Categories
SELANGOR

Bekas polis dipenjara, denda halang tugas penguasa di KLIA

SEPANG, 9 NOV: Bekas anggota polis dijatuhi hukuman penjara tujuh hari selain didenda RM5,000 kerana menghalang tugas anggota polis yang mengeluarkan saman, terhadap kenderaan di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2 Nov lepas.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Basri Lebai Bawai, 55, yang kini seorang peniaga manakala anaknya, Muhammad Saari Basri, 22, didenda RM2,500 selepas mereka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini, menghalang Lans Koperal Ikhwan Syafiq Ismail daripada menjalankan tugasnya.

Dua beranak itu didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Pintu Lima dan Pintu Enam di aras lima terminal utama KLIA kira-kira 1 tengah hari pada 2 Nov lepas, mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman pemenjaraan ke atas Basri bermula dari tarikh tangkap pada 5 Nov lepas serta mereka masing-masing akan dipenjara 10 bulan dan tiga bulan, jika gagal membayar denda RM5,000 dan RM2,500 tersebut.

Mengikut fakta kes, ketika Ikhwan Syafiq yang sedang bertugas di tempat kejadian, beliau telah dimaki Basri kerana berang disaman oleh rakan pengadu atas kesalahan parkir kereta di kawasan orang kurang upaya (OKU), serta menghalang lalu lintas.

Ikhwan Syafiq kemudian menuju ke arah kereta Basri dan mengarahkan tertuduh menunjukkan kad pengenalan serta lesen memandu, namun dia enggan dan terus masuk ke dalam kereta.

Pengadu cuba menghalang Basri daripada bergerak, namun Muhammad Saari yang merupakan pemandu kereta terus memandu kenderaan tersebut dengan cara berbahaya serta seakan mahu melanggar pengadu, dan mereka berdua terus melarikan diri.

Dalam rayuan, peguam Zaflee Pakwanteh yang mewakili dua beranak itu memohon, agar mahkamah mengenakan hukuman yang ringan atas alasan kedua-dua anak guamnya, Basri merupakan peniaga yang terkesan akibat pandemik Covid-19, manakala Muhammad Saari masih belajar.

“Kesalahan tersebut timbul akibat isu salah faham kerana Basri menghantar saudaranya yang merupakan OKU ke KLIA, namun keretanya tidak mempunyai pelekat OKU,” hujah Zaflee.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada kedua-dua mereka, kerana isu kemarahan tidak patut dijadikan alasan untuk mereka melakukan kesalahan tersebut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Empat ditahan seludup dadah bernilai RM8.1 juta di KLIA

SEPANG, 1 NOV: Dua kakitangan sebuah syarikat penerbangan kargo yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), antara empat lelaki yang ditahan kerana disyaki cuba menyeludup keluar dadah seberat 200 kilogram (kg) ke New Zealand.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata keempat-empat lelaki tempatan berusia lingkungan 34 hingga 59 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan di KLIA dan sekitar Lembah Klang pada 22 Okt hingga 26 Okt.

Beliau berkata tangkapan dijalankan selepas pihak keselamatan Malaysia Airport Berhad mencurigai kandungan lima kotak yang dibawa lelaki yang dialamatkan ke Auckland, New Zealand.

“Polis kemudiannya memeriksa kotak berkenaan yang diisytiharkan sebagai barangan elektronik dan menemukan 180 bungkusan dadah jenis syabu seberat 200 kg dianggarkan bernilai RM8.1 juta.

Dua kakitangan sebuah syarikat penerbangan kargo yang ditahan berperanan sebagai pemudah cara untuk sindiket terbabit mengeksport dadah itu ke luar negara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA di sini hari ini.

Razarudin berkata siasatan awal polis mendapati sindiket terbabit melakukan empat penghantaran dadah keluar negara melalui modus operandi yang sama sejak April lepas.

“Polis kini mengumpul maklumat mengenai ketua dan saki-baki ahli sindiket ini dan kami percaya akan melakukan tangkapan dalam masa terdekat,” katanya.

Menurut Razarudin saringan air kencing mendapati seorang lelaki yang ditahan itu positif dadah jenis ganja dan kesemua mereka direman sehingga 5 Nov. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selain itu, polis turut menyita pelbagai aset milik mereka yang ditahan itu suspek yang dianggar bernilai RM234,955 antaranya sebuah Ford Ranger, wang tunai RM3,560 dan jam tangan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Maqis patah cubaan seludup 150kg benih belut di KLIA

SEPANG, 19 MEI: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 150 kilogram (kg) benih belut jenis Anguilla Bicolor yang cuba dieksport ke Hong Kong melalui kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.

Pengarah Maqis Selangor Zamri Hashim berkata rampasan itu dibuat ketika pihaknya menjalankan pemeriksaan di kawasan gudang kargo KLIA sebelum dagangan tersebut yang bernilai RM61,612 dijadualkan dieksport pada jam 9 pagi hari yang sama.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesalahan pada barang dagangan tersebut iaitu tidak mempunyai permit eksport Maqis manakala Sijil Kesihatan Perikanan yang dikemukakan kepada pegawai yang bertugas adalah palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zamri berkata kesalahan mengeksport dagangan hasil perikanan tanpa mempunyai permit eksport merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 11 (2), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728], yang boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan maksima enam tahun atau kedua-duanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Video memasak di KLIA hanya gimik

SEPANG, 20 APRIL: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjelaskan bahawa video memasak di tempat terbuka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hanyalah gimik atau sekadar usaha promosi oleh salah satu gerai makanan dan minuman, Eraman Mini Cafe.

Dalam kenyataan hari ini, MAHB menegaskan bahawa memasak adalah dilarang di kawasan terbuka bangunan terminal seperti mana peraturan dalam Manual Keselamatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang yang tidak membenarkan dapur api terbuka atau plat panas elektrik digunakan selain di dapur yang ditetapkan di dalam bangunan terminal.

“Kafe itu mengadakan gimik yang mensimulasikan memasak hidangan tradisional Melayu ‘gulai kawah’ dengan meletakkan kuali di atas dapur tanpa pembakar gas tetapi hanya dengan alat pemanasan menggunakan bahan bakar pemanasan hidangan yang dikenali sebagai gel Sterno.

“Semua hidangan dimasak dan disediakan di lokasi berasingan dan dibawa ke Eraman Mini Cafe menjelang waktu gerai dibuka,” menurut MAHB bagi mengulas video tular mengenai Bazar Ramadan yang memaparkan pengusaha gerai memasak di kawasan terbuka dalam bangunan terminal.

Pengendali lapangan terbang itu menjelaskan Eraman Mini Cafe telah beroperasi di Terminal 1 KLIA sejak Oktober tahun lepas dan kini menawarkan pengalaman seperti Bazar Ramadan untuk menarik lebih banyak pelanggan ke gerai tersebut.

Hidangan bufet itu ditempatkan di kawasan seluas 50 kaki x 50 kaki dan makanan yang dibeli dari Eraman Mini Cafe itu juga boleh dimakan dalam gerai itu sendiri, yang kini menawarkan kapasiti maksimum 55 orang pada satu masa.

Menurut MAHB, Eraman Mini Cafe mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan.

“Pemakaian pelitup muka diwajibkan dan setiap pelanggan diberi nombor untuk memastikan kapasiti maksimum kafe tidak dilanggar,” katanya.

MAHB mengurus dan mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia dan satu lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turki.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KLIA guna sistem sinaran ultraungu automatik bendung Covid-19

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memulakan proses nyah cemar bagasi yang tiba dengan sistem sinaran ultraungu automatik (UV) baharu untuk membendung penularan Covid-19 dan memastikan keselamatan di lapangan terbang terus berada pada tahap tertinggi.

Dalam satu kenyataan hari ini, pengendali lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata inisiatif terkini Airports 4.0 itu merangkumi bebuli UV yang dipasang pada terowong tertutup dalam sistem pengendalian bagasi (BHS) yang menyahjangkit bagasi secara automatik apabila melalui sistem konveyor.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan MAHB Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata syarikat itu membuat pelaburan yang besar dalam teknologi UV kerana ia terbukti berkesan menghapuskan pencemaran di permukaan seperti kulapuk, bakteria dan biofilem mikrob yang lain.

“Sebelum ini, kami memasang ruang UV yang menghasilkan sinaran UV bagi mengelakkan penularan patogen bawaan udara untuk tandas kami,” katanya.

MAHB meneruskan usaha tersebut melalui penggunaan terowong UV untuk mengurangkan risiko daripada pencemaran mikrob bukan sahaja untuk pelanggan, malah kepada kakitangan di lapangan yang mengendalikan bagasi.

“Sebagai pengendali lapangan terbang, adalah penting untuk kami memastikan pengalaman pelanggan secara keseluruhannya diuruskan dengan berhati-hati dengan mengambil kira pelbagai titik sentuhan semasa perjalanan.

“Penumpang diberi jaminan mengenai keselamatan mereka apabila mengambil beg yang telah disanitasi dan bersih di bahagian tuntutan semula. Kami sedang melakukan langkah menambah baik aset utama bagi BHS dan terowong disinfeksi UV adalah antara ciri-ciri tetap terkini itu,” katanya.

MAHB berkata dua daripada empat terowong itu telah dipasang manakala selebihnya dijangka siap pada bulan depan.

Dengan pelancaran Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 pada bulan lepas, MAHB berharap agar perjalanan udara akan pulih secara berperingkat dan ia komited untuk memastikan perjalanan penumpang adalah selamat dan lancar.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KLIA antara 10 lapangan terbang terbaik dunia 2020

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disenaraikan antara 10 lapangan terbang terbaik dunia menerusi kaji selidik Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) global bagi kategori melebihi 40 juta penumpang setahun pada 2020.

Kaji selidik itu dijalankan oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) manakala ASQ merupakan tanda aras lapangan terbang terbaik dunia dari segi kepuasan menyeluruh penumpang yang merangkumi aspek keselamatan terminal, kemudahan, perkhidmatan serta kebersihan.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataannya pada Isnin, menyifatkan pencapaian KLIA yang diumumkan oleh ACI pada awal bulan ini adalah susulan daripada usaha berterusan membabitkan inisiatif penambahbaikan biarpun terjejas teruk akibat penularan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata jumlah trafik penumpang bagi kumpulan MAHB masih rendah berikutan sekatan perjalanan domestik dan antarabangsa dengan hanya mencatat 1.6 juta pergerakan penumpang pada Februari lepas.

Bagaimanapun, katanya, lapangan tersebut akan tetap meneruskan projek penting seperti pengubahsuaian kemudahan bilik air, pembentukan pasukan kecemerlangan operasi yang mengenal pasti serta merekabentuk inisiatif penambahbaikan.

Ini termasuk langkah memperkenalkan ‘Exceptional People Practice Playbook’ – garis panduan manual dwibahasa sebagai panduan untuk petugas di barisan hadapan berinteraksi dengan pelanggan mereka.

“Bagi tahun ini, penumpang boleh menjangkakan untuk menikmati perjalanan yang ditambah baik seperti tempoh menunggu lebih singkat dan teknologi pengecaman wajah yang menjadi sebahagian daripada transformasi digital Lapangan Terbang 4.0 kami,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shukrie juga optimis terhadap daya tahan permintaan bagi perjalanan udara.

“Kami menyaksikan peningkatan semula (permintaan) yang lebih kukuh apabila beberapa sekatan perjalanan ditarik balik sebelum ini. Oleh itu, MAHB akan terus mempertingkat tawaran-tawaran berkaitan.

“Malah, langkah untuk sentiasa peka dengan permintaan penumpang dan industri penerbangan ini akan turut membantu kami untuk terus kekal di kedudukan hadapan dalam persaingan selain sejajar dengan sasaran kami untuk muncul sebagai antara lima lapangan terbang terbaik bagi tahun ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sensor 3D baharu kurangkan masa menunggu di KLIA

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Sistem Pengurusan Barisan Automatik (AQMS) di Lapangan Terbang Antarabangsa KL sedang menggunakan teknologi sensor 3D untuk mengurus dan mengurangkan masa menunggu di bawah 10 minit.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata AQMS memanfaatkan teknologi Internet Pelbagai Perkara (IoT) dalam mengira jumlah orang di ruang tertentu dan memantau kesesakan secara proaktif.

“Oleh itu, AQMS juga bertindak sebagai langkah pencegahan terbaharu lapangan terbang dalam memerangi pandemik Covid-19 dengan membolehkan penjarakan selamat serta pematuhan kepada norma baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fasa pertama AQMS telah disiapkan untuk semua pusat pemeriksaan saringan keselamatan termasuk di pintu berlepas.

Sistem ini akan dilaksanakan di semua titik sentuhan kritikal dan fasa seterusnya sedang dipasang untuk daftar masuk, imigresen serta kastam, yang dijangka disiapkan menjelang Jun depan.

Selain itu, menurut Mohd Shukrie lagi, sebagai sebahagian daripada transformasi Lapangan Terbang 4.0, dan pada tahap seterusnya, data mengenai masa menunggu daripada AQMS akan diintegrasikan ke dalam Skrin Paparan Maklumat Penerbangan dan aplikasi “MYAirports” bagi membolehkan penumpang merancang perjalanan mereka di lapangan terbang dengan lebih baik.

AQMS menggunakan sensor 3D yang memantau keadaan masa nyata daripada perubahan dalam suhu serta pencahayaan kepada algoritma kompleks yang secara automatik mengesan tempoh menunggu dan beratur yang panjang.

Maklumat masa nyata ini kemudiannya disalurkan ke Pusat Kawalan Operasi Lapangan Terbang, yang mana sumber boleh dikerahkan bagi membantu memastikan perkhidmatan yang pantas dan aliran penumpang yang lebih lancar.

“Kawalan khalayak dapat dijalankan secara berkesan mengikut SOP bagi meyakinkan penumpang mengenai keselamatan mereka walaupun terpaksa beratur panjang.

“Akhirnya, kami kekal fokus kepada perjalanan ke arah Lapangan Terbang 4.0 kami termasuk pada masa yang sama, meningkatkan pengalaman penumpang,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Mutasi varian Nigeria tidak jejas upaya kesan individu dijangkiti Covid-19

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Varian Nigeria B1.525 daripada Covid-19 mempunyai mutasi penting dalam spike protein, tetapi ia tidak menjejaskan keupayaan untuk mengesan atau menjejaki seseorang yang dijangkiti varian itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ini kerana kit tindak balas Polymerase Chain Reaction (PCR) yang sedia ada menggunakan pelbagai sasaran untuk mengesan varian walaupun seseorang itu tidak bergejala.

“Pada masa ini, tidak ada data yang menunjukkan bahawa varian ini lebih virulensia atau menyebabkan peningkatan kematian,” katanya mengulas pertanyaan media semalam, berhubung Varian Nigeria B1.525.

Berdasarkan laporan kajian makmal, Dr Noor Hisham berkata mutasi E484K yang juga dilihat pada varian lain, termasuk Afrika Selatan (B.1.351) dan Brazil (P.1), telah dikaitkan dengan beberapa tahap ketahanan untuk meneutralkan antibodi yang diperlukan bagi memberi perlindungan.

Ketahanan itu bermakna ada kemungkinan penurunan dalam keberkesanan imuniti semula jadi atau imuniti yang berasal daripada vaksin terhadap mutasi ini, tambahnya.

“Mutasi D614G menyebabkan peningkatan penularan kerana keadaan yang menggalakkan untuk virus menjangkiti sel yang dibenarkan dan menduplikasi.

“Mutasi lain yang disebut Q677H juga berkaitan dengan kemungkinan peningkatan penularan disebabkan penggabungan virus yang efisien terhadap reseptor sel manusia,” katanya.

Merujuk kepada dua kes pertama varian Nigeria di Malaysia, Dr Noor Hisham berkata ia melibatkan pasangan suami isteri warganegara India, masing-masing berusia 36 dan 33 tahun yang datang ke Malaysia bersama anak lelaki berusia enam tahun.

Beliau berkata suami berkenaan bekerja dalam bidang kewangan profesional sejak dua tahun yang lepas di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan mereka datang ke negara ini kerana si suami mendapat tawaran pekerjaan.

“Lelaki itu pada awalnya dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah, tetapi dipindahkan ke pusat perubatan swasta sehari kemudian atas permintaannya. Dia dibenarkan keluar dari hospital pada 9 Feb lepas.

“Oleh kerana isterinya di awal kehamilan, wanita itu bersama anak mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Dia dibenarkan keluar dari hospital pada 15 Februari lepas,” katanya.

Dr Noor Hisham menjelaskan kedua-dua pelawat itu tiba di Malaysia pada 31 Januari dan Kementerian Kesihatan menjalankan ujian swab Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) melalui hidung (nasopharyngeal) dan mulut (oropharyngeal) di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), disebabkan mereka tidak menjalani ujian COVID-19 sebelum berlepas.

Mereka kemudian dikuarantin di pusat kuarantin yang ditetapkan dan kekal tidak bergejala, namun makmal mengesahkan hasil ujian RT-PCR mereka positif Covid-19 pada 2 Feb.

Dr Noor Hisham berkata Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) kemudiannya melakukan penjujukan genom penuh kerana sejarah perjalanan mereka dan IMR menyelesaikan analisis penjujukan genom pada 4 Mac, yang menunjukkan kedua-dua kes itu mempunyai Varian Nigeria SARS-CoV-2 (B1.525).

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor mampu majukan aeroangkasa, miliki kemudahan – EXCO

SHAH ALAM, 3 FEB: Industri aeroangkasa merupakan pelaburan baharu Kerajaan Selangor dalam usaha meningkatkan kadar  ekonomi negeri ini, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata Selangor mempunyai kelebihan memajukan sektor itu memandangkan terdapat dua lapangan terbang yang besar, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

EXCO Kerajaan Negeri Dato’ Teng Chang Khim semasa ditemu bual Media Selangor bagi program sambutan Tahun Baru Cina 2021 peringkat Selangor di Bangunan SUK, Shah Alam pada 2 Febuari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kita lihat bidang ini mempunyai potensi untuk bina pusat penerbangan khusus yang lengkap dengan penyelenggaraan pembaikan dan baik pulih (MRO) untuk seluruh dunia.

“Kajian telah dilakukan. Dengan kebangkitan ekonomi Asia, pesawat persendirian akan bertambah. Jadi kita dah ada kemudahan (lapangan terbang) malah mempunyai tenaga pakar berpengalaman yang mampu mengembangkan industri ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, beliau berkata Pameran Penerbangan Selangor 2021 yang dijangka berlangsung 2 April ini masih belum diputuskan.

“Kita akan lihat perkembangan semasa pandemik Covid-19. Jika masih berterusan, ia akan ditangguhkan enam bulan lagi dan jika berlangsung, Selangor menjadi negeri pertama di Malaysia dan Asia Tenggara,” katanya.

Pada Oktober tahun lalu, ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan penganjuran pameran itu bagi menggalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa dan menyediakan platform kepada syarikat tempatan serta usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) meneroka bidang itu.

Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar selepas Sesi Taklimat dan Perkongsian: Pejabat Koordinasi Industri Aeroangkasa Selangor Darul Ehsan ( S-DAICO) di Bilik Mesyuarat MTES, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 18 Mei 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
Categories
AGENDA NASIONAL

Lapan jemaah tabligh Malaysia kembali ke tanah air dari India

PUTRAJAYA, 13 JAN: Lapan jemaah tabligh rakyat Malaysia kembali ke tanah air dari New Delhi, India hari ini selepas Mahkamah Tinggi Patna, Bihar membatalkan pertuduhan menyalah guna pas lawatan sosial terhadap mereka.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar dalam satu kenyataan memaklumkan mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3.58 petang ini.

Beliau berkata kepulangan mereka menyaksikan hanya terdapat seorang lagi jemaah tabligh rakyat Malaysia yang masih menunggu keputusan mahkamah berhubung kesnya di Kishanganj, India.

“Kementerian Luar, menerusi Perwakilan Malaysia di New Delhi, India akan terus memantau perkembangan kes ini secara rapat dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyelaras usaha membawa pulang ahli jemaah tabligh tersebut selepas pembebasan beliau kelak,” katanya.

Kamarudin, yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 Kementerian Luar, berkata selaras dengan peraturan semasa yang berkuat kuasa, kesemua jemaah tabligh yang dibawa pulang ke tanah air akan menjalani kuarantin selama 10 hari di stesen kuarantin yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Kamarudin juga berkata Kementerian Luar telah berjaya membawa pulang 188 daripada 189 ahli jemaah tabligh yang berada di India.

Beliau berkata sebelum ini, 180 ahli jemaah tabligh rakyat Malaysia telah dibawa pulang menerusi beberapa siri Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) pada tahun lepas.

Kementerian Luar turut merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada semua agensi kerajaan yang terlibat terutama Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Kementerian Kesihatan atas kerjasama serta komitmen berterusan dalam menjayakan misi membawa pulang ahli jemaah tabligh rakyat Malaysia di India.

“Kerajaan Malaysia turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan India yang terus membantu urusan kepulangan mereka,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jumlah penumpang udara susut 84.2 peratus pada November

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Pergerakan penumpang di rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) merosot 84.2 peratus dari tahun ke tahun kepada 1.8 juta pada November 2020, berbanding 11.55 juta sebelumnya dengan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pergerakan penumpang domestik jatuh 78.3 peratus dari tahun ke tahun kepada 1.3 juta pada bulan yang ditinjau, manakala trafik penumpang antarabangsa turun 90.6 peratus dari tahun ke tahun kepada hanya 0.5 juta penumpang.

“Sejak dua belas bulan lepas, jumlah pergerakan penumpang di rangkaian lapangan terbang MAHB berkurangan sebanyak 61.9 peratus kepada 53.6 juta penumpang.

“Pelanjutan PKP sehingga 6 Disember 2020 merentasi lokasi utama di Malaysia terus menjejaskan pemulihan lalu lintas,” kata pengendali lapangan terbang itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

Trafik penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencatatkan penurunan sebanyak 97.8 peratus dari tahun ke tahun kepada 113,000 pada November, manakala klia2 merekodkan hanya 31,000 penumpang, kejatuhan 98.8 peratus dari tahun ke tahun.

Bagaimanapun, KLIA mengalu-alukan penerbangan semula Cathay Pacific Airways dengan satu penerbangan setiap minggu, selepas ketiadaan selama tiga tahun, katanya.

MAHB ketika mengulas mengenai operasi di luar negara berkata pergerakan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen (SGIA) Istanbul sedikit terjejas akibat pengenalan semula perintah separa berkurung pada 20 November 2020, langkah yang dikenakan oleh kerajaan Turki berikutan peningkatan jumlah kes Covid-19 di seluruh negara itu.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor laksana program khas pekerja kargo KLIA, kekang Covid-19

SHAH ALAM, 1 DIS: Kerajaan Selangor menanggung separuh daripada kos penempatan peserta Program Isolasi Pekerja Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mula dilaksanakan sejak 26 November lalu.

Dato’ Menteri Besar berkata sehingga kini seramai 247 pekerja membabitkan warganegara Bangladesh, Nepal, India, Indonesia dan Pakistan diasingkan di Tune Hotel Aeropolis sehingga 9 Disember depan.

“Program isolasi ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan dalam membendung penularan wabak antara pekerja di lapangan terbang terutamanya dalam kalangan warga asing.

“Saringan pertama telah dilaksanakan ke atas semua peserta program sekurang-kurangnya tiga hari sebelum peserta menyertai program ini. Kos saringan ditanggung oleh pihak syarikat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataan, malam ini.

Jelasnya lagi, sehingga kini, seramai 9,056 daripada 11,000 pekerja di bahagian kargo sudahpun menjalani ujian saringan Covid-19.

“Ujian itu bermula sejak Oktober sehingga hari ini dan sejak 26 November, hanya tujuh kes dikesan positif dan semuanya melibatkan warganegara,” katanya lagi.

Program itu mula dilaksanakan susulan peningkatan kes positif Covid-19 daripada Kluster Kaya melibatkan pekerja kargo di KLIA.