Categories
AGENDA NASIONAL

Kita Seniman Selangor bantu kembangkan industri seni

SHAH ALAM, 8 NOV: Program Kita Seniman Selangor yang dilancarkan minggu lalu mampu memajukan dan menghidupkan semula seni jalanan dalam kalangan masyarakat.

Pelukis, Zukliflee Zainol Abidin, 43, berkata inisiatif Kerajaan Negeri menganjurkan program itu di kawasan tumpuan secara tak langsung membantu penggiat seni memulihkan ekonomi masing-masing selepas penularan Covid-19.

“Program ini beri manfaat kepada pengkarya serta orang ramai dan wajar diteruskan. Mungkin selepas ini boleh libatkan persembahan teater kerana seni banyak cabang.

“Langkah ini membantu industri seni terus berkembang dan ia perlu dipelihara sepanjang masa,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Sementara itu pelukis karikatur, Firdaus Husain, 36, berkata program itu memberi kepuasan kepada para pengkarya selepas sekian lama tidak bersemuka bersama pelanggan.

“Sepanjang pandemik saya berniaga secara dalam talian. Ambil tempahan dari pelanggan sama ada melalui e-mel atau WhatApps.

“Bila ada program macam ini kita lebih puas. Lukis muka pelanggan secara berdepan. Pelanggan juga boleh melihat proses melukis wajah mereka,” katanya.

Kita Seniman Selangor merupakan inisiatif tambahan membantu kelangsungan hidup golongan seni ketika pasca Covid-19 ini membabitkan peruntukan RM50,000.

Buat permulaan program yang memberi manfaat kepada 100 individu itu berlangsung selama seminggu di SACC Mall dan PKNS Shah Alam sebelum diperluas ke kawasan lain.

Pada Ogos Kerajaan Selangor memperuntuk RM250,000 bagi membantu pemuzik yang berdaftar bawah kelab atau persatuan negeri yang terjejas akibat pandemik.

Usaha melalui Kita Buskers Selangor melibatkan 720 pemuzik jalanan itu dimulakan dengan menempatkan mereka di pusat pemberian vaksin (PPV) bagi menghiburkan penerima suntikan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kita Seniman Selangor inisiatif tambahan bantu golongan seni

SHAH ALAM, 4 NOV: Satu lagi inisiatif dilancar Kerajaan Selangor membabitkan peruntukan RM50,000 bagi membantu kelangsungan hidup golongan seni ketika pasca Covid-19 ini.

EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah berkata program Kita Seniman Selangor merupakan kesinambungan Kita Buskers Selangor yang dijayakan pada Ogos lalu.

Jelasnya, program seminggu bermula hari ini di SACC Mall dan Komplek PKNS Shah Alam bertujuan merancakkan proses pemulihan ekonomi dengan cara menyediakan ruang berkarya.

“Kita Seniman Selangor bakal memanfaatkan 100 penggiat seni dari kalangan pemuzik dan pelukis jalanan, akan berjalan dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

“Kita akan lihat lokasi lain bersesuaian bagi memperluaskan lagi inisiatif ini. Sekarang dua lokasi ini menjadi projek perintis,” katanya selepas melancarkan program berkenaan.

Borhan berkata susulan pandemik, Selangor menghulurkan pelbagai bantuan kepada semua golongan tanpa mengira latar belakang.

“Bukan hanya penggiat seni dan golongan berpendapatan rendah (B40) sebaliknya semua peringkat. Remaja, anak sekolah, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal, peniaga semua dibantu.

“Kita bantu semua ketika keadaan ekonomi tidak stabil. Kita sedar semua terkesan dari bencana Covid-19 ini apabila ramai tidak dapat bekerja ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Pada Ogos Kerajaan Selangor memperuntuk RM250,000 bagi membantu pemuzik yang berdaftar bawah kelab atau persatuan negeri yang terjejas akibat pandemik.

Usaha melalui Kita Buskers Selangor melibatkan 720 pemuzik jalanan itu dimulakan dengan menempatkan mereka di pusat pemberian vaksin (PPV) bagi menghiburkan penerima suntikan.