Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jumlah kluster pendidikan naik ketara sejak Januari, 346 masih aktif

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Jumlah kluster pendidikan dilihat meningkat dengan ketara pada minggu Minggu Epidemiologi (ME) terkini, dengan 92 kluster dilaporkan pada ME 7/2022, berbanding 61 kluster pada ME 6/2022.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) mencatatkan 367 kluster pendidikan sejak 1 Januari hingga 19 Februari lepas, dan daripada jumlah itu 346 kluster masih aktif manakala 21 kluster telah tamat.

Beliau berkata walaupun terdapat trend penurunan kluster pendidikan pada ME 5/2022 disebabkan cuti sambutan Tahun Baru Cina, namun trend ini dilihat kembali meningkat pada ME 6/2022 dan ME 7/2022 berkadaran dengan peningkatan kes yang ketara di seluruh negara.

Katanya, negeri yang merekodkan kluster pendidikan paling tinggi ialah Kelantan (54 kluster), diikuti Selangor (49 kluster), Pahang (38 kluster), Kuala Lumpur (37 kluster), dan Sabah (34 kluster).

“Siasatan mendapati 328 kluster iaitu 89.4 peratus dengan kes indeks merupakan pelajar, manakala 31 kluster (8.5 peratus) merupakan kes indeks guru atau pensyarah. Selain itu enam kluster (1.6 peratus) dengan kes indeks daripada kalangan kakitangan sokongan pusat pendidikan berkenaan, dan dua kluster (0.6 peratus) dengan keluarga sebagai kes indeks,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata majoriti kes yang dilaporkan adalah kategori bergejala ringan atau tiada gejala.

“Sebanyak 12,579 kes (76.54 peratus) kategori dua, 3,850 kes (23.4 peratus) kategori satu dan 35 kes (0.2 peratus) dari kategori tiga dan empat dan kesemua kes telah mendapatkan rawatan serta dalam keaadaan stabil.

“Kesemua 257 sekolah yang terlibat adalah daripada pelbagai agensi iaitu Kementerian Pendidikan (KPM), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Maahad Tahfiz dan lain-lain,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sehingga 19 Februari lepas, 232 kluster membabitkan sekolah menengah dan 25 kluster sekolah rendah masih aktif.

“Daripada jumlah tersebut 107 sekolah telah tutup sementara untuk pembersihan dan dijadikan tempat kuarantin, dan 150 sekolah hanya memerlukan penutupan kelas sahaja.

“Hasil siasatan mendapati punca utama berlakunya jangkitan dan penularan Covid-19 disebabkan beberapa faktor. Antaranya ketidakpatuhan pada SOP, pergerakan pelajar yang bebas dan pergaulan rapat semasa pelajar di asrama serta beberapa faktor lain,” katanya.

Beliau mencadangkan sebagai penambahbaikan, semua yang terlibat dalam kumpulan ini melakukan ujian pengesanan Covid-19 secara berkala, mengenal pasti pelajar yang bergejala dengan cepat serta memastikan pengudaraan di semua kawasan berada dalam keadaan yang optimum.

Sementara itu, CPRC Kebangsaan melaporkan sejak 25 Januari 2020 hingga 19 Februari 2022 sebanyak 6,704 kluster dikesan, melibatkan 538,554 kes, dengan 6,212 kluster telah tamat dan hanya 492 kluster yang masih aktif.

Pecahan kes kluster tertinggi direkodkan di tempat kerja (58.71 peratus), komuniti (20.54 peratus), pusat tahanan (7.63 peratus), pendidikan (6.83 peratus), dan lain-lain.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelajar bukan calon SPM pulang Tahun Baharu Cina tidak dibenar balik ke asrama

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan bahawa pelajar daripada bukan kelas peperiksaan yang pulang bercuti sempena perayaan Tahun Baharu Cina, tidak dibenarkan pulang ke asrama sebaliknya melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menterinya Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata keputusan itu, bagi memastikan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, berada dalam keadaan terlindung daripada jangkitan Covid-19.

“Kita akan terus memastikan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di sekolah berasrama khususnya, dapat dipertingkatkan. KPM juga telah meningkatkan pemantauan di sekolah di bawah KPM, bagi memastikan segala SOP dapat dipatuhi dan dapat mengurangkan risiko jangkitan Covid-19,” katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik di laman Facebooknya.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan isu berkaitan peningkatan kes Covid-19 dalam sektor pendidikan, di mana sebanyak 118,238 jumlah kumulatif kes Covid-19 dicatatkan dalam tempoh 1 Jan hingga 1 Feb tahun ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 8,451 kes (7.15 peratus) adalah kes berkaitan kluster pendidikan, manakala selebihnya iaitu 109,787 (92.85 peratus) melibatkan lain-lain kluster.

“Secara keseluruhan terdapat 303 kluster di seluruh negara dalam (1 Jan hingga 1 Feb), daripada jumlah kluster ini, 100 kluster atau 33 peratus, melibatkan institusi pendidikan di bawah KPM manakala, 86 kluster atau 28.38 peratus melibatkan institusi bukan bawah KPM.

“100 kluster di bawah intsitusi bawah KPM tadi, melibatkan keseluruhannya 5,494 kes, dan daripada 100 kluster ini, 96 kluster melibatkan institusi bawah KPM manakala empat kluster merupakan institusi swasta yang berdaftar bawah KPM,” katanya.

Menurutnya, daripada 96 kluster yang melibatkan institusi di bawah KPM, sebanyak 84 kluster membabitkan institusi berasrama, terdiri daripada 76 kluster daripada asrama harian dan lapan kluster daripada intstitusi berasrama sepenuhnya.

“Jika kita ambil kira keseluruhan institusi berasrama di bawah KPM, iaitu 1,918 buah institusi, 84 kluster ini adalah bersamaan 4.38 peratus daripada keseluruhan institusi berasrama di bawah KPM,” katanya.

Selain itu, beliau berkata bagi institusi bukan berasrama, terdapat 12 kluster direkodkan melibatkan dua kluster sekolah menengah dan 10 kluster daripada sekolah rendah.

“Jika dilihat 12 kluster ini dan bandingkan dengan keseluruhan 8,356 institusi bukan berasrama di bawah KPM, kita dapati bahawa jumlah 12 kluster ini adalah bersamaan dengan 0.14 peratus daripada keseluruhan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster pendidikan cetus peningkatan kes Covid-19 di Kelantan

KOTA BHARU, 29 JAN: Kluster dalam kelompok institusi pendidikan terus mencetuskan peningkatan kes Covid-19 di negeri Kelantan, dengan 26 kluster direkodkan sejak 1 Jan hingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata dua kluster baharu institusi pendidikan dilaporkan semalam merangkumi Kluster Kampung Gemang Lama yang membabitkan warga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Jeli dan Kluster Jalan Cherodok yakni melibatkan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Tahfiz Al-Khalifah di Machang.

Katanya sehingga semalam, lebih 800 pelajar dan kakitangan sekolah di negeri ini yang dijangkiti Covid-19 dengan kategori klinikal tahap satu dan dua, sedang menerima rawatan sama ada di hospital, pusat kuarantin atau menjalani isolasi di rumah.

“Rata-rata mereka mendapat jangkitan ketika berada di asrama sekolah dan pihak kami telah mengambil tindakan segera untuk membendung penularan wabak ini,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata bilangan tertinggi bagi kluster institusi pendidikan dicatatkan di jajahan Kota Bharu iaitu 10 kluster, diikuti Gua Musang, Kuala Krai dan Pasir Puteh masing-masing tiga kluster; Pasir Mas dan Tumpat (dua) serta masing-masing satu di Jeli, Machang dan Tanah Merah.

Selain kluster pendidikan, Dr Zaini berkata tiga kluster lain yang turut menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 di Kelantan adalah kluster tempat kerja yang merekodkan tujuh kluster, kluster komuniti (enam) dan satu kluster golongan berisiko tinggi.

“Jumlah keseluruhan kluster yang direkodkan di negeri ini adalah 40 kluster setakat 28 Jan. Kita jangka peningkatan ini berterusan semasa cuti sambutan Tahun Baharu Cina pada 1 dan 2 Feb ini kerana terdapat pergerakan keluar dan masuk di negeri ini dalam tempoh berkenaan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 4,633 kes dikesan libat kluster pendidikan

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Sebanyak 107 kluster COVID-19 dalam kategori pendidikan direkodkan mulai 1 Jan hingga 25 Jan lepas, melibatkan 4,633 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata peningkatan ketara itu dicatatkan selepas pembukaan sesi persekolahan pada 2022 berbanding sesi persekolahan pada 2021.

Beliau berkata daripada 107 kluster pendidikan, institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) menyumbang bilangan paling tinggi iaitu 56 kluster (52.3 peratus) diikuti pendidikan lain (24.3 peratus), pendidikan tinggi (20.6 peratus), dan institusi pendidikan swasta berdaftar KPM (2.8 peratus).

“Pada Minggu Epidemiologi (ME) pertama tahun 2022, hanya tiga kluster pendidikan direkodkan, namun kenaikan kluster dilihat pada permulaan sesi sekolah iaitu ME kedua apabila 15 kluster direkodkan dan peningkatan sebanyak 313 peratus pada ME ketiga.

“Pada ME keempat, sehingga 25 Jan 2022, sebanyak 26 lagi kluster pendidikan dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata daripada 4,633 keseluruhan kes kluster pendidikan, sebanyak 4,092 kes (88.3 peratus) telah lengkap menerima vaksin COVID-19 dan 112 kes (2.4 peratus) pula telah menerima dos penggalak.

Katanya majoriti kes yang dilaporkan hanya bergejala ringan (Kategori Satu dan Dua) iaitu 99.7 peratus (4,621 kes), manakala hanya 0.2 peratus (12 kes) lagi daripada Kategori Tiga dan Empat dengan kesemua 12 kes itu kini berada dalam keadaan stabil dan dirawat di fasiliti kesihatan.

“Berdasarkan hasil siasatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) ke atas kes dan kluster yang dilaporkan, kejadian ini berpunca daripada ketidakpatuhan SOP (prosedur operasi standard) warga institusi pendidikan semasa di sekolah dan di luar waktu persekolahan formal terutama apabila berada di asrama.

“Punca lain termasuk individu bergejala lewat dikesan dan masih hadir ke kelas; murid yang dikuarantin di sekolah tidak mematuhi arahan dan prosedur kuarantin; ruangan tumpuan ramai tidak dilakukan pembersihan dan disinfeksi secara berkala; dan sistem pengudaraan yang kurang memuaskan di kelas dan asrama,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata satu mesyuarat khas diadakan pada 22 Jan lepas melibatkan Kementerian Kesihatan bersama KPM, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Antara cadangan penambahbaikan bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan pelajar dan warga pendidikan ialah mematuhi sepenuhnya Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan KPM.

Selain itu, sekolah perlu melakukan penilaian risiko dengan segera supaya pelajar yang dijangkiti COVID-19 dapat diasingkan dan tindakan segera dapat dilakukan ke atas kontak rapat dan pelajar perlu segera membuat laporan kepada guru, warden atau wakil pelajar, walaupun bergejala ringan.

Mengenai kes baharu COVID-19, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 4,744 kes dicatatkan hari ini dengan 30 kes (0.6 peratus) daripadanya adalah Kategori Tiga, Empat dan Lima manakala 4,714 kes (99.4 peratus) lagi terdiri daripada Kategori Satu dan Dua.

“Daripada 4,744 kes itu, sebanyak 429 adalah kes import dan 4,315 pula adalah kes tempatan dengan 129 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 72 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Beliau juga memaklumkan sebanyak 21 kluster baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kluster aktif adalah 259 manakala kadar kebolehjangkitan COVID-19 (Rt) Malaysia semalam pula adalah 1.09.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster pendidikan: 525 pelajar positif, 15 sekolah di Kedah ditutup

ALOR SETAR, 25 JAN: Sebanyak 15 sekolah di Kedah terpaksa ditutup sejak 18 Jan lepas berikutan 525 pelajar dan 25 guru di sekolah berkenaan dikesan positif Covid-19 ekoran penularan wabak itu yang membabitkan kluster pendidikan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah Datuk Najmi Ahmad berkata 13 sekolah yang ditutup itu adalah sekolah asrama harian manakala dua lagi sekolah biasa.

Katanya, susulan situasi itu kerajaan negeri telah meminta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah untuk terus memantau dan meningkatkan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19 di institusi pendidikan.

“Kita minta jabatan pendidikan negeri sentiasa memantau dan meningkatkan pengawasan di sekolah-sekolah dan meminta ibu bapa ambil perhatian dan bekerjasama bagi mengawasi penularan wabak itu.

Bagaimanapun, keadaan masih terkawal dan pelajar yang terlibat telah ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) termasuk di Dewan Wawasan, Jitra untuk rawatan dan tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Pelancaran Program Impak Intervensi Meningkatkan Pencapaian Aspirasi Kecemerlangan (IMPAK) SPM 2021 yang disempurnakan oleh Tunku Temenggong Kedah yang juga penaung program itu Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah sebelum ini memaklumkan sebanyak 10 kluster pendidikan dikesan membabitkan sekolah di beberapa daerah antaranya Pendang, Kulim, Kubang Pasu, Yan dan Kuala Muda.

Kesemua sekolah yang terlibat ditutup selama seminggu dan tempoh penutupan bergantung kepada hasil penilaian risiko di lokasi berkenaan.

Sementara itu, Najmi berkata masih terdapat seramai 162 daripada 30,400 orang guru sekolah rendah dan menengah di negeri itu masih belum menerima suntikan vaksin Covid-19 sehingga semalam.

Katanya guru berkenaan tidak dibenarkan bersemuka secara terus dengan pelajar dan mereka ditempatkan berasingan sebagai langkah menjamin keselamatan dan kesihatan murid serta guru lain.

“Ada memberi alasan kesihatan dan alasan mengikut pemikiran sendiri, buat masa ini kita bimbing dan pujuk mereka mempertimbangkan semula, sebab ianya menimbulkan banyak perkara lain apabila sekolah terpaksa sediakan tempat pengasingan dan membantutkan pembelajaran pelajar,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 83 kluster sektor pendidikan dikesan, 49 masih aktif

PUTRAJAYA, 21 APRIL: Sebanyak 83 kluster Covid-19 berkaitan sektor pendidikan dilaporkan dari 1 Jan lepas sehingga semalam, melibatkan 4,868 kes, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Katanya data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) menunjukkan sebanyak 49 kluster atau 59.04 peratus dengan 2,617 kes masih aktif, manakala 34 kluster (40.96 peratus) dengan 2,251 kes telah diisytiharkan tamat.

Daripada jumlah kluster berkenaan, 39 kluster dengan 1,420 kes melibatkan sub-kategori sekolah atau institusi Kementerian Pendidikan (KPM), 19 kluster dengan 1,870 kes melibatkan sub-kategori pendidikan tinggi, manakala 25 kluster dengan 1,578 kes melibatkan sub-kategori pendidikan lain.

“Bagi institusi pendidikan dengan pelaporan jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga mereka, pihak pengurusan hendaklah segera memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran untuk tindakan pencegahan dan kawalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Adham berkata keperluan penutupan sementara kelas atau premis akan dipertimbangkan hasil penilaian risiko oleh PKD yang meliputi pengesanan kontak dan siasatan lanjut.

“Penutupan sementara itu bertujuan mengelak penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga sektor pendidikan termasuk pelajar, guru, pekerja yang bertugas dan selanjutnya kepada komuniti,” katanya.

Beliau menjelaskan apabila PKD atau Jabatan Kesihatan Negeri menerima laporan atau notifikasi kejadian kes positif Covid-19 atau kluster Covid-19, pasukan kesihatan dari PKD akan digerakkan untuk menjalankan siasatan, pengesanan kontak, langkah pencegahan dan kawalan jangkitan serta penilaian risiko.

PKD juga akan menasihatkan pihak pengurusan pendidikan agar pembersihan dan disinfeksi dijalankan.

Dr Adham turut mengingatkan penjagaan kesihatan am terus diamalkan di premis pendidikan seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan penjagaan kendiri.

“Jalankan saringan demam dan gejala di pintu masuk sekolah atau premis. Mereka yang tidak sihat atau bergejala dinasihatkan mendapat rawatan dan pemeriksaan di fasiliti kesihatan berhampiran,” katanya.

– BERNAMA