Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Klinik kesihatan, desa di enam daerah ditutup sementara

SHAH ALAM, 20 DIS: Berikutan banjir luar biasa yang melanda negeri ini, beberapa klinik kesihatan dan klinik desa ditutup sementara kepada orang ramai hari ini.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerusi Facebook memaklumkan terdapat fasiliti kesihatan awam yang masih beroperasi seperti yang disenarai di bawah.

Pemakluman pembukaan semula klinik kesihatan dan klinik desa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor cadang jadikan klinik kesihatan pusat beri vaksin

SHAH ALAM, 24 MEI: Selangor akan menggunakan klinik kesihatan sedia ada di negeri itu sebagai tempat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 khusus kepada pesakit yang mempunyai penyakit kronik, kata Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

“Kita telah mencadangkan kepada Kementerian Kesihatan dan mereka amat menyokong syor itu dan saya akan mendapatkan kebenaran tersebut secara rasmi,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam hari ini, bagi hari pertama pemberian vaksin Covid-19 Astrazeneca.

Selain itu, beliau berkata jabatan tersebut juga akan melaksanakan program imunisasi untuk pesakit terlantar melalui ‘program outreach’.

Mengenai program imunisasi menggunakan vaksin Astrazeneca itu, beliau berkata sebanyak 42,000 dos akan diberikan di IDCC dengan jangkaan pemberian sebanyak 3,000 dos sehari bermula hari ini hingga 6 Jun.

Pada masa sama, beliau menasihati orang ramai agar tidak mencuba nasib dengan ‘walk-in’ atau menunggu di mana-mana PPV untuk mendapatkan vaksin Covid-19 bagi mengelakkan kesesakan di pusat tersebut.

“Kita telah ada senarai menunggu, jadi tidak perlu mereka untuk mencuba nasib datang ke PPV dan kita tidak pernah memberi vaksin ini kepada mereka yang walk-in,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelajar maut di sekolah negatif Covid-19, tunggu laporan kimia

KUALA KANGSAR, 18 JULAI: Ujian calitan terhadap ke atas pelajar tingkatan tiga yang meninggal dunia di sebuah sekolah di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur pada Rabu lepas didapati negatif Covid-19, kata menteri kesihatan.

“Kita akan menunggu laporan kimia selanjutnya sebelum kita dapat mengumumkannya (punca sebenar kematian),” kata Datuk Seri Dr Adham Baba pada sidang media selepas majlis penyerahan Projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) Kuala Kangsar di sini, hari ini.

Pada Rabu lepas, pelajar lelaki berusia 15 tahun itu yang memulakan hari pertama sesi persekolahan dilapor pengsan sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor selepas dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Media melaporkan pihak sekolah mendapati suhu badannya tidak menunjukkan demam atau tidak normal semasa disaring di pintu masuk sekolah.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata tiada bukti bahawa pemakaian pelitup muka menjejaskan kesihatan individu termasuk dalam kalangan pelajar.

“Ini kerana di peringkat Kementerian Kesihatan sendiri, pakar bedah sering menggunakan pelitup muka selama beberapa jam untuk membuat pembedahan dan tiada bukti yang ia menjejaskan masalah pengudaraan oksigen dan karbon dioksida,” katanya.

Menurutnya, pemakaian pelitup muka perlu bersesuaian mengikut saiz yang berpadanan dengan kanak-kanak bagi memastikan keselesaan kepada mereka semasa mengenakannya dalam mencegah penularan wabak Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perkhidmatan kesihatan ibu hamil, anak operasi seperti biasa – KKM

SHAH ALAM, 27 MAC: Kementerian Kesihatan memaklumkan perkhidmatan kesihatan ibu hamil dan anak beroperasi seperti biasa walaupun Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan susulan Covid-19, kata ketua pengarahnya.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata anggota kesihatan juga akan melaksanakan perkhidmatan lawatan ke rumah kepada ibu lepas bersalin bagi memastikan ibu dan anak dalam keadaan sihat.

“Manakala, bagi ibu hamil dan ibu bapa yang berada di luar kawasan, boleh mendapatkan perkhidmatan di klinik kesihatan kerajaan atau swasta yang berdekatan dan mengikut tarikh temu janji diberikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata perkhidmatan imunisasi kepada bayi dan kanak-kanak juga diteruskan seperti biasa.

Categories
AGENDA NASIONAL

Waktu operasi klinik kesihatan primer KKM tidak berubah

SHAH ALAM, 22 MAC: Waktu operasi fasiliti kesihatan primer Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membabitkan klinik kesihatan serta klinik kesihtan ibu dan anak tidak berubah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, kata ketua pengarahnya.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata waktu operasi klinik desa yang mempunyai kedatangan melebihi 20 kes sehari juga tidak berubah kecuali waktu operasi 8 pagi hingga 1 tengahari bagi kedatangan kurang 20 kes sehari.

“Berikutan arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, ia tidak menjejaskan pihak KKM dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang baik kepada rakyat,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Waktu operasi klinik kesihatan dari Isnin hingga Khamis bermula 8 pagi hingga 4.30 petang kecuali Jumaat, 8 pagi hingga 12.15 tengah hari dan bersambung 2.45 hingga 4.30 petang.

Klinik komuniti pula beroperasi lewat satu jam bermula 9 pagi hingga 6 petang manakala klinik UTC ditutup buat masa ini.

Categories
SELANGOR

Klinik Kesihatan di Subang Jaya bermula 2024

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 22 MEI: Penduduk Subang Jaya akan menarik nafas lega berikutan Klinik Kesihatan Kerajaan akan dibina dan dijangka memulakan operasinya pada 2024.

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, permohonan pembinaan klinik itu akan diumumkan oleh Menteri Kesihatan pada tahun depan di bawah Rancangan Malaysia ke 12.

Katanya, pembinaan dijangka bermula pada 2022 dan siap pada 2024, namun pihaknya akan berusaha untuk memohon supaya pembinaannya dipercepatkan.

“Dengan kos pembinaan sebanyak RM35 juta, ia dijangka mampu menampung 50,000 pesakit,” katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Negeri (ADN), Subang Jaya, Michelle Ng berkata, pembinaan klinik berkenaan sudah tentu mengembirakan penduduk di kawasannya memandangkan klinik kesihatan kerajaan yang terdekat berada di Puchong dan Kelana Jaya.

“Klinik terbabit amat diperlukan ekoran jumlah penduduk dijangka bertambah dari 174,494 pada 2015 kepada 293,209 (2035) dan penduduk berusia 50 hingga 54 tahun meningkat lebih ramai iaitu 82,000,” katanya.

Sebelum ini SelangorKini pada 2017 melaporkan, mantan ADN Subang Jaya, Hannah Yeoh pernah menggesa Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Barisan Nasional supaya tidak menangguhkan pembinaan Klinik Kesihatan Subang Jaya.

Kelewatan itu dipercayai berlaku disebabkan perbezaan parti politik yang memerintah pada waktu itu.

Categories
NASIONAL

Dzulkefly: Pembinaan klinik di Semenyih tetap diteruskan

PETALING JAYA, 3 MAC: Rancangan pembinaan sebuah lagi klinik kesihatan di Semenyih akan diteruskan seperti dicadangkan biar pun keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih tidak memihak kepada Pakatan Harapan (PAKATAN).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia perlu direalisasi bagi memastikan penduduk di kawasan itu mendapat kemudahan perubatan kesihatan yang baik.

“Apa yang disebut oleh calon kami sebelum ini adalah sesuatu yang mustahak memandangkan Klinik Kesihatan di pekan Semenyih dan Beranang sudah uzur dan sesak.

“Saya yakin kami akan dapat lokasi tanah dan peruntukan daripada Kerajaan Negeri untuk menjayakan perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Acara ‘Run For Rare’ di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menetapkan anggaran masa berkaitan pembinaan klinik itu.

Sebelum ini, calon PAKATAN, Muhammad Aiman Zainali dilapor menjadikan pembinaan hospital di Semenyih sebagai agenda utama jika menang PRK itu memandangkan ia adalah permasalahan paling banyak diutarakan masyarakat setempat.

Bagaimanapun pada 25 Februari lalu, Dr Dzulkefly mencadangkan pembinaan sebuah lagi klinik ​​​​​​​kesihatan ​​​​​​oleh kerana dua klinik di pekan Semenyih dan Beranang tidak boleh diperluaskan ​​​​​​​kerana kekangan tempat ​​​​​​​selain penambahbaikan fasiliti Hospital Kajang yang mana ia hospital terdekat di Semenyih.

Semalam, keputusan PRK Semenyih menyaksikan kemenangan Barisan Nasional (BN) apabila berjaya ​​​​​​​menawan semula kerusi DUN Semenyih selepas calonnya, Zakaria Hanafi memenangi persaingan empat penjuru pada PRK kawasan itu dengan memperoleh 19,780 iaitu majoriti 1,914 undi.

Zakaria menewaskan Muhammad Aiman yang memperoleh 17,866 undi, Nik Aziz Afiq Abdul, 25, daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) (847 undi) dan calon Bebas yang juga seorang aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 56 (725 undi).

SUMBER: BERNAMA

PPUM dan Klinik Kesihatan antara laluan baru Bas Komuniti Percuma

Khidmat Bas Komuniti Percuma MBPJ kini melalui PPUM dan Klinik Kesihatan tiga kali seminggu