Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Banjir kilat: 15 rumah dinaiki air, lima kenderaan terkandas di Klang

SHAH ALAM, 20 OKT: Sebanyak 15 rumah di Jalan Mohd Yamin, Klang dinaiki air susulan limpahan air sungai akibat hujan lebat petang tadi.

Pengarah Bomba Selangor berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu dan tiba di lokasi kejadian sekitar jam 5.55 petang.

“Seramai lapan anggota dari Balai Bomba Penyelamat Klang dan Banting dikejar ke lokasi dan didapati kedalaman banjir dianggar sedalam 1.8 meter.

Anggota bomba membantu mangsa banjir di Jalan Mohd Yamin, Klang petang tadi. Foto Ihsan Bomba Selangor

“Sebanyak 15 rumah terbabit dalam kejadian itu dengan kerja mengeluarkan mangsa sedang dilakukan,” kata Norazam Khamis menerusi kenyataan.

Beliau berkata setakat ini jumlah mangsa sedang dikenal pasti.

Sementara itu, dalam kejadian banjir kilat di Persiaran Bukit Raja 2, Klang, Norazam berkata sebanyak lima kenderaan terkandas di jalan raya.

“Anggota dari Balai Bomba Penyelamat Sungai Pinang tiba di lokasi kejadian pada jam 5.30 petang dengan pemandu terlibat telah diarah keluar dari kenderaan masing-masing,” katanya yang memaklumkan kedalaman banjir di lokasi sedalam 1.2 meter.