Categories
SELANGOR

Tanah kubur di Lembah Jaya dalam proses akhir

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 2 MAC: Proses penyediaan tanah kubur seluas 24 ekar untuk masyarakat Islam di Lembah Jaya dan kawasan sekitarnya dijangka selesai selepas semua pihak terlibat mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan isu jalan masuk.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz berkata, mesyuarat pertama membabitkan pihaknya bersama Pejabat Daerah, Tanah dan Galian Hulu Langat, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang diadakan sebelum ini berjalan lancar.

“Mesyuarat pertama sudah berlangsung dan InsyaAllah minggu hadapan mesyuarat kedua di MPAJ serta kita juga akan bincang dengan pihak lebuh raya untuk menentukan jalan masuk yang sesuai.

“Kita akan bincangkan cadangan bagaimana mahu buat jalan susur dan satu terowong untuk kemungkinan jalan masuk ke tanah perkuburan itu melalui Bukit Belacan,” katanya.

Khasim berkata, tanah kuburan sedia ada yang sebelum ini dijangka mampu menampung permintaan selama 10 tahun didapati hampir penuh.

“Sebenarnya ada arahan Jabatan Agama Islam di Selangor (JAIS), sebarang kematian orang Islam boleh dikuburkan di mana-mana perkuburan Islam di Selangor tetapi Teratai sudah hampir penuh dan perlu digali menggunakan tenaga manusia,” katanya.

-AA-

Categories
SELANGOR

Selangor biaya kos naik taraf surau kampung

Oleh: NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 18 SEP: Surau di kampung tradisi seluruh Selangor akan dibina semula dengan reka bentuk baru yang standard dengan pembiayaan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata kos pembinaan itu terkandung di dalam Belanjawan 2016 yang bakal diumumkan pada 30 Oktober nanti.

MB Azmin“Kita sedang merangka Belanjawan 2016 dan sedang meneliti untuk membangunkan surau-surau di kampung tradisi yang sebahagian besarnya sudah uzur dan perlu dibangunkan semula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyampaian Sumbangan bernilai RM43,000 kepada Masjid Jami’ilhuda di Kampung Melayu Ampang, di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri, Adun Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz.

Sumbangan tersebut diserahkan kepada Nazir Masjid Jami’ilhuda, Basri Khalid bagi membiayai pembelian permaidani baru dan kegunaan lain.

Mohamed Azmin berkata, masjid dan surau di seluruh Selangor perlu diimarah dengan pengisian dakwah bagi menjamin sebuah masyarakat bertakwa.

-NR-

Categories
SELANGOR

Program berkhatan percuma sempena cuti sekolah

Oleh : Nazli Ibrahim

LEMBAH JAYA 6 DIS: Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya mengadakan kerjasama dengan Jawatan Kuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) sekitar bagi menganjurkan program berkhatan percuma bagi meringankan bebanan ibu bapa berpendapatan rendah.

ADUN Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz, berkata program yang diadakan sempena musim cuti persekolahan hujung tahun itu berjaya menarik penyertaan lebih 50 kanak-kanak sekitar kawasan berkenaan.

khasim “Kos seorang kira-kira RM160, bermakna jumlah keseluruhan lebih RM8,000 yang dibelanjakan untuk membiayai program ini,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Smart English dan Pintar Matematik Spies D’Village Lembah Jaya, di sini, semalam.

Khasim berkata, pihak penganjur menyediakan kupon yang boleh digunakan di beberapa klinik terpilih sekitar Lembah Jaya dan ia berbeza dengan program berkhatan lain.

“Biasanya, kebanykan program mengadakan majlis berkhatan beramai-ramai tetapi kali ini agak berbeza sedikit, kita berikan kupon kepada ibu bapa peserta untuk pergi ke klinik terpilih pada masa yang sesuai mengikut kelapangan mereka.

“Cara ini lebih mudah kerana mereka boleh pergi ke klinik terpilih mengikut kesesuaian masa sendiri,” katanya.

Selain itu, kaedah yang digunakan juga lebih menjimatkan, sekali gus membuka lebih banyak peluang penyertaan untuk pihak yang ingin mengambil bahagian.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Tanpa kenaikan gaji, ADUN guna duit poket bantu rakyat

Oleh : Nazli Ibrahim

LEMBAH JAYA 6 DIS : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz mengakui pendapatannya bukan sahaja tidak mencukupi tetapi terpaksa memperuntukkan wang tambahan kira-kira RM1,000 setiap bulan bagi membantu masyarakat kawasan berkenaan.

Khasim berkata, beliau tetap bernasib baik kerana boleh mendapatkan wang tambahan yang diperlukan daripada perniagaan kejureteraan aluminium dan kaca yang sudah diusahakan, sejak lebih 20 tahun lalu.

IMG_6902“Perkara ini saya alami sendiri. Kalau dahulu sebelum menjadi ADUN, setiap pendapatan adalah seratus peratus hak mutlak saya tetapi hari ini orang yang bernama wakil rakyat yang betul-betul buat kerja, pendapatan RM6,000 itu adalah transit sahaja.

“Hakikatnya, bukan keseluruhan gaji diperoleh menjadi hak kami tetapi untuk rakyat dan bagi saya kenaikan yang diumumkan tidak begitu tinggi. Kalau tidak percaya boleh tanya orang yang selalu ikut saya pergi ke program atau datang dalam majlis seperti ini contohnya, yang mana saya perlu membantu mereka dengan menghulurkan sumbangan,” katanya.

Demikian pengakuan jujur Khasim ketika ditemui Selangor Kini pada Majlis Penutup Program Smart English & Bijak Matematik di Kampung Ampang Indah, di sini, semalam.

Khasim berkata, beliau juga menaruh kepercayaan bahawa rakyat Malaysia mampu untuk memahami keadaan sebenar jika mereka diberi peluang mendekati kehidupan sebenar wakil rakyat.

“Bila pegangan iman tidak kuat, gaji pula tidak mencukupi dan rakyat minta bantuan, maka ia akan membuatkan individu itu terdedah kepada rasuah. Selain itu, mereka akan salah guna kuasa, meminta dengan tauke besar dan mendapatkan komisen daripada projek, namun perkara ini tidak berlaku di Selangor.

“Dengan kenaikan gaji yang diumumkan Menteri Besar baru-baru ini, sekurang-kurangnya untuk menyara keluarga sendiri dab tidak perlu risau lagi. Jadi, kita boleh lebih komited kepada rakyat,” katanya.

Khasim menyandang kerusi ADUNLembah Jaya sejak 2008 dan dilihat sebagai pemimpin yang disenangi masyarakat setempat.

Sikap mengambil berat terhadap setiap permasalahan rakyat, kerap turun padang bersama masyarakat akar umbi dan sentiasa merendah diri menjadikan Khasim sering menjadi tempat aduan orang ramai apabila berhadapan dengan kesusahan.

-NFN-

 

Categories
SELANGOR

Smart English & Pintar Matematik Spies D’Village tingkat penguasaan pelajar

Oleh : Nazli Ibrahim

AMPANG 6 DIS : Kerajaan negeri menganjurkan Program Smart English & Pintar Matematik Spies D’Village untuk golongan itu bagi meningkatkan penguasaan pelajar Lembah Jaya dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik.

Program yang dijalankan selama enam hari dari 25 hingga 27 November dan 2 hingga 4 Disember itu membabitkan kira-kira 150 penyertaan
majoriti pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama dalam sesi persekolahan 2014 nanti.

khasim Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz, berkata program berkenaan adalah sebahagian usaha kerajaan negeri untuk melahirkan golongan belia cemerlang itu mendapat sambutan menggalakkan.

“Program ini kali pertama kita adakan dan syukur mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pelajar. Kita harap boleh diperkemaskan lagi untuk program akan datang.

“Kalau kita tengok terdapat sesetengah golongan pelajar yang agak tertinggal, khususnya dalam subjek Bahasa Inggeris dan Matematik. Sebab itu penekanan yang dilakukan Spies itu tertumpu kepada usaha memahirkan Matematik dan Bahasa Inggeris.

“Ibu bapa kena ambil peluang menghantar anak mereka untuk sertai program musim cuti sekolah, apatah lagi penyertaan adalah percuma kerana ditanggung kerajaan negeri sepenuhnya,” katanya kepada Selangor Kini selepas merasmikan majlis penutup di Dewan Orang Ramai di Lembah Jaya, di sini, semalam.

Khasim berkata, beliau menjangkakan sebahagian daripada program di bawah Spies itu akan diteruskan pada masa akan datang kerana mampu mengelakkan pelajar daripada melakukan aktiviti tidak berfaedah sepanjang cuti persekolahan.

IMG_6990Sementara itu, pelajar cemerlang dalam program Smart English dan Pintar Matematik, Nang Aliff Anaqie Haris Fuadi, 16, berkata program yang disertainya itu banyak membantu menguasai dua mata pelajaran penting itu.

“Program ini bagus kerana saya dapat meluangkan masa cuti sekolah dengan menyertai kem Spies ini. Cara pembelajarannya lebih memudahkan kita memahami, membuat karangan dan berkomunikasi, manakala dalam kelas Matematik pula saya dapat memahami formula sesuatu pengiraan dengan lebih tepat,” katanya.

Muhammad Ridwan Rosli, 16, yang turut diumumkan sebagai pelajar terbaik kelas Bahasa Inggeris pula memberitahu keyakinannya untuk menguasai mata pelajaran itu semakin meningkat selepas mengikuti program itu.

“Sebenarnya subjek Bahasa Inggeris tidak susah tetapi perlu banyak latihan pemahaman seperti yang ditekankan dalam program Spies ini,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penyampaian Maklumat Kepada Masyarakat Melayu Fokus Utama Calon Lembah Jaya

khasim kempen lembah jaya 01

AMPANG, 25 APR: Kekangan penerimaan maklumat masyarakat Melayu di Dun Lembah Jaya berhubung dasar dan kejayaan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menjadi fokus utama sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Komuniti tersebut dikatakan ‘lebih selesa’ menerima perkhabaran maklumat melalui media tradisional pro-Umno seperti suratkhabar harian berbanding media baru seperti laman web.

Justeru, penyandang Dun Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz dan jentera parti menggiatkan kempen penjelasan maklumat melalui penyebaran risalah berhubung polisi yang dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat sejak lima tahun lalu.

“Sambutan masyarakat kali ini jauh lebih baik dari tahun 2008 sebab yang pertama kita sudah menjadi kerajaan. Orang kenal kita dan tahu apa yang kita buat.

“Sokongan orang Cina meningkat lebih jauh dan orang India. Cuma orang Melayu 50-50 berdasarkan pemerhatian saya. Kita mempertingkatkan tumpuan kepada orang Melayu di waktu pagi.

“Meskipun pada waktu pagi ramai yang keluar bekerja, kita tinggalkan risalah Manifesto Pakatan Rakyat dan akhbar Selangor Kini,” katanya ketika ditemui pada sesi bertemu pengundi di Pasaraya Aeon Big Taman Bukit Ampang.

Menurutnya penerimaan rakyat setempat semakin baik namun ianya perlu dipertingkatkan sekitanya Dun Lembah Jaya berjaya dipertahankan pada PRU-13

Sepanjang lima tahun beliau menjadi calon Lembah Jaya, cabaran paling besar adalah menjelaskan program kebajikan Kerajaan Pakatan Rakyat memandangkan masih yang belum peka mengenainya.

Dalam pertembungan kali ini, Khasim yang juga penyandang PRU-12 bakal berhadapan dengan calon Umno-BN Baderisham Jolly.

Categories
SELANGOR

Pemilihan Kontraktor Sampah dan Sisa Pepejal Tidak Dipengaruhi Lantikan Politik

SHAH ALAM, 29 NOV : Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pemilihan kontraktor kutipan sampah tanpa dipengaruhi Ahli Majlis, kata Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu.

Ronnie menegaskan, semua Ahli Majlis yang dilantik PBT hanya bertindak sebagai pemerhati bagi memastikan mesyuarat sebut harga dan tender berjalan lancar dan telus.

?Kerajaan Negeri melalui PBT melakukan pemilihan kontraktor berdasarkan dari mesyuarat ini yang dianggotai oleh ahli majlis sebagai pemerhati,? katanya pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Adun Lembah jaya Khasim Abdul Aziz yang mempersoalkan mengapa Ahli Majlis tidak terlibat dalam dasar tender terbuka yang diamalkan Kerajaan Negeri berhubung sisa pepejal.

Sebelum ini, kata Ronnie, Kerajaan Negeri pernah melantik Ahli Majlis untuk menganggotai jawatankuasa tender dan sebut harga bagi pemilihan kontraktor secara terbuka, bagaimanapun ia dihentikan sebagai mematuhi arahan Pegawai Kewangan Negeri.

?Arahan itu menetapkan supaya anggota-anggota yang dilantik untuk jawatankuasa ini hanya boleh terdiri daripada penjawat awam dan pegawai kerajaan. Lantikan politik tidak dibenarkan dalam pemberian tender.

?Kerana itu, di peringkat negeri, Exco yang dilantik oleh Menteri Besar hanya berfungsi sebagai pemerhati dalam jawatankuasa negeri untuk sebut harga dan tender,? katanya.

Categories
SELANGOR

Tiada Lesen Baru Untuk Pusat Siber, Rumah Urut Sejak 2008

SHAH ALAM 21 NOV : Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri pada Mac 2008,  Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak lagi meluluskan sebarang permohonan lesen bagi rumah urut, pusat hiburan awam dan pusat siber.

Bagaimanapun, menurut Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu, premis yang mempunyai lesen sebelum 2008 masih boleh memperbaharui lesen mereka.

“Lesen mereka masih boleh diperbaharui setiap tahun selagi tidak melanggar syarat-syarat lesen dan undang-undang sedia ada,” jelas Ronnie ketika menjawab soalan lisan daripada Adun Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz di Sidang DUN pagi tadi.

Ronnie juga memaklumkan dewan bahawa lesen baru hanya diberikan untuk pusat penjagaan kesihatan seperti refleksologi, aromaterapi, fisioterapi, spa dan sauna serta gimnasium.

Ini termaktub dalam Undang-undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan.

Sementara itu, bagi aktiviti pusat hiburan pula, lesen baru hanya dibenarkan bagi aktiviti pusat istirehat dan pusat hiburan keluarga.

Antara lain ialah karaoke keluarga, kiosk karaoke, pusat bowling, ‘fun fair’ dan pusat hiburan keluarga yang menyediakan beberapa bentuk hiburan seperti ‘kiddyride’ dan mesin simulator.

“Mereka juga perlu mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan iaitu tidak menghidangkan atau menyediakan minuman keras kepada pelanggan,” tegas Ronnie yang juga Adun Pandamaran.

Sejak 2008 sehingga kini, sejumlah 179 lesen pusat penjagaan kesihatan, 1,278 lesen pusat hiburan keluarga dan istirehat serta 224 lesen hotel bajet dikeluarkan Kerajaan Negeri.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Terharu Terima Geran Sampai Tak Boleh Tidur Malam

AMPANG 1 JUL : Setelah 18 tahun turun naik pejabat tanah dan gagal mendapat geran, S. Ravindran seakan tidak boleh percaya apa yang berlaku padanya hari ini.

Pesara yang berumur 57 itu akhirnya menerima yang impian yang ditunggu hampir 20 tahun itu menjadi kenyataan apabila dokumen borang 5A ada dalam tangannya.

“Memang saya tidak percaya kerana saya fikir semua itu sekadar janji-janji politik sahaja dan tidak bermakna apa-apa pada rakyat biasa seperti saya.
“Jadi apabila diberitahu dua minggu lepas bahawa saya akan terima geran, saya memang tidak percaya dan menganggap ini merupakan satu lagi janji kosong.

“Saya hanya percaya apabila terima surat berkenaan perkara ini tempoh hari.

Perasaan terharu serta gembira itu sememangnya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata sehingga tidur semalam pun tidak dapat lelap mata,” ujar Ravindran dari Kampung Tasek Permai.

Beliau yang hilang kakinya dalam satu kemalangan telah menduduki tapak rumahnya selama lebih 30 tahun.

Ravindran antara 66 orang yang menerima borang 5A daripada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu Majlis Pemberian Hak Milik Persendirian di kawasan Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya.

Manakala 72 orang menerima dokumen geran tanah di majlis yang bertempat di Padang Awam Tasik Tambahan.

Sementara itu, Abdul Khalid dalam ucapannya berkata, Kerajaan Selangor sentiasa komited untuk menyelesaikan isu permohonan hak milik tanah yang berlarutan sekian lama sejak era zaman Umno-BN dahulu.

“Jika dahulu, kebanyakan pemberian tanah tidak dibuat secara telus, antaranya kerana mengutamakan kawan rapat atau sanak saudara.

“Sebaliknya, Kerajaan Pakatan memberi hak rakyat tanpa mengira pegangan parti politik,” kata beliau sambil disambut tepukan gemuruh kira-kira 100 hadirin.

Selain penghuni Kampung Tasek Permai, kampung lain yang terlibat dalam majlis pagi tadi ialah Kampung Ampang Indah, Ampang Campuran dan Kampung Bukit Sungai Puteh.

Turut hadir ialah Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan, Setinggan, Iskandar Abdul Samad, Adun Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz dan Timbalan Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Zulkefli Khalid.

Categories
SELANGOR

Penduduk Terima Notis 5A Selepas 20 Tahun Menanti

AMPANG, 4 MEI: Setelah lebih 20 tahun gagal di selesaikan pentadbiran Umno-BN, akhirnya lebih 100 penduduk Kampung Bukit Sungai Seputih bakal menerima surat hak milik tanah (notis 5A) dalam masa terdekat.

Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz berkata permohonan mereka untuk memiliki tanah yang setelah lama diduduki telah diluluskan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

“Rata-rata mereka ini telah duduk di atas tanah mereka sudah cukup lama, ada yang sudah 20 tahun, tetapi tidak dapat perhatian semasa BN mentadbir negeri Selangor.

“Di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat, kita perkenalkan Skim Pemilikan Kediaman Persendirian bagi memberi peluang rakyat negeri ini memiliki tanah yang telah mereka diami semenjak sekian lama dengan bayaran premium RM1,000 sahaja.

“Dengan bayaran premium RM1,000 penerima notis 5A menjadi pemilik sah tanah dan mereka hanya dikenakan bayaran penuh sekiranya mereka menjual tanah tersebut,” jelas Khasim ketika ditemui TVS baru-baru ini.

Khasim memberitahu penyerahan notis 5A akan dibuat dalam satu majlis yang akan diadakan pada bulan ini.

“Bulan ini akan diadakan satu majlis penyerahan. Maknanya ini adalah penyelesaiaan kepada masalah pemilikan tanah seperti permohonan lama yang tidak diproses dan sebagainya,” ujar beliau lagi.

Pemilik tanah lot tersebut sebahagian daripada lebih 242 individu di Kampung Bukit Sungai Seputih yang diberi hak milik tanah.

Seramai 142 daripada mereka sudah menerima notis 5A daripada Kerajaan Negeri dalam satu majlis awal tahun ini yang dirasmikan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Seramai 79 peniaga Kampung Bukit Sungai Seputih dan Kg. Tasek Permai juga meneriman Notis 5A pada majlis itu.

Penerima lot individu dari Kampung Sungai Putih telah menantikan notis ini semenjak 15 tahun lalu. Manakala peniaga Tasik Permai pula menanti notis yang sama semenjak 34 tahun lalu.

Skim Pemilikan Kediaman Persendirian adalah satu program di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES). Ia memudahkan proses rakyat mengambil alih pemilikan tanah secara sah atau melanjutkan tempoh pajakan.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Bina Rumah 7 Keluarga Miskin Lembah Jaya

SHAH ALAM, 3 MEI: Pelbagai usaha dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan masyarakat negeri ini menerima manfaat dari program-program kebajikan yang dijalankan.

Antara program yang dijalankan termasuklah menyediakan bantuan membina rumah bagi golongan berpendapatan di bawah paras kemiskinan yang dijalankan di bawah program Rumah Kerajaan Perihatin.

Demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz ketika ditemui TVS baru-baru ini.

Menurut Khasim, sehingga kini sebanyak tujuh keluarga golongan terbabit di Lembah Jaya telah menerima manfaat yang dijalankan oleh kerajaan negeri.

“Program Rumah Kerajaan Perihatin ini kita sasarkan kepada golongan berpendapatan rendah yang ada memiliki tanah tetapi tidak mampu tampung kos bina rumah.

“Setakat ini kita telah bina tujuh rumah untuk golongan berpendapatan di bawah paras kemiskinan yang tak mampu bina rumah sendiri dan masih ada beberapa permohonan baru yang masih diteliti.

Menurut Khasim, sebanyak RM35,000 diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi setiap unit rumah yang dibina.

“Untuk setiap rumah kita peruntukan maksima RM35,000 bergantung kepada keadaan rumah sedia ada.

“Kadang-kala ada di antara mereka dah ada rumah, tetapi tak berapa sempurna atau uzur, kita cuma baiki sahaja.

“Ada juga rumah yang ada itu terlalu uzur atau memang yang belum bina rumah, yang itu kita bina rumah baru, tetapi syaratnya tapak tersebut mesti bergeran dan dimiliki oleh pemohon,” ujar Khasim lagi.

Ketika membuat tinjauan di beberapa rumah yang dibina menerusi peruntukkan dari program Rumah Kerajaan Perihatin, mereka melahirkan rasa lega apabila kerajaan negeri menghulurkan bantuan bagi menyelesaikan masalah kediaman keluarga mereka.

Menurut salah seorang penerima bantuan yang ditemui di Kampung Tasik Permai, Thiago a/l Shanmugam, kini keluarganya dapat tinggal di kediaman lebih selesa berbanding sebelumnya.

“Terima kasih banyak-banyak kepada kerajaan negeri sekarang kerana bantu kami bina rumah baru untuk kami sekeluarga duduk, kalau kerajaan negeri tak bantu tentu rumah kami masih macam dahulu, terlalu uzur.

“Sekarang, jauh lebih selesa. Kalau nak harap pendapatan saya tentulah kami belum duduk rumah seperti sekarang ini, tetapi sekarang saya cukup lega,” beritahu Thiago kepada TVS.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Tasik Permai, Che Yusof Che Mat, sebanyak dua buah rumah telah dibina di kampung Tasik Permai dan lima lagi terletak di beberapa kampung lain sekitar Lembah Jaya.

Categories
SELANGOR

MB: Usaha Tingkatkan Kemudahan Di Masjid

SHAH ALAM 26 MAC : Kerajaan Negeri kini merangka program secara besar-besaran khusus untuk menjalankan kerja-kerja pembaikpulihan dan menaiktaraf fasiliti-fasiliti masjid dalam usaha menyemarakkannya, ujar Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Kita akan jalankan program membersihkan tempat mandi, bilik air, tempat ambil air sembahyang dan sebagainya supaya dapat memberikan satu ‘standard’ kepada masjid-masjid kita.

“Jika ini berjaya dicapai, saya percaya ia akan memberikan rasa selesa kepada musafir yang singgah dan secara tidak langsung ia akan memberikan juga keselesaan kepada mereka mengerjakan ibadah,” ujar beliau ketika menjawab soalan daripada Adun Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz di Sidang DUN pagi ini.

Menurut Abdul Khalid lagi, program ini juga mensasarkan golongan belia untuk turut serta supaya dapat memberikan nilai ukhuwah dan bermasyarakat dalam diri para remaja.

“Usaha memartabatkan Islam sememangnya kita pupuk dari peringkat sekolah sehingga ke program-program yang dijalankan di masjid-masjid.

“Kita tidak hanya tertumpu pada penyampaian ceramah semata-mata tetapi menyeluruh ke pelbagai program dan aktiviti yang lebih efektif,” jelasnya lagi.