Categories
PBT SELANGOR

Kilang ‘biak’ aedes di Gombak diarah tutup dua minggu

SHAH ALAM, 4 NOV: Sebuah kilang di Kampung Sungai Kertas, Batu Caves, Gombak diarah tutup selama 14 hari selepas dikesan menjadi sarang pembiakan aedes.

Penutupan berkuat kuasa 1 hingga 14 November bagi membolehkan kerja pembersihan sekitar premis Teknitek Services (M) Sdn Bhd, maklum pengarah Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Mohamad Zin Masoad berkata pemeriksaan pada 28 Oktober lalu mengecam larva nyamuk spesies aedes dari premis terbabit yang boleh mengakibatkan denggi.

“Unit kawalan denggi MPS akan memantau secara berkala sepanjang tempoh penutupan bagi memastikan pemilik mematuhi syarat ditetapkan sebelum premis dibenarkan beroperasi semula,” katanya dalam kenyataan.

Tindakan dibuat mengikut Seksyen 8, Sub Seksyen 3(a) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Pindaan) 2000.

Sementara itu, Mohamad Zin berkata sebanyak 1,695 kes denggi direkodkan di Selayang sejak Januari hingga September lalu membabitkan satu kematian.

Katanya, tiga titik panas kes denggi turut dikenal pasti di seluruh kawasan pentadbiran MPS sepanjang tempoh berkenaan.

“Orang ramai dinasihat meningkatkan tahap kebersihan dan aktiviti pencegahan seperti memastikan tiada bekas atau tempat berpotensi pembiakan aedes ditinggalkan di persekitaran masing-masing,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPKL anjur kempen baharui lesen premis tahun depan

SHAH ALAM, 26 OKT: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menganjurkan kempen memperbaharui lesen kilang dan premis bagi tahun depan.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata pemilik premis boleh berbuat demikian mulai 2 November ini, jam 10 pagi di 14 lokasi kaunter bergerak seluruh daerah.

“Bagi lesen kilang, perlu mengemukakan surat lantikan pengurusan sisa pepejal dari KDEB Waste Management Sdn Bhd.

“Manakala bagi kedai dobi yang menggunakan gas, sila dapatkan kelulusan atau lesen dari Suruhanjaya Tenaga,” katanya menerusi hebahan di Facebook.

Tambah MPKL pembaharuan lesen boleh dibuat jika premis terbabit tidak mempunyai sekatan seperti mempunyai notis kesalahan, tunggakan sewa, tunggakan cukai taksiran, sewaan petak khas dan kutipan sampah bagi kedai tomyam.

Senarai 14 lokasi kaunter bergerak seperti berikut:

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

JAS ambil tindakan, kilang disyaki cemar air Sungai Semenyih minggu ini

PUTRAJAYA, 5 SEPT: Sebuah kilang berasaskan makanan di Beranang, Selangor telah dikenakan tindakan henti operasi selama dua minggu bermula semalam, kerana disyaki menjadi punca pencemaran sebatian penyebab bau (OCS) di Sungai Semenyih.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam kenyataan hari ini berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor telah membuka kertas siasatan untuk mendakwa pemilik kilang yang disyaki menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihenti tugas pada 31 Ogos lalu dan yang terkini pada Jumaat lepas (3 September).

“Siasatan oleh JAS Selangor pada Khamis dan Jumaat (2 dan 3 September) mendapati kilang tersebut beroperasi dan beberapa sampel pelepasan efluen perindustrian dan sampel air sungai di muka sauk telah diambil serta dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisa komposisi kimia.

“Siasatan diteruskan pada tengah malam Jumaat (3 September) yang pengawasan kualiti udara dijalankan di takat pelepasan akhir kilang (sebelum ke longkang awam) telah berjaya mencerap beberapa bahan iaitu sebatian organik meruap (VOC) dalam udara yang berbau serta mempunyai persamaan dengan bahan-bahan VOC yang dikesan dalam sampel air berbau semasa kejadian henti tugas LRA Sungai Semenyih pada 31 Ogos lalu,” katanya.

KASA berkata berdasarkan petunjuk terbaru tersebut, pihak JAS telah melaksanakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) terhadap kilang di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 bagi menghentikan pencemaran serta-merta dan proses pengeluaran kilang dihentikan sehingga siasatan lanjut selesai dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 25 (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling,1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

Kesalahan terhadap pencemaran perairan daratan yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman berdasarkan Seksyen 25(3) Akta yang sama iaitu denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya bagi setiap parameter.

KASA berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) juga telah mengambil bahan bukti termasuk sampel-sampel efluen dan telah membuka kertas siasatan kes ini di bawah Seksyen 121(1)(C) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) iaitu kesalahan pencemaran terhadap sumber air yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman berdasarkan Seksyen 121 (2)(B) iaitu penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM500,000 atau kedua-duanya sekali.

Henti tugas di LRA Sungai Semenyih berlaku akibat pencemaran OCS yang dikesan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) pada tahap 2 ton di muka sauk Jenderam Hilir pada jam 5.15 petang Jumaat.

Henti tugas itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan).

-BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Selangor bakal perkenal inisiatif di kawasan industri baharu

SHAH ALAM, 30 OGOS: Satu inisiatif bakal diperkenal di kawasan perindustrian baharu bagi membolehkan pelabur dan pengilang mengurus kebajikan pekerja dengan lebih sistematik.

EXCO pelaburan berkata antaranya kebenaran membina asrama setempat yang bertujuan memusatkan semua pekerja kilang dalam kawasan industri itu.

“Perkara ini sedang dalam proses dan Kerajaan Negeri akan laksanakan secepat mungkin,” kata Dato’ Teng Chang Khim menjawab soalan tambahan wakil rakyat Semenyih Zakaria Hanafi berhubung kediaman pekerja industri.

Menurut Chang Khim pihaknya juga menggalakkan pelabur dan pengilang yang beroperasi di kawasan yang luas membina asrama untuk pekerja mereka.

“Setakat ini syarikat Hartalega Holdings Bhd (Hartalega) menggunakan alternatif ini untuk 3,000 pekerjanya. Ini modul yang baik tetapi tidak dikuatkuasakan sebagai undang-undang,” katanya.

Terdahulu wakil rakyat Bandar Baru Klang memaklumkan Selangor catatkan nilai pelaburan lebih RM22.45 bilion sepanjang Januari tahun lalu hingga sekarang.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Sistem POIS kekang penularan virus lebih 1,500 kilang

SHAH ALAM, 14 OGOS: Lebih 1,500 syarikat beroperasi di pusat perindustrian besar hingga kawasan perkampungan mendaftar Program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS).

Diperkenal Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 (STFC) yang ditubuhkan Kerajaan Selangor bagi membendung wabak Covid-19, program itu bertujuan mencegah penularan virus dalam sesebuah kilang.

Hakikatnya, jumlah kes di kilang tidak banyak, sudah berjaya dikekang termasuk menggunakan kaedah POIS, tetapi penularan dalam masyarakat semakin meningkat.

POIS yang ditubuhkan pada 6 Januari bertujuan memastikan tatacara operasi piawai ketat supaya risiko perebakan Covid-19 di sesebuah premis pada tahap minimum.

Wartawan Amin Ridzuan Ishak dan jurufoto Ahmad Zakki Jilan meninjau pelaksanaan POIS di kilang Nestlé (M) Berhad di Seksyen 15, Shah Alam dan Fondant Industries Sdn Bhd di Tebuk Pulai, Sabak Bernam pada 5 Ogos.

 


Inspektor kawalan kualiti Fondant Industries Chow Yee Mun mencuci tangan di bilik khas sebelum membuat pemantauan produk bagi mengelak jangkitan menerusi sentuhan anggota tubuh

 

 

Pekerja dan pelawat perlu membersihkan diri dari debu di bilik mandian udara sebelum dibenar memasuki bahagian memproses di Fondant Industries yang menggaji 10 pekerja

 


Pekerja beratur mengikut penjarakan fizikal untuk ke bilik khas bagi menukar sut perlindungan kepada pakaian biasa selepas habis waktu bekerja di kilang Fondant Industries

 

Pekerja atau pelawat kilang Nestlé berbaris mengikut petak khas yang disediakan. Mereka juga dilarang berbual sementara menunggu keputusan calitan Covid-19


Amalan penjarakan fizikal antara pekerja pemprosesan dipermudah dengan penyediaan penghadang lutsinar selain pekerja dilengkapi pemakaian pelitup muka KN95 dan pelindung muka. Foto Nestlé

 

Pengurus Kejuruteraan Nestlé Manufacturing Malaysia Bryan Wong Aun Ee menunjukkan sistem pengisytiharan kesihatan yang perlu diisi sebelum pekerja dibenar memasuki kilang

 

Bilangan pekerja pembungkusan dihad kepada empat orang bagi memudahkan penjarakan fizikal di Fondant Industries. Mereka menggunakan cecair ethanol (ethyl alcohol) bagi membersihkan mesin dan peralatan

 

Pekerja Nestlé diwajibkan membuat ujian kit pantas antigen (RTK-Ag) dua kali seminggu bagi mengelak penularan virus

 

Nestlé menggunakan mesin penapis udara di ruang tertutup bagi memastikan pengudaraan baik. Had maksimum kandungan karbon dioksida (CO2) tidak lebih 800 bahagian setiap juta (ppm)

 

Laluan pejalan kaki dua hala di koridor kilang ditandai garisan kuning bagi memastikan pergerakan pekerja mematuhi penjarakan fizikal di kilang Nestlé

 

Pekerja mengelap meja menggunakan cecair pembasmi kuman selepas makan di kilang Nestlé. Penghadang lutsinar turut dipasang. Mereka hanya dibenar duduk di meja yang ditandai unit masing-masing

 

Pekerja membersihkan pemegang besi tangga setiap satu jam bagi mengelakkannya terdedah kepada virus Covid-19 di Nestlé

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sektor kilang penyumbang terbesar kluster walau kes pekerja hanya 20 peratus

SHAH ALAM, 6 OGOS: Sektor perkilangan penyumbang terbesar bilangan kluster jangkitan Covid-19 di Selangor sepanjang Julai, namun golongan pekerja hanya 20 peratus daripada jumlah kes positif yang disaring.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berkata penyumbang kedua terbesar bilangan kluster adalah sektor perkhidmatan, diikuti tapak bina, perniagaan dan komuniti, manakala kluster lain menunjukkan bilangan yang amat sedikit.

Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman juga menjelaskan saringan kontak rapat menyumbang jumlah kes terbesar iaitu hampir 40 peratus, diikuti kes bergejala 22 peratus, pekerja (20 peratus), bukan pekerja (14 peratus) dan lain-lain (lebih 1 peratus).

“Kalau kita lihat pada jumlah kes tersebut, seperti yang ketua setiausaha kementerian (Datuk Mohd Shafiq Abdullah) sebut tentang gejala umum dan tidak bergejala, sama juga dalam Selangor di mana hampir 65 peratus kes yang dikesan adalah kes tanpa gejala.

“Terdapat 30 hingga 35 peratus kes bergejala di mana majoriti kes pada tahap kategori tiga, manakala kategori empat dan lima amat sedikit, lebih kurang dalam 1.8 peratus yang dikesan dalam Selangor,” katanya pada sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

 

Sementara itu, berdasarkan laporan ringkas kementerian kepada media, sebanyak 96 kluster sektor perkilangan (atau 54 peratus) dikesan di negeri ini antara 1 hingga 31 Julai.

Perkhidmatan pula penyumbang kedua terbesar dengan 22 kluster (atau 12 peratus), diikuti 18 kluster tapak bina (10 peratus), 13 kluster perniagaan (7 peratus) dan sembilan kluster komuniti (5 peratus).

“Terdapat sembilan kluster komuniti yang dilaporkan, namun kesemuanya adalah kluster yang berlaku sebelum perayaan Hari Raya Aidiladha,” laporan itu dipetik.

Categories
AGENDA NASIONAL

250 kes Covid-19 libat kluster tempat kerja antara 47 kluster baharu

SHAH ALAM, 30 JULAI: Sebanyak 250 kes Covid-19 dikesan melibatkan kluster tempat kerja Industri Jalan Sepintas di Klang, Kuala Langat dan Petaling, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jangkitan tersebut merupakan yang terbesar di antara 47 kluster baharu di seluruh negara seperti diumumkan KKM hari ini.

Kluster tersebut dikesan hasil saringan seramai 3,455 pekerja.

Daripada 47 kluster baharu hari ini, sebanyak 24 kluster melibatkan tempat kerja dengan sekurang-kurangnya 1,197 kes dikesan.

Selain itu, turut dikesan 17 kluster komuniti (489 kes) antaranya melibatkan Kluster Kampung Haji Saman di Bachok, Kelantan.

Kluster Kampung Haji Saman berpunca individu wanita berusia 34 tahun yang menghadiri majlis perkahwinan pada 18 Julai kini sudah menjangkiti 21 individu.

Dua kluster juga dikesan melibatkan kumpulan berisiko tinggi di dua rumah jagaan serta satu pusat perubatan.

Turut dikesan kluster melibatkan dua institusi pendidikan di Kuala Selangor dan Melaka manakala satu kluster berpunca aktiviti keagamaan di Felda Sungai Koyan 3 di Lipis, Pahang.

Secara keseluruhan, terdapat 1, 092 kluster aktif di seluruh negara.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ismail Sabri: Tiada kompromi bagi kilang ingkar SOP

KLANG, 17 JULAI: Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana kilang yang melakukan kesalahan dan gagal mematuhi peraturan serta tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kesalahan yang paling banyak dilakukan adalah tidak mengimbas kod MySejahtera; sedangkan menurutnya peraturan itu adalah penting kerana di dalam aplikasi itu ia akan memaparkan status kesihatan pekerja berkenaan.

“Dalam MySejahtera ada tulis berisiko tinggi atau tidak, yang berisiko tidak dibenarkan bekerja sebab itu kita mahu pengimbasan itu dilakukan,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin menyertai Op Patuh di kilang membuat komponen elektrik dan kilang makanan di sekitar Klang hari ini.

Ismail berkata bermacam alasan diberikan oleh pihak pengurusan kilang kepada pihak berkuasa termasuk tidak mengetahui bahawa pekerja mereka tidak mengimbas kod MySejahtera walaupun arahan telah jelas diberikan oleh pihak berkuasa.

Katanya masih banyak kilang yang melakukan kesalahan, dan beliau memberi contoh Rabu lepas, sebanyak 180 kilang ditutup, selain banyak kompaun yang dikeluarkan pihak berkuasa atas pelbagai kesalahan berkaitan SOP.

Ismail Sabri berkata sejak 25 Jun sehingga semalam 994 premis ditutup, 3,610 kompaun dikeluarkan dan 112 tangkapan dilakukan oleh pihak berkuasa menerusi Op Patuh.

“Seperti Op Patuh yang kita lakukan di sebuah kilang makanan di sini, 85 pekerja didapati tidak membuat imbasan MySejahtera, selain itu juga kesalahan lain dikesan seperti tidak ada penjarakan fizikal dan tiada pensanitasi tangan mahupun pengimbas suhu disediakan.

“Walaupun kesalahan itu tidak menyebabkan kilang ditutup, tetapi ia boleh dikenakan kompaun dan pihak polis yang akan menentukan berapa jumlahnya,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata keputusan kerajaan untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 34 mukim di Selangor semalam dibuat selepas meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Saya difahamkan oleh KKM bahawa saringan besar-besaran telah dilakukan sejak 14 hari lepas, kita dinasihatkan untuk membukanya (menamatkan PKPD). Jadi ini adalah nasihat daripada KKM,” katanya sambil menambah PKPD tetap diteruskan secara lokaliti.

Semalam, Ismail Sabri mengumumkan empat lokaliti akan dikenakan PKPD membabitkan Damai Apartment, PJS 8 Damansara di Petaling; Jalan Pandan Indah, Ampang (Hulu Langat); Jalan Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi (Klang) dan Taman Samudera di Batu (Gombak) bermula esok hingga 31 Julai.

Selain itu, katanya beliau akan berbincang dengan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk membantu pengusaha perusahaan kecil dan sederhana yang menghadapi kesukaran ketika musim pandemik Covid-19 ini.

-BERNAMA

Categories
RENCANA

Peguam: Kerajaan pusat banyak kuasa tutup kilang bawah akta kawalan penyakit

Susulan perbahasan pelbagai pihak di media sosial mengenai isu bidang kuasa penutupan kilang di Selangor kebelakangan ini, SYAHREDZAN JOHAN tampil menyediakan ulasan mengenai topik berkenaan: 

Semalam, telah berbangkit isu mengenai kebolehupayaan Kerajaan Negeri Selangor untuk ‘menutup kilang-kilang’ bagi mengawal wabak Covid-19.

Nota ini adalah untuk menjawab apa yang dibangkitkan mengenai kuasa Kerajaan Negeri.

Akta 342

Perlu ditekankan di sini bahawa terdapat suatu undang-undang khusus bagi pengawalan penyakit berjangkit dan wabak iaitu Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Akta ini adalah undang-undang Persekutuan yang memberi kuasa kepada Menteri Kesihatan untuk membuat deklarasi ‘kawasan jangkitan’ serta mengeluarkan Peraturan-peraturan yang perlu bagi mengawal wabak dalam ‘kawasan jangkitan’.

Inilah punca kuasa bagi kesemua Perintah Kawalan Pergerakan dan juga tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diguna pakai sepanjang krisis Covid-19.

Akta 342 ini juga membolehkan kerajaan persekutuan untuk menentukan sektor ekonomi yang mana boleh beroperasi, termasuklah sektor perlu (essential) yang boleh beroperasi menggunakan surat yang dikeluarkan oleh sistem CIMS Miti.

Maka, terdapat suatu undang-undang khusus untuk mengekang wabak yang merupakan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Adakah Kerajaan Negeri boleh ‘tutup kilang’ menggunakan lesen pihak berkuasa tempatan?

Polemik yang berbangkit adalah bahawa Kerajaan Negeri boleh menggunakan lesen PBT untuk ‘menutup kilang’. Dalam erti kata lain, dikatakan bahawa Kerajaan Negeri boleh membatalkan lesen yang dikeluarkan oleh PBT untuk menutup operasi kilang.

Ramai yang sudah memberi ulasan bahawa lesen PBT ini hanya salah satu daripada pelbagai lesen dan kebenaran yang perlu diperolehi oleh sesebuah kilang untuk beroperasi.Saya tidak mahu ulas lanjut tentang perkara ini, tetapi saya ingin khusus menjawab mengenai kuasa PBT mengenai lesen, yang terkandung di dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Sebelum menyentuh Akta 171, beberapa fakta penting perlu dinyatakan terlebih dahulu:

1. Kilang-kilang yang diberi kebenaran operasi oleh Miti adalah kilang-kilang yang sah di sisi undang-undang. Bukan kilang haram dan sebagainya.

2. Kilang-kilang ini mempunyai lesen PBT yang masih sah tempoh.
Perlu ditekankan bahawa Akta 171 memberi kuasa umum kepada PBT. Ia tertakluk kepada setiap PBT untuk menentukan syarat-syarat dan undang-undang kecil di setiap PBT, mengambil kira keperluan tempatan.

Ada pihak yang telah merujuk kepada Seksyen 107(2) Akta 171 untuk mengatakan bahawa lesen yang dikeluarkan oleh PBT boleh ditarik balik.

Seksyen 107(2) berbunyi:

Tiap-tiap lesen atau permit yang diberi tertakluk kepada apa-apa syarat dan sekatan yang difikirkan patut oleh pihak berkuasa tempatan dan boleh dibatalkan oleh pihak berkuasa tempatan pada bila-bila masa tanpa memberi apa-apa sebab

Hujah yang diguna pakai adalah PBT boleh guna Seksyen 107(2) untuk ‘tutup kilang’.

Tidak dinafikan, kalau ikut akta, PBT sememangnya mempunyai kuasa untuk membatalkan lesen PBT ‘pada bila-bila masa’.

Tetapi walaupun PBT mempunyai budi bicara untuk batalkan lesen, ianya bukanlah budi bicara mutlak yang boleh diguna pakai sewenang-wenangnya secara arbitari.

Pertama sekali, ‘tanpa memberi apa-apa sebab’ dalam Seksyen bukanlah ‘tanpa sebab’.

Budi bicara untuk batalkan lesen mestilah berkaitan dengan pelanggaran syarat-syarat dalam lesen yang diberikan, dan bukannya atas sebab perkara-perkara yang tiada kaitan dengan lesen itu.

Satu anologi yang saya suka guna adalah mengenai lesen memandu yang dikeluarkan oleh JPJ. Lesen memandu boleh dibatalkan atau digantung oleh JPJ. Tetapi, JPJ tidak boleh membatalkan lesen
memandu hanya kerana mahu menghalang orang daripada merentas negeri, atau keluar semasa PKP dilaksanakan.

Pembatalan lesen memandu dalam keadaan di atas tiada kena mengena dengan apa-apa pelanggaran punca kuasa iaitu Akta Pengangkutan Jalan dan melangkaui budi bicara yang ada.

Sama juga dengan membatalkan lesen PBT kilang, ia harus berkaitan dengan pelanggaran mana-mana peruntukan di dalam Akta 171, syarat-syarat lesen dan undang-undang kecil PBT tersebut.

Oleh sebab itu, PBT sebenarnya tiada budi bicara yang meluas dan mutlak untuk menggunapakai Seksyen 107(2) dalam hal ini.

Jika diambil berita sebuah kilang pembuatan sarung tangan yang ditutup tempoh hari, jelas bahawa tindakan diambil di bawah Akta 342. Hanya satu kilang yang ditutup di bawah undang-undang kecil kerana tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah, dan ini dalam bidang kuasa PBT ada diberi kuasa untuk menguatkuasa Akta 342, tetapi punca kuasa itu tetap daripada undang-undang Persekutuan.

Sekiranya PBT bertindak melangkaui punca kuasa dan budi bicara mereka yang terhad ini, mereka akan terdedah kepada tindakan saman mahkamah.

Saya tidak mahu sentuh tentang prinsip-prinsip yang dipertimbangkan dalam judicial review (semakan kehakiman) secara detail, tetapi mana-mana peguam yang biasa mengamal dalam undang-undang administratif awam (public administrative law) akan tahu tentang alasan-alasan untuk mencabar tindakan mana-mana badan awam termasuk PBT.

Ini yang saya sebut tentang ‘Rule of Law’. Semua badan Kerajaan tidak boleh berbuat sesuka hati hanya kerana sekilas pandang mereka ‘nampak’ seperti ada kuasa. ‘Rule of Law’, bukan ‘Rule by Law’.

Undang-undang kecil

Ada yang merujuk kepada Seksyen 73 Akta 171 dan Seksyen 102 Akta yang sama. Kedua-dua ini merujuk kuasa untuk membuat undangundang kecil.

Pertama, ada rujukan Seksyen 102(s) Akta 171. Akan tetapi, jika diteliti ini adalah kuasa untuk membuat undang-undang kecil dalam PBT untuk mengawal jenis industri yang boleh memudaratkan awam atau menyebabkan kacau ganggu. Contohnya, PBT boleh larang, dengan undang-undang kecil, kilang buat racun toksik dekat dengan penempatan orang sebab ia mungkin boleh membawa mudarat. Ia bukan kuasa untuk ‘tutup kilang’, lebih lagi kilang-kilang yang memang sudah mempunyai lesen untuk beroperasi.

Seksyen 73 juga telah dipetik, tetapi sekali lagi ianya merujuk kepada kuasa membuat undang-undang kecil. Sekarang ini, Akta 342 memang digunapakai seluruh negara apabila seluruh negara diisytiharkan sebagai kawasan kawasan tempatan jangkitan sejak bulan Mac 2020 dan bidangkuasa untuk membuat peraturan-peraturan berkenaan dengan wabak Covid-19 tertakluk pada Kerajaan Persekutuan.

Dalam apa jua keadaan sekalipun, kita harus faham bahawa undang-undang kecil ini adalah apa yang dipanggil ‘subsidiary legislation’ dan apa yang boleh dibuat adalah terhad.

Undang-undang kecil yang dibuat oleh PBT tidak boleh bercanggah dengan Akta 342. Jika mengikut Akta 342 sesetengah jenis kilang boleh beroperasi, maka undang-undang kecil PBT tidak boleh ‘mengatasi’ akta tersebut.

Undang-undang kecil tidak boleh digunakan untuk menutup kilang yang sememangnya sudah lesen untuk beroperasi. Undang-undang kecil tidak boleh beroperasi menarik hak yang telah diberikan dengan sah sebelum itu.

Apatah lagi sekiranya sudah ada undang-undang Persekutuan yang khusus seperti Akta 342 yang meliputi masalah khusus iaitu pengawalan penyakit berjangkit.

Bidang kuasa Negeri

Akhir sekali, ada pihak yang juga membangkitkan bidang kuasa negeri di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pertama, ingin saya katakan bahawa dalam keadaan di mana terdapatnya percanggahan di antara undang-undang negeri dan undang-undang Persekutuan, undang-undang Persekutuan akan mengatasi undang-undang negeri.

Kedua, pada ketika ini tiada enekmen mana-mana negeri yang telah digubal khusus untuk mengawal wabak Covid ini. Dan sebabnya jelas – kerana sudahpun ada Akta Parlimen yang khusus. Apatah lagi dalam keadaan darurat sekarang, yang mana Dewan Undangan Negeri tidak boleh bersidang langsung.

Oleh itu, hujah yang merujuk kepada senarai bidang kuasa perundangan Persekutuan dan negeri tidak membantu dalam merungkai permasalahan sedia ada.

Kesimpulan

Harus ditekankan bahawa Menteri Besar Selangor sudah berkali-kali meminta MKN supaya hanya kilang-kilang yang benar-benar perlu (essential) dibenarkan beroperasi, walaupun Miti telah membenarkan lebih banyak kilang dibuka. Ini bermakna Kerajaan Negeri sudah memohon untuk pelaksanaan SOP yang lebih ketat bagi Negeri Selangor dalam hal membabitkan kilang, tetapi tidak diendahkan oleh MKN.

Jika memang boleh guna kuasa PBT, sudah tentu Kerajaan Negeri sendiri sudah tentu sudah pertimbangkan dan dinasihati oleh Penasihat Undang-undang Negeri mengenai perkara ini.

Mengapa perlu meminta MKN jika Kerajaan Negeri boleh bertindak?
Jawapannya, sebab Kerajaan Negeri sememangnya terikat dalam hal ini.

Saya tidak setuju bahawa Kerajaan Negeri berbuat sesuka hati, melanggar Rule of Law dan melangkaui bidang kuasa dan budibicara, mendedahkan diri kepada tindakan mahkamah, semata-mata demi ‘political mileage’.

Apa yang jelas adalah kaedah untuk menutup kilang dalam keadaan penularan wabak sekarang adalah melalui Akta 342, dan bukannya mana-mana kuasa PBT.

Mana-mana kerajaan wajib bertindak dalam kerangka yang dibenarkan, dan menggunakan budi bicara, sekiranya ada, dan bukan dengan sewenang-wenangnya.

Mana-mana kerajaan mesti bertindak dengan bertanggungjawab, dan bukan untuk skor mata politik.

 

*Penulis adalah peguam dan aktivis hak asasi. Kenyataan ini dipetik daripada Twitter beliau.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penduduk Meru gusar kilang gagal patuh SOP, malu dilabel ‘pencetus’ Covid-19

KLANG, 9 JULAI: Kedegilan syarikat industri bukan perkhidmatan penting yang meneruskan operasi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) mengundang kegusaran penduduk Meru terhadap ancaman penularan Covid-19.

Ketua Kampung Meru, Azman Mohamed Tawil, 52, berkata kebanyakan masyarakat turut meluahkan rasa malu apabila ramai pihak luar melabel kawasan itu sebagai ‘pencetus’ wabak gara-gara penularan jangkitan berpunca daripada pekerja kilang.

Azman Mohamed Tawil

“Sejak awal pelaksanaan PKP tahun lepas, saya mengikuti dari semasa ke semasa isu kilang ingkar arahan. Walaupun Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah mengarahkan kilang berkaitan tutup, namun kita dapati masih ada yang beroperasi.

“Sebagai wakil penduduk, saya amat berharap pihak kilang tidak memandang remeh perkara ini sebab kita tidak mahu orang luar menganggap Meru adalah kawasan Covid-19,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Norazilina Mohamed Tawil

Penduduk, Norazilina Mohamed Tawil, 54, pula berkata sikap tidak endah sesetengah pengusaha kilang menyebabkan rakyat yang sejak dari dahulu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) terpaksa menanggung sengsara.

“Sudah sebulan kerajaan menguatkuasakan perintah ketat dan sepatutnya keadaan lebih selamat sebab semua rakyat duduk di rumah, namun kes Covid-19 masih membimbangkan malah angka kematian juga meningkat. Ini bukan mitos sebaliknya kenyataan depan mata.

Mohd Affinddi Ismail

“Saya sangat berharap kilang yang tanpa diketahui membuka operasi walaupun tidak termasuk dalam sektor perlu agar prihatin nasib rakyat dengan mematuhi segala peraturan dan saranan kerajaan bagi membendung penularan wabak,” katanya yang menetap di Kampung Haji Mohd Sharif.

Seorang lagi penduduk, Mohd Affinddi Ismail, 45, menyifatkan tindakan kerajaan membenarkan lebih banyak sektor beroperasi di kawasan PKPD hanya memberi keuntungan kepada syarikat terbabit namun menambah derita rakyat.

“Kadang-kadang kerajaan cakap memang betul untuk ekonomi tetapi kalau nyawa rakyat jadi taruhan apa gunanya. Lebih baik tutup semua kilang seperti dilaksana pada PKP 1.0 supaya tiada penambahan kes,” kata bapa dua anak yang tinggal di Jalan Meru.

Categories
ADN SELANGOR

ADN desak tutup kilang punca lonjakan kes Covid-19

KLANG, 8 JULAI: Wakil rakyat Meru mendesak pihak berkuasa menghentikan sementara operasi kilang yang dikenal pasti menjadi punca penularan kes Covid-19.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata tindakan tegas tidak boleh dilengahkan meski sektor terbabit memainkan peranan penting kepada ekonomi negara.

“Saya merayu dengan sepenuh hati khususnya kepada kerajaan supaya dapat tutup sementara kilang yang dikesan masih beroperasi walaupun ada kes Covid-19 membabitkan pekerja.

“Ia bukanlah untuk tempoh yang lama tetapi (dalam tempoh) tertentu bagi memastikan wabak berbahaya ini tidak merebak kepada komuniti,” katanya selepas meninjau kilang Top Glove di sini hari ini.

Beliau menegaskan nyawa rakyat perlu diutamakan berbanding menjaga kepentingan individu atau syarikat yang ingin meraih keuntungan.

Pada 30 Jun, Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak 91 peratus kluster membabitkan tempat kerja dikesan di negeri ini sepanjang Jun.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan 80 peratus meliputi kluster perkilangan manakala 11 peratus lagi kluster tapak binaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Empat kluster baharu libatkan pekerja kilang, buruh binaan di Selangor

SHAH ALAM, 28 JUN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan empat lagi kluster tempat kerja di Selangor, menurut ketua pengarah kesihatan.

Menerusi kenyataan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kluster Industri Jalan Dolomite Dua di Gombak; Industri Jalan Laksamana Satu dan Industri Waja 2 di Klang serta Kuala Langat melibatkan jangkitan pekerja kilang.

Manakala kluster Industri Tapak Bina Lingkaran Eco Majestic di Hulu Langat merupakan penularan kes kumpulan buruh binaan.

Seramai 894 individu disaring dari semua kluster terbabit dengan 88 daripadanya didapati positif termasuk 14 kes dilaporkan hari ini.

Selain kluster berkenaan, KKM turut mengesan 18 lagi kluster baharu dalam negara melibatkan kategori tempat kerja dan komuniti.

Kluster masing-masing dilaporkan di Johor, Kuala Lumpur dan Sarawak (tiga); Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan dan Kedah (dua) serta Terengganu (satu).