Categories
AGENDA NASIONAL

MMA: Bekalan kit ujian kendiri Covid-19 di pasaran mencukupi

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Bekalan kit ujian kendiri Covid-19 dalam pasaran adalah mencukupi, dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat pembelian panik kit ujian itu sehingga boleh menyebabkan bekalannya menyusut.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Koh Kar Chai berkata keperluan bagi melakukan ujian kendiri adalah hanya selepas menghadiri majlis besar, melawat warga emas atau individu yang lemah imun atau yang menunjukkan simptom.

Beliau berkata profesional penjagaan kesihatan sendiri tidak menjalankan ujian kendiri secara harian, melainkan sekiranya ia jelas diperlukan untuk berbuat demikian dalam situasi berisiko tinggi tertentu.

“Disebabkan kebolehjangkitan varian Omicron yang tinggi, jumlah kes positif harian akan meningkat sehingga kita mencapai kemuncak, oleh itu adalah berhemat untuk kita menjaga tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan sepanjang masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata walaupun ketepatan kit ujian kendiri mungkin tidak setanding dengan ujian Kit Ujian Pantas Antigen (RTK Ag) dan Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT PCR) profesional, kit ujian kendiri berguna dalam mengesan kehadiran virus pada kes-kes bergejala.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

58 kit ujian kendiri lulus diguna – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengeluarkan senarai terkini 58 kit ujian kendiri COVID-19 yang telah diberi kelulusan bersyarat oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kit ujian itu boleh didapati di  farmasi komuniti dan fasiliti kesihatan serta premis yang berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sahaja.

“Orang awam dinasihatkan agar membeli kit ujian tersebut di fasiliti berkenaan sahaja,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Orang ramai boleh merujuk senarai lengkap mengenai kit ujian tersebut di portal rasmi MDA di https://portal.mda.gov.my atau laman Facebook dan Instagram MDA.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Harga baharu kit ujian kendiri Covid-19 diumum minggu depan

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Pengurangan harga siling kit ujian kendiri Covid-19 akan diumum minggu depan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

“Jika sebelum ini saya pernah katakan ia akan dikurangkan pada Disember, berita baiknya kita tidak perlu tunggu sampai Disember, kita boleh turunkan November ini, jadi saya akan umumkan minggu depan,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen selepas pembentangan Bajet 2022 hari ini.

Nanta berkata penetapan pengurangan harga bakal diumumkan nanti mengambil kira kepentingan rakyat dan semua pihak terlibat setelah melalui libat urus dengan pihak berkaitan.

September lepas kementerian itu menetapkan harga borong dan runcit maksimum Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen Covid-19 masing-masing pada harga RM16 dan RM19.90.

Beliau berkata KPDNHEP setakat ini meluluskan 2,500 premis atau syarikat untuk menjual kit ujian kendiri itu bagi memudahkan pengguna mendapatkannya dan pihaknya juga mengalu-alukan lebih banyak syarikat dan premis yang berminat menjual kit itu supaya tampil memohon kepada kementerian.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SELANGOR

Media Selangor sedia kit ujian kendiri untuk kakitangan

SHAH ALAM, 20 OKT: Media Selangor Sdn Bhd (Media Selangor) menyediakan kit ujian kendiri Covid-19 kepada semua 102 kakitangan termasuk wartawan dan jurugambar yang kerap bertugas di lapangan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree berkata mereka turut menerima oximeter atau alat pengukur kandungan oksigen dalam tubuh bagi memantau tahap kesihatan.

“Setiap kakitangan diberi lima kit kendiri dan satu oximeter. Dua alat ini penting dalam kehidupan selepas kita memasuk fasa endemik.

“Inisiatif tambahan ini sebahagian daripada usaha syarikat demi menjaga kebajikan kakitangan,” katanya dalam sesi Townhall tahunan kelmarin.

Mohamed Fareed menjelaskan Media Selangor sebelum ini turut menyediakan inisiatif kepada kakitangan untuk membuat tuntutan maksimum RM200 bagi pembelian pelitup muka dan cecair pembasmi kuman serta vaksinasi percuma untuk ahli keluarga.

“Syarikat mengutamakan kesihatan pekerja. Diharap dengan semua inisiatif ini ia dapat membantu kakitangan menjaga kesihatan diri,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Lebih 1,000 daftar sukarelawan kesihatan, pupuk gaya hidup sihat

SELAYANG, 14 OKT: Lebih 1,000 individu menyertai Sukarelawan Komuniti Kesihatan Selangor (Suka) anjuran Kerajaan Negeri yang menjalankan aktiviti kesihatan awam terutama berkaitan pandemik Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata jumlah merangkumi keseluruhan ahli di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berusia 18 tahun ke atas serta sihat tubuh badan.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari kumpulan itu diberi latihan dan kursus berkaitan modul bersesuaian secara dalam talian memandangkan ahli tidak memiliki latar belakang perubatan.

“Kita juga akan ajar mereka secara bersemuka untuk tambahkan lagi pengetahuan. Ini dapat memudahkan urusan mereka membantu masyarakat.

“Program ini memperuntukkan belanja sebanyak RM1.2 juta dan setiap DUN menerima RM18,000 bagi membolehkan aktiviti bermanfaat berjalan. Kita mahu menjadi negeri maju dan sihat,” katanya pada sidang media selepas pelancaran program.

Amirudin berkata sejak diperkenalkan pada Ogos, Suka terlibat beberapa aktiviti seperti menyediakan kenderaan membawa pesakit Covid-19, melakukan proses nyahkuman, memeriksa individu kuarantin serta bertugas di pusat pemberian vaksin.

“Suka juga bakal menganjur program setempat yang dapat membentuk komuniti sihat dari segi fizikal dan mental.

“Sebagai entiti yang dekat dengan masyarakat, Suka juga bertanggungjawab sebagai duta khas mempromosikan program dan inisiatif Kerajaan Selangor,” katanya.

Selangor melancarkan beberapa program bagi menjamin kesihatan penduduk terutama ketika penularan Covid-19.

Antaranya penubuhan Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor, program Saringan Komuniti dan Vaksin Selangor serta penyediaan kit ujian kendiri percuma.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Parlimen: Turun harga kit ujian kendiri antara RM5-RM10

SHAH ALAM, 11 OKT: Ahli Parlimen Kuala Selangor mencadangkan kerajaan menetapkan harga siling kit ujian kendiri Covid-19 pada kadar RM5 hingga RM10 seunit bagi membolehkan lebih ramai mampu membelinya.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu juga bagi menyokong strategi FTTIS (kenal pasti, pengujian, pengesanan, kuarantin dan sokongan) yang diperkasakan kerajaan untuk beralih dari fasa pandemik ke endemik.

Menurutnya, ujian kendiri memainkan peranan penting untuk memutuskan penularan wabak dalam fasa endemik dan hanya boleh dilakukan secara meluas sekiranya kit berkenaan mudah diperoleh.

“Sebab itu saya cadangkan harganya mesti kurang RM10…kalau dapat RM5, kit berkenaan boleh menjadi peralatan seharian kepada orang ramai.

“Contohnya sebelum keluar rumah apabila seseorang mendapati dirinya mempunyai gejala, dia boleh buat ujian kendiri dan terus buat laporan di MySejahtera,” kata Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian pada perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Covid-19) yang antaranya bertujuan meningkatkan had statutori hutang negara kepada 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ketika ini, harga siling kit ujian kendiri RTK Antigen ditetapkan RM19.90 seunit bagi jualan runcit manakala RM16 satu set bagi harga borong.

Categories
AGENDA NASIONAL

2,286 pelajar IPTA tidak boleh divaksin perlu jalani saringan berkala

SHAH ALAM, 11 OKT: Seramai 2,286 pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang tidak boleh menerima vaksin Covid-19 kerana masalah kesihatan perlu menjalani saringan secara berkala.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pelajar terbabit perlu melakukan saringan menggunakan kit ujian kendiri bagi memastikan tahap kesihatannya untuk mengelakkan penularan.

Menurutnya mereka juga perlu melakukan ujian tindak balas berantai polimeras masa nyata (rt-PCR) tiga hari sebelum memasuki kampus.

“Pengurusan universiti diminta membantu pelajar terbabit bagi memastikan pengajian tidak terjejas,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Syed Ibrahim memohon penjelasan mengenai usaha kerajaan bagi memastikan keadaan persekitaran kampus selamat apabila sesi pengajian secara bersemuka bermula.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan pertimbang turun harga maksimum kit ujian kendiri lebih awal

KUALA TERENGGANU, 27 SEPT: Kerajaan sedang mempertimbang untuk melaksanakan harga kawalan baharu kit ujian kendiri Covid-19 yang lebih murah lebih awal, berbanding jangkaan pada Disember ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata pada masa ini kementerian giat mengadakan rundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan supaya kit ujian kendiri tersebut dapat segera dijual dengan harga yang lebih rendah.

Beliau berkata bagaimanapun dalam masa sama kerajaan turut perlu mengambil kira kepentingan dan kelangsungan perniagaan pemain industri yang terbabit dengan kit ujian kendiri tersebut.

“Pembukaan sektor ekonomi, pelancongan dan pendidikan secara berperingkat dalam tempoh ini dan lain-lain kelonggaran di bawah Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bakal diumumkan kerajaan dari semasa ke semasa akan menjadikan kit ujian kendiri Covid-19 ini sebagai alatan perubatan penting yang amat diperlukan.

“Dalam erti kata lain, ujian pengesanan kendiri Covid-19 kini menjadi satu norma baharu yang perlu diadaptasi dalam kehidupan seharian segenap lapisan masyarakat. Oleh itu kerajaan sentiasa prihatin dalam memastikan pengguna mampu mendapatkan kit ini pada harga lebih baik dan pemain industri juga dapat meneruskan kelangsungan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama beliau berkata hasil pemeriksaan penguat kuasa kementerian di 3,106 premis seluruh negara sejak harga kawalan kit ujian kendiri Covid-19 dikuatkuasakan pada 5 Sept lalu, terdapat 348 premis yang menjual di bawah paras harga kawalan RM19.90 bagi runcit dan RM16 bagi borong manakala 2,554 premis menjual kit tersebut mengikut harga kawalan.

“Kementerian menyambut baik inisiatif pemain industri yang peka dengan situasi semasa dan secara tidak langsung membantu mengurangkan bebanan rakyat dengan menawarkan kit ini pada harga lebih rendah daripada harga kawalan ditetapkan kerajaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama Rosol berkata penjualan kit ujian kendiri tersebut akan diperluaskan ke premis selain farmasi dan klinik seperti pasar raya serta kedai serbaneka, seawal Oktober ini.

“Sebelum itu kementerian perlu terlebih dahulu memastikan premis-premis yang menjual kit ujian kendiri Covid-19 ini mempunyai maklumat mencukupi mengenai syarat-syarat jualan termasuk mematuhi aspek pelabelan produk dan kaedah pengendaliannya bagi memudahkan orang ramai,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPM tanggung kos kit ujian kendiri pelajar sekolah asrama, harian

SHAH ALAM, 22 SEPT: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menanggung kos penyediaan kit ujian kendiri di sekolah asrama penuh sehingga sekolah harian.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata saringan menggunakan air liur akan dijalankan ke atas pelajar sebelum memasuki asrama dan juga sediakan di setiap sekolah seluruh negara.

“Jika sekolah asrama sepenuhnya, kita akan jalani tiga kali saringan tanpa mengira di mana lokasi sekolah tersebut, kita akan buat sekali saringan sekiranya asrama harian.

“Kit ujian kendiri juga akan disediakan bagi kegunaan sekolah harian untuk buat saringan awal sekiranya murid menunjukkan gejala ketika mereka berada di sekolah,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Dato’ Salim Sharif (Jempol-BN) yang bertanyakan siapa yang akan menanggung kos ujian kendiri di sekolah terutama pelajar susah.

Mohd Radzi juga menjelaskan kekeliruan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago mengenai dakwaan sekolah di daerah itu dikenakan bayaran sebanyak RM1,600 bagi menanggung kos pemberian vaksin.

Katanya, beliau sudah berhubung dengan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berhubung perkara itu dan mengatakan pembayaran itu tidak lagi diguna pakai.

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Buat pertimbangan teliti, tidak gopoh turun harga kit kendiri

OLEH IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL

SHAH ALAM, 21 SEPT: Kerajaan perlu membuat pertimbangan teliti dan tidak tergesa-gesa sebelum mengambil keputusan menurunkan harga kit ujian kendiri Covid-19.

Menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna berkata kepentingan pengguna dan industri perlu diambil kira bagi mewujudkan situasi menang-menang.

“Dalam kita memberikan perlindungan kepada pengguna agar mereka sentiasa sihat dan bebas daripada jangkitan Covid-19, kementerian perlu juga mengambil kira sudut pandangan industri berkaitan agar mereka dapat meneruskan kelangsungan perniagaan.

“Penelitian dari segi kos pengeluaran dan pengimportan perlu juga diambil kira sebelum kita merumuskan harga maksimum yang baharu,” kata Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Cha Kee Chin (PAKATAN-Rasah) yang meminta menyatakan sama ada kementerian terbabit akan menurunkan lagi harga maksimum kit ujian kendiri secara berperingkat.

Sementara itu, Alexander berkata sebanyak 2,261 premis runcit dan borong diperiksa sepanjang tempoh pemantauan penjualan kit tersebut mulai 5 hingga 20 September.

“Sebanyak 10 amaran dikeluarkan kerana menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan,” katanya.

Kerajaan menetapkan harga maksimum bagi kit ujian kendiri Covid-19 pada harga RM19.90 untuk jualan runcit manakala RM16 untuk pembelian secara borong berkuat kuasa pada 5 September.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Inisiatif Selangor sedia kit kuarantin dicontohi kerajaan persekutuan

SHAH ALAM, 19 SEPT: Inisiatif Kerajaan Selangor menyediakan kit ujian kendiri kepada pesakit Covid-19 dicontohi kerajaan persekutuan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu membuktikan usaha Kerajaan Negeri sebelum ini berkesan menangani Covid-19.

“Kerajaan Selangor menyambut baik pengumuman ini. Julai lalu sebagaimana dalam Pakej Kita Selangor 2.0, Kerajaan Negeri menyediakan Kit Penilaian Kesihatan khusus kepada kontak rapat dan keluarga yang positif.

“Kit ini mengandungi oximeter dan pelitup muka. Baru-baru ini Kerajaan Negeri turut mengumumkan pemberian ‘self test kit’ percuma kepada 60,000 individu yang memerlukan di Selangor,” katanya menerusi Facebook.

Hari ini, Ismail Sabri mengumumkan pemberian Pakej Penjagaan Covid-19 (PPC) yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 3.6 juta keluarga B40 sebagai persediaan ke arah era endemik Covid-19.

Katanya, bantuan PPC dengan peruntukan lebih RM471.6 juta mengandungi antara lain pek pelitup muka guna semula sebanyak empat keping setiap keluarga dan kit ujian kendiri Covid-19 sebanyak empat kit setiap keluarga.

Pada 12 Ogos, Amirudin berkata Kerajaan Selangor mengagihkan 60,000 kit ujian kendiri Covid-19 secara percuma kepada keluarga mangsa yang disahkan positif wabak.

Beliau berkata kit itu diagihkan melalui Pusat Khidmat Masyarakat dan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kit itu mula diedar pada 3 September lalu kepada lima wakil rakyat di DUN Bandar Utama, Seri Setia, Kota Damansara, Taman Templer dan Subang Jaya dengan masing-masing menerima 1,000 unit.

Categories
AGENDA NASIONAL

34 peniaga dikesan jual kit ujian kendiri melebihi harga ditetap

KUALA BERANG, 18 SEPT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merekodkan 34 kes peniaga dan pengusaha farmasi menjual kit ujian kendiri COVID-19 melebihi harga ditetapkan.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata kesalahan itu dikesan hasil pemeriksaan dijalankan pegawai penguat kuasa KPDNHEP terhadap lebih 1,800 premis sejak 5 Sept hingga semalam di seluruh negara.

“Hanya satu kes dikenakan kompaun RM250 mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Jumlah kesalahan yang dikesan ini tidak begitu membimbangkan.

“Pemeriksaan juga mendapati 185 peniaga dan pengusaha farmasi menjual di bawah harga kawalan, manakala 1,552 lagi menjual mengikut harga kawalan ditetapkan. Secara keseluruhan peniaga memberi kerjasama baik dalam mematuhi harga kawalan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses vaksinasi penduduk Hulu Terengganu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Akademi Binaan Malaysia Wilayah Timur, Jenagor, di sini hari ini.

Bermula 5 Sept lepas, KPDNHEP menetapkan harga runcit maksimum bagi setiap set kit ujian kendiri COVID-19 pada harga RM19.90, manakala harga borong pula ditetapkan RM16.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kenaikan harga ikan di seluruh negara, Rosol berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi mengeluarkan stok ikan sejuk beku Q’Fish di pasaran dalam masa terdekat.

“Memang kami dapat aduan dalam Facebook daripada pegawai dan secara terus kepada saya mengenai kenaikan ini, ikan selar dijual RM16 sekilogram, manakala ikan kembung pula hingga RM22 sekilogram. Ikan Q’Fish boleh menjadi alternatif kepada pengguna.

“Cuma masyarakat perlu dididik menangkis persepsi tidak tepat mengenai ikan Q’Fish ini kononnya ia tidak segar seperti yang dijual di pasar, sedangkan tidak benar kerana ia adalah ikan segar dari laut yang terus dibekukan,” katanya.

Q’Fish ialah ikan segar berkualiti yang disejukbekukan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sekiranya berlaku lebihan. Ia juga dijual dengan harga lebih murah kepada pengguna bagi memastikan bekalan tidak terjejas.

— BERNAMA