Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

88 klinik, fasiliti kesihatan swasta di Selangor tawar vaksin Covid-19

SHAH ALAM, 18 OKT: Warga Selangor yang mahu mendapat suntikan vaksin Covid-19 boleh membuat tempahan di 88 klinik atau fasiliti kesihatan swasta di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata individu berkenaan perlu menghubungi fasiliti terpilih terlebih dahulu bagi mendapatkan tarikh janji temu.

Menerusi info grafik dikongsikan di Facebook, Amirudin memaklumkan kaedah itu ditawar kepada golongan dewasa yang baru mendaftar dan belum mendapat janji temu selain mereka yang terlepas suntikan dos pertama atau kedua.

Semua klinik dan fasiliti kesihatan swasta melibatkan daerah Petaling (22), Hulu Langat (18), Gombak (13), Kuala Langat (sembilan), Klang dan Sepang (lapan) manakala Kuala Selangor dan Sabak Bernam (tiga).

Minggu lalu, Kementerian Kesihatan memaklumkan penduduk di Lembah Klang yang belum menerima janji temu vaksinasi Covid-19 atau melengkapkan dos kedua boleh mendapatkan imunisasi secara percuma di 98 klinik swasta terpilih atau klinik kerajaan.

 

 

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Saringan di klinik swasta sumbang kenaikan kes Covid-19

SHAH ALAM, 9 JULAI: Bilangan individu yang membuat saringan Covid-19 di klinik swasta turut menyumbang kepada kenaikan kes di Lembah Klang.

Selain faktor ujian di kilang dan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), ketua pengarah kesihatan berkata mereka terdiri dariipada kalangan berisiko tinggi yang bergelaja dan kontak rapat

“Didapati terdapat ramai juga individu di kawasan Lembah Klang yang tampil sendiri ke klinik swasta untuk menjalani ujian Covid-19,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut tidak menyebut jumlah atau peratusan mereka yang berbuat demikian.

Semalam, KKM menjangka jumlah jangkitan di Selangor dan Kuala Lumpur meningkat berikutan saringan di kawasan PKPD.

Hari ini, jumlah jangkitan di seluruh negara melonjak dengan mencatat rekod tertinggi iaitu 9,180 kes. Angka harian tertinggi sebelum ini dicatat pada 29 Mei iaitu 9,020.

Angka harian di Selangor meningkat kepada 4,400 kes, rekod tertinggi di negeri itu. Kuala Lumpur pula mencatat 1,271 kes.

PKPD dikuat kuasa di Selangor membabitkan 34 mukim di lapan daerah bermula 3 hingga 16 Julai. Sebanyak 14 kawasan di Kuala Lumpur turut dilaksanakan PKPD dalam tempoh tersebut.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lewat lapor kes Covid-19: JKNS adakan libat urus dengan klinik, hospital swasta

SHAH ALAM, 8 FEB: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor mengadakan sesi libat urus dengan klinik dan hospital swasta di negeri ini bagi mengatasi masalah kelewatan dalam melaporkan kes positif Covid-19.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata langkah itu dilihat lebih berkesan berbanding mengenakan denda kepada klinik dan hospital swasta yang lewat melaporkan keputusan Covid-19.

Sebelum ini, media melaporkan peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 disebabkan pelaporan lewat kes ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).

“Kita memerlukan kerjasama daripada klinik dan hospital swasta untuk mengatasi penularan pandemik Covid-19. Kini jumlah kes yang lewat dilaporkan berkurangan dan ini merupakan langkah positif kerana kerjasama daripada semua adalah penting berbanding penguatkuasaan.

“Bagaimanapun, sekiranya perkara berkenaan (lewat lapor) masih lagi berlaku, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya kepada pemberita selepas meninjau hari pertama pengoperasian Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati, hari ini.

Turut hadir Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor Dr Siti Mariah Mahmud.

Mengulas mengenai operasi CAC Stadium Malawati, Dr Sha’ari berkata seramai 80 kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling bertugas setiap sehari bagi melakukan penilaian terhadap pesakit Covid-19.

“CAC Stadium Malawati ini boleh mengendalikan 1,500 pesakit sehari. Mengikut janji temu yang dibuat hari ini, kira-kira 1,000 pesakit akan hadir ke sini dan kita jangka seramai 300 lagi pesakit akan datang ke sini secara walk-in,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan peningkatan kes Covid-19 di Selangor antaranya berpunca daripada klinik dan hospital swasta yang tidak melaporkan kes positif pada hari yang sama melalui Sistem Makmal Kesihatan Awam (Simka).

Sementara itu, Dr Siti Mariah pula berkata pihaknya dan Kementerian Kesihatan berbincang untuk melaksanakan beberapa langkah bagi memudahkan klinik dan hospital swasta melaporkan kes positif Covid-19.

“Kami sedang berusaha untuk mewajibkan klinik dan hospital swasta yang menjalankan ujian saringan Covid-19 menggunakan aplikasi SELangkah kerana aplikasi berkenaan boleh memuat naik keputusan ujian Covid-19 secara terus ke Simnka. Namun, usaha ini melibatkan banyak pihak dan kita sedang berbincang mengenainya,” katanya.

– BERNAMA