Categories
AGENSI SELANGOR

LZS sumbang RM37,000 beli alat moden ukur arah kiblat

SHAH ALAM, 11 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyumbang RM37,000 kepada Jabatan Mufti negeri untuk pembelian alat pengukur arah kiblat berpandukan satelit.

Menurut Facebook agensi itu, alat berkenaan boleh mengukur dengan tepat ketika hujan, mendung dan waktu malam berbanding kaedah semasa bergantung kepada cerapan matahari.

“Sumbangan ini sebahagian inisiatif LZS dalam mengoptimum saluran wang zakat dengan menyantuni institusi agama dan memperkasa ummah, selain agihan bantuan bagi kebajikan asnaf,” katanya.

Bantuan diserahkan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini kepada
Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir di sini hari ini.

Sistem Satelit Kedudulan Global (GNSS) yang turut berpandukan sistem penentududukan sejagat (GPS) bakal digunakan Jabatan Mufti bagi menggantikan Teodolit yang digunakan ketika ini.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Ahli falak Selangor bantu lebih 10,000 rumah tentukan arah kiblat

Oleh Mohd Afiq Zulkifli

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Umat Islam di negara ini pada Jumaat lepas berpeluang menyemak sendiri arah kiblat ketika fenomena Istiwa’ A’zam, iaitu ketika kedudukan matahari berada tepat di atas Kaabah di Masjidil Haram, Makkah, Arab Saudi, pada 5.16 petang.

Penentuan arah kiblat yang betul, boleh dibuat berdasarkan pantulan cahaya matahari pada kayu yang ditegakkan di kediaman masing-masing.

Selain kaedah itu, sebelum ini kebanyakan umat Islam bergantung kepada aplikasi tertentu dalam telefon pintar dan kompas untuk menentukan arah kiblat, namun persoalannya sejauh manakah ketepatan metode yang digunakan itu.

Harus diingat walaupun jarak yang terpesong hanya satu darjah, namun sebenarnya ia bersamaan dengan jarak sejauh 122 kilometer dari arah kiblat sekali gus menyebabkan ia jauh tersasar dari arah yang sebenar.

Menyedari hakikat itu, Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor (PAFNS) mengambil inisiatif sejak lima tahun lepas menyediakan perkhidmatan menyemak, mengukur dan memperbetulkan arah kiblat dari rumah ke rumah.

Walaupun jarak yang terpesong hanya satu darjah, namun sebenarnya ia bersamaan dengan jarak sejauh 122 kilometer dari arah kiblat. Foto Facebook Ara Sara

Setiausahanya, Abdul Latip Ibrahim berkata penggunaan kompas atau aplikasi bagi menentukan arah kiblat di rumah kadangkala menghasilkan bacaan yang berubah-ubah berikutan kesan tarikan magnetik seperti perkakasan besi dan logam di rumah.

“Ada kemungkinannya betul (arah kiblat) tetapi kebanyakannya disebabkan kesan magnetik, ada yang tersasar dari arah kiblat yang sebenar, kerana itu kita menggunakan kaedah data matahari iaitu cahaya dan bayang yang masuk ke dalam rumah.

“Dari situ kita akan membuat perkiraan dilakukan dengan menggunakan perisian Easy Qibla dan Sun Compass membolehkan bacaan tertentu diambil sebelum kita menentukan arah kiblat di rumah yang berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Antara peralatan lain yang turut digunakan sepanjang kaedah tersebut yang mengambil masa kira-kira setengah jam ialah laser, TongBa (Tongkat Bayang), kertas, pen, pembaris, tali, pelapik plastik atau kayu.

Abdul Latip berkata sekiranya rumah tersebut tidak dimasuki cahaya seperti di pangsapuri, petugas arah kiblat akan mencari sumber cahaya yang paling terdekat dengan kediaman tersebut.

“Dengan kaedah ini, arah kiblat adalah tepat, kekal dan tidak lagi berubah-berubah yang membantu kita untuk menunaikan kewajipan solat dengan lebih yakin,” katanya yang memaklumkan persatuan itu mempunyai 70 petugas mahir dan terlatih dalam bidang itu.

Sehingga kini, persatuan itu memberikan perkhidmatan berkenaan di lebih 10,000 rumah persendirian di seluruh Selangor dan mereka yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut boleh menghubungi mereka menerusi Facebook rasmi PAFNS.

Salah seorang Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor (PAFNS) menentukan arah kiblat rumah di negeri ini. Foto Facebook Hanzalah Mizi

Bagaimanapun, menurut Facebook persatuan itu, buat masa ini pergerakan petugas untuk proses pengukuran kiblat ditangguhkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung penularan Covid-19 dan mereka yang mendaftar akan dihubungi kelak untuk janji temu.

Sementara itu, Maisarah Mansor, 35, yang menetap di kuarters kakitangan awam di Putrajaya berkata sebelum ini, mereka sekeluarga menentukan arah kiblat di kediaman itu berdasarkan maklumat daripada jiran yang terlebih dahulu berpindah ke situ.

Bagaimanapun apabila mereka menggunakan aplikasi dalam telefon pintar, arah yang ditunjukkan tidak sama menyebabkan mereka mengambil keputusan menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh PAFNS.

“Kini, kami sekeluarga dapat menunaikan ibadah dengan lebih tenang dan yakin kerana tidak ada lagi timbul keraguan berkenaan arah kiblat,” katanya.

Sementara itu, bekas Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata perkhidmatan yang ditawarkan oleh persatuan itu membolehkan umat Islam mendapat arah kiblat yang lebih tepat.

Katanya, walaupun kedudukan arah kiblat yang darjahnya terpesong antara satu hingga tiga darjah masih boleh dimaafkan, namun sekiranya ia melebihi daripada jumlah itu, masyarakat harus memperbetulkan arah kiblat kerana ia adalah satu daripada prasyarat sah solat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Semak kiblat sekali lagi sempena Istiwa’ A’dzam pada 16 Julai

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Umat Islam di negara ini boleh melakukan semakan berhubung arah kiblat yang tepat di premis masing-masing susulan fenomena dikenali sebagai Istiwa’ A’dzam pada 5.16 petang ini.

Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan Jamali Mohd Adnan berkata ketika fenomena ini berlaku, kedudukan matahari berada pada titik zenith iaitu tepat di atas Kaabah di Masjidil Haram, Makkah, Arab Saudi.

Beliau berkata fenomena ini berlaku dua kali setahun iaitu hari ini dan 16 Julai depan pada 5.28 petang.

“Apabila Istiwa’ A’dzam ini berlaku, bayang-bayang objek tegak akan menunjukkan arah Kaabah (kiblat). Gunakan objek tegak dan lurus seperti tiang rumah, tingkap rumah atau lain-lain, bayang-bayang yang terhasil daripada objek tersebut menunjukkan ke arah kiblat.

“Semakan kiblat boleh dilakukan dalam tempoh 5.10 petang hingga 5.40 petang. Pastikan waktu semakan adalah mengikut waktunya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Jamali juga berkata orang ramai boleh membuat semakan waktu yang tepat berdasarkan waktu Malaysia di mst.sirim.my.

-BERNAMA

Categories
AGAMA NASIONAL SAINS & INOVASI

Planetarium Negara: Peluang tentukan arah Kiblat 16 Julai

KUALA LUMPUR 14 JUL: Umat Islam di Malaysia berpeluang untuk memastikan arah kiblat di rumah atau masjid pada 5.27 petang Isnin ini (16 Julai) apabila matahari berada tepat di atas Kaabah di Makkah, menurut Planetarium Negara.

“Oleh kerana matahari berada tepat di atas Kaabah, maka bayang-bayang sinaran matahari bagi semua objek yang ada di permukaan bumi pada ketika itu akan menghala ke arah Kaabah dan boleh dijadikan panduan bagi menentukan arah kiblat secara semulajadi,” menurut Planetarium Negara dalam satu kenyataan.

Orang ramai perlu mencari objek yang berdiri tegak yang dapat menunjukkan bayang-bayangnya apabila terkena sinaran matahari pada waktu itu.

“Orang ramai boleh mendirikan tiang di kawasan bersesuaian dan memastikan tiang berkenaan betul-betul tegak dengan menggunakan peralatan pelaras buih udara yang biasanya digunakan untuk pembinaan bangunan sekiranya tiada objek tegak, selain berpandukan pinggir dinding bangunan yang betul-betul tegak untuk mencari bayang-bayang matahari pada waktu dan tarikh berkenaan.

“Tepat pukul 5.27 petang dan sekiranya cuaca baik di mana anda dapat melihat bayang-bayang matahari daripada tiang yang anda dirikan atau daripada pinggir bangunan atau sebarang objek tegak lain.

“Anda perlu melakarkan garisan bayang-bayang matahari yang terbentuk sama ada di atas tanah atau kertas atau sebarang permukaan yang mudah dilukis atau diguris,” menurut Planetarium Negara.

Kenyataan itu turut menyebut garisan yang telah berjaya dilakar itulah yang merupakan hala ke arah Kaabah atau arah kiblat jika mereka berdiri di satu hujung garisan dan menghadap ke hujung satu lagi garisan pada arah matahari terbenam.

“Orang ramai hendaklah memastikan garisan yang dilakar itu dapat dikekalkan tanpa sebarang gangguan atau usaha untuk memadamkannya bagi rujukan pada masa hadapan.

“Setelah arah kiblat diketahui maka bandingkanlah dengan arah kiblat yang biasanya anda ikuti sama ada di rumah sendiri atau di masjid dan surau. Sekiranya terdapat perbezaan maka buatlah pembetulan yang sewajarnya,” tambah kenyataan itu.

Sehubungan itu, Planetarium Negara di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar akan menganjurkan Program Pencerapan dan Menandakan Bayang-bayang Matahari pada Isnin ini mulai pukul 4 petang hingga 6 petang.

Program yang diadakan di hadapan pintu masuk Planetarium Negara itu diadakan untuk memberi pendedahan kepada awam kaedah menentukan arah kiblat melalui pencerapan bayang-bayang matahari.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Planetarium Negara di talian 03-22735484 atau email [email protected] atau melayari laman sesawang Planetarium Negara di www.planetariumnegara.gov.my atau Facebook Planetarium Negara.

SUMBER: BERNAMA