Categories
GLOBAL

Turki mungkin minta PBB campur tangan kes Khashoggi

WASHINGTON/ANKARA 21 NOV: Turki tidak berpuas hati secara keseluruhan terhadap tahap kerjasama diterimanya daripada Arab Saudi berhubung pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi dan mungkin menuntut siasatan rasmi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) jika perhubungan dengan Riyadh menemui jalan buntu.

Menteri Luarnya Mevlut Cavusoglu bercakap kepada media di Washington semalam selepas bertemu Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo berkata, Turki berkongsi maklumat terbaharu berkaitan pembunuhan Khashoggi dengan AS dan mengulangi pendirian Ankara bahawa kebenaran perlu didedahkan terhadap siapa yang memberi arahan membunuh wartawan berkenaan.

“Sehingga kini, kami menerima tawaran Arab Saudi untuk bekerjasama dengan kami tanpa teragak-agak.

“Bagaimanapun, melihat kepada kerjasama itu kini, oleh kerana kami tidak menemui jawapan terhadap persoalan yang saya senaraikan, kerjasama ini bukan di peringkat yang kami mahu.

“Jika wujud kebuntuan di sini dan siasatan hanya sejauh itu atau tiada kerjasama penuh, justeru kami boleh membuat permohonan perlu untuk satu siasatan antarabangsa,” kata Cavusoglu menambah, beliau membincangkan isu itu dengan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.

Khashoggi, kolumnis akhbar The Washington Post berpusat di AS dan pengkritik kerajaan Arab Saudi dikendalikan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, dibunuh 2 Oktober lalu dalam konsulat Riyadh di Istanbul.

Selepas menawarkan pelbagai penjelasan bercanggah atas kehilangan Khashoggi, Riyadh berkata minggu lalu wartawan itu dibunuh dan anggota tubuhnya dikerat apabila ‘rundingan’ meyakinkan beliau kembali ke Arab Saudi, gagal. Pendakwa raya awam berkata, ia akan memohon hukuman mati lima suspek dalam kes itu.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, pembunuhan itu diarahkan di ‘peringkat tertinggi’ kerajaan Arab Saudi, namun tidak menuduh Mohammed secara langsung. Arab Saudi menafikan putera raja itu mengarahkan pembunuhan Khashoggi.

Cavusoglu juga berkata, beliau dan Erdogan sudah mendengar rakaman audio pembunuhan Khashoggi.

“Ia amat menjijikkan. Jika anda mendengarnya anda faham ia adalah pembunuhan dirancang,” katanya, menambah terpulang kepada perundangan Turki untuk memutuskan mahu mendedahkan rakaman terbabit.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Rakaman pembunuhan Khashoggi mengejutkan perisik Arab Saudi: Erdogan

ISTANBUL 14 NOV: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, rakaman berkaitan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi, yang dikongsi negara itu dengan sekutu Barat ‘mengejutkan’ seorang pegawai perisikan Arab Saudi yang mendengarnya, kata laporan media tempatan semalam.

Khashoggi, pengkritik pemerintah de facto Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman, dibunuh di konsulat Riyadh di sini 2 Oktober lalu dalam pembunuhan dikatakan Erdogan diarahkan ‘di peringkat tertinggi’ kerajaan negara itu.

Enam minggu selepas kematian Khashoggi, Turki cuba meningkatkan tekanan ke atas Mohammed dan mengeluarkan rentetan bukti yang menjejaskan penafian awal pembabitan Riyadh.

Mohammed bagaimanapun mendapat sokongan Penasihat Keselamatan Amerika Syarikat (AS) John Bolton, semalam yang mengatakan beliau tidak fikir rakaman pembunuhan dikongsi Turki mengaitkan putera raja itu.

Erdogan memberitahu media dalam pesawat yang kembali dari lawatan ke Perancis hujung minggu lalu, beliau membincangkan pembunuhan wartawan Arab Saudi itu dengan pemimpin AS, Perancis dan Jerman di sana, menambah Turki memainkan rakaman itu kepada sekurang-kurangnya enam negara lain.

“Rakaman itu benar-benar mengejutkan. Malah apabila pegawai perisikan Arab Saudi mendengarnya, beliau sangat terkejut hingga berkata: ‘Sesiapa yang melakukannya sudah pasti mengambil heroin, hanya seseorang yang mengambil heroin sanggup melakukan perbuatan ini,” tambahnya.

Bolton berkata, beliau tidak fikir sesiapa yang mendengar rakaman itu merumuskan putera raja terbabit dikaitkan dengan pembunuhan itu.

“Sudah pasti ia bukan tindakan diambil kerajaan Arab Saudi,” katanya di Singapura.

Sementara itu, akhbar New York Times (NYT), dalam laporan disahkan seorang pegawai Turki berkata, anggota pasukan Arab Saudi yang dihantar ke sini untuk membunuh Khashoggi memaklumkan seorang daripada pegawainya selepas pembunuhan itu untuk ‘memberitahu bos anda’, yang dikatakan akhbar merujuk kepada Mohammed.

Individu itu dikenal pasti sebagai Maher Mutreb, yang melaporkan kepada seorang pembantu putera mahkota, Saud al-Qahtani. Mutreb juga dipetik sebagai berkata ‘pembunuhan sudah selesai.’

Dalam ulasannya kepada media, Erdogan berkata, jelasnya pembunuhan itu dirancang dan arahan datangnya daripada peringkat atasan pihak berkuasa Arab Saudi, namun beliau tidak terfikir mengenai Raja Salman yang amat dihormatinya.

“Putera mahkota berkata, ‘Saya akan menjelaskan perkara itu, saya akan melakukan apa yang wajar.’ Kami menunggu dengan sabar,” kata Erdogan, menambah pembunuh antara 18 suspek ditahan di Arab Saudi.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Dua pakar kimia Arab Saudi dihantar ‘tutup’ kes pembunuhan Khashoggi

ISTANBUL 6 NOV: Arab Saudi menghantar seorang pakar toksikologi dan seorang pakar kimia bagi menutup kes pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi sebelum polis Turki menggeledah konsulat Arab Saudi di negara itu, kata pegawai kanan Turki hari ini.

“Kami mempercayai bahawa dua individu datang ke Turki dengan bertujuan untuk menutup bukti pembunuhan Khashoggi sebelum polis Turki dibenarkan menggeledah bangunan itu,” kata seorang pegawai enggan nama disiarkan.

Bagaimanapun, pegawai itu mengesahkan satu laporan dalam akhbar Sabah yang menyatakan bahawa pakar kimia, Ahmad Abdulaziz al-Janobi dan pakar toksikologi, Khaled Yahya al-Zahrani antara sebuah pasukan yang dihantar daripada Arab Saudi dengan bertujuan untuk menyiasat pembunuhan terbabit.

Laporan itu menyatakan mereka melawat konsulat setiap hari sejak tiba pada 11 Oktober hingga 17 Oktober lalu.

Turki berkata, Khashoggi dibunuh di dalam konsulat pada 2 Oktober, bagaimanapun Arab Saudi hanya membenarkan polis Turki menggeledah konsulat pada 14 Oktober.

“Faktanya, pasukan ‘pembersihan’ dihantar daripada Arab Saudi, sembilan hari selepas pembunuhan itu dan pembunuhan Khashoggi adalah dalam pengetahuan pegawai tertinggi Arab Saudi,” tambahnya.

SUMBER: AFP

 

Categories
GLOBAL

Turki dakwa mayat Khashoggi ‘dilupus’ guna asid

ANKARA 3 NOV: Mayat wartawan Jamal Khashoggi didakwa ‘dilupuskan’ dengan menggunakan asid selepas beliau dibunuh dan dikerat di konsulat Arab Saudi di Istanbul, sebulan lalu, menurut penasihat kepada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, semalam.

Dakwaan itu menyokong kenyataan seorang pegawai Turki kepada akhbar Washington Post bahawa pihak berkuasa sedang menyiasat teori yang mayat beliau dimusnahkan dengan asid.

“Mayat beliau bukan saja dikerat, ia dimusnahkan dengan dilupuskan guna asid. Menurut maklumat terkini yang kami terima, sebab mayat Khashoggi dikerat adalah supaya ia mudah untuk dilupuskan,” kata Yasin Aktay.

Arab Saudi berdepan kritikan hebat antarabangsa berhubung pembunuhan individu dalaman keluarga diraja yang kemudian menjadi pengkritik.

Ketua pendakwa raya Turki, Rabu lalu mengesahkan untuk pertama kali bahawa Khashoggi dijerut sebaik beliau masuk ke konsulat pada 2 Oktober lalu dan mayat beliau dikerat kemudian dilupuskan.

“Mereka mahu memastikan tiada mayat tinggal. Ini apa yang kita faham daripada kenyataan pendakwa raya.

“Membunuh seseorang yang tidak bersalah adalah satu jenayah, layanan dan apa yang dilakukan ke atas mayat beliau adalah penghinaan,” kata Aktay yang rapat dengan wartawan itu.

Pegawai Turki yang dipetik Washington Post berkata, bukti biologi yang ditemui di kebun konsulat menunjukkan mayat Khashoggi dibuang berhampiran lokasi beliau dibunuh.

“Keadaan mayat Khashoggi tidak perlu dikebumikan,” kata pegawai itu kepada media AS tanpa mendedahkan identiti.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Kes bunuh Khashoggi mesti diambil peduli semua pihak

MANAMA 27 OKT: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Jim Mattis memberi amaran kepada pemimpin-pemimpin Arab hari ini bahawa pembunuhan wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi dalam kedutaan di Istanbul ‘mesti diambil peduli semua pihak’.

Beliau yang berkata dalam satu mesyuarat di Manama, Bahrian bahawa AS tidak bertolak ansur dengan tindakan kejam dilakukan ke atas Khashoggi menerusi cara keganasan.

“Kegagalan mana-mana negara mematuhi nilai-nilai murni antarabangsa dan kedaulatan undang-undang hingga melemahkan kestabilan serantau di mana kita amat memerlukannya,” katanya.

Pengkritik Putera Mahkota, Mohammed bin Salman, Khashoggi dilaporkan dibunuh selepas memasuki kedutaan Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu.

Kelmarin, Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Gina Haspel memberi taklimat kepada Presiden AS, Donald Trump mengenai perkembangan terkini dalam siasatan selepas misi pencarian fakta ke Turki.

Media pro kerajaan Turki berkata bahawa pegawai perisikan menunjukkan rakaman video dan pita audio kepada Haspel mengenai pembunuh Khashoggi yang berkumpul di luar kedutaan.

Kes pembunuhan Khashoggi mencetuskan kemarahan dunia selain menjejaskan hubungan dengan Riyadh yang mana Washington berharap mereka dapat membantu mengekang pengaruh Tehran di Asia Barat.

SUMBER: AFP

 

Categories
GLOBAL

Riyadh digesa dedah dalang bunuh wartawan

ISTANBUL 27 OKT: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan meminta Arab Saudi mendedahkan siapa yang mengarahkan pembunuhan wartawan, Jamal Khashoggi di samping lokasi mayatnya dibuang.

Menurut Erdogan, Turki mempunyai lebih banyak maklumat kes tersebut berbanding butiran yang dikongsi oleh Ankara.

Beliau turut berkata, Riyadh perlu mendedahkan identiti ‘konco tempatan’ yang dikatakan oleh pegawai-pegawai Arab Saudi sebelum ini, bertanggungjawab membuang mayat Jamal selepas kolumnis akhbar Washington Post itu dibunuh di konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu.

“Siapa yang memberikan arahan?” kata Erdogan dalam satu ucapan kepada ahli-ahli parti pemerintah, Parti AK di Ankara.

“Siapa pula yang memberikan arahan supaya 15 orang datang ke Turki?” tambahnya, merujuk kepada 15 ejen Arab Saudi yang dikatakan oleh Turki berlepas ke Istanbul beberapa jam sebelum pembunuhan itu berlaku.

Menurutnya lagi, pendakwa raya awam Arab Saudi dijadualkan menemui pendakwa raya Istanbul di kota raya Istanbul esok.

Sementara itu di New York, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan Jamal menjadi mangsa ‘hukuman mati di luar undang-undang’ oleh kerajaan Arab Saudi.

“Malah, Arab Saudi sendiri mengaku bahawa jenayah itu telah dirancang dan membabitkan pegawai-pegawai kerajaan,” kata Pelapor Khas PBB mengenai Pembunuhan di Luar Undang-Undang, Rumusan atau Arbitrari, Agnes Callamard pada satu sidang akhbar di New York.

“Sama ada mereka bertindak mengikut arahan kerajaan, perkara itu harus dibincangkan dan disiasat,” jelasnya.

Bagaimanapun, tambah Callamard, mereka yang terlibat, pihak yang mengarahkannya dan dalang yang merancang pembunuhan tersebut mempunyai jawatan yang cukup tinggi untuk mewakili Arab Saudi.

SUMBER: AFP/Reuters

Categories
GLOBAL

Turki, AS ikrar siasat kes Khashoggi hingga akar umbi

ANKARA 24 OKT: Turki dan Amerika Syarikat (AS) semalam berikrar untuk menyiasat hingga ke akar umbi pembunuhan Jamal Khashoggi dan membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan selepas Arab Saudi mengakui bahawa wartawan berpengaruh itu terbunuh semasa operasi keselamatan di Istanbul.

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menepis cubaan Arab Saudi untuk menyalahkan operasi jenayah sebagai punca kematian Khashoggi dan menggesa Riyadh untuk membuat penyiasatan hingga ke akar umbi bagi mencari dalang sebenar pembunuhan berkenaan manakala Naib Presiden AS, Mike Pence menyifatkan pembunuhan itu sebagai satu kekejaman.

Kematian Khashoggi dalam kawasan konsulat Arab Saudi pada 2 Oktober lalu telah mencetuskan kemarahan antarabangsa dan menimbulkan persoalan berhubung peranan Putera Mahkota Mohammed Salman, pemerintah de facto berpengaruh negara itu yang mengawal aspek perkhidmatan keselamatan.

Kerajaan Turki mengesyaki Khashoggi, seorang penduduk tetap AS dan pengkritik tegar putera itu dibunuh dan dikerat kepada beberapa bahagian di dalam konsulat berkenaan oleh beberapa ejen Arab Saudi.

Erdogan hampir menyebut mengenai putera mahkota itu yang disyaki mengarahkan pembunuhan kolumnis akhbar Washington Post terbabit namun memutuskan untuk tidak berbuat demikian.

“Pentadbiran Arab Saudi telah mengambil langkah penting dengan membuat pengakuan pembunuhan berkenaan. Bermula saat ini kami menjangkakan mereka untuk mendedahkan siapa sebenarnya bertanggungjawab dalam perkara ini dari awal hingga akhir dan mengenakan hukuman yang sewajarnya,” katanya.

“Dari individu yang terbabit memberikan arahan hingga kepada melakukan pembunuhan, semuanya perlu bertanggungjawab,” katanya sambil menambah, Riyadh perlu mendedahkan semua individu terbabit,

Sumber kerajaan Turki memberitahu bahawa pihak berkuasa memiliki rakaman audio khas untuk mendokumentasi pembunuhan berkenaan namun Erdogan tidak menyebut mengenai sebarang rakaman audio.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Anggota badan Jamal Khashoggi didakwa ditemui di dalam perigi

ISTANBUL 24 OKT: Bahagian badan wartawan, Jamal Khashoggi ditemui di kediaman Konsul Besar Arab Saudi di Istanbul, kata seorang pemimpin pembangkang Turki seperti yang dilaporkan akhbar Daily Mirror semalam.

Pemimpin Parti Rodina, Dogu Perincek mendakwa dalam satu wawancara bahawa beberapa bahagian tubuh wartawan itu ditemui di dalam sebuah perigi dan taman di konsulat berkenaan.

Organisasi berita, Sky News pula melaporkan sumbernya sebagai mendedahkan bahawa mayat wartawan itu dikerat-kerat dan wajahnya dicacatkan. Anggota badan manusia itu ditemui di sebuah taman di kediaman Konsul Besar Arab Saudi di konsulat berkenaan di Istanbul.

Pendedahan itu disiarkan sebelum Presiden Recep Tayyip Erdogan berucap di Parlimen Turki semalam untuk memberitahu bahawa pembunuhan Jamal dirancang beberapa hari sebelum mangsa hilang dan mayatnya masih belum ditemui.

Erdogan berkata, sebuah pasukan terdiri daripada 15 warga Arab Saudi termasuk perisik, pakar forensik dan pegawai berpangkat jeneral memasuki konsulat itu pada hari kejadian dan keluar beberapa jam kemudian sebelum menaiki penerbangan pulang ke Riyadh.

Menurutnya, Jamal menjadi mangsa pembunuhan kejam dan terancang. Erdogan juga me­minta supaya sebuah suruhanjaya bebas ditubuhkan bagi menyiasat pembunuhan itu, manakala perbicaraan mengenainya diadakan di Istanbul.

Sementara itu, Menteri Arab Saudi, Adel Al-Jubeir semalam menjanjikan ‘siasatan lengkap dan menyeluruh’ berhubung kematian wartawan tersebut.

Kepimpinan Arab Saudi akan memastikan bahawa siasatan yang dilakukan adalah lengkap dan menyeluruh serta kebenaran didedahkan, manakala mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan, kata Adel kepada pemberita selepas menemui rakan sejawatannya dari Indonesia di Jakarta.

“Mekanisme dan prosedur akan juga dilaksanakan bagi memastikan perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi,” katanya.

Dikenali sebagai pengkritik tegar dasar Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, Jamal, 59, hilang selepas memasuki bangunan konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu untuk mengambil dokumen bagi perkahwinannya.

SUMBER: AGENSI

Categories
GLOBAL

Pembunuhan Jamal Khashoggi satu kezaliman – Dr Mahathir

SHAH ALAM 23 OKT: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi merupakan satu kezaliman yang amat sangat dan tidak boleh diterima.

Beliau berkata negara ini tidak menyokong perbuatan membunuh seorang pengkritik kerajaan.

“Kita ada orang yang kita tidak suka, tetapi kita tidak boleh bunuh dia sebab tidak suka dia. Nasib baik, pasal saya dulu pun orang tidak suka. Kalau kita ada sistem macam sistem Arab mungkin saya tidak boleh cakap hari ini.

“Alhamdulillah di negara kita tiada kezaliman macam itu,” katanya pada program Bicara Minda di Dewan Karangkraf di sini, semalam.

Perdana menteri berkata demikian ketika ditanya berkenaan pendirian Malaysia berhubung pembunuhan tersebut.

Pada Sabtu lepas, Agensi Akhbar Saudi melaporkan Arab Saudi mengakui Khashoggi dibunuh di dalam konsulatnya di Istanbul.

Menurut laporan itu perbincangan di antara kolumnis akhbar Washington Post itu dan pihak yang ditemuinya di konsulat tersebut berubah menjadi satu pergaduhan yang membawa kepada kematiannya.

Susulan pembunuhan Khashoggi, komuniti antarabangsa memberi tekanan kepada Arab Saudi dengan beberapa negara dilaporkan membatalkan penyertaan dalam persidangan pelaburan Arab Saudi di Riyadh.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Pengarah CIA ke Turki siasat kes Khashoggi

WASHINGTON 23 OKT: Pengarah CIA, Gina Haspel, dilaporkan dalam perjalanan ke Turki semalam untuk mengendalikan siasatan susulan kematian wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi di konsulat kerajaan itu di Istanbul, kata sumber kepada Reuters.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, awal semalam, “pegawai perisikan tertinggi AS kini berada di Turki,” tanpa memberikan sebarang maklumat lanjut.

Khashoggi, kolumnis terkenal akhbar Washington Post dibunuh hampir tiga minggu lalu selepas memasuki bangunan konsulat Arab Saudi di Istanbul.

Selepas lebih dua minggu berdiam diri, Arab Saudi kini mengaku Khashoggi dibunuh di dalam bangunan konsulat tetapi penjelasan Riyadh dilihat sekutunya sebagai bercanggah dan tidak memuaskan.

SUMBER: REUTERS