Categories
BUDAYA RENCANA

KLWBC2020: Bina budaya membaca dalam normal baharu

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Tahun 2020 begitu bermakna dan mencatat sejarah buat Kuala Lumpur apabila julung kali dinobatkan sebagai Ibu Kota Buku Dunia ke-20 (KLWBC 2020) oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) selepas Sharjah, UAE.

Dengan slogan “KL Baca: Menyantuni Masyarakat Melalui Pembacaan”, KLWBC 2020 menjadi titik tolak gelombang pembacaan dan keprihatinan melalui pengupayaan buku yang dilaksanakan selama setahun bermula 23 April lepas sehingga 22 April, 2021.

Pengiktirafan KLWBC 2020 menunjukkan komitmen tinggi oleh Malaysia terhadap penganjuran aktiviti, promosi buku dan pembacaan dalam kalangan penduduk ibu kotanya, sebaris dengan negara lain yang telah dinobatkan sedemikian.

Acara WBC diperkenalkan oleh UNESCO pada tahun 2001 dengan Madrid, Sepanyol dipilih sebagai ibu kota buku pertama dunia, dengan tarikh 23 April ditetapkan sebagai tradisi pengisytiharannya, sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia.

Grafik: KLBaca

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata Kuala Lumpur dipilih berdasarkan komitmen bandaraya menjayakan program-program yang dinyatakan dalam kertas pembidaan yang dihantar kepada Jawatankuasa Penasihat yang merangkumi perwakilan daripada Persatuan Penerbit Antarabangsa (IPA), Persekutuan Antarabangsa Persatuan Perpustakaan (IFLA) dan UNESCO.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan mengetuai kempen besar-besaran pelaksanaan KLWBC 2020 sebagai agensi tuan rumah mewakili Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Tindakan Buku Negara (MTBN), Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Perbadanan Kota Buku (PKB) dan 150 badan bukan kerajaan lain bergabung tenaga bagi menjayakan program itu.

“Lebih 300 acara telah diatur mengikut lima teras utama iaitu kepelbagaian aktiviti membaca, pembangunan infrastruktur industri buku, pembangunan pembacaan dalam kalangan remaja dan kanak-kanak, pemerkasaan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, kecapaian buku digital dan pendidikan sepanjang hayat, selain pembinaan arca berkaitan buku sekitar ibu kota,” katanya kepada Bernama.

Dengan adanya KLWBC 2020, rakyat perlu disuntik inspirasi agar lebih kerap membaca bagi mencetuskan idea yang terbaik untuk kemajuan ibu kota dan negara.

“Kita bukan sahaja mahu melahirkan ‘smart city’, tetapi pada masa yang sama kita mahu mereka menjadi masyarakat pintar dan berpengetahuan tinggi dalam menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan ekonomi,” katanya.

Hikmah Pandemik Covid-19

Meskipun dunia digemparkan dengan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini, namun ia tidak menghalang acara perasmian KLWBC 2020 secara maya dilancarkan sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia.

Mungkin ramai yang tidak menyedari akan pelancaran itu memandangkan ketika tempoh PKP itu, hampir seluruh rakyat Malaysia tertumpu kepada perkembangan kes Covid-19 yang semakin meningkat dan membimbangkan.

Orang ramai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan mengamalkan penjarakan sosial serta memakai pelitup muka sepanjang berada di Perpustakaan Negara sebagai langkah bagi mengekang penularan Covid-19 ketika tinjauan pada 21 Julai 2020. Foto: BERNAMA

Menurut Ketua Jawatankuasa Promosi dan Publisiti KLWBC 2020 Khairul Azmir Ahmad, walaupun pelbagai aktiviti disusun atur dan dirancang sebelum acara kemuncak pada 23 April, yang dijadual di Dataran Merdeka, namun atas hikmah PKP kebanyakannya dapat dijalankan secara maya menerusi media sosial.

“Pelancaran dibuat secara maya dengan sesi penerimaan arca WBC daripada hos 2019 iaitu Sharjah kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur menerusi live streaming Facebook. Kami menyusun semula pelbagai program secara dalam talian dengan kerjasama pelbagai agensi, antaranya kempen ‘Sila Duduk Di Rumah dan Baca Buku’ oleh PNM sepanjang PKP, forum industri buku, perbincangan menerusi ‘Zoom’, serta sesi sembang buku bersama selebriti dan penulis blog.

“Sambutannya amat menggalakkan kerana kebanyakan peserta terdiri daripada penulis dan penerbit buku, pencinta buku, tenaga pengajar dan seterusnya pelajar, khususnya program interaktif menerusi laman rasmi Facebook KLWBC 2020 – ‘KL Baca’ dan aplikasi ‘Zoom’,” katanya.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, yang menjadi acara tahunan bagi menghimpunkan para pencinta buku dari seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), buat julung kalinya diadakan secara maya pada tahun ini dengan kerjasama ‘Shopee Malaysia’.

“Konsepnya sama seperti mana pesta buku yang diadakan setiap tahun, cuma yang uniknya para pencinta buku melawat ‘pesta buku’ dan ‘shopping’ buku secara dalam talian di rumah, seterusnya menerima parcel buku mereka dalam masa antara tiga hari hingga seminggu,” katanya.

Memandangkan kita masih dalam fasa pemulihan PKP, perancangan dan pertemuan antara para pemain industri buku dan pencinta buku masih dapat dijalankan secara fizikal namun pihaknya perlu menghadkan jumlah peserta.

Wujudkan Ibu Kota Mesra Buku

Menurut Khairul, usaha membudayakan pembacaan buku dalam kalangan warga kota giat dirancakkan dengan menaiktaraf dan mencantikkan lanskap ibu kota menerusi pembinaan arca dan kiosk membaca di kawasan terpilih.

Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dipilih sebagai jalan ‘KLWBC 2020’ kerana lokasinya terletak menuju ke arah Dataran Merdeka yang mana majlis pelancarannya dijadual diadakan di situ.

“Walaupun majlis pelancaran dijalankan secara maya, namun jalan itu tetap dijadikan sebagai jalan rasmi untuk KLWBC 2020 kerana di situlah terletaknya beberapa kedai buku dan pustaka lama yang berusia lebih 60 tahun.

“Bendera logo KLWBC 2020 dilihat menghiasi deretan kedai dan sepanjang Jalan TAR bagi merancakkan kempen budaya membaca dalam kalangan warga kota seterusnya menjadi simbolik pelancaran KLWBC 2020,” katanya dan menambah pihaknya telah menyediakan sebuah pejabat KLWBC 2020 di Jalan Tangsi di sini dengan satu arca dibina bagi memperingati tahun bersejarah ini.

“Sebanyak 64 kiosk buku dan dua ‘signage’ KLWBC 2020 telah dikenalpasti untuk dibina di seluruh ibu kota, dengan fasa pertama sebanyak 33 kiosk telah siap di lorong-lorong belakang bangunan dan lokasi tumpuan pelancong seperti River Of Life (RoL).

“Kiosk yang dibina rak dan bangku-bangku ini akan diisi dengan buku hasil sumbangan orang ramai, warga kota juga boleh membawa balik buku dari kiosk itu dan kami akan mengisi buku-buku itu dari semasa ke semasa apabila rak telah kosong.

“Di samping itu, kami menaiktaraf dan mencantikkan lorong-lorong belakang dengan kiosk-kiosk buku dan mural di dinding sebagai tempat membaca buku, rekreasi serta lokasi ‘instagrammer’ untuk golongan muda dengan kerjasama CSR (Tanggungjawab Sosial Korporat) syarikat-syarikat swasta.

“Kami mahu supaya lorong-lorong belakang bangunan tidak dikenali sebagai lorong senyap dan menjadi kawasan aktiviti jenayah dan memberikan imej baharu bahawa kawasan itu juga boleh dijadikan sebagai tempat lepak dan rekreasi untuk warga kota,” katanya.

Dalam usaha menggalakkan budaya membaca dalam kalangan warga kota, DBKL dengan kerjasama Perpustakaan Kuala Lumpur (PKL) telah melancarkan kempen sumbangan buku, yang mana buku sumbangan dalam Bahasa Melayu dan Inggeris boleh diserahkan kepada Sekretariat KLWBC 2020 untuk penilaian dan rekod, sebelum diletakkan di kiosk,” kata Khairul.

DBKL turut menyediakan pelbagai kemudahan seperti aplikasi GOKL dan QR code aplikasi ‘E-book’ di dalam bas, hentian bas dan dalam tren sebagai usaha untuk menjayakan kempen KLWBC 2020 dan menggalakkan pembacaan di mana-mana sahaja.

Perpustakaan Mini Di Rumah, Organisasi

Perpustakaan awam turut memainkan peranan dalam penyebaran maklumat dan penganjuran KLWBC 2020 di samping menggerakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia, khususnya warga kota.

Selain memberi ketenangan, keadaan persekitaran yang dikelilingi buku-buku pelbagai genre turut memberi motivasi dan semangat kepada si pembaca untuk teruskan tabiat membaca.

Dengan kemajuan teknologi juga, pembacaan buku digital menerusi gajet dan telefon bimbit kian meningkat, terutamanya ketika tempoh PKP yang mana kebanyakan masa dihabiskan dengan berada di rumah.

Menurut Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Rangkaian Sistem Perpustakaan PNM, Aidatul Hasnida Abdul Rani, hampir 40,000 buku digital perpustakaan itu dipinjam pada bulan Mac berbanding purata 15,000 pada bulan-bulan biasa.

“Ia menunjukkan peningkatan ketika tempoh PKP, PNM menawarkan peminjaman buku digital menerusi projek E-Pustaka, yang berjaya mendigitalkan sebanyak 1.7 juta muka surat bahan bacaan tempatan,” katanya dipetik dalam laporan berita 28 April lepas,” katanya.

Menerusi akaun Instagram rasminya, PNM memaklumkan rakyat Malaysia boleh mengakses 13.2 juta bahan bacaan digital secara percuma di http://www.u-pustaka.gov.my.

Menurut Pustakawan Bahagian Perkhidmatan Perpustakaan Kuala Lumpur (PKL), Syafiq Ridzuan Abdul Hamid, pinjaman buku sama ada buku fizikal atau digital yang ditawarkan kepada ahlinya juga meningkat ketika tempoh PKP, walaupun perpustakaan itu ditutup dalam tempoh itu dan dibuka semula Ogos.

“Ketika PKP, tiada sebarang denda lewat dikenakan dan pengguna tidak perlu risau akan tarikh penghantaran dan boleh melanjutkan tempoh peminjaman buku secara dalam talian dengan setiap buku dipinjam maksimum sebulan,” katanya.

Genre buku yang paling popular semasa PKP dan mendapat pinjaman tertinggi ialah buku cerita kanak-kanak.

Khairul berkata, budaya membaca sebenarnya boleh dipupuk dengan mewujudkan satu sudut pembacaan sama ada di rumah ataupun pejabat.

“Contohnya, perpustakaan mini ataupun satu sudut pembacaan yang dilengkapi dengan buku boleh diwujudkan secara santai bagi menggalakkan warganya membaca ketika masa rehat ataupun menunggu seseorang.

“Perpustakaan mini juga digalak diwujudkan di setiap rumah dan kediaman, atau sekurang-kurangnya satu di setiap kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah DBKL bagi menggalakkan anak PPR membaca dan membuat kerja sekolah di perpustakaan kerana ruang terhad di rumah.

“Oleh itu, menerusi usaha perpustakaan juga matlamat KLWBC 2020 dapat dicapai dengan menggalakkan warga kota menggunakan perkhidmatan perpustakaan sama ada secara fizikal ataupun dalam talian,” katanya.

Walaupun menggunakan hashtag ‘KL Baca’, namun ia tidak bermakna aktiviti KLWBC 2020 hanya tertumpu kepada penganjuran di ibu kota sahaja, malah turut bekerjasama dengan perpustakaan negeri yang lain bagi menggerakkan matlamat kempen.

Georgia Ibu Kota Buku Dunia Ke-21

Khairul berkata walaupun seluruh dunia berdepan dengan pandemik Covid-19, ia tidak bermakna budaya membaca yang mahu digerakkan menerusi KLWBC 2020 terhenti begitu sahaja.

Sebaliknya, masyarakat Malaysia masih boleh meluangkan lebih banyak masa dengan membaca buku dan bahan bacaan di rumah sekali gus budaya membaca itu lebih senang dipupuk lebih-lebih lagi ketika semua orang berada di rumah.

“Hikmah daripada pandemik Covid-19 dan PKP, kami berharap agar budaya membaca dalam normal baharu berjaya dipupuk dan dipraktik dalam kalangan masyarakat di negara ini menerusi KLWBC 2020.

“Kami akan memastikan matlamat untuk membudayakan pembacaan buku dalam kalangan rakyat di negara ini dapat dicapai, sama ada menerusi kempen menggerakkan industri penerbitan buku fizikal atau digital, mempromosikan penggunaan perpustakaan dan mengadakan pelbagai aktiviti sebelum menyerahkan arca WBC kepada hos seterusnya Bandaraya Tbilisi, Georgia pada tahun hadapan,” katanya.

-BERNAMA