Categories
NASIONAL

BN Perlu Hentikan Sikap Pura-Pura Berhubung Israel

SHAH ALAM, 24 FEB : Kerajaan Barisan Nasional diseru untuk menghentikan sikap hipokrasi dan double standard berhubung isu hubungan dagangan dengan negara haram Israel.

Demikian tegas Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Khalid Samad yang mendakwa penjelasan Kerajaan Pusat berhubung isu kapal Israel yang berlabuh di Pelabuhan Klang tidak boleh diterima sama sekali.

“Lebih-lebih lagi dalam keadaan kononnya negara Malaysia adalah juara memperjuangkan nasib rakyat Palestin dan kononnya Malaysia tidak ada sebarang hubungan diplomatik dengan Israel.

“Jadi kita sangat terkejut dengan pendedahan kapal Israel yang biasa berlabuh di Pelabuhan Klang,” ujar Khalid sambil menambah alasan anak kapal Israel tidak dibenarkan menjejakkan kaki di pelabuhan sebagai penjelasan ‘main-main’ oleh Kerajaan Umno/BN.

Lebih mengejutkan, Malaysia berada di kedudukan bawah 20 bagi negara-negara yang mempunyai hubungan dagangan dengan Israel, beritahu Khalid dalam sidang medianya pagi tadi.

“Rekod ini adalah berdasarkan laporan yang telah didedahkan oleh beberapa pihak dan ia membuktikan bahawa Malaysia merupakan rakan dagangan yang ‘kuat’ dengan Israel.

“Dan antara produk terpenting ialah minyak kelapa sawit. Saya percaya peneroka-peneroka Felda akan merasa dikhianati kerana tanpa disedari hasil mereka menjadi bahan dihantar ke Israel,” jelas Khalid yang juga merupakan Ahli Parlimen Shah Alam.

Sehubungan itu, Khalid mendesak agar BN menghentikan sikap kepura-puraan mereka berhubung isu Israel-Palestin seterusnya melaksanakan tiga perkara sekiranya benar Kerajaan Pusat menghormati aspirasi rakyat Palestin seperti yang selalu dilaungkan mereka.

“Sekiranya kamu benar-benar tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel, maka zahirkanlah dalam tindakan kamu.

“Yang pertama, hentikan kemasukan kapal-kapal Israel melalui perairan Malaysia, kedua hentikan perdagangan dengan Israel dan yang ketiga tamatkan perkhidmatan APCO sebagai penasihat kamu,” tegas beliau

Categories
NASIONAL SELANGOR

Khalid Samad: “Siapa Taja Hasan Ali”

SHAH ALAM, 24 FEB : Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Khalid Samad hari ini membangkitkan persoalan sumber kewangan siri ‘roadshow’ mantan Exco negeri, Datuk Dr. Hasan Ali ke seluruh negara yang pastinya menelan biaya yang besar.

Menurut Khalid, sesiapa sahaja yang berada di belakang Dr.Hasan Ali semestinya pihak-pihak yang bakal mendapat keuntungan sekiranya Kerajaan Pakatan tumbang di Selangor pada Pilihanraya Umum akan datang.

“Di antara yang berkemungkinan ialah Puncak Niaga dan Syabas kerana kadar tarif air akan naik sebanyak 71 peratus sekiranya BN kembali memerintah negeri Selangor.

“37 peratus untuk tahun 2009 dan 25 peratus untuk tahun 2012. Jika didarabkan 1.37 dengan 1.25 maka jawapannya ialah pendapatan Syabas dan Puncak Niaga naik sebanyak 71 peratus,” kata Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.

Selain itu, Khalid juga memberitahu sekiranya Barisan Nasional berjaya menawan Selangor, Syabas berkemungkinan memperoleh kelebihan untuk menjalankan rundingan luar mahkamah berhubung kes saman RM 1 billion terhadap Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri sekarang disaman kerana tidak benarkan kenaikan harga air pada 2009 dan 2012, maka Syabas bertindak saman Kerajaan Pakatan sebanyak RM 1 billion.

“Kalau Kerajaan BN naik, mereka pasti akan lakukan ‘out of court settlement’ dan duit sebanyak itu akan diserahkan pada Syabas dalam apa bentuk sekalipun yang dipersetujui bersama,” tambah Khalid lagi.

Selain Puncak Niaga dan Syabas, Khalid turut memberitahu kemungkinan ada kontraktor-kontraktor berkepentingan lain yang membiayai Dr. Hasan Ali.

“Di bawah Pakatan Rakyat, mereka tidak berpeluang merasai keuntungan seperti dahulu kerana semua peluang adalah ‘open tender’ dan tiada lagi ‘direct negotiation’ serta tiada lagi projek diberi sebagai ‘political payback’.

“Oleh kerana itu ada kemungkinan kontraktor-kontraktor yang lain ini membiayai Dr. Hasan Ali,” jelas Khalid dalam satu sidang medianya di pejabatnya di Seksyen 13 disini pagi tadi.

Bagaimanapun, Khalid menjelaskan sekiranya perkara ini tidak benar, pihak-pihak yang berkaitan dapat memberi penafian berhubung ‘cakap-cakap kedai kopi’ ini dan Dr.Hasan Ali dapat memberi penjelasan berkenaan sumber yang diperolehinya.

“Kita mahu beri peluang kepada Puncak Niaga, Syabas, Dr. Hasan Ali untuk menjawab segala andaian ini. Mungkin juga Hasan Ali sudah menggadaikan harta mahupun keretanya demi perjuangan politiknya.

“Tetapi jika tidak, yang kita mahu tahu ialah dari mana sumber kewangan yang beliau perolehi ini,” ulas Khalid.

Categories
SELANGOR

Mangsa Ribut Di Bukit Subang Gembira Dapat Bantuan

SUBANG, 10 FEB : Penduduk Pangsapuri Teratai di Bukit Subang yang menjadi mangsa kejadian ribut pada 7 Februari lepas menyatakan rasa syukur dan gembira apabila kerajaan negeri Selangor memperuntukkan RM480,000 bagi membaik pulih bumbung pangsapuri yang rosak itu dan juga bantuan kecemasan segera.

Tinjauan TV Selangor semasa pemberian bantuan kecemasan itu disambut dengan penuh kesyukuran oleh penduduk tempatan.

Bantuan disampaikan oleh Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Menurut penduduk, Raden Haji Ahmad Qurtubi Masduki,64, berkata beliau amat menghargai dengan pemberian yang disumbangkan oleh kerajaan negeri dan pihak-pihak berkuasa yang bertungkus lumus memberikan pelbagai bantuan sejak mereka dipindahkan ke Dewan Raflesia itu sebagai tempat pemindahan sementara.

” Terima kasih diucapkan kepada mana-mana pihak telah memberikan perhatian terhadap apa yang terjadi ke atas diri kami,pihak kami penduduk yang terlibat mengucapkan jutaan terima kasih yang sudi menghulurkan derma secara spontan dan juga pihak yang berkaitan yang memberikan peralatan untuk tidur dan sebagainya,moga-moga apa yang disumbangkan oleh mereka diberkati Allah,” katanya.

Menurut Qurtubi kejadian tersebut yang kali pertama berlaku sejak beliau tinggal di kawasan itu berharap agar penduduk di situ dapat sabar dan menginsafi kejadian itu dengan mengambil iktibar.

” Moga-moga apa yang kami lakukan tanpa disedari atau disedari akan diampunkan oleh Allah, dan semoga kejadian ribut itu tidak akan berulang lagi,sebagai penduduk yang menerima musibah amat-amat mengambil perhatian di atas apa jua yang berlaku,moga-moga kejadian ini menjadi satu iktibar kepada kami yang Allah telah berikan ujian kepada kita,” katanya.

Aman Jaya Abdul Aziz,40, berkata sumbangan yang diberikan kerajaan negeri akan meringankan sedikit kesukaran yang dihadapi ekoran kejadian ribut itu yang merosakkan rumah serta peralatan rumahnya.

“Semasa kejadian ribut itu berlaku air yang mencurah-curah masuk menyebabkan habis baju dan pakaian basah, pemberian ini sekurang-kurangnya akan meringankan beban saya. Anggaran kerugian termasuk pakaian adalah dalam anggaran RM300.

“Semasa kejadian saya berada di berandar rumah, dan angin kuat bersama-sama abuk sekali yang disertai dengan daun-daun dan kayu-kayu masuk ke dalam rumah,” katanya.

Katanya beliau amat berpuas hati dengan segala bantuan dan keprihatinan kerajaan yang memberikan pertolongan segera kepada penduduk sejak hari kejadian serta di pusat pemindahan sementara itu.

“Terima kasih juga di atas keperihatian Pejabat DUN dan juga Unit-Unit Amal PAS yang menghulurkan bantuan,” katanya.

Azizi Abdul Hamid,38, beliau menyatakan sumbangan itu diharap meringankan beban yang dialaminya.

“Syukur Alhamdulillah dengan sumbangan kerajaan negeri ini, terima kasihlah di atas semua yang terlibat dalam memberikan sumbangan bantuan,” jelasnya.

Dalam majlis itu seramai 91 buah keluarga menerima sumbangan kecemasan yang diberikan terus bagi meringankan beban mangsa ribut.

Exco Selangor, Yaakob Safari berkata bantuan yang disalurkan itu adalah bantuan daripada program ceria kerajaan negeri untuk membantu rakyat di negeri ini dan sumbangan dari pejabat Adun serta daripada Lembaga Zakat Selangor.

” Untuk membantu mangsa ribut di sini,penduduk yang diberi bantuan kewangan sebanyak antara RM200 sehingga RM500 untuk
sekeluarga bergantung kepada jenis kerosakan, manakala untuk membaiki bumbung yang rosak kerajaan negeri memperuntukkan RM480,000,” kata Yaakob yang juga Adun Kota Anggerik semasa ditemui selepas pemberian bantuan kecemasan itu di Dewan Raflesia di sini.

Turut hadir sama dalam penyampaian sumbangan ini Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Penghulu Kanan Daerah Petaling Arzmi Mohd Atan.

Sebelum ini, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan dan bersedia untuk membuat peruntukan bagi menolong penduduk membaiki atap pangsapuri yang ranap.

Antara kawasan yang teruk terjejas ialah Blok Teratai dengan 13 rumah di tingkat atas yang tidak berbumbung serta penduduk di Pangsapuri Melur dan Pangsapuri Kiambang yang juga kehilangan atap akibat diterbangkan angin kuat.

Dalam kejadian tersebut, sembilan unit rumah di blok satu dan dua, pangsapuri itu mengalami rosak teruk apabila bumbung rumah cabut ditiup angin yang kuat. Manakala selebihnya hanya mengalami kerosakan kecil.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu kerana kesemua penghuni berjaya menyelamatkan diri.

Categories
NASIONAL

Khalid Samad Sedia Berdebat Dengan Hasan Ali

SHAH ALAM 9 FEB : Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad sedia mengadakan debat terbuka dengan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor yang dipecat , Datuk Hasan Ali sekiranya disiarkan secara langsung di media eletronik.

Ia bertujuan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk memperjelaskan secara adil dan berfakta berhubung ‘parasit’ dalam PAS yang dicetuskan hasan sebelum ini.

Ahli Parlimen Shah Alam itu turut menyifatkan bekas Exco Selangor itu sebagai ‘musuh dalam selimut’ ekoran beberapa kenyataan yang bercanggah dengan parti dan Pakatan Rakyat (Pakatan) sebelum dipecat.

Katanya, keputusan pemecatannya dibuat sendiri oleh pimpinan tertinggi parti yang diketuai oleh Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam mesyuarat khas tanpa pengaruh daripada mana-mana pihak termasuk ‘parasit’ seperti yang di katakan Hasan.

“Saya diberitahu bahawa walaupun majoriti ahli mesyuarat meminta dia pada asalnya tidak dipecat tetapi digantung keahlian dan semua jawatannya, tetapi pimpinan tertinggi telah memutuskan bahawa dia perlu dipecat. Maka setelah berbincang, kehendak pimpinan tertinggi itu diterima semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab kenyataan Datuk Hasan berhubung 9 sebab mengapa beliau tidak akan merayu pemecatannya.

Jelas Khalid, ketika mesyuarat dibuat, beliau berada di Arab Saudi.

Katanya, kenyataan Hasan yang mengatakan peranan parasit begitu menonjol merupakan satu penghinaan sekaligus tidak menghormati keputusan pemilihan yang dibuat ahli dalam Muktamar PAS 2011 dan kepimpinan yang diterajui Presiden PAS yang dilihat tunduk dengan desakan golongan tersebut.

Tambah Khalid, sebelum ini Hasan berulang kali mencadangkan supaya PAS meninggalkan Pakatan walhal keputusan bersama Pakatan diputuskan dalam Muktamar dan pada ketika itu beliau sendiri tidak bersuara untuk mengatakan sebaliknya.

Beliau turut mendedahkan terdapat pertemuan bersama Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah)dan Datuk Seri Khir Toyo bagi membentuk kerajaan di Selangor yang membuka ruang supaya Datuk Hasan Ali dilantik menjadi Menteri Besar Selangor namun usaha itu digagalkan.

“Dalam tempoh sebelum dilantik Menteri Besar, telah diatur satu pertemuan dengan Tun Abdullah Badari dan Datuk Seri Khir Toyo sepatutunya dia (Hasan Ali) pergi tapi digantikan oleh saya atas arahan PAS Pusat. Dalam pertemuan itu Pak Lah telah sebut PAS ada 8 kerusi, PKR ada 15 kerusi (8 Melayu) dan 20 kerusi bukan Melayu(13 DAP). Awak ada minoriti Melayu, bagaimana ingin membentuk kerajaan.

“Saya katakan, penyelesaiannya mudah. Umno ada 18 kerusi, 5 daripadanya dipinjamkan keapda PAS maka kita ada 21 kerusi Melayu dan masalah selesai. Dia (Pak Lah) kata tidak boleh. Dia mahu PAS lompat bersama dia (Umno), 20 kerusi yang ada pada BN dicampur menjadi 28 kerusi. PKR campur dengan DAP juga menjadi 28, maka bertemu dengan Sultan cepat-cepat dan lantik Hasan Ali menjadi Menteri Besar. Kalau Umno tidak sanggup untuk memberikan 5 kerusi terbabit untuk menyelesaikan masalah majoriti atau minoriti itu. Maka habis di situ,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, Hasan sebenarnya menghadapi masalah untuk bekerjasama dengan pihak lain memandangkan beliau dengan dasar Melayu, Islam dan Raja selain latar belakangnya sebagai seorang pakar motivasi sebelum ini.

Dalam konteks berkongsi kuasa katanya, semua pihak sepatutnya mendengar pandangan semua dan bukannya hanya bersandarkan keputusan sendiri semata-mata.

Ujar beliau, Hasan sepatutnya meletakkan jawatan sebagai Exco Selangor lebih awal memandangkan beliau mengakui mengahadapi kesukaran untuk mendaulatkan Islam dan bangsa Melayu dan bukannya selepas empat tahun mendapat manfaat dan kemudahan sebagai pemimpin negeri.

Dalam pada itu, beliau turut mencabar Datuk Hasan supaya mendedahkan lokasi maksiat seperti dakwaan ‘Shah Alam Kota Maksiat’ dan bukannya ‘cakap ikut sedap mulut’.

“Gambaran sedemikian sebenarnya menempelak Datuk Bandar dan pihak lain seolah-olah hanya dia seorang yang melakukan tugas,” katanya.

Berhubung kemungkinan beliau bertanding dalam Pilihanraya Umum 13 (PRU-13) di Shah Alam dengan Datuk Hasan Ali, katanya, segalanya terserah kepada parti memandangkan semua yang bertanding tidak mengetahui dan diberikan jaminan sama ada mereka akan kekal untuk bertanding.

Katanya, beliau mendapat tawaran debat bersama Hasan melalui sebuah penganjur dan akan bersetuju dengan syarat ianya dilakukan secara ‘Live’.

Categories
SELANGOR

Segerakan Bantuan Mangsa Ribut Di Bukit Subang

SHAH ALAM, 9 FEB : Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menggesa tindakan segera Kerajaan Negeri bagi menyediakan peruntukan khas dan mempercepatkan proses bantuan meringankan beban mangsa-mangsa ribut taufan yang berlaku di Bukit Subang dua hari lepas.

“Saya berharap agar Kerajaan Negeri mengambil perhatian serius bencana yang menimpa ini demi membuktikan bahawa Kerajaan Pakatan sememangnya prihatin dan mampu menyelesaikan masalah dengan kadar cepat dan cekap.

“Kerajaan boleh memantau proses bantuan yang boleh disalurkan melalui agensi-agensinya seperti Lembaga Zakat Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat mahupun pejabat kerajaan negeri sendiri,” ujar Khalid.

Menurut Khalid, kerja-kerja pembaikpulihan bangunan-bangunan yang terjejas itu mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya tiga minggu.

“Bagaimanapun saya percaya ini boleh disiapkan dengan kadar segera memandangkan kejadian ini merupakan kecemasan yang sangat memerlukan tindakan pantas.

“Banyak keluarga yang terjejas, mereka perlu dibantu. Jadi saya mohon kerjasama pihak JKR untuk berunding dengan pihak kontraktor untuk selesaikan masalah ini dengan segera,” tegas Khalid lagi.

Khalid turut menyampaikan ucapan tahniahnya kepada badan-badan yang menjalankan tugas dengan cekap membantu mangsa-mangsa sejurus kejadian tersebut berlaku.

“Alhamdulillah ramai yang turun membantu seperti pihak polis, bomba, MBSA, Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan, Unit Amal, Pejabat Adun dan sebagainya,” ucap Khalid dalam sidang akhbar yang diadakan di pejabatnya pagi tadi.

Dalam kejadian yang berlaku Isnin lalu, sebanyak 145 keluarga terjejas dan ditempatkan di dewan berhampiran. Namun kini jumlahnya sudah berkurangan.

Antara kawasan yang teruk terjejas ialah Blok Teratai dengan 13 rumah di tingkat atas yang kini tidak berbumbung serta penduduk di Pangsapuri Melur dan Pangsapuri Kiambang yang juga kehilangan atap akibat diterbangkan angin kuat.

 

Categories
SELANGOR

Khalid Samad : Menteri Besar Layak Sandang Portfolio Agama

SHAH ALAM, 20 JAN : Pas Selangor faham dan akur mengapa portfolio Hal Ehwal Agama Islam digalas oleh Menteri Besar Abdul Khalid Ibrahim dan bukannya diberi kepada exco baru Dr Ahmad Yunus Hairi.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor Khalid Samad juga berkata portfolio itu tidak semestinya secara automatik disandang oleh pemimpin daripada parti Islam itu.

Khalid, yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, berkata keputusan yang diambil oleh Menteri Besar amat tepat dan relevan pada suasana menjelang pilihanraya umum.

“Dengan mengambil kira lebih kurang tiga atau empat bulan untuk menghadapi pilihanraya seterusnya, maka keputusan Menteri Besar untuk beliau sendiri memegang portfolio Hal Ehwal Islam itu relevan kerana sebarang perlantikan baru dijangkakan sukar dan menjejaskan perlaksanaan program yang dirancang sebelum ini,” ulas Khalid ketika dihubungi.

Beliau turut memberitahu, exco Hal Ehwal Islam bukan sahaja menghadapai cabaran melaksanakan tugas berkaitan pentadbiran tetapi perlu berhadapan dengan mainan politik Umno melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

“Sedangkan mantan exco sebelum ini pun tidak mampu untuk menangani permainan Umno melalui kedua-dua badan agama ini.

“Jadi, Pas berpendapat lebih baik Tan Sri Khalid duduk di situ kerana percaya beliau lebih berpengalaman dan bijak menangani sebarang isu berkaitan,” Khalid berkata.

Menurut Khalid lagi, portfolio hal-ehwal Islam merangkumi berbagai aspek pentadbiran.

“Jadi kepercayaan bahawa semestinya Pas menguasai kerangka jabatan agama Islam ini harus diperbetulkan kerana Islam itu wujud dan relevan dalam mana-mana cabang sekalipun sama ada pihak berkuasa tempatan, hal pendidikan, jabatan kerja raya atau lain-lain,” ujar Khalid.

Ketika diminta mengulas tentang tindakan segelintir ahli Pas yang menentang keputusan Menteri Besar itu, Khalid dengan tenang mengatakan bahawa pandangan mereka itu tidak melambangkan pendirian pucuk pimpinan Pas keseluruhannya.

Beliau berkata satu mesyuarat peringkat negeri akan diadakan pada Selasa ini untuk membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut.