Categories
AGENDA NASIONAL

Agensi perubatan diarah panggil pembekal kit ujian Covid-19, nilai aduan pengguna

PUTRAJAYA, 18 FEB: Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) diarah memanggil semua pembekal kit ujian kendiri Covid-19 dalam negara, bagi menilai aduan yang diterima daripada pengguna, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata ia susulan aduan mengenai penggunaan kit ujian berkenaan yang menunjukkan keputusan Covid-19 meragukan.

“Saya juga meminta agensi (MDA) agar memohon pembekal mendapatkan maklumat jaminan kualiti daripada kilang prinsipal mereka,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19, di sini semalam.

Katanya, penilaian juga akan dibuat ke atas kit ujian yang diragui di pasaran, untuk menentukan bahawa tiada kemerosotan dari segi kualiti dari waktu ia diluluskan sehingga sekarang.

“Perkara ini sedang dilaksanakan dan hasil tindakan MDA akan dimaklumkan kepada orang ramai nanti,” kata Khairy.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga 27 Okt 2021, terdapat 49 kit ujian kendiri COVID-19 yang telah diberi kelulusan bersyarat oleh MDA (Rujukan:https://covid-19.moh.gov.my/semasa-kkm/2021/10/senarai-kit-ujian-covid-19-kendiri-yg-diluluskan-27102021).

Sementara itu, ditanya mengenai tatacara operasi piawai (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Khairy berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan perkara itu.

“KKM dah buat syor dan cadangan, kita dah setuju dengan semua yang dibentang. Saya percaya dan yakin SOP ini sekiranya dipatuhi adalah mencukupi, untuk kita mencegah peningkatan (kes) yang terlalu mendadak,” katanya.

SPR menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor manakala penamaan calon pada 26 Feb dan pengundian awal pada 8 Mac.

Dalam perkembangan lain, Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Dr Roshayati Mohamad Sani, berkata siasatan terperinci Jawatankuasa Farmakovigilans terhadap 22 daripada 42 kes kematian yang dikaitkan dengan dos penggalak, adalah tidak berkaitan dengan vaksin Covid-19.

Katanya, sebanyak 20 lagi aduan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) yang diterima NPRA, masih lagi dalam siasatan.

Dr Roshayati merujuk kepada laporan berita yang diterbitkan semalam berdasarkan kenyataan NRPA, yang menunjukkan 42 kematian dilaporkan dikaitkan dengan dos penggalak, sekali gus menimbulkan kebimbangan orang ramai untuk menerima dos itu.

Beliau menjelaskan setiap kematian berkaitan AEFI akan disiasat secara terperinci oleh pasukan penyiasat, terdiri daripada pakar yang berada di fasiliti yang melaporkan kematian itu.

“Hasil siasatan berkenaan termasuk maklumat klinikal akan dinilai dengan teliti oleh Jawatankuasa Farmakovigilans, yang dianggotai pakar daripada pelbagai bidang yang seterusnya akan menentukan sama ada terdapat sebab-akibat secara langsung dengan kematian dan vaksin yang diterima,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

5,000 kit ujian kendiri diagih ke pusat pemindahan

SHAH ALAM, 22 DIS: Kerajaan Selangor menyediakan 5,000 kit ujian air liur Covid-19 untuk diagihkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu bagi mencegah penularan Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir yang ditempatkan di situ.

“Selain itu, tindakan turut diambil bagi memastikan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) serta isolasi mereka yang positif dilaksanakan,” katanya di Twitter.

Pada Sabtu, Kerajaan Negeri mengarahkan semua agensi berkaitan bagi membantu penduduk terjejas susulan banjir, termasuk memindahkan mereka ke PPS.

Selain keperluan asas seperti pakaian, makanan dan bilik kecil di PPS, Kerajaan Selangor akan membuat saringan Covid-19 secara percuma untuk keselamatan mangsa banjir.

Setakat ini, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di 192 PPS menurun kepada 29,024 orang.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Fungsi terbaharu SELangkah mudahkan urusan orang ramai

SHAH ALAM, 24 NOV: Tempahan janji temu saringan Covid-19 serta pembelian kit kendiri menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) memudahkan warga negeri ini melakukan sebarang aktiviti, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penambahan fungsi bermula awal November turut membantu penduduk merancang perjalanan dengan selamat selepas kebenaran rentas negeri diberikan.

“Selangor mengorak setapak maju lagi dengan fungsi berkenaan. Kerajaan Negeri sentiasa peka dan cakna perkembangan semasa negara bagi memastikan usaha dilaksanakan dapat dilaraskan mengikut keperluan rakyat.

“Semoga kemas kini fungsi ini dapat memberi kebaikan kepada seluruh warga Selangor menjalani kehidupan seharian dengan lebih selamat dan mudah,” katanya di Facebook hari ini.

Orang ramai boleh menggunakan fungsi berkenaan selepas mengemaskini aplikasi SELangkah masing-masing.

Bagi pembelian kit kendiri pelanggan boleh memilih sama ada mengambil sendiri di lokasi tertentu atau dihantar ke rumah.

Terbaharu aplikasi dibangunkan Kerajaan Selangor itu memperkenal e-dompet bagi memudahkan pengguna melakukan transaksi tanpa tunai.

SELangkah diperkenalkan pada 4 Mei 2020 bagi menjejak jangkitan virus di premis perniagaan atau pejabat sekali gus memudahkan pengesanan kontak jika berlaku jangkitan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Rentas negeri: KPDNHEP jamin kit ujian kendiri cukup di pasaran

KUALA BERANG, 9 OKT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan kit ujian kendiri Covid-19 mencukupi di pasaran untuk menampung permintaan yang meningkat susulan kebenaran rentas negeri yang bakal diumum dalam masa terdekat.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata ketika ini terdapat enam juta kit ujian kendiri Covid-19 dalam pasaran dengan 28 syarikat yang diberikan lesen oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai pembekal dan pengedar.

“Memang kita jangka permintaan bagi kit ujian ini akan terus meningkat selaras saranan kerajaan agar rakyat melakukan ujian kendiri Covid-19 sebelum merentas negeri untuk mengawal penularannya.

“Jumlah pembekal juga dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa untuk memenuhi permintaan pasaran. Jadi orang ramai tidak perlu bimbang kerana kita percaya tidak timbul isu kekurangan bekalan kit ujian ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah cabutan bertuah program kayuhan basikal, Fun Ride Parlimen Hulu Terengganu sempena Hari Sukan Negara 2021 di sini hari ini.

Program itu mendapat sambutan hangat apabila lebih 1,000 permohonan diterima, bagaimanapun hanya 250 peserta diterima penganjur mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Pelan Pemulihan Negara yang ditetapkan.

Ditanya mengenai cadangan beberapa pihak supaya kerajaan memberi subsidi pembelian kit ujian kendiri Covid-19, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata ia memerlukan kajian terperinci.

“Dalam keadaan ekonomi negara yang tidak stabil dan dalam fasa pemulihan, perkara itu perlu dikaji dengan lebih mendalam kerana kerajaan telah memberi terlalu banyak subsidi seperti minyak masak dan lain-lain,” katanya.

Selain itu, Rosol berkata harga maksimum baharu kit ujian Covid-19 dijangka akan diumumkan Menteri KPDNHEP akhir November ini selepas perbincangan bersama pemain industri dan KKM dimuktamadkan.

-BERNAMA

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN Sekinchan belanja RM20,000 agih kit kendiri percuma

SHAH ALAM, 4 OKT: Lebih RM20,000 dibelanjakan wakil rakyat Sekinchan untuk edaran kit ujian air liur secara percuma kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Inisiatif sendiri itu diagihkan berperingkat kepada guru, ketua kampung, majlis pengurusan komuniti kampung dan penjaja bagi mengesan jangkitan wabak dengan cepat, kata Ng Suee Lim.

“Jika ada simptom, mereka boleh kuarantin di rumah. Saya yakin dengan kaedah sedemikian dapat mengurangkan penularan wabak dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 100 kit disumbangkan kepada guru di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yoke Kuan pada 29 September.

“Agihan kepada guru terbabit dibuat semasa meninjau program jangkauan vaksinasi Covid-19 untuk golongan remaja yang giat dijalankan ketika ini,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak 60,0000 kit saringan kendiri diagih kepada keluarga dijangkiti Covid-19 di negeri ini bermula September melalui pusat khidmat masyarakat dan pejabat penyelaras DUN.

Categories
ADN EXCO SELANGOR

Subsidi 1,000 kit ujian kendiri khas buat penduduk DUN Kinrara

SHAH ALAM, 28 SEPT: Pusat Khidmat Dewan Negeri (DUN) Kinrara menyediakan 1,000 kit ujian air liur bersubsidi bagi mengesan status jangkitan dengan cepat.

Kit kendiri bernilai RM10 setiap satu dikhususkan untuk penduduk setempat dan terhad 10 set bagi setiap keluarga, kata wakil rakyatnya Ng Sze Han.

“Jika permintaan tinggi, kita akan menambah lagi bilangan kit. Ini memudahkan dan meringan beban penduduk,” katanya menambah kit boleh didapati di pusat khidmat atau hubungi talian 011-25816296.

Pada 9 September, sebanyak 1,000 kit ujian kendiri sumbangan Kerajaan Selangor disediakan untuk pesakit Covid-19 sekitar DUN itu.

Selain kit ujian air liur, pek itu turut mengandungi penyedut oksigen, paracetamol, vitamin C 500mg, kit sanitasi, pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.

Pada 12 Ogos, Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak 60,000 kit ujian kendiri akan diagihkan secara percuma kepada keluarga mangsa yang disahkan positif wabak.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan alatan tersebut diagihkan melalui pusat khidmat masyarakat dan pejabat penyelaras DUN.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

RM1 juta sudah diguna untuk sedia kit kendiri pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 28 SEPT: Kerajaan Selangor sudah membelanjakan 82.34 peratus daripada peruntukan RM1.25 juta bagi menyediakan kemudahan kit ujian kendiri atau Home Assessment Tool (HAT) kepada pesakit Covid-19 negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan melibatkan RM1 juta itu sudah diguna untuk memelihara kesihatan rakyat, setakat 21 September.

Menurutnya Kerajaan Negeri sentiasa memikirkan jalan penyelesaian terbaik dalam memastikan kebajikan dan keselamatan rakyat terbela sepanjang penularan pandemik ini.

“Inisiatif HAT diperkenalkan dalam Pakej Kita Selangor 2.0 sebagai satu alat penilaian kendiri untuk pesakit Covid-19 menjalani kuarantin di rumah.

“Ia mengandungi pelitup muka KN95, termometer, oximeter, ubat, dan kit ujian air liur ini sangat penting untuk mengelakkan kes kematian di luar hospital (BID),” katanya di Facebook hari ini.

Pada 12 Ogos, Amirudin berkata Kerajaan Selangor mengagihkan 60,000 kit ujian kendiri secara percuma kepada keluarga mangsa yang disahkan positif wabak.

Kit itu diagihkan melalui Pusat Khidmat Masyarakat dan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN).

Usaha Kerajaan Selangor itu dicontohi kerajaan persekutuan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pemberian Pakej Penjagaan Covid-19 kepada keluarga B40 sebagai persediaan ke arah era endemik pada 19 September.

Categories
AGENDA NASIONAL

Harga runcit kit ujian kendiri ditetapkan RM19.90 mulai Ahad

SHAH ALAM, 2 SEPT: Kerajaan menetapkan harga siling runcit maksimum bagi kit ujian kendiri Covid-19 pada kadar RM19.90, berkuat kuasa pada 5 September.

Dalam kenyataan bersama hari ini, menteri perdagangan dalam negeri dan menteri kesihatan turut memaklumkan harga borong kit ujian tersebut dijual maksimum RM16.

“Kerajaan sedar situasi Covid-19 di negara kita dan seluruh dunia masih belum pulih malah situasi yang melanda sekarang adalah lebih mencabar,” kata Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Khairy Jamaluddin.

“Sehubungan itu, permintaan terhadap kit ujian pantas antigen Covid-19 dijangka meningkat susulan kesedaran orang ramai membuat ujian sendiri bagi memastikan diri bebas daripada wabak Covid-19.”

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna turut menjangkakan kesan persaingan akan menstabilkan lagi harga jualan seperti yang berlaku kepada harga pelitup muka.

Dalam kenyataan itu, kedua-dua menteri turut memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi haraga kawalan tersebut.

“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti,” kata mereka.

Kesalahan menjual melebihi harga maksimum dikenakan hukuman seperti berikut:

1. Individu: boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

2. Syarikat: boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000