Categories
AGENDA NASIONAL

Isu PLUS: Khazanah dan KWSP sependapat utama kepentingan rakyat

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dua pemegang kepentingan PLUS Malaysia Bhd (PLUS), sependapat bahawa kepentingan rakyat atau sosial perlu diambil kira dalam isu pengambilalihan syarikat konsesi tol terbesar negara itu.

Ketika berkongsi pandangan masing-masing hari ini, Pengarah Urusan Khazanah Datuk Shahril Ridza Ridzuan turut mengetengahkan tiga persoalan asas yang disifatkan wajar diambil kira sebelum melepaskan 51 peratus kepentingan dalam PLUS.

Ini termasuk apakah lebih baik PLUS dimiliki bagi pihak rakyat atau pun entiti swasta yang lebih mengutamakan keuntungan dan akan cuba mendapatkan sebanyak mana pun manfaat yang ada.

Persoalan lain, katanya, adalah keinginan merealisasikan pengurangan tol dalam jangka pendek sebagai pertukaran dengan konsesi tol yang lebih lama.

“Apa juga bentuk pengurangan tol, jika anda lihat cadangan yang dikemukakan itu, secara asasnya memerlukan lanjutan tol lebih lama…(namun) apakah anda mahu mengetepikan masa depan demi (manfaat) jangka pendek sekarang?

“Ini menyamai persoalan mengenai alam sekitar iaitu kebimbangan mengenai alam sekitar dan iklim. Bagaimana anda mahu menukar manfaat jangka pendek berbanding perlindungan jangka panjang?” soalnya.

Shahril Ridza berkata demikian ketika menjawab pertanyaan hadirin sama ada Khazanah dan KSWP berminat untuk melepaskan kepentingan masing-masing dalam PLUS.

Beliau merupakan antara penceramah pada sesi bertajuk Agenda Korporat: Pengubah Permainan – Merevolusikan Industri Malaysia’ di Forum Ekonomi Belia 2019 di sini, hari ini.

Shahril Ridza berkata jaminan kerajaan diperlukan bagi memastikan cadangan pengambilalihan itu dapat dilaksanakan.

“Ini bagi memastikan entiti swasta itu mendapat manfaat daripada jaminan kerajaan berbanding rakyat yang memilikinya pada hari ini. Inilah tiga perkara yang perlu dipertimbangkan sekiranya anda berbicara mengenai tol dan penstrukturan semula tol,” katanya.

Sebelum ini, beliau menegaskan bahawa Khazanah yang juga cabang pelaburan strategik milik kerajaan itu tidak berminat untuk melepaskan kepentingannya dalam PLUS.

Khazanah memiliki 51 peratus kepentingan dalam PLUS manakala baki 49 peratus dipegang oleh KWSP susulan pengambilalihan pada 2011 membabitkan transaksi bernilai RM32 bilion.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias pula menegaskan bahawa dana persaraan itu perlu memastikan bahawa ia seharusnya selesa dengan pihak lain terbabit sekiranya penjualan kepentingan PLUS itu diteruskan.

“Setakat ini, (pendapat) Khazanah dan KWSP adalah senada kerana kami berkhidmat untuk rakyat Malaysia. (Penjualan kepentingan itu) perlu lebih realistik kepada ahli KWSP dari segi pulangan kewangan.

“Sekiranya kami perlu melupuskan kepentingan itu, apakah ini berbaloi untuk dijual pada masa ini demi membolehkan pemberian dividen yang anda mahukan atau apakah kami perlu terus mempertahankannya bagi memastikan kami mendapat pulangan yang mampan?” tegasnya.

Malah, jelas Tunku Alizakri, pulangan serta manfaat itu bukan hanya membabitkan soal kewangan tetapi juga faedah sosial kerana infrastruktur di bawah PLUS telah memberi ahli KWSP penyelesaian mobiliti berikutan lebuh raya itu meliputi jarak sejauh 1,200 kilometer merentasi Semenanjung Malaysia.

“Perbincangan mengenainya sentiasa mengenai (kepentingan) 51 peratus dan mereka lupa mengenai (pemegang kepentingan) 49 peratus di sini. Tetapi perlu diingat, kami juga ada suara (hak) dalam membuat keputusan ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Syarikat Bumiputera disaran ceburi ekonomi berasas permintaan

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Syarikat Bumiputera digesa menceburi bidang ekonomi berasaskan permintaan, khususnya dalam sektor produk dan perkhidmatan berasaskan pengguna, berikutan kontrak dan perniagaan kerajaan hanya menyumbang kurang 15 peratus daripada ekonomi.

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, ketika ini syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan hanya sebahagian kecil daripada ekonomi.

“Ekonomi Malaysia, sepertimana kebanyakan ekonomi lain, telah beralih ke arah menjadi ekonomi pengguna dan perkhidmatan berasaskan permintaan daripada yang dipacu oleh kontrak dan pembekalan kerajaan, dan saya fikir aspek inilah yang kita perlu kaji, dan saya percaya ia menjadi tumpuan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030,” katanya kepada pemberita pada Forum Megatrends Khazanah 2019, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas usaha kerajaan untuk mencapai sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera di bawah WKB2030, yang dilancarkan pada 5 Oktober lalu.

WKB2030 ialah kerangka mewujudkan kekayaan dan kemakmuran untuk negara yang akan memberi manfaat kepada semua lapisan rakyat Malaysia dalam iklim ekonomi yang tidak menentu.

Shahril Ridza berkata, ketika ini 85 peratus daripada ekonomi Malaysia akan memberi tumpuan kepada permintaan luar negara dan permintaan pengguna dalam negara.

Sementara itu, mengenai Plus Malaysia Bhd, beliau berkata akan berlaku “bencana moral yang besar” untuk meletakkan konsesi lebuhraya terbesar negara ke dalam tangan sektor swasta, menegaskan syarikat itu adalah aset strategik penting negara.

“Ia adalah aset, lebih-lebih lagi, saya fikir sukar untuk membayangkan keadaannya jika diserahkan kepada swasta, terutama sekali jika banyak tawaran yang datang adalah daripada entiti swasta yang hanya mahu mengambil alih aset itu pada diskaun murah dan masih meminta kerajaan menjamin mereka, dan saya fikir itu ia bencana moral yang besar untuk membiarkan entiti swasta memegang aset strategik itu dengan sokongan jaminan kerajaan.

“Pada asasnya ia selari dengan pandangan bahawa ia adalah aset strategik dan lebuhraya Plus sepatutnya terus kekal menjadi milik rakyat Malaysia,” katanya.

Cabang strategik kerajaan itu, yang memiliki 51 peratus kepentingan dalam Plus, dilaporkan telah menolak semua tawaran pengambilalihan yang diterimanya daripada entiti swasta tempatan dan asing.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Khazanah tekad kurangkan hutang kepada RM35 bilion

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) akan mengurangkan lagi hutangnya kepada antara RM35-RM40 bilion daripada paras RM47 bilion yang dijangka dicapai pada akhir tahun ini, menerusi aktiviti pelupusan aset dan penjualan pelaburan, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurutnya, langkah pelupusan dan penjualan mengurangkan hutang Khazanah tersebut telah terbukti berjaya setakat ini, apabila dana pelaburan negara itu berada di landasan mengurangkan hutangnya kepada RM47 bilion daripada RM55 bilion setahun yang lalu.

Foto BERNAMA

“Proses menjual aset adalah satu urus niaga biasa bagi Khazanah dan juga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tetapi kita perlu memastikan aset-aset yang kita akan jual akan dapat menjana wang dan (menyediakan) dana baharu kepada kita untuk melabur semula ke dalam aset lain dan membuat lebih banyak keuntungan.

“Bagi tempoh 10 tahun lalu, Khazanah telah menjual aset bernilai kira-kira RM65 bilion. Ia bukan suatu yang luar biasa, ia hanya memerlukan pertimbangan strategik berdasarkan situasi pasaran, mewujudkan nilai kepada aset kita,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pembukaan pada Forum Khazanah Megatrend 2019, di sini, hari ini.

Pengarah Urusan Khazanah, Shahril Ridza Redzuan dalam temu bual baru-baru ini berkata, selain berjaya mengurangkan hutangnya kepada RM47 bilion, dana itu juga berjaya menjanakan hasil RM9 bilion semasa tempoh tersebut.

Dana pelaburan negara itu, katanya, dijangka pulih dan menjana potensi hasil sebanyak RM5 bilion tahun ini.

“Walaupun nilai aset kita masih pada RM130 bilion, hutang kita telah susut sebanyak RM10 bilion, jadi dari segi aset bersih atau lembaran imbangan bersih kita, ia menjadi semakin kukuh.

“Daripada unjuran kami, Khazanah boleh dan sepatutnya mempunyai hutang sekitar RM35 bilion kerana dengan menggunakan kombinasi hutang dan ekuiti daripada kerajaan, kita boleh memaksimumkan pendapatan kita,” kata Shahril Ridza dalam temu bualnya bersama RTM.

Sementara itu, mengenai usaha mencari rakan kongsi bagi Malaysia Airlines Bhd, Mohamed Azmin berkata, Khazanah menerima beberapa cadangan berhubung perkara itu dan sedang menilainya ketika ini.

“Buat masa ini saya tidak dapat mendedahkan sebarang butiran terperinci kerana proses penilaian itu masih sedang berjalan. Sebaik sahaja Khazanah dan MAS memuktamadkannya, barulah kami akan membuat pengumuman yang sewajarnyna,” katanya

Terdahulu dalam ucapannya, Azmin berkata kerajaan komited untuk menyediakan model pertumbuhan lebih inklusif yang akan menjaga kesejahteraan rakyat, lebih-lebih lagi bagi golongan kurang bernasib baik dan miskin yang tinggal di kawasan luar bandar dan bandar.

“Bagaimanapun, untuk menghidupkan keadilan pengagihan dalam era moden ini , kita tidak boleh mengabaikan prasyarat, iaitu, untuk mengembangkan dan membesarkan saiz ekonomi agar semua rakyat Malaysia boleh menikmati kemakmuran negara dengan lebih saksama.

“Meskipun penting bagi kerajaan untuk mengekalkan disiplin fiskal, kita juga memerlukan perangsang untuk ekonomi berkembang dan menjadi lebih rancak,” katanya.

Azmin berkata, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) bermula dari 2021 hingga 2025 akan menjadi fasa pertama untuk melaksanakan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), di mana objektif dan semangat pelan sepuluh tahun itu akan membentuk falsafah dasar bagi memacu pertumbuhan yang mampan dan inklusif.

“Ketika kita merancang peringkat pembangunan ekonomi seterusnya bagi Malaysia, kita juga sedar akan keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

“Bagaimanapun, kita perlu mempunyai kepastian bahawa negara kita telah membangunkan pengetahuan yang kukuh dan menyeluruh dan dengan itu, mengambil pengajaran daripada sejarah politik dan ekonomi kita,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Khazanah jual aset tidak menguntungkan – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Khazanah Nasional Bhd akan menjual aset yang “tidak menguntungkan kepada kami” untuk mengumpul dana bagi membayar hutang negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, katanya tiada keputusan dibuat bagi Khazanah menjual seluruh asetnya.

“Tidak, mereka hanya mengkaji sama ada mereka perlu (jual) atau tidak, bagaimanapun tiada keputusan dibuat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Piagam Warisan dan Budaya Tanah Air di sini hari ini.

Beliau berkata, aset-aset yang tidak berbaloi disimpan akan dijual untuk mengumpul dana bagi membayar hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.

“Perlu ingat bahawa kerajaan sebelum ini telah meminjam lebih U$1 trilion yang menjadi beban kepada kami. Mereka meminjam dan wang itu tidak dilaburkan.

“Jika wang tersebut dilaburkan, kami (akan dapat) pergi ke syarikat berkaitan dan mendapatkan semula wang itu, tetapi kami tidak tahu di mana wang tersebut,” katanya.

Perdana Menteri berkata Khazanah pada mulanya ditubuhkan untuk membeli saham yang diperuntukkan kepada Bumiputera tetapi ia telah pergi lebih daripada itu.

“Itu bukan mandat asal Khazanah tetapi kini kami cuba untuk kembali kepada objektif asal,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Khazanah perluas pendedahan pelaburan di AS

KUALA LUMPUR, 6 JUL: Khazanah Nasional Bhd meluaskan pendedahannya di Amerika Syarikat (AS) dengan mengenal pasti pelaburan dalam sebahagian besar firma teknologi yang menggunakan analitis data.

Timbalan Pengarah Urusan dan Ketua Pelaburannya, Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin berkata, pada masa ini pendedahan di negara ini masih agak kecil, dan oleh itu dana kekayaan negara itu sedang mengenal pasti teknologi yang berpotensi untuk dibawa balik dan dilgunakan di Malaysia.

“Kami mempunyai pelaburan dalam syarikat yang sebenarnya pakar dalam analitisis data, namun apa yang kami ketahui di AS, terutama syarikat biasa sekali pun, menggunakan analitisi data ini dalam membuat keputusan harian mereka.

“Oleh itu, saya jangkakan ia semakin berkembang dan banyak syarikat besar sudah melakukannya,” katanya kepada Bernama di luar persidangan Kerja Masa Hadapan di sini hari ini.

Beliau berkata, Khazanah juga akan terus melabur secara aktif di Malaysia, negara-negara Asia Tenggara, serta China dan India.

Mengenai pegangan Khazanah dalam aset strategik, Tengku Azmir berkata: “Kami pasti akan memegang peratusan minimum dalam tempoh tertentu, namun untuk aset lain, kami akan melabur dan melepaskan.

‘’Kami mempunyai mandat baharu sejak beberapa bulan, yang kini berjalan lancar dari segi pelaksanaannya yang melibatkan usaha mengimbangi sebahagian portfolio kami hari ini dan juga mengurangkan sebahagian daripada hutang kami,” katanya.

Khazanah pada Mac mengumumkan bahawa ia akan memecah portfolionya, dengan aset komersil yang membentuk 70 peratus, selain mahu melepaskan beberapa atau kepentingan penuh dalam syarikat pada masa dan harga yang tepat.

Baki 30 peratus aset terdiri daripada aset strategik seperti Malaysia Airlines Bhd (MAS), Tenaga Nasional Bhd dan Telekom Malaysia Bhd,,

Namun, Tengku Azmir enggan mengulas mengenai nasib MAS.

Baru-baru ini, pengasas bersama AirAsia Group Bhd, Datuk Pahamin Ab Rajab menyatakan minat untuk memulihkan syarikat penerbangan negara yang sakit itu.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Khazanah mampu bangkit semula

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) memiliki pelan perniagaan semasa yang kukuh dan mantap di bawah kerajaan baharu bagi prestasinya untuk jangka panjang.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Malaysia, Datuk Dr Mohd Nazri Khan Adam Khan berkata, walaupun mencatat kerugian tahun lalu, perancangan masa depan Khazanah berteraskan hala tuju tepat, meyakinkan serta kukuh untuk membolehkannya kembali meraih keuntungan.

Namun, katanya, usaha itu perlu membabitkan langkah pengasingan aset Khazanah kepada aset komersial dan strategik selain menjual aset bukan strategik.

“Khazanah bukanlah satu-satunya dana kerajaan yang mengalami kerugian (pada 2018), malah pihak dana pencen kerajaan Norway yang besar turut mengalami nasib sama apabila kerugian kira-kira US$57 bilion.

“Bagi saya, punca utama kerugian Khazanah itu adalah turun naik pasaran ekuiti yang ketara di semua papan dagangan, khususnya akibat pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang berlanjutan.

“Malah, Bursa Malaysia juga terus diniagakan dalam prestasi mendatar pada masa ini,” katanya kepada Bernama.

Khazanah mencatat kerugian sebelum cukai sebanyak RM6.271 bilion, pada 2018 berbanding keuntungan sebelum cukai RM2.90 bilion setahun sebelumnya, iaitu kerugian pertamanya dalam tempoh sedekad.

Keuntungannya turut dijejaskan oleh pengurangan penjualan, pendapatan dividen lebih rendah serta peningkatan susut nilai ketika tempoh transisi atau peralihan Khazanah dalam keadaan pasaran yang suram.

Nazri berkata, keutamaan Khazanah pada masa ini adalah menyokong inisiatif ekonomi kerajaan, termasuk berupaya memberi lebih banyak tunai kepada kerajaan melalui langkah penjualan atau mengurangkan lebihan ekuiti dalam syarikat berkaitan kerajaan.

“Apa yang penting adalah tadbir urus positif, ketelusan dan amalan pelaburan berhemat selain memastikan bahawa Khazanah bebas daripada campur tangan politik. Ia (pengurusan) harus dikendalikan mereka yang profesional.

“Saya rasa Datuk Sharil Ridza Ridzuan (Pengarah Urusan Khazanah) yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, mahir untuk menguruskan Khazanah sebagai pelabur institusi yang aktif,” katanya.

Pada tahun lalu, kerajaan melakukan penyusunan semula Khazanah yang turut menyaksikan perubahan kepimpinan Lembaga Pengarah dan pengurusan selain mandat serta objektif yang diberi nafas baharu.

Khazanah turut melakukan semakan dan penilaian semula pelaburannya yang jelas dipaparkan menerusi prestasi kewangan 2018 berkenaan.

Selain itu, Nazri juga berpendapat Khazanah perlu mengelak kelas aset yang ‘asing’ atau bukan bidang yang seiring dengan kepakaran dana itu.

Malah, Khazanah perlu mengelak daripada mengulangi kesilapan dana minyak negara di Qatar dan China yang terlalu bergantung kepada satu-satu aset, melakukan terlalu banyak usaha pempelbagaian selain membeli ekuiti dan hartanah swasta yang besar dan berada di luar wilayah masing-masing.

“Kerajaan perlu memberi lebih banyak ruang dan kebebasan kepada Khazanah selain membolehkannya menimba amalan terbaik dana kerajaan di China dan Rusia,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Khazanah rugi ekoran pelaburan besar BN

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 6 MAC: Kerugian dialami Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) berpunca daripada pelaburan kerajaan terdahulu, sebelum pentadbiran negara diambil alih Pakatan Harapan (PAKATAN).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerugian paling besar dicatatkan dalam Malaysia Airlines, dengan penyata keuntungan dan kerugian lebih RM3 bilion ekoran strategi dilaksanakan gagal membaik pulih syarikat itu.

“Walaupun benar Khazanah melaporkan kerugian RM6 bilion dan meningkat kepada RM7 bilion ekoran pengurangan nilai aset, namun ia berpunca daripada semakan semula aset dan pelaburan yang dibuat sebelum PAKATAN mengambil alih kerajaan,” tulisnya melalui Twitter, semalam.

Terdahulu, media melaporkan Khazanah merekodkan kerugian sebelum cukai RM6.3 bilion, pada 2018 berbanding untung sebelum cukai RM2.896 bilion, pada tahun sebelumnya.

Keuntungan terjejas ekoran penghapusan pelaburan yang sedikit, pengurangan pendapatan dividen dan rosot nilai yang tinggi.

Mohamed Azmin turut membidas Datuk Seri Najib Razak yang dilaporkan berkata, Khazanah tidak pernah mengalami kerugian dalam tempoh sepuluh tahun dirinya menjadi Perdana Menteri.

“Jika tahu sedikit, janganlah berlagak seperti bijak pandai (a little knowledge being dangerous).
Masalahnya bagi sesetengah ahli politik hari ini, menteri yang gagal dahulu, mereka hanya akan bercakap dahulu, periksa (fakta) kemudian.

“Akhirnya meludah ke langit, terkena muka sendiri,” katanya.

Pada masa sama, beliau optimis Khazanah akan menjana keuntungan semula tahun ini, melalui pengurangan pelaburan yang dibuat sejak beberapa tahun lalu.

“Ketepikan polemik rugi ini kerana pada dasarnya, kerugian dialami ekoran kecacatan pelaburan yang dibuat sebelum PAKATAN mengambil alih pentadbiran negara, pada 9 Mei tahun lalu,” katanya.

Semalam, Khazanah menyasarkan untuk kembali mencatat keuntungan pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019, didorong susut nilai lebih rendah serta unjuran pasaran yang lebih baik.

Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, prestasi dana pelaburan strategik negara itu terjejas, pada 2018 oleh beberapa perkembangan membabitkan aspek ekonomi dan sosial di dalam negara juga global.

Katanya, Khazanah mencatat kerugian sebelum cukai sebanyak RM6.27 bilion, pada 2018 berbanding keuntungan sebelum cukai RM2.89 bilion setahun sebelumnya, kerugian pertama sayap pelaburan kerajaan itu sejak 2005.

 

 

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

Perletakan jawatan Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad

“Pelaksanaan penstrukturan semula.”

Perletakan jawatan Pengarah Urusan dan Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad akan membolehkan Kerajaan menstruktur semula syarikat dana nasional tersebut.

Perdana Menteri YAB Tun Dr Mahathir bin Mohamad menerima tawaran perletakan jawatan semua ahli lembaga pengarah kerana “langkah ini membolehkan Kerajaan menstruktur semula syarikat tersebut” berdasarkan polisi pentadbiran baru yang sedia ada.

Dr Mahathir menegaskan bahawa Perdana Menteri mempunyai hak untuk melantik ahli lembaga pengarah yang baru, atau memindahkan mereka ke syarikat lain, atau pun mengekalkan sesetengah mereka untuk kesinambungan perjalanan syarikat.

Beliau juga mengatakan bahawa Kerajaan bukan di dalam proses membalas
dendam.

“Kita tidak menganggap semua terlibat di dalam salahlaku, tetapi pentadbiran ini tidak boleh menerima kesalahan yang jelas dan dibiarkan berterusan.

“Perletakan jawatan beramai-ramai ini akan memberi ruang untuk menyusun semula Khazanah kerana polisi kami adalah berlainan dari pentadbiran sebelum ini. Kami percaya adalah bagus untuk memberi gaji yang tinggi tetapi kita tidak boleh sentiasa mengikut nilai ukuran pihak swasta.

Kita mahu menumpu kepada ganjaran di dalam bentuk bonus yang berlandaskan kepada prestasi kerana ada sesetengah syarikat yang beroperasi pada tahap yang tidak memuaskan.”

Mengenai laporan yang mengatakan RM2 billion telah terhapus dari Bursa Malaysia, Dr Mahathir menekankan bahawa jumlah kerugian atas kertas tersebut tidaklah sebesar bebanan hutang RM1 trillion yang diwarisi dan sekarang terpaksa dihadapi dan ditanggung oleh Kerajaan.

“Jumlah hutang RM1 trillion tersebut adalah nyata dan benar, dan jumlah yang perlu dibayar tidak boleh dielakkan. Sebahagian besar dari jumlah ‘pelaburan’ yang dilakukan oleh Kerajaan terdahulu belum dapat diperolehi semula kerana kita tidak tahu di mana wang tersebut telah pergi.”

Mengenai komen mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap polisi Kerajaan Pakatan Harapan “berundur ke era masa lalu”, Dr Mahathir bertanya jika rakyat mahu kembali ke era pentadbiran Najib? “Era masa lalu adalah era di mana Malaysia terkenal sebagai Harimau Asia.

Adakah beliau (Najib) mahu membawa rakyat ke era di mana negara ini dikenali sebagai kleptokrasi dan diketuai oleh seorang kleptokrat?

PEJABAT PERDANA MENTERI
PUTRAJAYA
27 JULAI, 2018