Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tumpahan minyak kilang sawit, tindakan pantas LUAS elak gangguan air

SHAH ALAM, 15 JUN: Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya mengelak gangguan bekalan air susulan insiden tumpahan minyak melibatkan kilang minyak sawit mentah di Semenyih.

EXCO alam sekitar berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 7 malam semalam dan jarak lokasi siasatan ke muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih adalah 15.9 kilometer.

“LUAS mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terlibat yang berisiko menyebabkan henti tugas LRA Sungai Semenyih.

“Inisiatif pencegahan dipertingkatkan dengan meletakkan empat beg serbuk karbon teraktif di kawasan aliran air keluar dari kilang untuk mencegah pencemaran ke Sungai Rinching,” kata Hee Loy Sian menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata LUAS turut memasang pemecah minyak bagi meminimumkan dan menghalang aliran sisa minyak terus memasuki Sungai Rinching serta seterusnya ke Sungai Semenyih.

“Kerja pembersihan dan penyedutan baki minyak yang bertakung di dalam aliran kawasan premis bagi mengelakkan berlakunya limpahan dijangka selesai dalam tempoh 24 jam.

“LUAS akan melaksanakan pemantauan statik di Sungai Rinching dan pemantauan susulan terhadap kerja pembersihan yang telah dijalankan.

“Berdasarkan pemantauan statik LUAS sehingga jam 5 pagi hari ini di Sungai Rinching dan Sungai Semenyih, ujian pensampelan bau mencatatkan bacaan sifar ton dan aliran sungai dalam keadaan normal,” katanya.

Tegas beliau, LUAS akan mengeluarkan Perintah Perlindungan Air di bawah Seksyen 122, Enakmen LUAS 1999 kepada premis kilang terlibat berhubung risiko serta ancaman insiden kepada kualiti sumber air.

“Selaras dengan Seksyen 79, Enakmen LUAS (Pindaan) 2020 bagi larangan pencemaran sumber air apabila disabitkan kesalahan hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dan didenda tidak kurang daripada dua ratus ribu ringgit dan tidak melebihi satu juta ringgit,” katanya.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kilang proses minyak sawit punca pencemaran bau di Sungai Semenyih

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 27 JUN: Pencemaran bau dekat Sungai Semenyih semalam dikenal pasti berpunca daripada sebuah kilang memproses minyak sawit di kawasan berdekatan, kata Hee Loy Sian.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) Dan Hal Ehwal Pengguna berkata, kerajaan telah mengarahkan kilang berkenaan menghentikan operasi dan pelepasan bagi membendung pencemaran menjadi lebih teruk.

“Langkah pembendungan menggunakan Activated Carbon (AC) dilakukan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan pensempelan dijalankan di lokasi yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan media.

Pada masa sama, Loy Sian berkata, pihaknya juga sedang meneliti tindakan yang boleh diambil berdasarkan Enakmen LUAS 1999 terhadap pelaku seperti perintah di bawah Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999.

Antara lokasi yang ditetapkan di antara titik pelepasan kilang berkenaan sehingga ke Sg Rinching yang sejauh 450 meter dimana ia mengalir seterusnya ke Sg Semenyih.

Sehingga jam 6 pagi tadi, kesan bau telah menurun sehingga 0 ton dan pihak Loji Rawatan Air (LRA) Sg Semenyih telah beroperasi semula secara berperingkat.