Categories
PBT SELANGOR

MPKL belum lulus lesen sementara kilang bateri di Jenjarom

SHAH ALAM, 28 SEPT: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) belum mengeluarkan lesen sementara kepada syarikat pengusaha pemasangan bateri di kawasan perindustrian Jenjarom kerana masih belum mematuhi beberapa syarat dan kriteria.

MPKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan antara kriteria tersebut ialah tidak mendapat kelulusan pelan bangunan kerana pihak Syarikat Federal Power Holding Sdn Bhd itu membuat pengubahsuaian di dalam kilang tersebut bagi mematuhi syarat yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Jika pihak syarikat tidak mematuhi dan melanggar syarat yang ditetapkan, pihak MPKL akan menarik semula lesen sementara yang akan dikeluarkan dan mengambil tindakan tegas,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Yang Dipertua MPKL Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata persetujuan agar kelulusan lesen perniagaan penuh boleh dipertimbangkan sekiranya pihak syarikat mematuhi semua syarat yang ditetapkan JAS dan MPKL.

“Keputusan ini juga mengambil kira sepanjang tempoh dua tahun dengan lesen perniagaan sementara dikeluarkan dengan diperbaharui setiap tempoh enam bulan melalui kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Kawalan Perniagaan dan Kesihatan MPKL,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi libat urus berkenaan pembukaan syarikat tersebut bersama komuniti penduduk Jenjarom, Jabatan Alam Sekitar Selangor, wakil Pejabat Daerah/Tanah Kuala Langat, Ketua Polis Daerah Kuala Langat serta wakil-wakil penduduk hari ini.

Rancangan bagi pembukaan semula operasi kilang syarikat berkenaan sebelum ini mendapat bantahan penduduk setempat dan badan bukan kerajaan (NGO) susulan kebimbangan terhadap pencemaran dan keselamatan mereka.

Penduduk dan NGO terlibat turut menyerahkan memorandum bantahan kepada MPKL susulan daripada penolakan operasi kilang terbabit.

Mengulas lanjut, Amirul Azizan berkata pihak Jabatan Alam Sekitar dan MPKL memberikan jaminan kepada kerajaan negeri berhubung pemantauan berterusan yang akan dilakukan setiap minggu tanpa mengira aduan yang dilaporkan bagi memastikan syarikat mematuhi syarat-syarat dan peraturan-peraturan ketat yang dikenakan.

MPKL juga merujuk kepada JAS berkenaan pembinaan kilang yang didirikan di kawasan perindustrian sederhana Jenjarom serta cadangan aktiviti pemasangan bateri yang dibenarkan di kawasan perindustrian sederhana dan ia mematuhi syarat serta jarak zon penampan iaitu tidak kurang dari 150 meter.

Beliau berkata pihak JAS juga memutuskan dan menetapkan syarat yang perlu dipatuhi oleh Syarikat Federal Power Holding antaranya, aktiviti yang dibenarkan terhad kepada pemasangan ‘rechargeable solar battery (bateri AGM/VRLA/SLA) dengan kuantiti sebanyak 6,800 unit sehari dan sebarang proses peleburan dan pembuatan lead plate adalah tidak dibenarkan.

“Pengubahsuaian pelan lantai juga perlu dilakukan bagi mematuhi pelan lantai yang diluluskan,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

MTES bakal putuskan pindah atau kekal kilang bateri di Jenjarom

KAPAR, 7 SEPT: Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) akan memutuskan sama ada kilang bateri yang didakwa membuat pencemaran plumbum di Jenjarom akan ditutup atau dipindahkan.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, isu berkenaan akan dibawa ke MTES yang dijadual berlangsung sekurang-kurangnya seminggu dari sekarang.

“Buat masa ini, Kerajaan Negeri sedang mengumpulkan maklumat, namun kita sudah dapat keputusan hasil laporan daripada beberapa jabatan.

“Keputusan sama ada menutup atau memindahkan kilang bateri ini dibuat kerana penduduk mengatakan kewujudannya mencemarkan air bawah tanah serta udara.

“Bagaimanapun, dakwaan itu akan dikenal pasti melalui ujian darah yang dibuat ke atas pengadu,” katanya kepada media selepas merasmikan Karnival Jelajah 360 Smart Selangor, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu kilang bateri kontroversi yang didakwa melakukan pencemaran plumbum di Jenjarom, Kuala Langat pada April lalu.

Terdahulu, dilaporkan penduduk mengadakan demonstrasi aman dan mendesak Majlis Daerah Kuala Langat serta Jabatan Alam Sekitar supaya tidak menyambung lesen operasi sementara kilang itu yang tamat, pada 19 Ogos.

Penduduk mendakwa kilang bateri itu membuang sisa plumbum ke dalam saliran yang bersambung dengan sungai serta menyebabkan pencemaran udara di Jalan Sukepi, Kuala Langat.

Namun, pada April, Kerajaan Negeri mengumumkan kilang itu berdepan enam kompaun berjumlah RM12,000 ekoran kegagalannya mematuhi pengurusan peleburan plumbum mengikut jadual.

Kilang terbabit disyorkan untuk dipertuduhkan di bawah Seksyen 34A(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling kerana melakukan proses pemerolehan kembali plumbum tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling.

Categories
EXCO SELANGOR

Selangor tidak kompromi isu alam sekitar

SHAH ALAM, 10 OGOS: Kerajaan Negeri akan memastikan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) memantau keadaan serta aktiviti kilang bateri di Jenjarom yang diberikan lesen beroperasi sementara secara ketat.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu pencemaran alam sekitar atau pihak tidak mematuhi piawaian dan peraturan sedia ada.

“Kerajaan Negeri sentiasa menghormati hak perhimpunan dan bersuara oleh rakyat serta bersedia mendengar juga berbincang dengan semua pihak dalam hal pembangunan.

“Bagaimanapun, dalam isu kilang bateri ini, penduduk juga diminta bersabar sementara menunggu hasil kajian dan keputusan pihak berkuasa negeri,” katanya dalam kenyataan.

Loy Sian menegaskan bahawa Kerajaan Negeri juga sedang mengambil tindakan sewajarnya mengikut kehendak undang-undang.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa prihatin terhadap masalah pencemaran alam sekitar yang memudaratkan kesihatan dan kesejahteraan, namun prinsip keadilan kepada pihak terbabit juga perlu dipertahankan.

“Kerajaan Negeri juga akan bertindak adil kepada semua pihak berkepentingan termasuk pelabur jika mereka mematuhi dan melakukan permohonan di bawah segala syarat dan peraturan ditetapkan,” katanya.

Pada masa sama, beliau memaklumkan, Kerajaan Negeri sudah membuat beberapa siasatan dan kajian ke atas kemungkinan pencemaran terhadap air, udara serta tanah ekoran aktiviti kilang itu yang membawa kesan negatif ke atas alam sekitar juga kesihatan penduduk.

Katanya, MDKL juga diarahkan untuk menyelaras dan mengetuai tindakan mengumpul semua hasil kajian selewat-lewatnya pertengahan Ogos ini.

“Hasil kajian dan laporan menyeluruh daripada agensi yang terbabit perlu diserahkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Selangor untuk membuat keputusan pada akhir Ogos ini,” katanya.

Terdahulu, MDKL mengeluarkan lesen sementara selama dua bulan kepada sebuah kilang bateri, di Jenjarom selepas menerima sokongan JAS Putrajaya.

Ekoran itu, hampir 100 penduduk mengadakan demonstrasi aman dan mendesak MDKL serta JAS tidak menyambung lesen operasi sementara kilang terbabit, semalam.

Mereka mendakwa kilang bateri itu membuang sisa plumbum ke dalam saliran yang bersambung dengan sungai serta menyebabkan pencemaran udara di Jalan Sukepi, di sini.

Categories
PBT SELANGOR

MDKL benar kilang bateri beroperasi dengan syarat ketat

BANTING, 10 OGOS: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) mengeluarkan lesen sementara selama dua bulan kepada sebuah kilang bateri, di Jenjarom selepas menerima sokongan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Putrajaya.

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, JAS juga memberi ulasan bahawa tiada halangan untuk kilang itu meneruskan operasi premis selepas Perintah Larangan di bawah Seksyen 34AA Akta Kualiti Alam Sekililing 1974 ditarik balik.

Bagaimanapun, katanya, kilang berkenaan perlu mematuhi beberapa syarat yang dikeluarkan antaranya tidak menjalankan aktiviti dan operasi melebur plumbum sehingga kelulusan laporan kajian Impak Alam Sekitar (EIA) dikeluarkan oleh JAS.

“Lanjutan daripada penarikan balik Perintah Larangan itu, MDKL bersetuju untuk menimbangkan permohonan lesen perniagaan sementara selama dua bulan mulai 19 Jun hingga 19 Ogos 2019 dengan syarat, pihak kilang mestilah mematuhi syarat ditetapkan JAS yang dikeluarkan pada 12 Jun lalu.

“Kilang juga perlu mematuhi syarat yang dikeluarkan Jabatan Kawalan Bangunan MDKL yang ditetapkan pada 6 Mei,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Zain berkata, lesen sementara itu akan ditarik balik jika pengusaha kilang melanggar mana-mana peraturan ditetapkan.

“MDKL menegaskan sekali lagi bahawa semua kelulusan lesen sementara dan kekal akan mengikut prosedur ditetapkan tanpa sebarang kompromi,” katanya.

Terdahulu, kilang bateri itu diarah tutup serta-merta oleh Kerajaan Negeri sehingga siasatan terhadap pencemaran asid dan plumbum yang didakwa berpunca daripada kilang terbabit selesai.

Semalam, hampir 100 penduduk mengadakan demonstrasi aman dan mendesak MDKL serta JAS tidak menyambung lesen operasi sementara kilang itu yang tamat pada 19 Ogos ini.

Penduduk mendakwa kilang bateri itu membuang sisa plumbum ke dalam saliran yang bersambung dengan sungai serta menyebabkan pencemaran udara di Jalan Sukepi, di sini.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pencemaran plumbum: Kilang bateri kena enam kompaun RM12,000

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 23 APR: Kilang kontroversi didakwa melakukan pencemaran plumbum di Jenjarom, Kuala Langat baru-baru ini, berdepan enam kompaun berjumlah RM12,000, kata Hee Loy Sian.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi, Inovasi Dan Hal Ehwal Pengguna berkata, tindakan kompaun itu dikenakan ekoran kegagalan kilang Leoch Accupower (M) Sdn Bhd mematuhi pengurusan peleburan plumbum mengikut jadual.

Katanya, kilang terbabit disyorkan untuk dipertuduhkan di bawah Seksyen 34A(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling kerana melakukan proses pemerolehan kembali plumbum tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling.

“Bagi menentukan punca pencemaran asid dan plumbum, Kerajaan Negeri mengarahkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar Selangor (JAS) dan Jabatan Pengaliran Dan Saliran (JPS) untuk menjalankan satu kajian yang merangkumi kawasan berhampiran kilang serta kawasan sekitarnya termasuk ladang kelapa sawit.

“Jabatan Kesihatan Pekerja Dan Alam Sekitar sudahpun memulakan operasi kajian sampel darah serta membuat screening ke atas kawasan sekitar melalui ‘mapping’ yang dirangka.

“Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) juga diarahkan mengambil tindakan untuk mengadakan persampelan ke atas pekerja bagi kilang terbabit serta kawasan sekitar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Loy Sian menegaskan, Kerajaan Negeri tidak teragak-agak mengambil tindakan mengarahkan kilang dipindah ke kawasan industri yang lebih sesuai jika hasil siasatan dan kajian agensi teknikal menyahihkan terdapat pencemaran plumbum susulan operasi kilang berkenaan di sekitar kawasan terbabit.

Bagaimanapun, katanya, sebagai sebuah kerajaan yang adil kepada semua, kami tidak hanya bertindak berpandu kepada sesuatu pihak atau sumber.

“Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong yang juga seorang mantan ahli kabinet tidak seharusnya hanya mengambil pandangan dan kajian daripada Persatuan Penduduk (termamsuk seorang pakar Dr Maketab( tetapi perlu mengambil kira kajian dibuat oleh jabatan kerajaan serta badan profesional lain, selain membuat perbandingan lebih mendalam sebelum membuat tuduhannya melalui laman sosial.

“Saya melihat ini sebagai sesuatu tindakan untuk meraih sokongan politik secara murahan dan mempermainkan isu untuk kepentingan diri serta langsung tidak boleh diterima sebagai seorang ahli politik berpengalaman dan bertanggungjawab.

“Saya mengesyorkan beliau berhubung dengan kami termasuk agensi kerajaan untuk mendapatkan maklumat yang berkenaan supaya beliau dapat mengikuti tindakan sedang diambil oleh kerajaan sebelum tuduhan liar dibuat,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 50 penduduk kawasan sekitar melakukan demonstrasi di hadapan kilang terbabit menuntut kilang berkenaan ditutup kerana membawa kesan buruk seperti pencemaran udara dan air di kawasan itu.

Susulan itu, Wee Ka Siong dipetik melalui portal media tempatan sebagai berkata, kejadian itu menunjukkan sifat sebenar Pakatan Harapan (PAKATAN) yang cuba menjadi juara alam sekitar selama bertahun-tahun.