Categories
AGENDA NASIONAL

Paip pecah: Gangguan bekalan air di 13 kawasan di KL

KUALA LUMPUR, 9 JUN: Sebanyak 13 kawasan di sekitar Kuala Lumpur akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan paip pecah di Jalan Kuari, di sini hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd Elina Baseri menerusi kenyataan hari ini memaklumkan bekalan air ditutup pada 4 petang tadi bagi pembaikan paip itu yang dijangka siap 4 pagi esok.

Elina berkata kawasan yang terjejas adalah Kampung Cheras Baru, Pandan Mewah, Taman Muda, Taman Bukit Permai, Taman Bukit Pandan, Taman Mawar, Taman Seraya, Taman Mega, Taman Bukit Teratai, Taman Melur, Taman Saga, Taman Putra dan Taman Mestika.

“Bekalan air akan mula disalurkan semula setelah kerja-kerja pembaikan siap sepenuhnya. Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

“Air Selangor sedang menggerakkan lori-lori tangki ke kawasan terjejas. Para pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori-lori tangki itu,” katanya.

Menurutnya, pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, laman sesawang Air Selangor di http://www.airselangor.com, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kawalan lebih ketat di 13 sekatan jalan KL mulai esok

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Polis Kuala Lumpur akan mengetatkan kawalan di 13 sekatan jalan raya (SJR) sedia ada bermula esok, seiring pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang lebih ketat bagi mengekang penularan Covid-19.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata antara yang akan dilaksanakan ialah pemeriksaan lebih terperinci ke atas dokumen kebenaran rentas negeri atau daerah yang dikeluarkan pihak berkuasa dan majikan.

“Polis akan mengekalkan 13 SJR sedia ada di Kuala Lumpur dan Putrajaya, namun dengan pemeriksaan lebih terperinci,” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya bersedia untuk mengatur gerak anggota bagi memantau dan membantu agensi berkaitan jika ada lokaliti lain dikenakan PKP Diperketatkan (PKPD) selain dua lokaliti semasa iaitu Kampung Batu Muda Tambahan dan Projek Perumahan Rakyat Kampung Limau.

Buat masa ini, polis membantu Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat mengagihkan bekalan makanan kering selain melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan di dua lokaliti berkenaan, katanya.

Dua lokaliti itu diletakkan di bawah PKPD bermula semalam hingga 5 Jun ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Sembilan sekatan jalan di KL bermula hari ini

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Polis Kuala Lumpur menggerakkan sekatan jalan raya (SJR) di sembilan kawasan bermula hari ini bagi memantapkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang bermula pada 7 hingga 20 Mei.

Sekatan jalan raya dilaksanakan bermula hari ini di kawasan Kuala Lumpur iaitu di Jalan Sentul Pasar, di hadapan Balai Polis Kepong, Jalan Klang Lama, Jalan 2/27A Wangsa Melawati, Jalan 1/91 Taman Shamelin Perkasa dan Lebuhraya Bukit Jalil.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur DCP Datuk Yong Lei Choo berkata sembilan lokasi utama di daerah ini akan diperketatkan sekatan jalan raya bagi mengelakkan sebarang aktiviti rentas daerah tanpa kebenaran berlaku.

“Sekatan jalan menghala ke Kuala Lumpur turut dijalankan di Lebuhraya Persekutuan, Jalan Tol Duta menghala ke Kuala Lumpur dan Jalan Tol Sungai Besi menghala ke Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yong berkata pemantauan akan dipertingkatkan oleh kumpulan pematuhan dan rondaan oleh unit Cawangan Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bagi memastikan penguatkuasaan PKP di Kuala Lumpur adalah komprehensif.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Polis Selangor, KL perketat kawalan elak curi rentas negeri

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Polis Kuala Lumpur dan Selangor memperketat kawalan sekatan jalan raya (SJR) di setiap plaza tol berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya sembilan SJR di sekitar ibu negara, tidak termasuk Putrajaya.

“Putrajaya ada empat SJR maka untuk Kuala Lumpur, kami menyasarkan sekurang-kurangnya sembilan SJR dan kita akan mula melaksanakannya esok,” katanya kepada Bernama semalam.

Bagi jumlah petugas yang diperlukan, beliau berkata perkara itu akan dilihat dari semasa ke semasa memandangkan pihaknya akan memperoleh bantuan daripada beberapa agensi keselamatan lain.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed pula berkata setakat ini, pihaknya melaksanakan kira-kira 50 hingga 70 SJR di sekitar Selangor bagi memastikan pengguna jalan raya tidak curi-curi merentas negeri kecuali mereka yang mempunyai kebenaran.

“Kalau mana-mana yang tiada kebenaran itu kita akan suruh mereka patah balik. Macam semalam, kebenaran telah diberikan (kepada mereka) yang ingin ambil anak dari sekolah berasrama,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ribut, hujan lebat sebabkan pokok tumbang sekitar ibu negara

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Hujan lebat dan ribut petir di ibu negara petang semalam mengakibatkan kejadian pokok tumbang di beberapa kawasan, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur antara kawasan terlibat dalam kejadian dari 6.23 petang hingga 7.04 malam itu adalah Jalan Perkasa, Taman Maluri; Taman Rama-Rama Cendasari, Bukit Aman; Pondok Polis Permaisuri, Bandar Sri Permaisuri; Taman Ikan Emas, Jalan Kaskas; Pangsapuri Indah Mas dan Taman Shamelin Perkasa.

Pokok tumbang turut menjejaskan laluan ke Stesen LRT Maluri menghala ke Stesen LRT Pandan Jaya.

“Kerja-kerja memotong pokok di laluan tersebut masih diteruskan dan para penumpang dikeluarkan oleh kakitangan LRT dan anggota bomba,” menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian di Jalan Perkasa, wanita berumur 33 tahun bersama empat anak berusia lapan hingga 13 tahun nyaris maut apabila rumah teres mereka dihempap pokok kira-kira 6.39 petang, namun semuanya diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Beberapa kenderaan yang diparkir di tepi jalan di lokasi terbabit turut rosak akibat ditimpa pokok tumbang, namun tidak membabitkan mangsa,” menurut kenyataan itu malam tadi.

Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah, BBP Pudu, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Cheras terlibat dalam tugas menyelamat selain memotong dan mengalihkan pokok tumbang di semua lokasi terjejas.

Sementara itu, Prasarana menerusi satu kenyataan memaklumkan sekurang-kurangnya 13 pokok tumbang dan menimpa trek sekitar Stesen Maluri, Pandan Jaya, Chan Sow Lin dan Cheras yang terletak di atas tanah sehingga menyebabkan perkhidmatan LRT laluan Ampang dan Sri Petaling terjejas.

“Rapid KL memohon maaf atas gangguan perkhidmatan ini dan kesulitan yang terpaksa dihadapi oleh pelanggan kami akibat gangguan berkenaan.

“Kerja-kerja mengeluar dan memindahkan penumpang mengambil masa lama atas faktor keselamatan kerana risiko yang dibawa oleh angin ribut, hujan dan petir pada masa itu,” menurut kenyataan tersebut.

Menurut Prasarana, kerja mengeluarkan dan memindahkan penumpang selesai pada 10.20 malam tadi, namun kerja pembersihan dan pemeriksaan trek akan dijalankan sepanjang malam ini untuk tujuan keselamatan.

Penumpang yang terjejas boleh menuntut kupon bayaran balik di semua kaunter LRT Laluan Ampang dan Sri Petaling.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

65 Bazar Ramadan bakal operasi sekitar KL

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Sebanyak 65 lokasi Bazar Ramadan dijangka beroperasi di sekitar ibu kota, bermula 3 petang hingga 8 malam sepanjang Ramadan ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, daripada jumlah lokasi itu 63 diselia oleh penganjur bazar Ramadan, manakala dua lagi iaitu di tempat letak kereta Taman Tasik Permaisuri (berhampiran Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur) dan di Jalan 4/38 A Taman Sri Sinar, Segambut (Wisma Suhati), akan diselia oleh DBKL sendiri.

“Pengunjung bazar Ramadan diwajibkan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), seperti pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu badan, daftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera dan sebagainya,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, kenyataan itu turut memaklumkan Bazar Aidilfitri yang sebelum ini beroperasi di Jalan Raja, akan beroperasi semula di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) bermula 17 April hingga 12 Mei, setelah ditangguhkan pelaksanaannya tahun lalu susulan Covid-19.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 208 penjaja akan terlibat di lokasi bazar yang bermula dari belakang bangunan Kompleks Campbell sehingga ke susur keluar persimpangan Masjid India, bermula 10 pagi hingga 12 tengah malam.

“Kawasan Lorong TAR yang menempatkan penjaja Bazar Aildilfitri akan dipasang pagar di sepanjang jalan, bagi mengawal keluar/masuk pengunjung dan akan dikawal selia sepenuhnya oleh DBKL,” katanya.

Sehubungan itu, tapak tradisi pasar malam di Lorong TAR setiap Sabtu, akan dipindahkan operasi ke Jalan Tuanku Abdul Rahman sepanjang bulan Ramadan iaitu pada 17 April, 24 April, 1 Mei dan 8 Mei 2021.

Kenyataan itu turut memaklumkan, sebahagian Jalan Tuanku Abdul Rahman bermula dari persimpangan Jalan Esfahan (selepas Sogo) sehingga ke persimpangan Jalan Melayu, akan ditutup sepenuhnya kepada kenderaan bagi memberi laluan kepada aktiviti pasar malam bermula 12 tengah hari hingga 12 tengah malam pada tarikh berkenaan.

DBKL turut mengingatkan penganjur, peniaga, pekerja serta pengunjung bazar, untuk mematuhi segala peraturan, syarat dan SOP yang ditetapkan MKN dan Kementerian Kesihatan.

“Mana-mana individu atau penganjur yang melanggar peraturan atau SOP ditetapkan bagi mencegah penularan Covid-19, akan berdepan kompaun sehingga maksimum RM10,000 terhadap individu dan RM50,000 kepada penganjur.

Manakala tindakan penutupan gerai /Bazar Ramadan/Bazar Aidilfitri terbabit, boleh dilaksanakan DBKL,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air di Gombak pulih sepenuhnya, KL capai 57 peratus

SHAH ALAM, 8 APRIL: Bekalan air yang terjejas akibat kerja penggantian injap di jajaran paip air mentah dari Empangan Klang Gates pulih sepenuhnya di wilayah Gombak.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata pemulihan di wilayah Kuala Lumpur pula mencapai 57 peratus.

“Sehingga jam 6 pagi, sejumlah 66 peratus bersamaan 38 daripada 58 kawasan mendapat bekalan air sepenuhnya yang mana para pengguna yang terjejas di Gombak pulih sepenuhnya.

“Manakala, sejumlah 20 kawasan di Kuala Lumpur masih belum pulih,” katanya menerusi Facebook.

Air Selangor memaklumkan orang ramai boleh mendapatkan maklumat senarai kawasan yang belum menerima bekalan air dengan merujuk pautan https://www.airselangor.com/status-terkini-pemulihan…/…

Sebelum ini, 58 kawasan membabitkan Gombak dan Kuala Lumpur dilaporkan mengalami gangguan air berjadual antara 48 hingga 68 jam bermula 6 April berikutan kerja penyelenggaraan beberapa aset utamanya tahun ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Mural, karya seni jalanan ubah wajah Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Kuala Lumpur bakal berubah wajah menjadi ibu kota seni jalanan yang diceriakan lukisan mural gergasi pelbagai konsep menerusi pengindahan lorong belakang dan lorong sisi pelbagai bangunan di sekitar bandar raya ini, secara berperingkat.

Mengambil ilham kejayaan bandar raya seperti Melbourne, Australia yang terkenal dengan kreativiti seni jalanan sehingga menjadi tarikan di mata dunia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini dalam fasa kajian reka bentuk dan penelitian aspek teknikal bagi menjayakan impian itu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mahadi Che Ngah berkata selepas kejayaan projek perintis seperti transformasi lorong sisi Changkat Bukit Bintang pada Mac 2018 yang sebelum ini gelap, berbau dan kotor, pihaknya akan memperluas projek pengindahan ke lorong lain yang telah dikenal pasti.

Beliau berkata selain Bukit Bintang, antara yang bakal dinaik taraf adalah Lorong Sultan dan Lorong Petaling, terletak berhampiran Pasar Karat dan Petaling Street atau Chinatown bagi menarik kedatangan lebih ramai pengunjung untuk membeli-belah dan bersantai.

“Pasar Karat biasanya menjadi sasaran peminat barangan antik manakala Petaling Street terkenal dalam kalangan pelancong juga menjadi mercu tanda Kuala Lumpur.

“Namun ramai masih menganggap lorong seperti ini sebagai kawasan hitam, tidak selamat dan usang, jadi projek ini akan memberi imej baharu yang lebih bersih, selamat dan ceria,” katanya kepada Bernama.

Program pengindahan Kuala Lumpur diteruskan dengan penghasilan lukisan mural memaparkan keindahan kehidupan Flora dan Fauna di dinding luar Terowong Bukit Nanas dan di Air Terjun Bukit Nanas. Kawasan ini dijangka akan menarik lebih banyak kunjungan pelancong di masa akan datang dan menjadi ‘insta-worthy area’ apabila siap kelak. Foto: BERNAMA

Mahadi berkata bagi Lorong Sultan, lukisan mural yang dicadangkan setakat ini akan memaparkan sejarah berkaitan kawasan terbabit, paparan papan tanda antik selain naik taraf infrastruktur, sistem saliran, cat dan turap semula jalan, penambahan lampu jalan serta cadangan konsep light box advertising.

Lukisan mural yang dirancang di Lorong Petaling pula disasar menjadi tarikan pengunjung untuk mengabadikan memori dengan sifat lukisan yang estetik dan Instagrammable (sesuatu yang menarik secara visual dan sesuai untuk disiarkan di aplikasi media sosial Instagram).

Pelukis mural, Zaimuddin Aziz, 30, tekun menyiapkan lukisan mural yang memaparkan keindahan kehidupan Flora dan Fauna ketika tinjauan di sekitar ibu kota pada 4 Disember 2020. Foto: BERNAMA

“Naik taraf ini juga akan merancakkan sektor ekonomi terutamanya peluang perniagaan di sekitar kawasan berkenaan dengan pengunjung tidak hanya datang untuk membeli-belah tetapi juga pelbagai aktiviti santai lain seperti bergambar yang juga dijangka merancakkan perniagaan makanan,” katanya.

Menurut beliau, projek naik taraf kedua-dua lorong itu juga

merupakan kesinambungan kepada pengindahan lorong sisi Yap Ah Loy, Lorong Bandar 11 dan Lorong Bandar 13 yang akan dihubungkan menerusi laluan pejalan kaki bagi membolehkan ia diterokai dengan lebih mudah.

Mahadi berkata lukisan di setiap lorong memaparkan konsep, tema dan identiti berbeza mengikut latar belakang dan sejarah kawasan selain mengambil kira pandangan komuniti setempat.

“Misalnya komuniti di Jalan Alor mahukan warna-warna terang dan ceria, jadi imej seperti rama-rama dan pelangi dipilih,” katanya.

Bercerita lanjut tentang perkembangan projek sulung di kawasan Bukit Bintang, Mahadi berkata sehingga kini sebanyak enam lorong belakang dan sisi telah berubah wajah melibatkan lorong sisi dan belakang di Jalan Changkat Bukit Bintang, Jalan Berangan, Jalan Rembia dan Jalan Tengkat Tong Shin.

Dua lagi projek iaitu untuk mewujudkan taman poket di persimpangan Jalan Rembia (di hadapan Hotel Malenge) serta pesta makanan di lorong sisi Jalan Rembia dan Jalan Alor masih dalam peringkat perancangan, katanya.

Pelukis-pelukis mural, Zaimuddin Aziz, 30, (kiri) dan Mahadi Ayob, 36, (kanan) sedang tekun menyiapkan lukisan mural yang memaparkan keindahan kehidupan Flora dan Fauna ketika tinjauan di sekitar ibu kota pada 4 Disember 2020. Foto: BERNAMA

“Kita lihat pelaksanaan ini juga memberi impak yang signifikan dari aspek sosial yang wujudnya perasaan sayang dan kekitaan selain mengambil peranan untuk menjaga kawasan,” katanya.

Mahadi berkata kalau dulu komuniti hanya duduk dalam bangunan, kini mereka selesa keluar untuk menjalani pelbagai aktiviti yang diminati di luar bangunan selain menjadi ruang awam untuk masyarakat berkomunikasi dan berhubung.

Transformasi itu juga, katanya, meningkatkan nilai sewa kedai sehingga 40 peratus, mewujudkan peluang pekerjaan dan peluang perniagaan termasuk di unit kosong yang sudah lama ditinggalkan.

Tambahnya selain lorong belakang dan sisi, DBKL juga mempertimbangkan kawasan sesuai untuk dicantikkan dengan lukisan mural misalnya di bahagian luar bangunan, kotak jana kuasa elektrik dan dinding di sepanjang laluan pejalan kaki seperti yang dilaksanakan di sekitar projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL) serta kawasan Bukit Nanas.

Mahadi berkata Pasar Borong Kuala Lumpur juga antara yang telah diberi nafas baharu dan dihias dengan lukisan mural menerusi penganjuran pertandingan yang mendapat sambutan menggalakkan.

“Kami juga melihat potensi Pasar Borong Kuala Lumpur untuk menjadi kawasan tarikan pelancong seperti Queen Victoria Market, Melbourne, Australia. Namun banyak aspek perlu diteliti dan ditambah baik bagi mencapai hasrat ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB perlu untuk putus penularan Covid-19 di KL, Selangor dan Putrajaya

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) perlu dikuatkuasakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selepas kes baharu dilaporkan adalah konsisten di tiga tempat berkenaan pada setiap hari.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata walaupun kes baharu dicatatkan kurang dari 100 setiap hari, ia berselerak dan mula menular di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta semua daerah di Selangor kecuali Sabak Bernam.

Kerajaan tidak boleh hanya melihat dan menunggu zon kuning menjadi merah untuk melaksanakan PKPB atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), katanya pada sidang media secara maya yang disiarkan di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, hari ini.

Dr Noor Hisham menjelaskan penilaian risiko sama ada teruk atau tidak bukan hanya bergantung kepada kes positif seharian tetapi juga perlu melihat kepada corak penularan jangkitan dalam sesebuah negeri.

“Jadi sekiranya penularan jangkitan hanya tertumpu kepada satu atau dua daerah sahaja, pendekatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar mungkin boleh dilaksanakan.

“Bagaimanapun sekiranya penularan jangkitan menular setiap daerah dalam negeri dan terus mencatat kes baharu secara berselerak di Selangor dan Lembah Klang (Kuala Lumpur dan Putrajaya), ini bermakna penularan jangkitan ini tidak dapat lagi dibendung dengan berkesan,” katanya.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata Sidang Khas MKN bersetuju melaksanakan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 12.01 tengah malam 14 Okt hingga 27 Okt ini, selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes dan penularan COVID-19 seperti di Klang, daerah Petaling serta Gombak.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata pelaksanaan PKPB itu juga bagi memutuskan penularan jangkitan rentas negeri secara lebih berkesan selepas mengambil kira kesukaran kawalan sempadan bagi Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Ini adalah tindakan lebih proaktif dan berkesan terutama dalam memastikan keupayaan kesihatan awam kita dapat dirancang sebaiknya.

“Pelaksanaan perintah ini merupakan tindakan pencegahan amat penting untuk dilaksanakan bagi membendung penularan Covid-19 sebelum ia menular ke seluruh negeri dan negara,” katanya.

Mengulas mengenai amaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terhadap penggunaan sekatan pergerakan sebagai kaedah utama untuk mengawal virus kerana ia mungkin memberi kesan kepada kemiskinan, Dr Noor Hisham menjelaskan tindakan yang diambil kerajaan bukanlah sekatan pergerakan sepenuhnya.

“Kami longgarkan dari segi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, kami benarkan sektor ekonomi berfungsi tetapi kami menyekat pergerakan untuk sosial, pendidikan serta sukan.

“Saya rasa adalah penting bagi kita untuk membuat keputusan, keputusan yang tepat supaya kita dapat mengimbangi kehidupan dan mata pencarian, inilah yang kami lakukan sekarang dan kami berharap tindakan ini akan membuahkan hasil dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi dan kami akan terus memantau keadaan ini dengan teliti,” katanya.

Mengenai sama ada pekerja terutama yang berurusan secara terus dengan orang ramai perlu melakukan ujian swab susulan beberapa kes melibatkan pekerja di pusat beli-belah yang positif Covid-19, Dr Noor Hisham berkata tatacara operasi piawai sebelum ini adalah terpakai, dan majikan digalakkan menghantar pekerja mereka untuk saringan dari semasa ke semasa.

“Petugas kesihatan, barisan hadapan misalnya dan agensi berkaitan sememangnya menjalankan saringan tempat kerja dari semasa ke semasa, selain daripada saringan petugas dikenali sebagai kontak rapat.

“Apa yang penting ialah Kementerian Kesihatan dan petugas kesihatan akan menjalankan penilaian risiko di kedai-kedai…kami akan laksanakan saringan nyah cemar dan nyah kuman,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sekatan jalan raya diadakan semula di KL, Selangor dan Putrajaya

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Polis akan kembali menguatkuasakan sekatan jalan raya (SJR) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berikutan arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 14 Okt.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata sekatan jalan raya itu akan diadakan di beberapa lokasi di tiga negeri terlibat bermula tengah malam esok.

“Sekatan jalan raya akan dilaksanakan sama seperti yang pernah dibuat sebelum ini (Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal Mac lepas. Arahan penugasan anggota polis di lokasi akan diatur oleh ketua polis Kuala Lumpur dan ketua polis Selangor,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang berkata ATM akan bekerjasama dengan PDRM dalam melaksanakan sekatan jalan raya seperti sebelum ini.

“ATM dan PDRM akan buat seperti yang dilakukan sebelum ini,” katanya ringkas.

Hari ini, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju melaksanakan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 12.01 tengah malam 14 Okt hingga 27 Okt ini.

Keputusan itu dicapai pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan dan mengambil kira peningkatan kes dan penularan Covid-19 seperti di Klang, Petaling serta Gombak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KL dilanda banjir kilat, pokok tumbang

KUALA LUMPUR,18 JULAI: Beberapa kawasan sekitar ibu negara dilanda banjir kilat selain kejadian pokok tumbang susulan hujan lebat sejak petang tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan kawasan dilanda banjir kilat ialah di hadapan Masjid Ububiah, Jalan Segambut Dalam melibatkan air naik setinggi satu kaki.

Turut dilaporkan lima kejadian pokok tumbang di hadapan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Taman Pusat Kepong, Taman Tun Dr Ismail, Taman Sri Rampai dan Sungai Penchala.

Kejadian pokok tumbang itu turut menyebabkan tiga kenderaan dan bahagian dapur sebuah rumah rosak.

Menurut kenyataan itu, tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

25 jalan di KL ditutup 7 & 8 April

KUALA LUMPUR 3 APR: Sebanyak 25 jalan di ibu negara akan ditutup atau dilencongkan sempena acara larian Maraton Antarabangsa Standard Chartered 2018 yang bermula dan berakhir di Dataran Merdeka pada Sabtu dan Ahad ini.

Penutupan jalan secara berperingkat itu bermula pada pukul 3 pagi hingga 12 tengah hari pada kedua-dua hari berkenaan, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim pada sidang akhbar di sini semalam.

 

Jalan-jalan itu ialah Jalan Raja (Dataran Merdeka), Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Jalan P. Ramlee, Jalan Raja Chulan, Jalan Bukit Bintang, Jalan Tun Abdul Razak, Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur dan Lebuh Raya Duta-Ulu Klang.

Yang lain Jalan Kuching (dari Selayang), Jalan Tuanku Abdul Halim (Duta), Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Jalan Raja Abdullah (Kampung Baru), Jalan Langgak Tunku, Jalan Bukit Tunku, Jalan Tunku, Jalan Tun Ismail, Jalan Dato Onn, Jalan Sultan Salahuddin, Jalan Parlimen, Jalan Damansara, Lebuh Raya Sultan Iskandar, Jalan Kinabalu dan Jalan Sultan Hishamuddin.

“Dianggarkan 400 pegawai dan anggota polis serta anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan ditugaskan mengawal lalu lintas sepanjang program itu berlangsung,” kata Mazlan.

Beliau berkata, pengguna jalan raya boleh menggunakan aplikasi Waze untuk mendapatkan laluan alternatif sepanjang tempoh jalan ditutup serta digalak menggunakan pengangkutan awam untuk ke pusat bandar.

“Kira-kira 38,000 peserta dijangka menyertai acara larian itu,” kata Mazlan. katanya.

SUMBER: BERNAMA