Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tengku Amir Shah cemar duli rasmi sidang perniagaan 2021

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021, hari ini.

DYTM Tuanku mewakili Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj merasmikan sidang kemuncak yang berlangsung sehingga 21 November secara hibrid dan fizikal di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Turut hadir ke sidang kemuncak itu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Pelaburan Perdagangan dan Perindustrian Dato’ Teng Chang Khim.

Menurut Amirudin inisiatif tahunan itu merupakan satu daripada sidang kemuncak perniagaan terulung rantau Asean yang mengumpulkan pemain industri tempatan dan antarabangsa.

“SIBS 2021 merupakan peluang kepada pelabur untuk menghubungkan dan memperluas jaringan perniagaan dan ia amat penting ketika persekitaran ekonomi yang semakin mencabar hari ini.

“Melalui pelbagai persidangan dan pameran, SIBS 2021 akan membentangkan peluang pertumbuhan yang terdapat di negeri ini terutamanya dalam lima kluster teras Selangor,” katanya.

Jelas Amirudin, lima kluster teras itu termasuk rangkaian industri, aeroangkasa hingga farmaseutikal yang mempunyai potensi tertinggi untuk memacu pertumbuhan ekonomi dalam tempoh terdekat serta masa depan.

“Selain itu, kluster makanan dan minuman (F&B) merupakan salah satu industri yang paling pesat berkembang terutamanya pasaran halal yang berpotensi memacu ekonomi negeri dan negara,” katanya.

Sebanyak RM11 juta diperuntuk bagi SIBS 2021 meliputi pembangunan dan penyelenggaraan portal perniagaan, selain pemasaran dan pembangunan bagi sembilan acara utama.

SIBS 2021 turut menampilkan lima pameran berlainan selain tiga persidangan antarabangsa dengan penglibatan sekurang-kurangnya 150 peserta bagi setiap acara.

Selangor menjadi negeri pertama menganjur dan memimpin sidang tersebut secara maya pada 14 hingga 17 Oktober tahun lalu dengan mengumpulkan pemain industri utama.

Acara diadakan termasuk Ekspo Antarabangsa Selangor (makanan dan minuman), Persidangan Perniagaan Asean Selangor, Konvensyen Digital Ekonomi dan Bandar Pintar Selangor.

Categories
NASIONAL

Pesta buku di KLCC jadi tarikan pengunjung

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Orang ramai mengambil kesempatan cuti persekolahan dan cuti sambutan Aidilfitri untuk mengunjungi pesta buku di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Beberapa pengunjung yang ditemui Bernama, berkata, mereka mahu ‘berehat’ seketika daripada agenda berkunjung ke rumah sanak-saudara yang tidak dapat tidak diselit dengan pelbagai juadah yang menyelerakan.

Eksekutif swasta, Nor Shahidah Ahmad, 23, berkata, beliau mengambil kesempatan untuk keluar bersiar-siar di sekitar ibu kota setelah seharian berkunjung ke rumah sanak saudara pada hari raya pertama semalam.

“Semalam kami makan terlalu banyak, jadi mahu keluar bersiar-siar pula pada hari raya kedua dan datang ke pesta buku untuk membeli novel dan sebagainya. Lagipun jalan di ibu negara lengang,” katanya.

Warga emas, Shamsiah Haris, 70, berkata, hampir setiap tahun beliau pasti mengunjungi pesta buku berkenaan untuk membeli buku masakan.

“Saya suka memasak, banyak jenis buku masakan yang boleh saya pilih untuk menyediakan juadah untuk rumah terbuka nanti.

“Selain itu, saya membeli beberapa buku kanak-kanak untuk beberapa cucu saya kerana ketika pesta bukulah banyak promosi dan diskaun diberi kepada pengunjung,” katanya.

Pesta buku dengan tema ‘Assuredly Enriching’ itu dianjurkan bersama Popular Book Co (M) Sdn Bhd dan BookFest @ Malaysia 2019.

Lebih 700 pempamer dari hampir seluruh dunia menyertai pesta buku tersebut yang berlangsung dari 1 hingga 9 Jun ini. Tahun lalu, pesta buku tersebut menarik 680,000 pengunjung.

– BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA

Pelancaran Jelajah #BantahTPPA & #AntiObama Malam Ini di Taman Melati, Wangsa Maju

Backdrop Jelajah

Selepas berakhirnya siri jelajah #Black505 yang menyaksikan beberapa kemuncak perhimpunan pada pertengahan Jun lalu, suasana perlawanan antara rakyat yang ditindas dan kerajaan zalim dilihat sejuk tidak bermaya. Di atas kesuraman ini juga, kesempatan diambil oleh pemerintah untuk terus menekan rakyat menyedari asakan dari rakyat sudah mulai perlahan.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) tidak memandang ringan situasi ini lantas membawa perlawanan baru untuk rakyat bersatu melawan penindasan. Suasana ceramah umum yang selama ini menjadi medan penyebaran maklumat akan dihidupkan semula.

Maka bermula hari ini, SAMM bersama rakan sekutu akan menjengah ke seluruh negara dalam satu siri jelajah mobilisasi menentang perjanjian TPPA dan membantah kehadiran Presiden Obama ke Kuala Lumpur pada 10-11 Oktober ini. Siri jelajah juga akan dipanaskan dengan beberapa isu semasa termasuklah isu kesan kenaikkan harga petrol dan pemenjaraan 13 pejuang demokrasi.

Jelajah #BantahTPPA dan #BantahObamaKLCC anjuran SAMM, SMM dengan kerjasama Badan Bertindak Bantah TPPA yang dibarisi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) akan merentasi 13 lokasi di seluruh tanahair sebelum kembali semula ke Kuala Lumpur dalam satu pentas kemuncak yang mungkin mempertemukan dua tokoh terbesar tanahair. Jelajah ini juga akan memastikan orang ramai dari seluruh negara akan bergerak dan sampai ke Kuala Lumpur pada 11 Oktober 2013 demi satu perhimpunan di KLCC ‘menyambut’ Presiden Amerika, Barrack Obama dengan cara tersendiri.

Aksi pelancaran Jelajah #BantahTPPA akan berlangsung malam ini di Taman Melati, Wangsa Maju dianjurkan oleh SAMM Wilayah yang diketuai oleh sdr Azmir Hj Mustaffa dengan kerjasama PKR Wangsa Maju.

Pentas pelancaran akan digegarkan oleh YB Tian Chua, Dr Hatta Ramli, che’GuBard, Hishamuddin Rais, wakil mahasiswa Safwan Anang dan Adam Adli. Turut hadir di pentas adalah wakil NGO #BantahTPPA antaranya Nizam Mahshar (MTEM), Cikgu Azmi (MAPIM), Syed Ibrahim (IKRAM), Azlan Awang (Blindspot), Sivarajan (JERIT), Anas (Blindspot).

SAMM menjemput seluruh warga kota untuk hadir bersama menghadam maklumat mengenai bahana perjanjian TPPA dan isu semasa yang menghangat. Pesta kesedaran akan terangkan semula biarpun sekadar berbentuk ceramah sebagai pemula, ia cukup menjadikan api kemarahan rakyat dinyalakan sebaiknya. Cukuplah waktu rehat, kini tiba masanya bersama menggerak massa menyelamatkan tanahair.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

 

TPPA 2

 

Categories
SELANGOR

SAMM Dakwa Syarikat Menteri Monopoli Kontrak Petronas Punca Syarikat Bumi Mati?

Chegubard

SHAH ALAM, 29 JAN: Kontraktor pengangkutan kepada syarikat Petronas Dagang Berhad (PDB) memberitahu Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) perniagaan mereka terjejas teruk disebabkan kontrak pengangkutan syarikat itu kini dimonopoli oleh syarikat Shaziman Transport Sdn Bhd.

Shaziman Transport Sdn Bhd (STSB) yang didakwa milik seorang Menteri Kabinet dikatakan memonopoli lebih 90 peratus kontrak pengangkutan di sesetengah tempat menyebabkan beberapa syarikat bumiputra lain gulung tikar dan menanggung kerugian.

Menurut pengusaha pengangkutan lori yang ditemui Penyelaras SMMM, Chegu Bard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin, semua syarikat kontraktor lori lain tidak diberikan ‘trip’ perjalanan tanpa notis awal dengan alasan kononnya untuk menguji kemampuan STSB.

Justeru, Chegu Bard dalam sepucuk suratnya yang dihantar kepada PDB, 26 Januari lalu, menuntut agar PDB dapat menjelaskan isu ini.

“Sebuah syarikat di Melaka yang berurusan dengan PDB sebelum ini memiliki 12 buah lori, menjadi 3 lori sahaja kerana lorinya ada yang dijual dan ada ditarik bank kerana masalah kewangan ekoran penurunan ‘trip’ mendadak oleh PDB yang memberi laluan kepada STSB.

“Ini menyebabkan rata-rata syarikat bumiputra lain di Melaka bukan sahaja hilang pendapatan tetapi terpaksa menanggung kerugian RM50,000 ke RM60,000 bulan lepas untuk membayar gaji pokok pemandu lori dan kos berkaitan.

“Di Johor dilaporkan monopoli syarikat STSB yang diberikan oleh PDB hampir 90 peratus menyebabkan banyak syarikat bumiputera lain gulung tikar,” menurut kandungan surat itu.

Menurut Chegu Bard, surat tersebut dihantar melalui faks dan emel dan beliau akan menyerahkan salinan asalnya kepada pejabat PDB di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) minggu ini.

Chegu Bard ketika mengulas isu sama berkata kontraktor terlibat yang beroperasi di Melaka juga ada memberitahu beliau bahawa monopoli kontrak PDB akan berlaku ekoran mereka mungkin dikehendaki mengambil sub-kontrak pengangkutan PDB melalui STSB.

“STSB ini naik dengan cepat sekali, sekali dari cuma beberapa buah lori kini dikatakan sudah memiliki 80 buah lori sehingga STSB disenaraikan sebagai antara peneraju dalam syarikat pengangkutan negara,” ujar beliau kepada TV Selangor.

Menurut beliau dasar monopoli yang diamalkan ini mampu mengundang risiko bahaya kepada ekonomi negara sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini terhadap syarikat yang menguasai pasaran.

“Dasar monopoli ini juga punya risiko keselamatan, bayangkan setahun dua ini jika ini berterusan, syarikat lain pasti mati dan 100 peratus PDB bergantung kepada satu syarikat sahaja.

“Bayangkan jika sesuatu berlaku seperti syarikat mogok, menyebabkan berapa banyak stesen minyak akan putus bekalan minyak dan beberapa sektor dalam negara pasti lumpuh,” katanya lagi.

STSB yang dikaitkan dengan Menteri Kabinet ini bukan sahaja mendapat kontrak dari PDB tetapi juga dari Proton, Perodua dan banyak syarikat berkepentingan kerajaan lagi.

Chegu Bard yang enggan menyebut nama menteri yang dimaksudkan, bagaimanapun tidak menolak kemungkinan isu ini melibatkan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Categories
NASIONAL

Dataran Merdeka Tiada Sambutan Hari Kemerdekaan Suatu Sejarah

Laporan oleh Nazli Ibrahim dan Afix Redzuan

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Detik menjelang Hari Kemerdekaan yang sering di raikan di Dataran Merdeka Kuala Lumpur menempa sejarah apabila ‘countdown’ menjelang jam 12 malam ini tidak dapat di raikan disebebkan di tutup oleh pihak berkuasa.

Tinjauan TV Selangor, mendapati kawasan persekitaran Dataran merdeka kelihatan lengang dan hanya para wartawan dan Jurugambar serta beberapa pasukan polis berada di lokasi tersebut.

Pihak polis juga turut memaklumkan wartawan yang berada di Dataran Merdeka bahawa tiada sebarang sambutan diadakan di sini.

Polis yang dipercayai berpangkat tinggi itu memberitahu agar orang ramai pergi ke KLCC sekiranya mahu menyambut ambang merdeka.

“Di sini tiada sambutan, bunga api pun cuma ada di KLCC.

“Kesian ada yang datang bawa family. Media tolong beritahu org ramai,” ujar anggota polis itu.

TVS juga mendapati anggota-anggota keselamatan mula berada di kawasan dataran.

Sekurang2nya dua buah bas dan beberapa trak digunakan utk membawa anggota polis ke sini.

Manakala kenderaan yang biasnya digunakan unit polis simpanan khas (FRU) masih belum kelihatan.

Ini berikutan kenyataan pihak polis hari ini yang mengeluarkan kenyataan bahawa sebarang perhimpunan tidak dibenarkan di Dataran Merdeka.

Kenyataan polis tersebut ekoran beberapa NGO bercadang mengadakan himpunan “Janji Demokrasi’ yang sebelumnya dinamakan ‘Janji Bersih’ di tempat tersebut.

Bagimana pun terdapat juga ura-ura himpunan baju kuning tersebut akan tetap di adakan pada esok hari.

Sementara itu skrin TV besar di Dataran Merdeka menyiarkan pengumuman “Tiada sebarang orang atau pihak dibenarkan masuk ke Dataran Merdeka kerana kerja-kerja persiapan sambutan kemerdekaan ke- 55 sedang dijalankan”.

Categories
NASIONAL

Korporat Perlu Bantu Perkukuh Institusi Pendidikan

SHAH ALAM, 12 APR: Sektor korporat di negara ini disaran mengambil tanggungjawab sosial untuk memperkukuhkan institusi pendidikan di negara ini.

Demikian menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika memberikan ucapan dalam majlis pidato yang bertajuk ‘Wacana Politik: Pendidikan Percuma, Apakah Sekadar Mimpi? di Dewan Kiambang, Seksyen 7 di sini.

Antara peranan yang boleh dimainkan oleh sektor korporat di negara ini adalah dengan membina universiti-universiti seperti yang dilakukan oleh Petronas, Tenaga Nasional Bhd(TNB) dan Telekom Malaysia Bhd.

“Maknanya ini bukan pasal penswastaan, tetapi memaksa syarikat-syarikat yang kaya- raya yang diswastakan mewujudkan universiti untuk berikan pendidikan yang bermutu, maka universiti akan bertambah.

“Ini, ada syarikat yang untungnya berbilion-bilion, tetapi bila dekat nak pilihanraya, beri pada Umno, selesai tanggungjawab.

“Apa tanggungjawab sosial korporat, CSR syarikat-syarikat ini terhadap masyarakat negara ini? soal beliau.

Anwar turut memberitahu, beliau amat menekankan isu pendidikan sepanjang memegang jawatan Menteri Kewangan.

“Apabila kita perintah, universiti akan kita bina dengan lebih banyak seperti.. tanya Petronas, siapa yang tekankan supaya Petronas bina universiti,” katanya.

Terangnya, waktu itu beliau menekankan supaya Petronas membina universiti, manakala Dr Mahathir waktu itu hanya bercakap tentang pembinaan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) yang ada Philharmonic Orchestra.

“TNB pula masa mula-mula diswastakan dapat untung berlipat kali ganda, saya tanya Tan Sri Ani Arope bagaimana dengan perumahan pekerja dan bagaimana dengan pendidikan anak-anak mereka? Dia terkejut.

“Selepas itulah TNB bina Uniten dan sama juga dengan Telekom mereka letakkan asas untuk bina universiti di Taiping,” katanya lagi.

Dalam majlis dialog yang dihadiri kira-kira seribu orang itu turut menampilkan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Mohammad Nizar Jamaluddin, Adun Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari dan beberapa pemimpin gerakan mahasiswa.