Categories
AGENDA NASIONAL

Ahli parlimen HARAPAN cadang harga kit ujian bawah RM5, mampu dibeli B40

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Isu berkaitan kenaikan harga kit ujian pengesanan kendiri Covid-19 (RTK-Ag) dan proses vaksinasi antara dibangkitkan beberapa ahli parlimen pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Tiitah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Steven Sim Chee Keong (PH-Bukit Mertajam) mencadangkan kerajaan menetapkan harga kit RTK-Ag di bawah RM5 dan memberi subsidi bagi ujian tindak balas berantai polimerase masa nyata (RT-PCR) dengan menetapkan harga di bawah RM100.

Beliau berpendapat sekiranya negara serius untuk memasuki fasa endemik, akses rakyat kepada segala keperluan bagi menghadapi wabak itu perlu dipermudahkan.

Katanya selain kit ujian, antara keperluan penting lain termasuk pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan oksimeter.

Sementara itu, Cha Kee Chin (PH-Rasah) pula berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu menetapkan harga siling runcit kit ujian kendiri berada pada paras yang mampu dibeli golongan M40 dan B40.

“Memang pada mula (awal) Disember lepas, kit ujian ini telah dijual di bawah harga RM5 walaupun kerajaan tidak menetapkan harga siling di bawah RM5 ketika itu. Apabila kes meningkat sekarang, mereka mula menjual pada harga RM8 hingga RM9 malah ada lebih tinggi kerana permintaan meningkat,” katanya.

Beliau berkata ia menyebabkan keluarga berpendapatan rendah tidak mampu membeli kit ujian tersebut sekali gus menjejaskan usaha mengawal pandemik COVID-19.

Justeru katanya KPDNHEP perlu menyemak semula penetapan harga siling tersebut di bawah RM10 atau RM5 supaya peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga apabila permintaan tinggi akibat penularan mendadak kes Covid-19.

Kerajaan pada September lepas menetapkan harga siling runcit maksimum kit ujian RTK-Ag pada harga RM19.90 daripada RM39.90.

M.Karupaiya (PH-Padang Serai) pula menggesa KPDNHEP meneliti punca kekurangan stok kit ujian kendiri di pasaran yang dilihat membebankan rakyat kerana ia keperluan penting dalam mendepani ancaman penularan varian Omicron.

Mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) berkata proses vaksinasi Covid-19 di Sabah perlu ditingkatkan memandangkan kadar vaksinasi di negeri itu masih rendah termasuk pemberian dos penggalak serta vaksin kepada kanak-kanak.

“Kadar vaksinasi kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun di Sabah setakat ini hanya 12.5 peratus berbanding 24.8 peratus di peringkat nasional dan kadar vaksinasi bagi remaja 69.5 peratus berbanding 90 peratus (nasional).

“Kadar vaksinasi dewasa di Sabah adalah 77.5 peratus berbanding 97.5 peratus di peringkat nasional sekali gus menjadi negeri terendah kadar vaksinasinya,” katanya.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

– BERNAMA