Categories
AGENDA NASIONAL

Mesej mayat pesakit Covid-19 didapati masih hidup palsu

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Hospital Kuala Lumpur (HKL) menafikan mesej tular yang mendakwa kononnya ada pesakit Covid-19 yang disahkan meninggal dunia, namun semasa mayat tiba di lokasi pengebumian pesakit itu didapati masih hidup.

Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam kenyataan malam tadi berkata HKL menjelaskan bahawa tiada kejadian berlaku seperti dakwaan mesej tular berkenaan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai mesej itu dan berhenti daripada menyebarkan maklumat palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini tular mesej yang mendakwa seorang pesakit Covid-19 yang telah disahkan meninggal dunia oleh doktor yang bertugas di wad Unit Rawatan Rapi didapati masih hidup semasa di lokasi pengebumian dan seterusnya dibawa kembali ke HKL untuk rawatan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKMM, Finas pantau pematuhan SOP pawagam, kekang Covid-19

PUTRAJAYA, 25 DIS: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memantau pelaksanaan dan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang Covid-19 di pawagam seluruh negara.

Dalam kenyataannya hari ini, Finas berkata satu Program Lawatan Santai ke Pawagam telah diadakan di Golden Screen Cinemas (GSC) di Alamanda di sini semalam, bertujuan memantau pelaksanaaan dan pematuhan SOP di pawagam itu.

Program itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Mohammad Mentek dan turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital) KKMM Tan Chuan Ou serta Ketua Pegawai Eksekutif Finas Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Mohammad turut melawat Bilik Projektor GSC bagi memantau operasi dan proses penayangan filem di pawagam.

Menurut Finas, sesi lawatan santai itu berupaya mengukuhkan hubungan strategik antara KKMM, Finas dan pemain industri pawagam dalam mendepani cabaran pemulihan ekonomi impak penularan Covid-19.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KKMM bakal salur maklumat Covid-19 dalam bahasa Tamil, Mandarin

KUANTAN, 29 NOV: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang menambah baik penyampaian mesej mengenai pandemik Covid-19, khususnya dalam bahasa Mandarin dan Tamil, kata Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata berdasarkan maklumat yang diterima, terdapat sedikit jurang dari segi penyampaian berita dan maklumat melibatkan dua bahasa berkenaan berbanding bahasa Melayu.

“Kami sedang perbaiki mesej yang disampaikan dalam bahasa Mandarin dan Tamil, begitu juga bagi penduduk di Sabah dan Sarawak, kita juga sedang menambah baik penyampaian dalam bahasa Kadazan dan Iban.

“Malah, kita juga sedar rakyat Malaysia sudah mula letih dan tertekan untuk berhadapan dengan pandemik ini, justeru mesej yang KKMM nak sampaikan juga akan diperbaharui dan ditambah baik dari masa ke masa,” katanya pada sidang media selepas Program Indera Mahkota Prihatin hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata pihaknya turut mempertingkatkan lagi penyampaian berita melibatkan orang kurang upaya (OKU), selain membaiki penyaluran maklumat kepada warga asing dengan menggunakan perkhidmatan penterjemah.

“Untuk OKU pun kita kena baiki mesej yang nak disampaikan, misalnya berita RTM, sekiranya ada jurubahasa isyarat, latar belakang di televisyen warna merah, (namun) kita dapat maklumat warna merah itu tidak sesuai untuk OKU, biru lebih sesuai, jadi kita akan ubah.

“Bagi pekerja asing, tidak semua mereka faham bahasa yang kita gunakan, jadi kami gunakan penterjemah untuk bantu penyampaian maklumat, antaranya melibatkan bahasa Nepal dan Rohingya,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin mengingatkan majikan supaya memainkan peranan berhubung penyediaan tempat tinggal warga asing yang dilihat menjadi antara faktor penyebaran Covid-19 secara cepat membabitkan golongan berkenaan.

Menyentuh mengenai vaksin Covid-19, Saifuddin berkata kerajaan bersedia bekerjasama dan berunding dengan pelbagai pihak dalam usaha mendapatkan vaksin.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Putrajaya rancang bina 500 menara komunikasi seluruh negara

KUALA LUMPUR, 3 SEPT: Sekurang-kurangnya 500 menara komunikasi baharu dirancang untuk dibina di 210 mukim di seluruh negara bermula suku keempat tahun ini, bagi penyediaan liputan perkhidmatan jalur lebar 4G.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata rancangan itu merupakan antara inisiatif penyediaan perkhidmatan jalur lebar yang sedang dalam peringkat pelaksanaan di seluruh negara bagi meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan.

Selain itu, beliau berkata 280 menara baharu dari segi penyediaan perkhidmatan jalur lebar mudah alih 4G sedang dalam peringkat pelaksanaan dan kesemuanya dijangka siap serta beroperasi secara berperingkat bermula suku pertama 2021.

“Sebanyak 11 alat pemancar komunikasi di menara komunikasi sedia ada sedang dalam peringkat dinaik taraf ke perkhidmatan jalur lebar mudah alih 4G,” katanya ketika sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan Persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Donald Peter Mojuntin yang mahukan penjelasan berhubung rancangan kementerian untuk meningkatkan perkhidmatan jalur lebar dari segi kelajuan dan keluasan liputan merangkumi seluruh Malaysia berikutan kebergantungan terhadap internet yang mendadak susulan Covid-19.

Zahidi berkata 377,360 pelanggan sedia ada di seluruh negara yang menggunakan perkhidmatan rangkaian berasaskan tembaga akan dinaik taraf ke rangkaian gentian optik oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Inisiatif yang disarankan melalui Telekom Malaysia Berhad ini dijangka siap secara berperingkat menjelang 2021. Jumlah ini akan diselaraskan dari semasa ke semasa disebabkan oleh faktor perolehan langgan pelanggan.

“Sebanyak 33,112 sambungan jalur lebar talian tetap di pinggir bandar sekarang dalam peringkat pelaksanaan dan dijangka siap secara berperingkat pada hujung 2020,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata SKMM bekerjasama dengan pihak industri dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk membangunkan satu pelan infrastruktur digital dikenali sebagai Jalinan Digital Negara (Jendela) bagi memantapkan kualiti dan liputan perkhidmatan di seluruh negara dengan menggunakan pelbagai teknologi.

Sementara itu, Zahidi berkata kementerian itu sedang berusaha meningkatkan kawasan liputan perkhidmatan 4G daripada 91.8 peratus kepada 96.9 peratus, menjadikan hanya 3.1 peratus sahaja kawasan yang tidak mendapat liputan.

“Bagaimanapun kita lihat ada kawasan-kawasan di seluruh negara mempunyai kawasan blindspot (sukar mendapat perkhidmatan liputan jalur lebar seperti kawasan bukit).

“Jadi kita minta kawasan-kawasan yang tiada liputan untuk maklumkan kepada SKMM dan kita segera tangani masalah itu,” katanya menjawab soalan tambahan Mojuntin berhubung keseimbangan penyambungan internet antara bandar dan luar bandar.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hari Kebangsaan: Sambutan norma baharu catat sejarah, teknologi 3D CGI

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini pastinya melakar sejarah baharu kepada rakyat Malaysia apabila buat julung kalinya, acara perbarisan dan perarakan mengikut norma baharu akan disiarkan melalui saluran televisyen.

Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Mohammad Diah Wahari berkata acara itu akan dirakam lebih awal secara berasingan bagi setiap kontinjen yang dikenal pasti bertujuan mengurangkan perhimpunan ramai selain memastikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan pandemik COVID-19 dipatuhi.

“Tahun ini, kerajaan tidak akan mengadakan sebarang acara perbarisan dan perarakan seperti sebelum ini. Acara kali ini akan diadakan di Dataran Pahlawan, Putrajaya dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memeriksa kawalan kehormat utama.

“Seterusnya baginda akan mencemar duli menyaksikan siaran langsung yang akan disediakan pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM),” katanya selepas menjadi tetamu program @Radio di Bernama Radio bertajuk Bulan Kebangsaan 2020 ‘Malaysia Prihatin’ hari ini.

Memperincikan sambutan bertema Malaysia Prihatin itu, Mohammad Diah berkata RTM diberi tanggungjawab menyunting rakaman menggunakan teknologi realiti gabung yang terdiri daripada realiti terimbuh dan teknologi 3D CGI (Imej Janaan Komputer).

Beliau mengajak rakyat untuk bersama-sama meraikan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-63 dengan menonton siaran RTM agar turut merasai kemeriahannya walaupun tidak dapat menyaksikan perarakan kontinjen beruniform, aset keselamatan dan persembahan acara simbolik secara langsung di lokasi.

“Sebagai rakyat Malaysia, marilah kita bersama-sama memeriahkan sambutan dengan norma baharu walau di mana sahaja kita berada tanpa mengira umur, bangsa dan agama. Hargailah perjuangan pejuang terdahulu memperjuangkan kemerdekaan negara,” katanya.

Mohammad Diah turut mengajak rakyat negara ini mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing selain menyertai pelbagai program kenegaraan anjuran KKMM, Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) dan RTM sebagai tanda patriotik kepada negara.

Mengulas mengenai program kenegaraan, beliau berkata antara yang sedang dan akan diadakan ialah Merdeka@Komuniti, Sayembara Sajak Merdeka, pertandingan fotografi Klik@Merdeka 2020, Webinar Rukun Negara, e-Treasure Hunt, Kapsul ‘Terima Kasih Hero’ dan konsert Kita Merdeka 1957-2020.

Sambutan kali ini menyaksikan logo berbentuk hati menjadi pilihan selepas kali terakhir ia digunakan pada 2016 dengan warna bendera Jalur Gemilang menjadi latarnya, yang melambangkan keprihatinan kerajaan Malaysia terhadap masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Logo dan tema Hari Kebangsaan diperkenal ketika Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Julai lalu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKMM bantu industri media terkesan Covid-19

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sentiasa komited dalam menangani kesukaran dihadapi industri media ketika ini berikutan pandemik Covid-19 apabila terdapat syarikat media terpaksa mengecilkan operasi mereka.

Menteri berkenaan Datuk Saifuddin Abdullah berkata situasi itu menyebabkan petugas media terpaksa menerima hakikat apabila perkhidmatan mereka ditamatkan oleh majikan yang terjejas akibat kesukaran itu.

Sebagai kementerian yang menaungi industri media, Saifuddin berkongsi beberapa inisiatif dilaksanakan KKMM melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam membantu rakyat menambah kemahiran baharu sekali gus membolehkan mereka mencari pekerjaan serta menjana pendapatan secara dalam talian.

Inisiatif dilaksanakan MDEC itu termasuk Program Tenaga Kerja Dalam Talian Global (Glow) – Penjana yang merupakan program khas disediakan untuk membantu golongan pekerja dan individu yang terjejas berikutan penularan wabak itu.

“Program Glow – Penjana memberi fokus dan spesifik bagi memastikan kadar kejayaan pelaksanaan program yang lebih tinggi. Program ini juga memberi tumpuan untuk mengeksport kepakaran pekerja bebas (freelancer) tempatan dan menyasarkan tugasan-tugasan atau kerja sepenuhnya di pasaran global,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Saifuddin berkata antara sektor yang akan diberikan tumpuan ialah sektor perkhidmatan seperti tugasan sebagai pembantu maya, pegawai penyelidik dalam talian, penterjemah serta bidang kreatif termasuk pereka grafik, alih suara dan bidang teknologi maklumat (ICT) seperti pengaturcaraan.

Menurut beliau, berdasarkan statistik MDEC, sehingga tahun lepas, seramai 29,225 peserta dilatih dan menjana pendapatan keseluruhan lebih RM168 juta dan beliau mengalu-alukan pekerja industri media yang terjejas supaya mendaftar dengan program berkenaan.

Beliau berkata MDEC turut bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi mengenal pasti kursus teknologi digital bersesuaian yang akan menjadi sebahagian daripada insentif pengambilan dan latihan Penjana 2020.

“Menerusi inisiatif ini, mereka yang layak mendapat perlindungan sosial PenjanaGig akan disyaratkan untuk bekerja dengan syarikat berkaitan ekonomi gig yang berdaftar dengan MDEC. Pencari kerja yang berminat boleh melayari portal http://www.myfuturejobs.gov.my,” tambahnya.

Selain itu, katanya, MDEC bersama platform pembelajaran dalam talian global, Coursera melancarkan program Jom Belajar Digital di bawah inisiatif #MyDigitalWorkforce yang menawarkan 3,800 kursus termasuk Sijil Latihan Profesional dengan permohonan dibuka sehingga 31 Dis depan.

“Antara kursus yang ditawarkan termasuk Automasi IT Google dengan Python, pengaturcaraan dan pengenalan Intel ke pembelajaran dalaman serta laluan kerjaya yang boleh disertai oleh peserta seperti analisis data dan pembangunan perisian,” katanya dan menambah pendaftaran boleh dilakukan di www.mdec.my/letslearndigital.

Saifuddin turut berkongsi mengenai Program 42 KL, iaitu sekolah pengaturcaraan komputer percuma yang menawarkan konsep pembelajaran dengan rakan sebaya berasaskan projek sebenar tanpa melibatkan guru atau menghadiri kuliah.

Pusat pertama di Malaysia akan dibuka di Sunway City dan sehingga kini sebanyak 20 negara melaksanakan program berkenaan.

Selain itu, beliau berkata minggu #MyDigitalWorkforce pula akan berlangsung selama seminggu bermula 24 hingga 28 Ogos ini melibatkan tiga komponen iaitu sesi webinar, ekspo kerjaya secara digital dan latihan dalam talian oleh rakan kongsi yang boleh dimanfaatkan pencari kerja.

Bagi membantu rakyat memilih program latihan bersesuaian dengan keperluan dan minat masing-masing, MDEC juga akan melancarkan Direktori Latihan Kemahiran Digital pada Ogos ini bagi membantu pencari kerja mempelajari kemahiran teknologi digital yang berkaitan dengan industri, katanya.

Saifuddin berkata MDEC turut memberi tumpuan kepada pengembangan bakat teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI) dengan bekerjasama rapat bersama rakan industri.

“Berdasarkan inisiatif-inisiatif ini, saya berharap agar mereka yang terkesan dengan situasi semasa boleh memanfaatkan maklumat yang dinyatakan dan seterusnya membantu meringankan beban pengecilan operasi media akibat wabak Covid-19,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKMM sangkal dua berita palsu

SHAH ALAM, 20 MEI: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menafikan dakwaan pihak tertentu mengenai kebenaran bagi penganjuran Bazar Ramadan di Tanjung Karang seperti tular di media sosial.

Penafian itu dimaklumkan Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi Multimedia dalam kenyataan pemakluman berita palsu hari ini.

“MDKS menjelaskan tapak jualan dalam video itu adalah kawasan penjaja berlesen yang diberi kebenaran menjaja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat mulai 13 Mei dengan syarat pematuhan tatacara operasi piawai.

“Ia termasuk penggiliran hari berniaga, penjarakan sosial dan penetapan waktu berniaga dari jam 3 petang hingga 10 malam sepanjang Ramadan dengan pemantauan berkala dilaksanakan penguat kuasa menerusi kerjasama polis serta Jabatan Sukarelawan Malaysia,” katanya.

KKMM juga memaklumkan Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik menafikan polis mengeluarkan arahan larangan pergerakan rentas daerah dan negeri bermula 22 hingga 27 Mei ini kepada semua balai polis dalam negeri itu.

Categories
AGENDA NASIONAL

KPM nafi sesi sekolah hanya dibuka tahun depan

SHAH ALAM, 14 MEI: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan sesi persekolahan tahun ini hanya akan dibuka bagi pelajar tingkatan lima dan enam.

Dakwaan yang tular di media sosial turut menyatakan pelajar dan murid lain akan memulakan sesi persekolahan pada 2021.

“KPM menegaskan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi sekiranya terdapat makluman berhubung tarikh pembukaan sekolah,” kata Pasukan Respon Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia berhubung pemakluman berita palsu.

April lalu, menteri kanan (pendidikan) memaklumkan pelajar tingkatan lima dan enam yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia diberi keutamaan ke sekolah selepas Perintah Kawalan Pergerakan tamat.

Bagaimanapun, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata kesemua pelajar harus mematuhi garis panduan persekolahan yang ketat dengan mengutamakan penjarakan sosial.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dakwaan pekerja Econsave Alam Jaya positif Covid-19 palsu

SHAH ALAM, 6 MEI: Pihak pengurusan pasar raya Econsave menafikan dakwaan yang tular di media sosial mengenai pekerjanya di Econsave Alam Jaya, Puncak Alam positif Covid-19.

Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam kenyataan hari ini berkata jaminan sudah diberikan Econsave dalam memastikan keselamatan pekerja dan pelanggan.

“Pihak Econsave memberi jaminan sentiasa menjalankan kerja nyahkuman premis pasar rayanya demi keselamatan pekerja dan pelanggan,” katanya.

Selain itu kenyataan sama memaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri Johor menafikan terdapat dakwaan pesakit positif Covid-19 di Klinik Central, Bandar Utama, Segamat.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKMM sangkal tiga berita palsu

SHAH ALAM, 10 APRIL: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengeluarkan tiga penafian terhadap beberapa kenyataan yang tular di media sosial.

Pasukan Respon Pantas KKMM dalam kenyataan memaklumkan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menafikan pernah mengeluarkan kenyataan berhubung solat Jumaat tetap diteruskan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bertarikh 8 April.

Selain itu, pihak Pengurusan HeroMarket menafikan dakwaan empat pekerjanya di cawangan Alam Megah positif Covid-19.

Kenyataan sama menyatakan Hospital Lawas, Sarawak menafikan dakwaan terdapat penambahan kes Covid-19 di daerah tersebut sejak 14 Mac lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Program TV Pendidikan di RTM bermula 6 April

PUTRAJAYA, 4 APRIL: Program TV Pendidikan diperkenalkan melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk membolehkan pelajar mendapat akses kepada bahan pembelajaran melalui platform alternatif terutamanya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Kementerian Pendidikan (KPM).

KPM dalam kenyataan hari ini berkata program itu mula bersiaran pada 6 April ini menerusi saluran TV Okey, iaitu satu daripada saluran RTM.

Sebagai permulaan, KPM berkata program itu disiarkan selama dua jam pada 9 hingga 10 pagi dan 1 hingga 2 petang pada setiap hari sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

Kementerian itu berkata slot TV pendidikan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu merupakan tambahan kepada siaran EduwebTV yang pada ketika ini dilaksanakan oleh KPM secara web streaming.

“Melalui kerjasama ini, KPM menyediakan rancangan berbentuk pembelajaran bersesuaian untuk disiarkan oleh RTM.

“Dengan ini, pelajar yang tidak mendapat capaian internet tidak ketinggalan dan masih boleh mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di rumah melalui televisyen,” katanya.

KPM berkata jadual rancangan boleh didapati dengan melayari portal rasmi KPM di www.moe.gov.my atau di media sosial rasmi KPM iaitu Facebook, Instagram dan Twitter @KemPendidikan.

“Slot ini boleh ditonton secara percuma menerusi saluran 110 MyFreeview TV. Selain itu, siaran ini juga boleh ditonton menerusi saluran 146 di ASTRO dan ASTRO NJOI,” katanya.

KPM berkata bagi pelajar yang mempunyai capaian internet, siaran itu boleh ditonton melalui laman sesawang www.myklik.rtm.gov.my secara web streaming.

“KPM berharap usaha ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar, guru dan ibu bapa bagi memastikan proses pembelajaran pelajar dapat diteruskan dengan efektif dan menarik walaupun dalam keadaan yang mencabar ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Tindakan pantas kerajaan kawal penyebaran berita palsu

MARANG, 16 FEB: Tindakan pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia berjaya mengurangkan penularan berita palsu Covid-19.

Timbalan Menteri KKMM Datuk Eddin Syazlee Shith berkata sehingga kini, sekurang-kurangnya 12 individu didakwa atas kesalahan itu di seluruh negara.

“Pada mulanya, ketika amaran diberikan kita lihat masih ada pihak yang menganggap amaran itu tiada sebarang kesan, tetapi selepas 12 individu didakwa, barulah mereka sedar apakah kesan dan akibat daripada perbuatan itu (menyebarkan berita palsu).

“Ketika ini, jumlahnya (berita palsu) sudah semakin berkurangan dan semua pihak semakin berhati-hati, ini adalah satu petanda yang positif,” katanya kepada pemberita ketika melawat Pasar Binjai Rendah di sini sempena program ‘Info On Wheels’ hari ini.

Kes penyebaran berita palsu boleh disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata pelaksanaan program IOW oleh Jabatan Penerangan di seluruh negara mendapat maklum balas yang sangat positif daripada rakyat kerana mereka dapat memahami semua inisiatif disediakan kerajaan dengan baik.

“Setakat ini memang ramai yang mengatakan program ini bagus dan berharap ia terus dilaksanakan pada masa akan datang kerana mereka dapat bersua muka secara terus dengan agensi pelaksana.

“Antara maklum balas yang kita terima ialah rakyat mahu e-tunai diperhebatkan lagi dan ada yang mencadangkan agar syarat untuk I-Suri dilonggarkan supaya lebih ramai yang dapat menikmati manfaatnya,” katanya.

Program IOW yang dimulakan sejak 23 Januari lalu sehingga kini diadakan di 4,162 lokasi tumpuan ramai di seluruh negara dengan memberi penerangan lengkap mengenai beberapa inisiatif kerajaan untuk rakyat seperti Bantuan Sara Hidup, I-Suri, Peka B40, MySalam, COVID-19 dan e-tunai.

-BERNAMA