Categories
AGENDA NASIONAL

Raja Muda Selangor harap Pan Gon bawa perubahan, tingkat permainan Harimau Malaya

SHAH ALAM, 1 MAC: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berharap ketua jurulatih baharu, Kim Pan Gon mampu membawa perubahan seterusnya mencipta kejayaan untuk skuad Harimau Malaya.

Tengku Amir Shah yang juga pengerusi Selangor FC berkata dengan kehadiran barisan jurulatih import diketuai jurulatih dari Korea Selatan itu diyakini membuka ruang bagi perkongsian ilmu pengetahuan bola sepak.

Titahnya, ini juga adalah peluang untuk pemain tempatan meningkatkan lagi tahap permainan apabila dipanggil ke pasukan kebangsaan.

“Ia akan memberikan kita satu perspektif baharu, idea baharu untuk cara kita berlatih, cara mempersiapkan pasukan dan juga dari sudut taktikal.

“Harap prestasi pasukan kebangsaan akan lebih meningkat dan kita dapat mencapai kemenangan serta kejayaan yang lebih baik,” titah Baginda menerusi Facebook Selangor FC.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (kiri) berkenan menerima kunjungan dan memberi penerangan kepada ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon dan delegasi FAM berhubung kemudahan disediakan di Pusat Latihan FAS, Shah Alam pada 28 Februari 2022. Foto Facebook Selangor FC

Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bertitah demikian ketika menerima kunjungan delegasi teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diketuai Pan Gon dan barisan jurulatihnya semalam.

Dalam lawatan itu, Tengku Amir Shah membawa Pan Gon dan kumpulannya melihat fasiliti disediakan di Pusat Latihan FAS di sini.

Categories
AGENDA NASIONAL SUKANKINI

Pan Gon pilih Elavarasan jadi pembantu jurulatih Harimau Malaya

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Ketua jurulatih Harimau Malaya baharu Kim Pan Gon semalam mengesahkan beliau telah memilih ketua jurulatih Sarawak United FC, E. Elavarasan, sebagai pembantu jurulatih tempatan bagi skuad kebangsaan itu.

Jurulatih dari Korea Selatan itu dalam kenyataan menerusi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata Elavarasan menepati ciri-ciri yang dikehendakinya – seorang jurulatih yang mengenali pemain dan mempunyai pengalaman yang luas dalam arena bola sepak tempatan.

“Selepas meneliti calon-calon yang ditemu ramah oleh Pengarah Teknikal FAM Scott O’Donell, saya sendiri telah bertemu Elavarasan. Saya percaya beliau adalah calon terbaik dan individu yang paling sesuai untuk membantu saya dalam memberi maklumat tepat dan pendapat mengenai pasukan.

“Saya dapat lihat Elavarasan ialah jurulatih yang komited yang bersedia untuk memberi sepenuh kerjasama dalam membantu kami membawa Harimau Malaya ke tahap lebih tinggi,” kata Pan Gon mengulas mengenai bekas pemain pertahanan Selangor dan Public Bank itu.

Elavarasan, 60, yang memiliki Lesen Pro Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) (2018) itu, mengendalikan Sarawak United sejak Februari 2020 dan mengemudi pasukan dari Bumi Kenyalang itu untuk layak ke Liga Super dengan menamatkan saingan di tempat kedua di bawah Negeri Sembilan pada Liga Premier 2021.

Sementara itu, Elavarasan yang buat kali pertama akan berada di bawah pengurusan FAM, menyifatkan peluang tersebut sebagai satu penghormatan yang besar dan satu tanggungjawab kepada negara.

“Saya melihat penugasan ini sebagai satu cabaran dan juga peluang untuk saya menyumbang pada peringkat kebangsaan, saya gembira dapat menjadi sebahagian daripada projek baharu ini. Harapan saya ialah pasukan kejurulatihan dapat segera menyesuaikan diri dengan etika kerja dan pemikiran ketua jurulatih, menjelang beberapa kejohanan besar tahun ini.

“Saya berterima kasih kepada Sarawak United kerana memberi saya pelepasan awal dari kontrak dan tidak dilupakan pemain dan penyokong yang telah memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang saya di Sarawak United,” katanya.

Pan Gon pada sidang media 17 Februari lalu, iaitu selepas melapor diri kepada FAM, mengumumkan pasukan kejurulatihannya yang terdiri daripada pembantu jurulatih Pau Marti Vicente, Cho Junho (jurulatih penjaga gol), Dr Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (jurulatih analisis prestasi).

Barisan kejurulatihan baharu itu dijadual mengadakan kem latihan berpusat pertama pada 14 Mac ini bagi menghadapi dua perlawanan antarabangsa Tier Satu menentang Filipina pada 23 Mac dan Singapura (26 Mac). Kedua-dua perlawanan tersebut akan diadakan di Singapura.

Profil Elavarasan

Nama penuh: Elavarasan A/L Elangowan

Umur: 60 tahun

Tarikh Lahir: 5 Jan 1962

Tempat Lahir: Selangor

Kelayakan Kejurulatihan: Lesen Pro AFC (2018)

Kerjaya sebagai jurulatih:

2020-2022: Sarawak United

2019: PDRM

2018: Melaka United

2015-2017: PKNS FC

2013: Terengganu

2009-2012: Felda United FC

2006: Melaka

2001-2005: Selangor Public Bank

1999: Selangor (Piala Bardhan)

1994-2000: Public Bank FC (Liga Dunhill Selangor)

Pencapaian:

1997, 1998 & 2000: Juara Liga Dunhill Selangor (Public Bank FC)

1999: Juara Piala Bardhan (Selangor)

2003: Juara Liga Premier 2 & layak ke Liga Super 2004 Super League (Selangor Public Bank)

2004: Naib johan Liga Super (Selangor Public Bank)

2006: Naib johan Liga Premier & layak ke Liga Super 2007 (Melaka)

2010: Juara Liga Premier & layak ke Liga Super 2011 (Felda United FC)

2016: Naib johan Liga Premier & layak ke Liga Super 2017 (PKNS FC)

2016: Naib Johan Piala FA (PKNS FC)

2019: Tempat ketiga Liga Premier & layak ke Liga Super 2020 (PDRM)

2021: Naib johan Liga Premier & layak ke Liga Super 2022 (Sarawak United)

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL SUKANKINI

Pan Gon: Perubahan tidak berlaku sekelip mata

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Pepatah Inggeris ‘Rome was not built in a day’ (Rom tidak dibina dalam sehari), mungkin menggambarkan misi ketua jurulatih Harimau Malaya yang baharu Kim Pan Gon untuk menerapkan falsafah bola sepaknya ke dalam minda pemain kebangsaan.

Bagi peminat, apa yang mereka boleh lakukan buat masa ini adalah duduk, berehat dan nikmati apa yang akan berlaku seterusnya buat Harimau Malaya.

Bercakap pada sidang akhbar pertama beliau selepas dilantik sebagai pengendali baharu skuad bola sepak kebangsaan, Pan Gon mahu lebih masa diberikan jika beliau ingin mengubah corak permainan pasukan menjadi lebih agresif.

“Saya tidak boleh membuat banyak perubahan dalam tempoh singkat. Saya ada pengalaman dan jika anda memberi saya masa, saya akan lakukannya untuk anda,” kata bekas Pengarah Pasukan Kebangsaan Persatuan Bolasepak Korea Selatan itu.

Untuk mencapai misi itu, bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Hong Kong itu menegaskan bahawa beliau terlebih dahulu perlu membina asas yang kukuh dan meningkatkan kekuatan fizikal anak-anak buahnya yang baharu, dalam usaha agar Harimau Malaya ‘mengaum’ dengan garang di atas padang.

Dalam pada itu, Pan Gon yang sedia maklum tentang Peta Hala Tuju F:30 Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata beliau akan menganalisis semua pemain sebelum memilih skuad untuk tugas terbesar pertamanya, kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun ini.

F:30 adalah projek oleh FAM dengan matlamat utamanya meletakkan Malaysia menjadi lima negara terbaik Asia.

Projek itu mungkin selari dengan visi Pan Gon untuk membawa bola sepak Malaysia ke tahap seterusnya dan melangkaui kawasan Asia Tenggara, dengan membantu pasukan negara mara ke peringkat akhir Piala Dunia buat kali pertama pada masa hadapan.

Jurulatih berusia 52 tahun itu turut memuji dua lagi rakan senegaranya, Park Hang-seo yang kini mengendali skuad Vietnam dan Shin Tae-yong (Indonesia), kerana kedua-dua negara itu menunjukkan prestasi baik di rantau Asia Tenggara sejak akhir-akhir ini.

“Saya amat menghormati jurulatih berkenaan tetapi saya adalah diri saya dan saya akan membina sejarah bola sepak tersendiri di sini,” katanya.

Memandangkan beliau belum mengenal pasti penolong jurulatih tempatan yang akan diumumkan tidak lama lagi, Pan Gon mempunyai empat lagi pembantu yang boleh diharapkan buat masa ini.

Daripada empat pembantu dalam pasukan kejurulatihan Pan Gon, Pau Marti Vicente lebih menonjol daripada kalangan peminat tempatan kerana beliau sangat mahir dalam membangunkan pemain muda, terutama ketika bersama skuad berpangkalan di Sepanyol, Barcelona B dari 2018-2021, selain menjadi orang kanan Pan Gon dengan pasukan Hong Kong dari 2012-2013.

Tiga lagi pembantu termasuk dua lagi dari Korea Selatan iaitu jurulatih penjaga gol Cho Junho dan jurulatih analisis prestasi pasukan Lim Jaehun yang kedua-duanya pernah berkhidmat dengan Daegu FC, serta jurulatih kecergasan Dr Gokhan Kandemir yang berpengalaman luas dalam liga bola sepak Turki sebelum ini.

Sementara itu, Pengarah Teknikal FAM Scott O’Donnell berkata pihaknya berhasrat untuk bekerjasama dengan Pan Gon dan pasukannya dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Memenangi perlawanan bola sepak bukan mudah dan ia akan bergantung kepada semua orang dan persekitaran bola sepak di Malaysia untuk bersama-sama berusaha mendapatkan sesuatu daripadanya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Bekas pengarah bola sepak Korea dilantik jadi ketua jurulatih baharu Harimau Malaya

PETALING JAYA, 21 JAN: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melantik bekas Pengarah Pasukan Kebangsaan Persatuan Bolasepak Korea (KFA) Kim Pan Gon, sebagai ketua jurulatih baharu skuad Harimau Malaya bagi menggantikan Tan Cheng Hoe.

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata jurulatih berusia 52 tahun itu, akan melapor diri pada pertengahan Februari, dengan kontrak selama dua tahun dan pilihan tambahan dua tahun lagi.

Beliau berkata Pan Gon yang menjadi pengendali pertama dari Korea Selatan dilantik ke jawatan itu sejak 1963, akan membawa empat staf kejurulatihan sendiri, terdiri daripada pembantu jurulatih, jurulatih kecergasan dan penjaga gol serta penganalisis.

“Selepas menerima permohonan dari seluruh dunia, kita mendapati beliau (Pan Gon) merupakan calon terbaik, dan antara kriteria pemilihan adalah pemahamannya mengenai bola sepak Malaysia, pernah melatih pasukan kebangsaan, mempunyai rangkaian antarabangsa, tahu siapa musuh Malaysia, maksudnya kita bermain di ASEAN dan Asia, jangkaan kita.

“Jika FAM berpuas hati dengan prestasinya untuk dua tahun ini, kita akan sambung (kontrak) untuk dua tahun lagi, tentunya nak layak ke Piala Asia,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM di sini, hari ini.

Pan Gon yang pernah beraksi bersama kelab Ulsan Hyundai dan Jeonbuk Hyundai Motors di Korea Selatan pada era 1990-an, memulakan karier kejurulatihan selaku penolong jurulatih Busan IPark FC (2005-2008), ketua jurulatih kebangsaan Hong Kong (2009-2010), penolong jurulatih Gyeongnam FC (2011) dan kembali ke Hong Kong (2012-2017).

Beliau menggantikan Cheng Hoe yang melepaskan jawatannya pada 2 Januari lalu dengan mengambil tanggungjawab susulan prestasi hambar pasukan Harimau Malaya di Singapura, yang gagal mara ke separuh akhir Piala AFF 2020.

Hamidin bagaimanapun, menegaskan bahawa pelantikan jurulatih tidak akan menyelesaikan masalah skuad Harimau Malaya secara keseluruhan.

“Jadi kita mahu mengadakan perbincangan dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi memastikan kelab di Liga Malaysia menghasilkan pemain yang berkualiti,” katanya.

Pada sidang media itu, Hamidin turut mengumumkan peletakan jawatan Datuk Mohd Yusoff Mahadi sebagai pengurus pasukan Harimau Malaya.

Mengenai desakan di media sosial agar Hamidin meletak jawatan berikutan kegagalan skuad Harimau Malaya dalam kempen Piala AFF 2020, Presiden FAM itu berkata beliau masih mempunyai banyak tanggungjawab untuk diselesaikan, selaku pemimpin badan induk bola sepak negara itu.

– BERNAMA