Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP: 18 juta kit ujian kendiri Covid-19 sedia di pasaran

PUTRAJAYA, 22 FEB: Terdapat kira-kira 18 juta kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian kendiri) atau RTK kini tersedia di pasaran, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menurut KPDNHEP dalam kenyataan hari ini, jumlah tersebut berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan setiap hari yang dilakukan terutama di peringkat pengimport, pengilang, pemborong dan peruncit bagi memastikan bekalan stabil di pasaran.

RTK telah diwartakan sebagai barang kawalan di bawah Perintah Kawalan Bekalan (Barang-Barang Kawalan) (No.6) 2021 pada 24 November 2021 dan dikuatkuasakan pada 1 Disember 2021 bagi menjamin keberadaan dan bekalannya sentiasa mencukupi di pasaran.

KPDNHEP dalam kenyataan itu memaklumkan lapan pengilang ‘Establismen’ yang mendapat kebenaran bersyarat menghasilkan RTK di Malaysia sudah mengeluarkan sejumlah 4.306 juta unit RTK sehingga Februari 2022, manakala Malaysia pula telah mengimport sejumlah 2.34 juta unit RTK dari tujuh negara.

Menurut KPDNHEP, aduan berhubung kekurangan bekalan RTK adalah sangat rendah dalam tempoh 1 Januari hingga semalam iaitu hanya tiga aduan sahaja diterima.

“Julat harga RTK di pasaran adalah antara RM4.90 hingga RM19.90 seunit pada ketika ini namun 80 peratus RTK dijual di bawah RM10.00 seunit,” kata kementerian itu.

Sebanyak 8,084 premis runcit telah diberi kelulusan kebenaran menjual RTK yang diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA).

KPDNHEP juga menasihatkan pengguna supaya tidak gusar ekoran laporan peningkatan kes Covid-19 dengan membuat pembelian panik atau berlebihan daripada keperluan.

“Sentiasa berwaspada dengan kehadiran RTK yang tidak mendapat kelulusan MDA,” katanya.

— BERNAMA