Categories
AGENDA BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN

MB mahu usaha banteras kilang haram diteruskan, puji tindakan MPHS

SHAH ALAM, 16 NOV: Dato’ Menteri Besar memuji tindakan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menyita sebuah kilang yang beroperasi tanpa lesen di Kawasan Perindustrian Sungai Choh, Serendah.

Dato’ Seri Amirudin Shari mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) meneruskan usaha membanteras aktiviti kilang haram.

“Syabas MPHS di atas tindakan penguatkuasaan ini. Teruskan usaha membanteras kilang haram,” katanya di Facebook hari ini.

Beliau mengulas laporan Selangorkini mengenai tindakan MPHS menyita sebuah kilang yang beroperasi tanpa lesen dan merampas 56 jongkong aluminium bernilai RM300,000 dalam operasi pada 9 November.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri mempergiat usaha membanteras aktiviti kilang haram sejak awal tahun ini.

“Usaha perobohan dan kompaun telah ditingkatkan di semua daerah dan kawasan bagi memastikan aktiviti kilang haram dapat dibasmi,” katanya.

Dalam operasi itu, premis terbabit dikenakan tindakan mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil 3 dan 38 Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDHS) 2007.

Selain aluminium, turut disita lapan tong gas lima forklift, masing-masing empat unit monitor, papan kekunci, komputer, tiga mesin cetak dan seunit penimbang digital.

Operasi itu turut membawa kepada penahanan dua pekerja warga China ekoran gagal menunjukkan dokumen sah.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Selangor banteras ratusan kilang haram secara berperingkat

SHAH ALAM, 29 JUN: Kerajaan Selangor mengambil tindakan secara berperingkat terhadap kilang yang beroperasi tanpa lesen sah di negeri ini.

Dalam kenyataan ringkas di Facebook, Dato’ Menteri Besar berkata tindakan ke atas ratusan kilang dibuat melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri.

“Kerajaan Negeri akan terus membanteras kilang haram yang beroperasi tanpa lesen sah,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau turut berkongsikan tangkap layar berita pada 3 November 2020 yang memamparkan sebanyak 869 kilang beroperasi tanpa lesen sah mengikut PBT.

Antaranya ialah:

  • Majlis Bandaraya Shah Alam – 546
  • Majlis Perbandaran Kajang – 155
  • Majlis Perbandaran Selayang – 75
  • Majlis Perbandaran Kuala Langat – 27
  • Majlis Bandaraya Subang Jaya – 23
  • Majlis Perbandaran Klang – 20
  • Majlis Daerah Kuala Selangor – 14
  • Majlis Daerah Hulu Selangor – 7
  • Majlis Perbandaran Sepang – 2

Kerajaan Selangor melaksanakan proses pemutihan kilang haram sejak 2008 dengan pemilik tanah dan kilang perlu memohon lesen untuk kekal beroperasi.

Tindakan tegas termasuk perobohan premis akan dikenakan terhadap pemilik yang melanggar syarat kegunaan tanah dan pengusaha kilang yang beroperasi atas tanah bukan syarat kegunaan industri.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

JAS, MPK gempur kilang haram sebabkan pencemaran

SHAH ALAM, 13 NOV: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) menggempur kilang haram di Telok Gong, Pelabuhan Klang kelmarin.

Menteri Alam Sekitar Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata hasil siasatan mendapati sisa buangan kilang itu dibuang ke saliran sehingga menyebabkan pencemaran.

“Tahniah JAS Selangor! Operasi bersepadu dengan MPK telah menggempur kilang haram di Telok Gong.

“Kilang ini menjalankan aktiviti penghancuran dan cucian plastik terpakai. Air sisa dibuang ke alur air sehingga menyebabkan pencemaran,” katanya di Facebook hari ini.

Susulan itu, kilang berkenaan disita mengikut peruntukan Seksyen 38(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) berkuat kuasa 11 November.

Air sisa kilang haram di di Telok Gong, Pelabuhan Klang dibuang ke alur air. JAS Selangor dan MPK melakukan serbuan pada 11 November 2020. Foto Facebook Tuan Ibrahim Tuan Man
Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

JAS perlu perketat penguatkuasaan atasi pencemaran sungai

KUALA LUMPUR, 13 NOV: Isu gangguan bekalan air di Lembah Klang yang berpunca daripada pencemaran bekalan air mentah dari sungai kerap berlaku sejak kebelakangan ini sehingga menimbulkan persoalan mengapa pihak berkuasa masih buntu menangani masalah itu.

Terbaru, Selasa lepas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas setelah pencemaran bau dikesan di Sungai Selangor, menyebabkan gangguan bekalan air melibatkan 1,139,008 akaun pengguna merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Pencemaran sungai yang sering berlaku terus mengundang resah dan bosan rakyat yang mahu tindakan lebih konkrit diambil kerana 90 peratus sumber air mentah negara ini diambil dari air sungai atau air permukaan.

Risiko pencemaran sungai seperti tidak akan berakhir terutama dengan situasi hari ini apabila berlaku pembangunan pesat di kawasan hulu sungai dengan pembukaan kilang dan premis yang boleh menyumbang kepada pencemaran. Dalam kes Selasa lepas, ia dikesan berpunca daripada pembuangan sisa dari sebuah premis di Taman Velox, Rawang yang melakukan pelepasan secara haram.

Bagi pensyarah Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Azhar Abdul Halim, sungai di Lembah Klang mencapai tahap tepu yang menjadikannya lebih sensitif kepada pencemaran.

Katanya, oleh itu tidak ada pilihan lain untuk masalah itu melainkan mengawal pencemaran, menguruskan bahan-bahan kimia oleh kilang, memantau dan mengenal pasti sisa yang dilepaskan selain memperbanyakkan lagi kemudahan takungan air untuk kegunaan semasa kecemasan.

“Jika 20 tahun lalu, pencemaran yang berlaku masih boleh diserap tetapi sekarang lembangan sungai tidak lagi mampu dan sebarang pencemaran akan memberi kesan terus kepada rakyat dan pihak yang mencemarinya. Oleh itu pembuangan sisa industri secara tidak terkawal paling utama wajib dibanteras kerana ia menjadi sumber pencemaran,” katanya kepada Bernama.

Azhar berkata isu utama yg harus ditangani adalah kilang haram yang terdapat di Sungai Selangor terutama di bahagian hulu sungai kerana kilang haram ini sukar dipantau dan mengambil jalan mudah membuang sisa berjadual ke dalan sistem pembentungan untuk mengelakkan kos rawatan di Kualiti Alam, syarikat yang menguruskan pelupusan bagi sisa terjadual di Malaysia.

Kerana itu, setiap industri wajib berlesen dan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) seharusnya mempunyai maklumat yang terkini bagi setiap bahan kimia yang digunakan, sisa kimia yang bakal dan beroperasi dilupuskan.

“Peraturan memang ada iaitu bagi industri berlesen wajib merawat air sisa yang dilupuskan. Jika melibatkan sisa berjadual memang wajib dirawat atau dihantar ke Kualiti Alam untuk rawatan. Ini semua melibatkan kos dan ia perlu dipantau. Sementara itu kilang-kilang haram memang tidak akan ada sistem rawatan,” katanya.

Tegasnya, penguatkuasaan yang ketat perlu dilakukan oleh JAS kerana jika pemantauan dan penguatkuasaan longgar kemungkinan ada pihak industri walaupun berlesen tidak melupuskan sisa tanpa rawatan kerana kos yang perlu dibayar.

Mengikut peraturan yang ditetapkan JAS, sisa industri berjadual perlu dihantar ke satu premis tertentu untuk dirawat dan diuruskan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Peningkatan kekerapan pencemaran sungai yang berlaku kebelakangan ini menimbulkan tanda tanya adakah keadaan ini berkait rapat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dilaksanakan di kebanyakan negeri termasuk Lembah Klang ketika ini?

Pakar Kualiti Air dan Permodelan Kualiti Air Dr Zaki Zainudin berkata terdapat rasional andaian itu berikutan ramai peniaga dalam kalangan industri kecil dan sederhana mengalami kegawatan akibat PKP dan PKPB hingga ada yang terpaksa menutup operasi.

Keadaan ini juga dipercayai memberi kesan kepada kerja pembersihan sisa industri yang menyebabkan pihak terbabit mengambil jalan mudah melupuskan bahan-bahan pencemar sewenang-wenangnya.

“Kos rawatan sisa industri bukannya murah…, ia boleh menelan belanja beribu-ribu ringgit malah berpuluh-puluh ribu ringgit. Jadi mungkin disebabkan kegawatan ekonomi yang berlaku sekarang ini menyebabkan premis-premis ini mengambil jalan mudah bagi mengurangkan kos.

“Keadaan ini menyebabkan lebih banyak premis melupuskan sisa-sisa secara haram bagi kurangkan kos untuk mereka bertahan dalam situasi pandemik ini,” katanya.

Pihak berwajib sepatutnya mendengar pandangan pemain industri ini untuk mengetahui keadaan sebenar yang berlaku sama ada mereka terkesan dari segi kos merawat sisa industri.

Jika benar mereka terkesan, mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan pemberian insentif kepada mereka untuk memastikan mereka dapat merawat sisa industri seperti yang ditetapkan, kata Zaki.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Tiada kompromi kilang haram sebabkan pencemaran – EXCO

SHAH ALAM, 5 NOV: Kerajaan Selangor tidak akan berkrompromi dengan kegiatan kilang haram yang mendatangkan masalah pencemaran di negeri ini.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata kilang itu juga tidak dibenarkan menyertai Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran Selangor.

“Sekali lagi saya menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak pernah dan tidak akan berkrompomi dengan sebarang kegiatan kilang yang mendatangkan masalah kepada alam sekitar dan kesihatan rakyat.

“Contoh paling jelas ialah kita telah menutup hampir 200 kilang plastik haram dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT). Kilang-kilang itu telah disita, ditutup, dipotong bekalan air dan elektrik.

“Kilang-kilang itulah yang haram, yang tidak boleh dibantu serta perlu ditutup serta-merta,” katanya pada sesi ucapan penggulungan sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Beliau menambah, sebanyak 5,589 kilang tanpa kebenaran dikesan beroperasi seluruh negeri dengan 869 daripadanya berada di sekitar sungai.

Jelasnya, kilang terbabit bukan dikategori haram sebaliknya mempunyai lesen perniagaan sementara tetapi belum memenuhi syarat teknikal seperti status tanah, pengezonan atau kebenaran merancang.

“Bukan semua kilang mendatangkan pencemaran, dan pencemaran tidak hanya disebabkan oleh kilang. Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kita tidak boleh ambil cara mudah untuk menyelesaikan masalah.

“Halau semua kilang, roboh semua kilang, tutup cerita. Itu bukan caranya. Sebab ia melibatkan masalah sosial seperti periuk nasi ribuan isi rumah. Kerajaan Negeri mengambil pendekatan berhati-hati dan peka semasa mengambil tindakan.

“Kita tidak mahu lihat timbul pula masalah ribuan rakyat hilang kerja kerana kilang-kilang ditutup begitu sahaja,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Kaji undang-undang percepat roboh kilang haram

SHAH ALAM, 14 SEPT: Kerajaan Negeri mengkaji undang-undang yang sesuai bagi mempercepat perobohan struktur kilang haram.

Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu diambil kerana terdapat kilang dibina di tanah persendirian dan jika didapati bersalah pemilik bertanggungjawab membersihkannya.

“Tapi kalau menggunakan (akta) Kanun Tanah (negara), kita (Kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah) kena hantar dulu Notis 7A (kepada pemilik). Notis 7A ini adalah untuk memulihkan tanah-tanah mereka.

“Dengan erti kata, kalau mereka buang sampah mereka kena bersihkan sampah. Mereka (pemilik) kena bubarkan bangunan-bangunan dan struktur yang ada,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam Program The Amin Idris Show di Facebook baru-baru ini.

Beliau menjelaskan pemilik premis pernah menang kes di peringkat perundangan selepas tidak diberikan tempoh secukupnya untuk memindahkan barang.

“Ini kekangan undang-undang yang kita hadapi dan Kerajaan Negeri mengambil garis-garis ini dan melihat keseluruhan undang-undang yang timbul dan sebagainya,” katanya.

Beliau menambah kilang yang dibina di atas tanah kerajaan boleh diroboh dalam tempoh 24 jam walaupun premis berkenaan tidak menjadi punca pencemaran sungai.

Pada 9 September, Amirudin berkata semua kilang haram diberi tempoh sehingga hujung tahun untuk melaksanakan proses pemutihan dan penempatan semula premis.

Categories
PBT SELANGOR

Kilang operasi secara haram, EXCO beri amaran keras

SHAH ALAM, 9 MEI: Selangor memberi amaran kepada semua pengusaha kilang tanpa lesen di negeri ini untuk menghentikan operasi atau berdepan tindakan tegas.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) akan tetap melakukan pemantauan di sebalik kesibukan menangani wabak Covid-19.

“Walaupun kini memasuki peringkat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKPB Diubahsuai di Selangor, kilang sisa plastik tetap diharamkan seperti sebelum ini.

“Kilang yang tidak mempunyai lesen, pelan bangunan, Kebenaran Merancang serta Laporan Kajian Impak Alam Sekitar dari Jabatan Alam Sekitar harus disita,” katanya kepada SelangorKini.

Sze Han turut menyarankan orang awam membuat laporan segera jika mendapati ada kilang plastik haram beroperasi di kawasan mereka.

“Kerjasama antara PBT dan orang awam sangat penting dalam membanteras kegiatan yang akan menjejaskan kehidupan orang awam,” katanya lagi.

Semalam, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menyita sebuah kilang kitar semula plastik yang beroperasi secara haram selepas menerima aduan orang ramai.

Categories
EXCO SELANGOR

Program pemutihan kilang, Kerajaan Negeri beri tempoh setahun

KLANG, 24 SEPT: Kerajaan Negeri memberi tempoh setahun kepada pemilik kilang haram menjalankan operasi secara sah dengan melalui proses pemutihan yang ditawarkan bermula 1 Oktober ini hingga 30 September 2020, sebelum tindakan lebih berat akan diambil.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, sekiranya gagal, maka pentadbir tanah boleh mengeluarkan denda tidak kurang dari RM500 serta kompaun harian berjumlah RM100.

Katanya, tindakan itu selari dengan Seksyen 127(1A)(a) dan 127(1A)(b) Kanun Tanah Negara 1965.

“Ingin saya tegaskan, jika pemilik kilang haram masih berdegil, maka pihak bertanggungjawab akan melaksanakan proses perampasan tanah iaitu selaras dengan Seksyen 130 Kanun Tanah Negara 1965.

“Sebenarnya sudah terlalu lama kita memberi ruang kepada pemilik kilang ini, dan ini adalah proses pemutihan yang terakhir serta saya menyeru supaya mereka gunakan peluang yang diberikan sebelum tindakan tegas dilaksanakan,” katanya.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han bergambar bersama Ketua Kanan Pihak Berkuasa Tempatan pada Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran di Negeri Selangor di Dewan Hamzah MPK, Klang.24 September 2019.Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran bertempat di Dewan Hamzah Majlis Perbandaran Klang, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Tanah dan Galian Selangor, Yusri Zakariah, yang dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta pemilik kilang dari seluruh Selangor.

Sementara itu Sze Han dalam sidang media memaklumkan, pihaknya akan menumpukan tiga lokasi panas kilang haram iaitu Telok Gong, Klang, Sungai Buloh dan juga Hulu Langat.

“Kerajaan Negeri melalui PBT dan juga Pejabat Tanah dan Daerah akan turun padang ke lokasi berkenaan dan membuat khidmat nasihat bagi membolehkan semua pemilik terlibat sama melalui proses pemutihan, kali ini.

“Selepas ini saya tidak mahu lagi ada pemilik yang memberi alasan bahawa mereka tidak pernah mendengar program pemutihan kilang haram serta tidak diberi peluang,” katanya.

Categories
NASIONAL

Tutup semua kilang haram di Pasir Gudang – Bee Yin

 

KUALA LUMPUR, 4 JUL: Kerajaan akan memastikan semua kilang yang didapati beroperasi secara haram di Pasir Gudang, Johor ditutup, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Beliau berkata, ini antara langkah bagi mengawal kualiti udara di kawasan berkenaan yang kini sekali lagi berdepan isu pencemaran selepas insiden Sungai Kim Kim pada Mac lepas.

“Hari ini saya ada satu mesyuarat dengan Menteri Besar Johor, kita akan membuat sesuatu yang mana kita nak sasar kilang-kilang haram. Dalam masa sebulan ini kita akan adakan operasi bersepadu supaya kita tutup semua kilang-kilang haram di Pasir Gudang,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

“Saya juga nak minta anggota-anggota Dewan Rakyat dan rakyat di Pasir Gudang supaya lapor kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) kalau ada maklumat tentang kilang-kilang haram, kita akan pergi dan tutup,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkaitan kedua-dua insiden di kawasan berkenaan.

Bee Yin menegaskan apa yang diperlukan dalam menyelesaikan masalah kualiti udara di Pasir Gudang ialah anjakan paradigma dan mencari pendekatan berbeza berbanding sebelum ini.

Menteri itu seterusnya berkata beberapa pendekatan lain turut digariskan termasuk mewujudkan sebuah pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) cawangan Pasir Gudang dan membangunkan sistem bagi menganalisis dan menentukan ‘carrying capacity’.

Bee Yin berkata, kerajaan juga akan mewujudkan stesen pengawasan gas pencemar toksik automatik secepat mungkin dan mewajibkan beberapa tindakan pematuhan baharu kepada premis industri di Pasir Gudang termasuk memasang alat pemantauan secara berterusan.

“Kementerian juga akan adakan program sekolah angkat oleh industri terutama bagi sekolah berisiko tinggi yang mana lokasi mereka dekat dengan kilang, dan industri-industri ini akan bekalkan kemudahan seperti gas detector dan air purifier ke sekolah angkat masing-masing,” katanya.

Bee Yin menegaskan kerajaan mengambil berat isu pencemaran udara serta telah meningkatkan dengan begitu ketara tahap pemantauan dan penguatkuasaan di Pasir Gudang selepas insiden di Sungai Kim Kim.

– BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

41 kilang haram di Klang diarah henti operasi

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 MAC: Kira-kira 41 kilang yang beroperasi secara haram sudah diarah tutup oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK), kata Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, enam kilang haram sudah ditutup sepenuhnya sementara dua kes dalam proses siasatan mahkamah.

“Untuk makluman, 29 pemilik kilang juga masih menunggu permohonan lesen, namun masih tidak dibenarkan beroperasi sehingga lesen diluluskan,” katanya ketika menyertai Operasi Kilang Haram di sekitar Pulau Indah, di sini, pagi tadi.

Operasi membabitkan 20 penguat kuasa itu turut memeriksa lima kilang dan mendapati empat daripadanya beroperasi tanpa lesen.

Antara kilang yang disita dan dikompaun termasuk kilang memproses ayam, kilang memproses plastik dan kilang memproses minyak hitam terpakai.

Pada masa sama, Mohd Yasid turut menggesa pemilik kilang mematuhi arahan dikeluarkan MPK.

“Contohnya hari ini, kita buat pemeriksaan tetapi pengurus dan pemilik kilang semuanya lari, yang tinggal hanyalah pekerja mereka sahaja.

“Tolong beri kerjasama dan untuk makluman, pegawai perlesenan kita hampir setiap hari turun padang membuat pemeriksaan, malah ada kilang sudah dikenakan kompaun berulang kali,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Meloyakan, kilang haram proses bulu ayam disita

OLEH NADIAH ZAMLUS

KLANG, 27 MAC: Busuk dan meloyakan, itulah yang terpaksa dihadapi kakitangan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan pengamal media dalam operasi serbuan kilang haram memproses bulu ayam, di Pulau Indah, hari ini.

Serbuan mendapati kilang terbabit meletakkan longgokan bulu ayam di hadapan pintu utama dan lebih menjijikkan apabila kawasan lantai dipenuhi darah ayam sehingga menimbulkan bau busuk yang boleh dihidu dari jarak 500 meter.

Gara-gara bau yang meloyakan, rata-rata yang menyertai operasi itu hampir muntah.

Salah seorang pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Neng berkata, kesemua bulu ayam itu akan diproses menjadi baja khususnya untuk tanaman padi.

Warganegara Indonesia itu mengakui terpaksa bertahan dengan bau busuk kerana hanya kerja terbabit yang mampu dilakukannya, di negara ini.

“Saya sudah kerja di sini hampir lima tahun, sudah biasa dengan bau busuk ini. Habis semua baju memang berbau, kalau hendak basuh baju, rendam berhari-hari baru bau akan hilang,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Terdahulu, serbuan dilakukan setelah Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin, terhidu bau busuk yang agak kuat ketika membuat pemeriksaan di beberapa buah kilang haram, di sekitar Bandar Armada Putera.

Terkilan dengan situasi itu, Mohd Yasid nyata kecewa apabila melihat tahap kebersihan di kilang haram terbabit yang amat mendukacitakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kilang berkenaan beroperasi tanpa lesen dan oleh itu kita mengeluarkan arahan sita serta operasi dihentikan serta merta.

“Kompaun juga dikeluarkan mengikut Undang-Undang Akta Kerajaan Tempatan kerana gagal mengawal bau pencemaran,” katanya.

Categories
SELANGOR

PBT laksana operasi kilang haram 2 kali sehari

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 NOV: Kerajaan Negeri komited memerangi isu iklan haram dengan melaksanakan operasi dua kali sehari, pada awal pagi dan petang di semua kawasan operasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, Kerajaan Negeri melalui PBT sentiasa mengambil tindakan memerangi iklan haram itu.

Katanya, tindakan diambil di bawah Peruntukan 7 Undang-Undang Kecil Iklan 2007 berkaitan kesalahan mempamerkan iklan tanpa lesen.

“Kompaun juga dikenakan sebanyak RM600 dan jika didakwa di mahkamah, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor, di sini.

Pada masa sama, Sze Han berkata, PBT akan mengemukakan nombor telefon pengiklanan kepada pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk permohonan penamatan perkhidmatan.

Katanya, operasi bersepadu iklan ah long dengan kerjasama polis dan badan bukan kerajaan terus dilaksanakan.

“PBT juga melakukan pemeriksaan terhadap syarikat atau agensi yang menjalankan perniagaan percetakan terutama membabitkan banner, bunting dan pelekat.

“Jika syarikat atau kilang percetakan itu didapati mencetak iklan tidak berlesen, lesen perniagaan mereka akan ditarik atau dibatalkan,” katanya.