaan dan program jangkaan kehidupan bandar.

Categories
SELANGOR

MB Gesa Masyarakat Sokong PBT Kutip Sampah

PETALING JAYA, 5 FEB : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggesa masyarakat setempat supaya bersama-sama berganding bahu dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mewujudkan persekitaran yang bersih dan selamat didiami.
Beliau menyampaikan amanat itu dalam ucapannya di Majlis Mesra Gong Xi Fa Cai Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) 2012 yang diadakan di perkarangan parkir Dewan Sivik MBPJ malam tadi.

“Saya mahu semua memberi sokongan tentang usaha membersihkan sampah kerana ia sekarang di bawah bidang kuasa majlis bandaraya.

“Ini kerana kamu semualah pemilik kepada bandaraya ini. Duit yang dibelanjakan bagi usaha ini juga hak rakyat. Maka kita mahu penglibatan semua masyarakat menjayakannya,” tegas Abdul Khalid.

Sebelum ini, kerja-kerja pengutipan sampah dilakukan oleh syarikat Alam Flora Sdn Bhd sebelum diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan Selangor melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) pada September tahun lepas.

Usaha ini bagaimanapun diganggu pihak-pihak tertentu yang cuba menggagalkan kerja pembersihan sampah-sampah oleh PBT dengan mengugut kontraktor kutipan sampah dan membuang longgokan sampah di kawasan perumahan.

Pada majlis yang sama, MBPJ merealisasikan konsep hijau selaras dengan hasratnya menjadikan Petaling Jaya sebuah bandaraya hijau berkarbon rendah.

Majlis malam tadi mengaplikasikan penggunaan bekas makanan yang berasaskan bahan bio-degaradable serta kehadiran maskot kitar semula 3R dan pameran hijau.

Disamping kehadiran dua ribu pengunjung, majlis turut diserikan dengan kehadiran EXCO Kerajaan Tempatan Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu, Datuk Bandar MBPJ, Datuk Haji Mohamad Roslan Sakiman serta ahli-ahli majlis MBPJ.

Categories
NASIONAL

MB : Najib Terdesak Untuk Tawan Balik Selangor

SUNGAI PETANI, 14 JAN: Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang semakin rancak turun bertemu rakyat di Selangor bagi meraih sokongan untuk Barisan Nasional disifatkan sebagai usaha terdesak di mana BN “hanya bermimpi dan mengigau”.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, selama lebih 50 tahun BN mentadbir Selangor mereka gagal untuk memberi keselesaan kepada rakyat namun kini mereka merayu kepada rakyat untuk kembali menyokong BN.

“Ramai pemimpin BN mengigau dan mimpi sampai PM (Najib Razak) terpaksa turun untuk minta undi BN demi perubahan. Buat apa undi semula BN, ini kerja bodoh,” katanya.

Jelas Abdul Khalid, sebagai pentadbir negeri, perkara utama adalah melaksanakan janji yang disebutkan dan bukan hanya pandai berkempen semata-mata.

“Jangan cakap banyak, kempen banyak tapi yang penting kita kena lakukan gerak kerja,” katanya di satu ceramah di Pengumpulan Hasil Pertanian, Lembah Jerai di sini malam tadi.

Mengulas lanjut katanya, pengenalan dasar ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor’ bukannya satu slogan semata-mata sebaliknya merupakan gerak kerja yang perlakukan untuk keselesaan rakyat.

MES yang dilaksanakan sehingga kini berjaya memberikan manfaat kepada rakyat melalui program pemberian air percuma 20 metre padu, Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dan beberapa program lain.

Katanya, gerak kerja telus yang diamalkan pimpinan Pakatan ternyata mengakibatkan kroni Umno ‘sakit perut’ kerana gagal untuk mendapatkan projek dengan jalan mudah.

Manakala Naib Presiden Pas, Husam Musa berkata tiada alasan untuk rakyat menidakkan kekuatan Pakatan bagi mentadbir negara selepas pilihanraya umum akan datang.
“Ini bukan kempen kosong, tetapi ini telahpun dibuktikan di Selangor,”

Husam yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan berkata rakyat perlu mengubah kerajaan persekutuan
dan melihat sejauh mana kematangan BN mengambil alih tugas pembangkang.

“Kita ubah pada PRU-13 ini. PM Malaysia Anwar Ibrahim, Najib pula Ketua Pembangkang. Kita lihat mampu atau tidak dia menggalas tugas itu.

“Sejak pembebasan Anwar dari tuduhan karut yang direka BN, ramai antara pemimpin Umno yang bercadang  untuk menyertai kita (PR), pintu kapal yang dinahodai Anwar sentiasa terbuka sebelum PRU, selepas PRU baru insaf mahu sertai perjuangan kita, ia sudah terlambat, pintu kapal sudah tertutup, biar mereka lemas dalam lautan,” katanya sambil menerima tepukan gemuruh.

Manakala, Ahli Parlimen Kepong, Tan Seng Giaw pula berkata dalam merialisasikan hasrat Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya, rakyat perlu bersiap sedia dengan mentaliti yang teguh sebagai perisai menangkis usaha jahat Umno-BN untuk mengekalkan kuasanya.

“Penduduk Selangor dan Kelantan harus diambil contoh, mereka tidak menolak pemberian gula-gula politik dari Umno-BN, tetapi apabila tiba masa pilihanraya, mereka tetap pangkah (mengundi) Pakatan Rakyat.

“Mentaliti ini membuatkan Perdana Menteri hilang idea bagaimana untuk menawan kembali negeri-negeri bawah kepimpinan Pakatan Rakyat, kerana rakyat lebih celik dan cerdik hari ini,”