Categories
EKONOMI NASIONAL

11 Tahun lalu diketawakan jual kicap, hari ini terima anugerah

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 28 JUL: Usaha gigih tanpa jemu lebih 11 tahun memasarkan produknya tidak sia-sia selepas pengedar utama Kicap Mudim, Fatimawati Ahmad dianugerahkan 2017 Tesco Top 10 SME’s Supplier semalam.

Ketika mengimbau kembali saat mula menceburi perniagaan terbabit, Fatimawati berkata, beliau diketawakan apabila mengaku dirinya sebagai pengedar kicap

“Dulu, bila orang tanya awak niaga apa? Nak cakap pun malu, mesti cakap saya pembekal kepada pasaraya hyper sahaja padahal pada masa itu pasaraya hanya minta satu atau dua kotak sahaja.

“Bila cakap jual kicap mesti orang gelak. Lepas tu bila tanya lagi kicap apa, bila saya jawab Kicap Mudim kena gelak lagi.

“Lepas gelakkan saya puas-puas dan tengok saya serius baru tanya lagi, betul ke awak jual kicap?,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, selain pernah diketawakan beliau juga berhadapan dengan pelbagai cabaran lain.

Antaranya, cabaran untuk meluaskan pasaran produknya.

Bagaimanapun katanya, beliau berjaya mengatasi cabaran dengan adanya sokongan pelbagai agensi kerajaan, pelanggan dan lain-lain.

“Hingga hari ini, bukan kicap sahaja tetapi kami juga berjaya mengeluarkan Sos Mudim dan Cuka Mudim,” katanya lagi.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail menyampaikan anugerah 2017 Tesco Top 10 SME’s Supplier kepada 10 pengusaha industri kecil dan sederhana pada majlis yang diadakan di Pasaraya Tesco di sini, semalam.

Selain Kicap Mudim, turut menerima anugerah sama Kicap Jalen, Ubat Gigi Mukmin, Halalgel, Kopi Hang Tuah, Rempah Mak Siti dan lain-lain.