Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Harga kit ujian Covid-19 mahal, kerajaan diminta turun bawah RM5

SHAH ALAM, 3 MAC: Kerajaan diminta menetapkan harga siling kit ujian kendiri air liur bawah RM5 sebagai langkah mengurangkan beban rakyat.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata ketika ini penggunaan kit kendiri menjadi rutin masyarakat bagi memastikan diri bebas dari jangkitan Covid-19.

“Ahli Dewan Rakyat diberi kemudahan membuat tuntutan bayaran balik (pembelian kit kendiri). Agak tak munasabah kita dapat manfaat tetapi rakyat yang selalu guna sebelum ke tempat kerja, sekolah.

“Jadi mohon pertimbangkan mengurangkan dan meletakkan harga siling bawah RM5. RM4.90 itu agak baik tetapi jika belasan ringgit, RM10 terlalu mahal,” katanya pada sesi Dewan Rakyat hari ini.

Pengarah komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu juga berkata rebat cukai pembelian kit RM1,000 yang boleh dituntut turut tidak terpakai kepada rakyat berpendapatan rendah.

Semalam isu kit kendiri turut dibawa beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan antaranya Steven Sim Chee Keong (Bukit Mertajam) dan Cha Kee Chin (Rasah).

Kerajaan pada September tahun lalu menetapkan harga siling runcit maksimum kit ujian kendiri air liur pada harga RM19.90.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kit ujian kendiri Covid-19 diwarta sebagai barang kawalan

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Kerajaan mewartakan Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 (Ujian Sendiri) sebagai barang kawalan berkuat kuasa hari ini, bagi menjamin bekalan kit ujian itu mencukupi di pasaran.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata bagi menjamin keberadaan dan bekalan sentiasa mencukupi di pasaran, kerajaan mengambil langkah proaktif dengan mewartakan kit ujian itu di bawah Perintah Kawalan Bekalan (Barang-Barang Kawalan) (No.6) 2021 pada 24 Nov lepas dan dikuatkuasakan pada 1 Dis 2021.

Menurutnya buat masa ini, bekalan kit ujian itu didapati mencukupi di pasaran dan sehingga kini tiada aduan berkenaan kekurangan bekalan diterima oleh pihak KPDNHEP.

“KPDNHEP ingin memberikan amaran kepada peniaga agar terus mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 ini bagi mengelak tindakan tegas diambil oleh pihak Kementerian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azman peniaga yang melakukan kesalahan berhubung perkara itu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya bagi individu; manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM2 juta.

Beliau berkata kit ujian itu boleh diperolehi di farmasi dan fasiliti kesihatan, serta di premis-premis berdaftar seperti pasar raya, kedai serbaneka dan stesen minyak.

Menurutnya pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga yang berkaitan boleh melaporkan kepada pihak KPDNHEP untuk tindakan lanjut dengan menghantar maklumat ke Whatsapp 019-279 4317, portal e-aduan.kpdnhep, Call Centre 1-800-886-800, Emel [email protected], Ez ADU KPDNHEP dan Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP pertimbang kawal harga kit ujian Covid-19

KUALA BERANG, 3 OGOS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang mempertimbangkan cadangan untuk mengawal harga kit ujian Covid-19.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata berdasarkan maklum balas orang ramai ketika ini, harga kit ujian tersebut agak membebankan terutama kepada golongan berpendapatan rendah dan keluarga memiliki ramai anak.

“Kita dapat maklumat harganya RM39.90 seunit, tidak ramai yang mampu membelinya pada harga tersebut. Jadi, kita sedang buat advokasi dengan pengilang, pengimport dan penjual untuk dapatkannya pada harga yang munasabah agar tidak merugikan peniaga dan tidak bebankan rakyat.

“Kita harap harganya nanti akan mampu dibeli oleh semua orang selain itu peranan kita juga adalah untuk pastikan kit ujian ini tidak ada yang tiruan. Kita bimbang ada yang cuba hasilkan barang tiruan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Bukit Bading hari ini.

Seramai 360 penduduk Felda tersebut menerima vaksin Covid-19 mereka melalui program itu, yang pertama diadakan di daerah Hulu Terengganu setakat ini.

Rosol berkata enam lagi program Movak menggunakan bas akan diadakan secara berperingkat di daerah Hulu Terengganu selepas ini iaitu di SK Bukit Tadok, SK Tapah, SK Tok Randok, SK Getang, SK Kua dan SK Binjai Kertas dengan lebih 3,500 penduduk dijangka akan menerima vaksin tersebut.

Dalam perkembangan lain, Rosol yang juga ahli parlimen Hulu Terengganu berkata KPDNHEP telah menjalankan pemeriksaan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) terhadap 689,876 premis di seluruh negara sejak 13 Mei 2020 hingga semalam.

“Sebanyak 653 kesalahan dikesan menerusi pemeriksaan itu iaitu 254 kes kerana gagal mendaftar masuk menggunakan buku atau aplikasi MySejahtera, menjalankan aktiviti tidak dibenarkan (127), gagal menyediakan penanda jarak satu meter (56), gagal memakai pelitup muka (40), gagal mempamer had bilangan maksimum pelanggan (18), gagal mematuhi waktu operasi (empat) dan lain-lain kesalahan (154).

“Nilai kompaun yang telah dikeluarkan pula adalah sebanyak RM4.45 juta setakat ini namun kompaun adalah tindakan terakhir yang terpaksa diambil kementerian selepas memberi nasihat dan amaran kepada pemilik premis,” katanya.

-BERNAMA