Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Klinik Asas Bola Sepak Selangor tarik minat 150 peserta

SHAH ALAM, 8 DIS: Siri pertama Klinik Asas Bola Sepak  anjuran Team Selangor dan FA Selangor di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada Sabtu lalu berjaya menarik minat 150 peserta.

Saketariat Team Selangor berkata penyertaan peserta berusia 10 hingga 17 tahun itu bagi memastikan Selangor FC mempunyai barisan pemain pelapis di masa hadapan.

Aksi salah seorang peserta siri pertama Klinik Asas Bola Sepak di Padang Awam Batu Caves, Gombak. Foto Team Selangor

“Program ini mampu memberi ruang kepada kelab-kelab komuniti dan pasukan tempatan memantau serta mendapatkan bakat-bakat mereka inginkan sebagai persediaan menyertai pertandingan bola sepak khususnya liga akar umbi di Selangor.

“Team Selangor bekerjasama dengan semua pihak bagi meneruskan agenda pemerkasaan dan pemberdayaan komuniti di Selangor. Semoga arena bola sepak negeri ini terus bersinar dan zaman gemilangnya gergasi merah dapat dikembalikan,” katanya menerusi kenyataan.

Saketariat Team Selangor memaklumkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari turut berminat melihat perjalanan program berkenaan dengan hadir memberi sokongan pada siri pertama, Sabtu lalu.

Turut hadir, Setiausaha Agung FA Selangor, Izrin Nabil; Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon dan pemain Selangor FC, Danial Asri.

Categories
SELANGOR

100 kanak-kanak sertai Klinik Bola Sepak bersama Azman Adnan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SELAYANG, 15 OKT: Seramai 100 kanak-kanak menyertai Klinik Bola Sepak anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Taman Templer, di Padang Taman Bidara, di sini, semalam.

Lebih istimewa, klinik yang julung kali berlangsung itu diserikan dengan kehadiran bekas pemain bola sepak negara, Azman Adnan yang turut meluangkan masa berkongsi pengalaman dan mengajar teknik sukan itu kepada kanak-kanak terbabit.

Ahli Dewan Negeri Taman Templer, Mohd Sany Hamzan berkata, peserta menjayakan klinik bola sepak itu terdiri daripada kanak-kanak berumur lingkungan 10 hingga 12 tahun.

Katanya, program berkenaan bertujuan melatih dan memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menimba ilmu serta teknik asas mengenai sukan bola sepak.

“Kita juga mahu melatih anak-anak supaya lebih berdisplin dalam sukan bola sepak bagi melahirkan pemain berwibawa suatu hari nanti.

“Selain itu, ia mampu memberi inspirasi baharu kepada mereka untuk terus meminati dan bermain bola sepak,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, inisiatif program itu sekali gus mempamerkan kesungguhan pihaknya dalam melahirkan generasi muda yang unggul dan berkebolehan tinggi dalam arena bola sepak negara.

“Kita komited meneruskan program sama pada masa akan datang kerana penerimaan kanak-kanak sekolah rendah, khususnya dari kawasan Taman Templer disambut baik.

“Malah, mereka yang hadir secara ‘walk in’ begitu teruja dan gembira dengan adanya program sebegini,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, PKM bakal mengadakan Perlawanan Bola Sepak bawah 12 tahun, Disember ini bagi mencungkil bakat baharu di segenap akar umbi kawasan berkenaan.